loader image

TERIMA DERMA DARI NON-MUSLIM

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nur Syawal Bin Ismail

(Graduan Syariah Islamiyah,Universitiy Al-Azhar)

Siri Fatwa Darul Ifta’Misriyyah

Soalan :

Adakah boleh orang bukan Islam menderma untuk kebajikan umat Islam seperti pembinaan masjid-masjid, hospital-hospital, sekolah-sekolah, rumah  anak-anak yatim dan seumpamanya.?

Jawapan :

Asas kepada hubungan antara orang Islam dan bukan Islam adalah firman Allah Ta`ala dalam surah Al-Mumtahanah, ayat kelapan :

لَا يَنْهَاكُمُ اللهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat kebaikan dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampong halaman kamu;kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Menerusi ayat ini, kita dapat memahami bahawa Allah membenarkan segala bentuk hubungan keinsanan seperti bantu-membantu, bekerjasama, memberi dan menerima pertolongan, hadiah, pinjaman dan seumpamanya. Tidak kira sesama individu mahupun antara kaum.

Perkara ini diperkukuhkan lagi dengan perbuatan Nabi صلى الله عليه وسلم menerima hadiah dari mereka yang bukan Muslim seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tirmidzi daripda Saidina `Ali katanya:

أَهْدَى كِسْرَى لِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم فَقَبِلَ مِنْهُ، وَأَهْدَى لَهُ قَيْصَرُ فَقَبِلَ مِنْهُ، وَأَهْدَتْ لَهُ الْمُلُوكُ فَقَبِلَ مِنْهُمْ

“Raja Kisra telah memberi hadiah kepada Rasulullah dan baginda menerimanya. Raja Kaisar juga memberi hadiah kepada baginda dan baginda menerimanya. Begitu jugalah dengan raja-raja yang lain. Mereka memberi hadiah kepada baginda dan baginda menerimanya.”

Begitu juga baginda Rasulullah menerima hadiah dari Salman Al-Farisi ketika beliau belum memeluk agama Islam. Serta pelbagai lagi dalil-dalil lain yang menunjukkan akan perkara yang sama.

Bukan itu sahaja, malah tidak kira pemberian orang bukan Islam itu untuk bertujuan duniawi mahupun akhirat (seperti wakaf). Inilah pandangan yang diambil oleh Fuqaha Syafi’iyah yang membenarkan wakaf orang bukan Islam untuk kaum muslimin. Mereka hanya mensyaratkan wakaf itu perlu untuk tujuan ibadah tanpa mengira kepercayaan si pewakaf. Hal ini berbeza dengan Fuqaha Malikiyah yang hanya membenarkan wakaf tersebut jika bertujuan  masalahat dunia dan bukannya maslahat agama. Adapun Fuqaha Ahnaf, mereka mensyaratkan hendaklah wakaf itu berupa ibadah di sisi orang Islam dan orang bukan Islam.

adapun berkenaan dengan firman Allah Ta`ala dalam surah Taubah ayat 17:

مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَنْ يَعْمُرُوا مَسَاجِدَ اللَّهِ شَاهِدِينَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ

“ Tidaklah layak orang-orang kafir itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedangkan mereka mengakui akan kekufuran mereka sendiri”

Yang dimaksudkan dengan memakmurkan adalah tidak layak orang kafir itu punyai hak mengurus tadbir masjid-masjid dan bersendirian dalam menyelianya. Atau maksudnya,  dibimbangi mereka akan mengadakan perbuatan-perbuatan syirik di dalamnya sepertimana yang dinyatakan oleh Allah dalam surah Jin ayat 18:

وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللهِ أَحَدًا

Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata, maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama Allah”

Kesimpulannya, harus menerima sumbangan dari non-muslim tidak kira dalam soal dunia mahupun agama, selagi mana tidak membawa kepada mafsadah.

Wallahu a`lam

Sumber :

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11071&Lang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Ruwaq Jawi​​