Ganjaran Luar Biasa Malam Al-Qadr

Siri#041

—————————–

Disediakan oleh :

Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain

(Calon PhD Universitiy Al-Azhar)

 

Malam Al-Qadr Yang Yang Menjanjikan Pahala Beribadah Selama 833 Tahun

Malam al-Qadr adalah malam termulia dalam setahun. Al-Qadr bermaksud ‘Kedudukan’. Malam itu dinamakan sebagai malam al-Qadr kerana malam itu adalah malam yang memiliki kedudukan yang istimewa di sisi Allah berbanding dengan malam-malam yang lain. Allah mengabadikan kemuliaan malam al-Qadr menerusi Surah al-Qadr yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Dia tidak memberitahu kepadamu (akan hakikat sebenar) apakah malam al-Qadr. Malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat dan al-Ruh akan turun (dari langit ke bumi) pada malam itu dengan keizinan (daripada) tuhan mereka daripada semua perkara. Keselamatan adalah malam itu sehinggalah terbit fajar”.

Malam Al-Qadr Malam Penurunan Al-Quran

Menurut guru kami Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdu al-Hasaniyy: Allah telah memilih malam al-Qadr sebagai malam penurunan al-Quran yang menunjukkan kemuliaan yang disertai oleh kemuliaan-kemuliaan yang beraneka rakam. Ini kerana al-Quran selaku kitab suci yang paling mulia antara kitab-kitab suci yang lain. Al-Quran telah diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang paling mulia daripada kalangan para nabi. Al-Quran diturunkan melalui perantaraan Sayyidina Jibril Alaihissalam yang merupakan malaikat yang paling mulia daripada kalangan para malaikat. Al-Quran diturunkan pada malam al-Qadr yang merupakan malam yang paling mulia berbanding malam-malam yang lain. Penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam kali pertama telah berlaku di gua Hirak yang terletak di bumi Makkah yang mulia. Penurunan ini berlaku pada bulan yang paling mulia iaitu bulan Ramadhan untuk menjadi pedoman kepada umat yang paling mulia iaitu umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam.

Ketua Para Malaikat Yang Turun Dari Langit Ke Bumi Bagi Memuliakan Tetamu Malam Al-Qadr

Malaikat Jibril pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam kerap kali turun ke bumi bagi menyampaikan titah Allah Taala kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam. Namun selepas kewafatan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam, Sayyidina Jibril sudah tidak lagi turun untuk menyampaikan wahyu. Namun bumi pada setiap tahun tidak akan sunyi daripada menerima kedatangan sang malaikat yang mulia ini pada malam al-Qadr. Ini adalah berpandukan ayat keempat daripada Surah al-Qadr yang bermaksud: “Para malaikat dan al-Ruh akan turun (dari langit ke bumi) pada malam itu dengan keizinan (daripada) tuhan mereka daripada semua perkara”. Al-Ruh yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Malaikat Jibril Alaihissalam.

Malam Al-Qadr Adalah Malam Yang Lebih Baik Daripada Seribu Bulan

Apabila Allah Taala di dalam al-Quran menyatakan bahawa amalan begian-begian adalah lebih baik, ini akan menunjukkan bahawa pahala yang bakal diperolehi adalah seumpama si pelaku amalan tersebut melakukan amalan itu sebanyak sepuluh kali. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah Taala di dalam Surah al-Qosos ayat ke-84 yang bermaksud: “Barangsiapa yang telah datang dengan (melakukan) satu kebaikan, maka baginya (pahala) yang lebih baik daripada kebaikan tersebut”. Lalu Allah telah menjelaskan maksud-Nya ini menerusi Surah al-An’am ayat ke-160 yang bermaksud: “Barangsiapa yang telah datang dengan (melakukan) satu kebaikan, maka baginya sepuluh seumpama kebaikan tersebut”.  Lain pula halnya dengan malam al-Qadr yang telah dinyatakan oleh Allah di dalam Surah al-Qadr ayat ke-3 yang bermaksud “Malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan”.

