loader image

TAK BAYAR NAFKAH ISTERI DIKIRA BERHUTANG?

TAK BAYAR NAFKAH ISTERI DIKIRA BERHUTANG?

Siri#45

—————————-

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nur Syawal Bin Ismail

(Graduan Syariah Islamiyah,Universitiy Al-Azhar)

Siri Fatwa Darul Ifta’Misriyyah

Soalan:

Sekiranya seorang suami enggan memberi nafkah kepada isterinya sehingga belalu suatu tempoh, adakah dia dianggap berhutang dengan isterinya ataupun tidak?

Jawapan :

Wajib ke atas suami itu memberi nafkah kepada isterinya seperti makan minum, pakaian, rawatan dan selainnya dengan sempurna sekadar kemampuannya. Apabila suami dengan sengaja tidak memenuhi nafkah yang wajib ditunaikan, ianya menjadi hutang bermula dari waktu dia enggan. Inilah hukum yang difatwakan (di Mesir) serta dilaksanakan dalam undang-undang keluarga negara republik ini.

Di samping itu, adalah baiknya kami nyatakan di sini mazhab-mazhab Fuqaha mengenai isu ini:

Pandangan pertama:

Nafkah itu tidak dianggap hutang melainkan sekiranya diputuskan oleh qadhi/hakim mahkamah atau perkara tersebut telah pun dipersetujui oleh suami isteri. Jika tidak, maka gugurlah nafkah tersebut dengan berlalunya masa. Demikian pendapat Fuqaha Ahnaf seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Kasani dalam kitabnya, Al-Badai’ Al-Sonai’ (4/28):

إذا فرض القاضي لها نفقة كل شهر أو تراضيا على ذلك ثم منعها الزوج قبل ذلك أشهرًا غائبًا كان أو حاضرًا فلها أن تطالبه بنفقة ما مضى؛ لأنها صارت دَينًا بالفرض أو التراضي

“ sekiranya qadhi telah memutuskan bahawa wajib ke atas suami memberi nafkah kepada isterinya setiap bulan, atau mereka berdua telah bersetuju akan hal tersebut lalu suami enggan memberi nafkah selama berbulan-bulan, tidak kira samada suami ada bersama atau berjauhan dengan isteri,maka dalam hal demikian boleh si isteri tadi menuntut hak nafkahnya di hadapan qadhi kerana ianya telah dianggap hutang yang wajib dibayar”

Pandangan kedua:

Nafkah yang tertunggak itu dianggap sebagai hutang yang wajib dibayar oleh suami. Hal ini tidak kira samada diputuskan oleh qadhi atau tidak. Juga samada dipersetujui oleh suami isteri ataupun tidak. Demikian pandangan Fuqaha Syafi`iyah dan Hanabilah. Pendapat ini bersandarkan firman Allah Ta`ala dalam surah Al-Baqarah  ayat 233:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

“..dan wajib ke atas suami itu memberi nafkah (makan minum) kepada isterinya serta pakaian menurut cara yang sepatutnya”

Berkata Imam Ibn Hajar Al-Haitami dalam kitabnya, Tuhfah Al-Muhtaj fi Syarh Al-Minhaj (8/335):

إذَا (أَعْسَرَ) الزَّوْجُ (بِهَا) أَيْ: النَّفَقَةِ (فَإِنْ صَبَرَتْ) زَوْجَتُهُ وَلَمْ تُمَتِّعْهُ تَمَتُّعًا مُبَاحًا (صَارَتْ) كَسَائِرِ الْمُؤَنِ مَا عَدَا الْمَسْكَنَ لِمَا مَرَّ أَنَّهُ أَمَتَاعٌ (دَيْنًا عَلَيْهِ)، وَإِنْ لَمْ يَفْرِضْهَا قَاضٍ؛ لِأَنَّهَا فِي مُقَابَلَةِ التَّمْكِين

“ sekiranya suami itu berada dalam kesempitan wang untuk memberi nafkah, sedangkan isterinya itu sabar dengan keadaan suaminya itu……maka nafkah yang tertunggak itu menjadi hutang dalam tanggungjawab suami, biarpun perkara tersebut tidak diputuskan oleh qadhi atau tidak didahului dengan persetujuan suami isteri.”

Wallahua`lam

Sumber :

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=13199&Lang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Ruwaq Jawi​​