Waktu Manakah Yang Perlu Diikuti Ketika Berbuka Puasa Diatas Kapal Terbang.

Siri#032

—————————————

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Khairul Faizi Bin Samsudin

(Pelajar Master Usul Fiqh,Universitiy Al-Azhar)

 

Siri Fatwa Darul Ifta’Misriyyah

Soalan : Waktu manakah yang perlu diikut oleh orang yang bermusafir menaiki kapal terbang untuk mereka berbuka puasa?

Jawapan :

Syarak telah menetapkan waktu berbuka puasa dengan tenggelamnya matahari dan waktu bermula puasa dengan terbitnnya fajar. Ini jelas dengan firman Allah ta’ala;

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ[البقرة: 187]

“Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)”

Dan juga diriwayatkan dalam sahih al-Bukhari dan Muslim dari Sayyidina Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu katanya : baginda nabi sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda :

«إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ، فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ»

“apabila malam telah datang dari arah sini (timur), dan siang telah berlalu dari arah sini (barat), dan terbenamnya matahari, bermulalah waktu berbuka bagi orang yang berpuasa”

Begitu juga terdapat dalam sahih al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Abi Aufā katanya : baginda Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

«إِذَا رَأَيْتُمُ اللَّيْلَ قَدْ أَقْبَلَ مِنْ هَا هُنَا -وَأَشَارَ بِيَدِهِ نَحْوَ الْمَشْرِقِ- فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ»

“sekiranya malam telah menyusul dari arah sini -sambil mengisyaratkan dengan tangan baginda ke arah timur-, bermulalah waktu berbuka bagi orang yang berpuasa.”

 

Kesemua dalil ini menunjukkan bahawa perkara yang diambil kira ketika berbuka puasa adalah dengan yakinnya orang yang berpuasa bahawa telah masuknya waktu malam (maghrib), sama ada melalui pancaindera iaitu dengan melihatnya sendiri ataupun melalui perkhabaran iaitu dengan membenarkan perkhabaran orang yang boleh diterima perkhabarannya dalam melihat waktu. Demikian jugalah keadaan pada waktu bermulanya puasa, perkara yang diambil kira pada waktu itu adalah dengan yakinnya seorang mukallaf bahawa telah masuknya waktu subuh, sama ada melalui pancaindera ataupun dengan perkhabaran orang yang boleh diterima pakai perkhabarannya.

Seperti yang kita ketahui, bilamana seseorang itu semakin jauh meninggi dari permukaan bumi, maka semakin lewatlah masuk waktu maghrib di sisinya. Perkara ini dialami oleh orang yang berada di tingkat yang tinggi, dan ini berlaku kerana bulatnya struktur bumi. Oleh yang demikian, tidak boleh seseorang itu berbuka puasa hinggalah terbenamnya matahari disisinya mengikut kaedah syarak. Al-Imam Fakhruddin Az-zaila’ie al-hanafi menjelaskan dalam kitabnya tabyīn al-haqāiq Syarah kanzu ad-daqāiq :

[رُوِيَ أَنَّ أَبَا مُوسَى الضَّرِيرَ الْفَقِيهَ صَاحِبَ “الْمُخْتَصَرِ” قَدِمَ الإِسْكَنْدَرِيَّة، فَسُئِلَ عَمَّنْ صَعِدَ عَلَى مَنَارَةِ الإِسْكَنْدَرِيَّةِ فَيَرَى الشَّمْسَ بِزَمَانٍ طَوِيلٍ بَعْدَمَا غَرَبَتْ عِنْدَهُمْ فِي الْبَلَدِ، أَيَحِلُّ لَهُ أَنْ يُفْطِرَ؟ فَقَالَ: لا، وَيَحِلُّ لأَهْلِ الْبَلَدِ؛ لأَنَّ كُلًّا مُخَاطَبٌ بِمَا عِنْدَهُ] اهـ.

“diriwayatkan bahawa Abu Musa adh-dhorīr al-faqīh pengarang kitab Al-mukhtasar telah datang ke Iskandariah. Beliau ditanya tentang (hukum) orang yang naik ke atas menara Iskandariah kemudian dia masih melihat matahari walaupun telah lama ia tenggelam  disisi mereka yang berada di bawah. Adakah boleh untuk dia berbuka puasa? Beliau menjawab : (dia) tidak (boleh berbuka puasa), dan dibolehkan berbuka bagi orang yang berada di bawah; ini kerana setiap orang diperintahkan dengan apa yang dia lihat di sisinya.”

Al-Allamah Ibnu ‘Abidin telah menyebut dalam hasyiahnya :

[قال في الفيض: ومن كان على مكان مرتفع كمنارة إسكندرية لا يفطر ما لم تغرب الشمس عنده، ولأهل البلدة الفطرُ إن غربت عندهم قبله، وكذا العبرة في الطلوع في حق صلاة الفجر أو السحور] اهـ.

“(Syeikh Muhammad bin Salih at-tamartāsyi) telah berkata dalam (kitabnya) al-faidh:  tidak (boleh) berbuka puasa bagi sesiapa yang berada di tempat yang tingg;i seperti menara Iskandariah selagimana tidak tenggelam matahari di sisinya. Dan boleh bagi orang yang berada di bawah untuk berbuka puasa sekiranya matahari telah terbenam di sisi mereka sebelum daripada tenggelamnya matahari di sisi orang yang berada di atas menara. Dan demikian jugalah pada terbitnya fajar dalam permasalahan solat subuh dan sahur.”

 

Mengikut apa yang telah diterangkan di atas : waktu berbuka puasa bagi orang yang bermusafir menaiki kapal terbang adalah dengan mereka melihat sendiri  matahari tenggelam dari kedudukan mereka. Tidak boleh bagi mereka untuk berbuka mengikut waktu negara yang mereka lalu diatasnya, begitu juga tempat mereka berlepas dan tempat mereka tuju. Mereka hanya boleh berbuka ketika  mana mereka melihat matahari terbenam sepenuhnya. Sekiranya berlarutan tempoh berpuasa sehinggakan orang yang mampu berpuasa pun tidak dapat bertahan maka mereka dibenarkan untuk berbuka ketika itu; kerana kesulitan yang berganda ketika musafir, bukanlah kerana tamatnya waktu siang (tempoh berpuasa). Mereka wajjb untuk menggantikan hari-hari yang mereka tidak berpuasa. Maka apa yang sebahagian juruterbang katakan bahawa waktu berbuka puasa itu adalah mengikut waktu negara yang asal (tempat berlepas) ataupun negara yang sedang dilalui, tidak betul dari segi syarak.

Terdapat kes dimana matahari tenggelam kemudian timbul kembali dari arah barat kerana kelajuan kapal terbang (yang bergerak ke arah barat). Dalam kes ini, waktu berbuka bagi orang yang berpuasa adalah ketika tenggelamnya matahari pada kali pertama tanpa perlu diendahkan kemunculannya buat kali kedua selepas itu.

 

Wallahu a’lam.

 

Sumber :

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=12668&Lang