Apabila kebiasaan setiap kebaikan digandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali ganda dalam masa yang sama Allah telah menyatakan bahawa malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan, maka guru kami Fadhilat al-Syeikh Dr. Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy berpandangan bahawa pahala beribadat pada malam al-Qadr adalah menyamai pahala sepuluh kali ganda bagi seribu bulan iaitu SEPULUH RIBU BULAN. Maka menurut beliau, sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr, dia akan dianugerahkan pahala beribadah kepada Allah selama 833 tahun 4 bulan.

Hikmah Penggandaan Luar Biasa Ibadah Pada Malam Al-Qadr

Allah telah mentakdirkan umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam berusia sekitar 60 ke 70 tahun secara kebiasaannya. Maka sekiranya ibadah yang dilakukan oleh umat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam adalah dikira berdasarkan umur mereka, ibadah yang mampu dilakukan hanya sekitar 55 tahun sahaja. Maka sekiranya seseorang yang telah mencapai umur baligh pada usia 15 tahun dan meninggal dunia pada usia 70 tahun telah beribadah kepada Allah dalam sehari selama 5 jam, maka sepanjang hidupnya dia hanya beribadah kepada Allah sebanyak 97,625 jam sahaja iaitu menyamai 4,067 hari dan 17 jam menurut kalendar hijri iaitu menyamai sekitar 11 tahun 162 hari sahaja. Akhirnya ibadah yang mampu dilakukan oleh orang ini sepanjang hidupnya hanyalah dilakukan selama 11 tahun 5 bulan 12 hari 17 jam sahaja. Maka kalaulah ini neraca bagi kiraan pahala, umat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang merupakan umat yang paling mulia hanya akan mampu membawa pahala amalan yang terlalu sedikit sekali berbanding dengan umat terdahulu yang memiliki usia yang panjang yang pastinya ahli ibadah umat terdahulu telah dapat beribadah dalam tempoh ratusan tahun lamanya.

Atas dasar rahmat Allah yang tidak bertepi kepada umat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam, Allah Taala telah menyediakan satu malam yang sangat istimewa yang kadar pahala ibadah pada malam tersebut akan dapat mengatasi kadar pahala ibadah umat para nabi terdahulu. Kelebihan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memuliakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang merupakan kekasih Allah Taala.

Bilakah Malam Al-Qadr

Allah Taala dan Rasul-Nya Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam tidak menyatakan dengan jelas bilakah sebenarnya malam al-Qadr sehingga ada di kalangan para ulama yang berpendapat bahawa berkemungkinan malam al-Qadr berlaku pada bulan selain Ramadan. Walau bagaimanapun kebanyakan para ulama berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada bulan Ramadan.

Antara hikmah mengapa Allah menyembunyikan tarikh malam al-Qadr adalah supaya kita bersungguh-sungguh dalam beribadat pada waktu malam sepanjang bulan Ramadan. Ini kerana sekiranya Allah menyatakan tarikh tepat malam al-Qadr, orang yang malas beribadah hanya akan menumpukan ibadah pada malam itu sahaja lalu dia akan tidur lena sepanjang malam-malam yang lain.

Walaupun tidak ada kepastian bilakah sebenarnya malam al-Qadr, kebanyakan para ulama menyatakan bahawa malam tersebut berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Ini dikuatkan dengan sikap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang menghidupkan 10 malam terakhir dengan bersungguh-sungguh sehingga baginda telah beriktikaf di al-Masjid al-Nabawi selama 10 hari 10 malam dan baginda tidak pulang ke rumah baginda sama sekali sepanjang tempoh tersebut. Al-Imam al-Syafi’iyy lebih cenderung untuk menyatakan bahawa malam istimewa ini adalah malam ke-21. Beliau juga mempunyai pandangan lain bahawa malam tersebut berkemungkinan adalah malam yang ke-23. Ada juga para ulama yang berpandangan bahawa malam al-Qadr pada setiap tahun akan berlaku pada malam ke-27 Ramadan.

Menurut al-Imam Ibnu Roslan, seseorang akan dianggap telah menghidupkan malam al-Qadr sekiranya dia telah beribadah sepanjang malam tersebut atau dia telah beribadah pada kebanyakan malam tersebut. Menurut al-Imam al-Nawawi, tanda malam al-Qadr adalah malam tersebut tidak sejuk dan tidak panas. Pada keesokan harinya pula, matahari akan terbit berwarna putih dan pancaran sinarnya tidak terik.

BERTASBIH MENGGUNAKAN BIJI

Siri#017

—————–

Disediakan Oleh :

Ustaz Muhammad Alif Najmi

 

Sayyiduna Rasulullah ﷺ bertasbih menggunakan jari dengan bilangan seperti 33 dan 53. Kata Guru yang Mulia : Mengira menggunakan jari kebiasanya digunakan oleh orang Arab untuk mengurangkan harga ketika membeli di pasar.

 

Kaedah bilangan 53 seperti kedudukan jari tangan kanan semasa tahiyyat akhir. Caranya pernah ditunjukkan oleh al-Allamah Shaykh Dr Ahmad Mamduh ḥafiẓahuLlāh kepada Guru yang Mulia Shaykh Muhammad Nazrul Nasir al-Azhari ḥafiẓahuLlāh semasa di Mesir.

 

Sayyiduna Rasulullah ﷺ banyak berpesan kepada perempuan tentang tasbih, bahkan ketika permulaan Islam sendiri pun, ramai perempuan yang menggunakan tasbih. Sayyiduna Rasulullah ﷺ tidak melarang kita menggunakan biji tasbih dengan kayu, batu atau sebagainya.

 

Suatu hari, Sayyidatuna Safiyyah raḍiyaLlāhu ‘anha menggunakan 4000 biji kurma tanpa diikat untuk dijadikan sebagai tasbih. Kemudian, datang Sayyiduna Rasulullah ﷺ dan bertanya: “Apakah ini wahai anak perempuan kepada Huyay?” Lalu jawabnya: “Saya bertasbih menggunakannya.”

 

Sayyiduna Rasulullah ﷺ bersabda : “Mahukah kamu jika aku ajarkan sesuatu yang lebih banyak daripada apa yang kamu tasbihkan dengannya”. Jawabnya: “Tolong ajarkan kepada saya wahai Sayyiduna Rasulullah. Kemudian, Baginda bersabda: (( سبحان الله عدد خلقه ))

 

[ Tanbih Guru yang Mulia ]

 

  1. Sayyiduna Rasulullah ﷺ tidak pernah melarang umatnya untuk bertasbih menggunakan biji. Di mana, hadis tersebut sering kali ditafsir secara menyimpang oleh sesetengah manusia.
  2. Sayyiduna Rasulullah ﷺ hendak mengajarkan perkara afdhal yang perlu diucapkan semasa bertasbih. Sayyiduna Rasulullah ﷺ hanya mengajar zikir yang ringkas dan mudah untuk diamalkan.

Guru yang Mulia menyarankan kepada kita semua untuk membaca sebuah risalah yang telah dihasilkan oleh al-Imam al-Suyuti raḥimahuLlāh pada membahaskan penggunaan biji tasbih. Risalah tersebut bertajuk: “Al-Minhah fi al-Sibhah” (( المنحة في السبحة )).

 

[ Sebanyak Bilangan Makhluk ]

 

Antara Selawat yang disebutkan oleh al-Imam al-Juzuli raḥimahuLlāh di dalam kitab Dalail al-Khairat ialah :

 

(( اللهم صل على سيدنا محمد عدد ما خلق الله ))

 

Maksudnya : “Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas Sayyiduna Muhammad sebanyak bilangan makhluk yang diciptakan oleh Allah Ta’ala.”

 

Timbul persoalan: Banyak mana pahala yang kita akan dapat sekiranya berselawat dengan sighah tersebut? Jawabnya ialah : Sebanyak makhluk yang diciptakan oleh Allah Ta’ala.

 

  • Selawat Sayyiduna Ibrahim :

 

(( اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد # كما صليت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم # وبارك على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد # كما باركت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم # في العالمين انك حميد مجيد ))

 

Kata Guru yang Mulia : Perhatikan lafaz yang diajarkan oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ bahawa

 

(( كما صليت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم ))

 

yang bermaksud “Sebanyak Mana Selawat ke atas Sayyiduna Nabi Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Sayyiduna Nabi Ibrahim”.

 

Lalu, timbul pula persoalan, berapa banyakkah bilangan yang dikatakan ‘sebanyak mana’ di dalam selawat tersebut? Jawab Guru yang Mulia: Tentulah lagi banyak, sebab kita sudah menyerahkan terus bilangannya kepada Allah Ta’ala.

 

https://t.me/RasyidAlkinti

 

[ Amalan Para Salaf ]

 

  1. Sayyidatuna Fatimah binti Husain bin Ali Abi Talib raḍiyaLlāhu ‘anhum mempunyai tasbih yang diikat dengan menggunakan benang.

 

  1. Sayyiduna Abu Hurairah raḍiyaLlāhu ‘anhu mempunyai tasbih yang diikat sebanyak 2000 biji dan beliau tidak akan tidur melainkan setelah menyelesaikan kesemua bilangan tasbihnya.

 

  1. Sayyiduna Abu Darda’ raḍiyaLlāhu ‘anhu juga memiliki biji-biji yang disimpan dalam bekas untuk kegunaan berzikir. Beliau akan mengeluarkan satu-persatu biji tersebut sehingga habis. Beliau bertasbih sebanyak 100,000 kali sehari. Suatu hari, Sayyiduna Salman al-Farisi raḍiyaLlāhu ‘anhu telah melihat cawan-cawan yang berada di rumah saudaranya juga turut berzikir, kerana kuatnya beliau dalam bertasbih.

 

  1. Sayyiduna Abu Saʼid al-Khudri raḍiyaLlāhu ‘anhu bertasbih menggunakan batu.

 

[ Tasbih Milik Guru yang Mulia ]

 

  1. Tasbih Sejuta: Satu pusingan terdapat 100 biji yang besar. Di bahagian kepala pula, terdapat 10 biji yang kecil. Kemudian, terdapat satu lagi bahagian yang boleh digerakkan ke setiap 100 biji tasbih yang besar. Ia memuatkan 10 biji yang kecil lagi. Maka, jumlahnya ialah: 100 × 10 × 10 × 100 = 1,000,000.

 

  1. Tasbih 12 Juta Tariqat Tijaniyah: Satu pusingan terdapat 100 biji yang besat. Di bahagian kepala pula, terdapat 12 biji kecil dan satu bahagian yang lain 10 biji kecil. Kemudian, terdapat satu lagi bahagian yang boleh digerakkan ke setiap 100 biji tasbih yang besar. Ia memuatkan 10 biji yang kecil lagi. Maka, jumlahnya ialah: 100 × 12 × 10 × 10 × 100 = 12,000,000.

 

  1. Tasbih Biji Pisang Sunan Bonang

 

Setiap pokok Pisang Sunan Bonang hanya akan menghasilkan pisang dengan bilangan biji yang ganjil sahaja. Isinya sangat sedikit, cukup sekadar untuk membaluti biji pisang sahaja. Apa yang lebih menarik ialah biji-bijinya sudah siap terbelah dan berlubang sejak berada di dalam buah pisang lagi!

Kisahnya bermula apabila Sunan Bonang bertasbih dan terputus talinya. Maka, bertebaranlah dan tertanamlah biji-biji tasbih tersebut di atas tanah. Beberapa lama kemudian, tumbuh pokok-

pokok pisang. Menariknya, pokok tersebut hanya akan tumbuh dengan semaian biji – bukannya tumbuh melalui anak-anak pokok pisang yang lain.

Bahkan, disebutkan oleh Guru yang Mulia, telah diceritakan kepada beliau bahawa terdapat para pengkaji tumbuhan daripada Belanda melakukan kajian berkenaan pokok pisang itu. Hasilnya ialah Pisang Sunan Bonang hanya boleh tumbuh di daerah Tuban sahaja.

 

[ Musalsal Tasbih ]

 

Alhamdulillah, Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir juga telah mengijazahkan kepada kami Musalsal Tasbih bil Munawalah, melalui jalur Masyayeikh beliau seperti: (1) al-Allamah Shaykh Abdul Aziz Kabbarah raḥimahuLlāh [ Mesir ] dan (2) al-Allamah Abuya Kiyai Ahmad Syaʼrani bin Toyyib al-Martapurayi ḥafiẓahuLlāh [ Indonesia ].

 

[ Kesimpulan ]

 

Akhirnya, disimpulkan oleh Guru yang Mulia bahawa: Menggunakan jari itu lebih afdhal berbanding menggunakan biji, sekiranya seseorang itu boleh mengingati berapakah bilangan tasbihnya. Namun, jika dia bimbang tidak ingat, maka lebih afdhal ke atas mereka untuk menggunakan biji tasbih.

 

Tambahan: Bertasbih menggunakan biji yang diperbuat daripada kayu atau batu adalah lebih afdhal berbanding biji plastik yang diproses. Ini kerana, kayu juga adalah makhluk hidup yang juga akan berzikir bersama dengan pemilik tasbih.

 

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم

والله اعلم

 

-Rasyid Al-Kinti

Hari Dua Ratus Dua Enam,

13 Rabi’ul Anwar 1442/

30 Oktober 2020

15 WASIAT BUAT PEMBACA AL-QURAN

SIRI #008


 

Dari Prof. Dr. ‘Ablah Al-Kahlãwiy :

Kekasihku sekalian yang dicintai kerana Allah Taala..

Ini adalah wasiat dariku berupa nasihat buat para pembaca al-Quran mengenai tata adab sewaktu membacanya:

Aku sarankan padamu 15 wasiat iaitu:-

 

١ – ﻻ ﺗﻌﻄِ ﺍﻟﻘﺮﺁﻥ ﻓﻀﻠﺔ ﻭﻗﺘﻚ، ﺑﻞ ﺧﺼّﺺ ﻟﻪ ﻭﻗﺘﺎً ﻣﺤﺪﺩﺍً ﻻ ﻳﻨﺎﺯﻋﻚ ﻋﻠﻴﻪ ﺃﺣﺪ

 

1- Jangan hanya kamu memberi kepada Al-Quran masa lebihanmu sahaja, tetapi tetapkanlah masa tertentu untuk membacanya, iaitu masa yang tiada seorang pun mengganggumu.

 

٢ – ﻗﺒﻞ ﺍﻟﻘﺮﺍﺀﺓ ﺟﺪﺩ ﻭﺿﻮﺀﻙ، ﻭﺍﺳﺘﻘﺒﻞ ﺍﻟﻘﺒﻠﺔ، ﻭﺍﺑﺪﺃ ﺑﺎﻻﺳﺘﻌﺎﺫﺓ ﺛﻢ ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ، ﻭﺍﺳﺘﺤﻀﺮ ﻓﻀﻞ ﻗﺮﺍﺀﺓ ﺍﻟﻘﺮﺁﻥ

 

2- Sebelum membaca al-Quran, perbaharuilah wudhukmu, hadaplah kearah kiblat, mulailah dengan ‘isti’azah’:

 

(أعوذ بالله من الشيطان الرجيم)

 

diikuti dengan bismillah dan jiwailah keistiwewaan bacaan al-Quran.

 

٣ – ﻟﻴﻜﻦ ﺻﻮﺗﻚ ﻭﺳﻄﺎً ﻻ ﻣﺮﺗﻔﻌﺎً ﻓﺘﺘﻌﺐ ﻭﺗﺰﻋﺞ، ﻭﻻ ﻣﻨﺨﻔﻀﺎً ﻓﺘﻤﻞّ ﻭﺗﻨﻌﺲ، ﻭﻟﺘﻜﻦ ﺳﺮﻋﺘﻚ ﻭﺳﻄﺎً ﻻ ﺳﺮﻳﻌﺔ، ﻭﻻ ﺑﻄﻴﺌﺔً ﻓﺘﺴﺄﻡ

 

3- Jadikan suaramu tengah-tengah, tidak terlalu nyaring (kuat) sampai memenatkanmu dan tidak pula terlalu perlahan sehingga menyebabkan rasa bosan dan mengantuk.

 

Jadikan kelancaran (kelajuan) bacaanmu sederhana tidak terburu-buru, dan jangan pula terlalu lambat yang menyebabkan rasa jemu.

 

٤ – ﻟﻠﻘﺮﺁﻥ ﻫﻴﺒﺔ ﻭﻭﻗﺎﺭ، ﻭﻣﻦ ﻋﻈّﻢ ﺍﻟﻘﺮﺁﻥ ﻓﻲ ﻗﻠﺒﻪ ﻋﻈّﻢ ﺍﻟﻠﻪ ﻣﻜﺎﻧﺘﻪ ﺑﻴﻦ ﺍﻟﻨﺎﺱ، ﻓﻼ ﺗﻘﻄﻊ ﻗﺮﺍﺀﺗﻚ ﺑﺎﻟﻜﻼﻡ ﻣﻊ ﻓﻼﻥ ﻭﻓﻼﻥ

 

4- Al-Quran memiliki kehormatan serta kehebatan, sesiapa yang mengagungkan al-Quran dalam hatinya, nescaya Allah muliakan kedudukannya dikalangan manusia yang lain.

 

Oleh itu, janganlah kamu memutuskan bacaan al-Quran (yang sedang dibaca) hanya kerana ingin bercakap dengan orang itu dan orang ini.

 

٥ – ﻛﺎﻥ ﺍﻟﺴﻠﻒ ﺇﺫﺍ ﺷﺮﻉ ﺃﺣﺪﻫﻢ ﻓﻲ ﻗﺮﺍﺀﺓ ﺳﻮﺭﺓٍ ﻻ ﻳﻘﻄﻌﻬﺎ ﺣﺘﻰ ﻳﺘﻢ ﺍﻟﺴﻮﺭﺓ، ﻭﻫﺬﺍ ﻣﻦ ﺍﻷﺩﺏ ﻣﻊ ﻛﻼﻡ ﺍﻟﻠﻪ، ﻭﺍﻟﺒﻌﺾ ﻳﻘﻄﻊ ﺍﻵﻳﺎﺕ

 

5- Golongan Salafussoleh (iaitu para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in) tatkala salah seorang dari mereka memulakan bacaan bagi satu-satu surah, mereka tidak akan berhenti sehinggalah sempurna bacaan surah tersebut secara lengkap. Inilah antara adab terhadap kalam Allah (yang perlu kita contohi).

Ada juga sebagian yang lain mengakhiri bacaan mereka pada ayat-ayat tertentu.

 

٦ – ﺇﺫﺍ ﺑﺪﺃﺕ ﻗﺮﺍﺀﺗﻚ ﻓﻼ ﺗﻠﺘﻔﺖ ﻷﺣﺪ، ﻭﺇﺫﺍ ﺃﺭﺍﺩ ﺃﺣﺪﻫﻢ ﺍﻟﺤﺪﻳﺚ ﻣﻌﻚ ﻓﺄﺷﺮ ﺑﻴﺪﻙ ﻟﻪ ﻣﻌﺘﺬﺭﺍً، ﻭﻫﺬﺍ ﻣﻦ ﺗﻌﻈﻴﻤﻚ ﻟﻜﺘﺎﺏ ﺍﻟﻠﻪ

 

6- Apabila kamu telah mula membaca al-Quran, jangan alihkan perhatian kepada sesiapapun (jangan peduli).

 

Jika ada sesiapa yang ingin berbual denganmu, berikan isyarat kepadanya menggunakan tanganmu sebagai tampikkan (menolak keinginan berbual).

Tindakkan sebegini (adalah bukti) pengagunganmu terhadap kitab Allah.

 

٧ – ﺇﻥ ﻛﻨﺖ ﻭﻻ ﺑﺪ ﻗﺎﻃﻌﺎً ﺗﻼﻭﺗﻚ ﻟﺤﺪﻳﺜﻚ ﻷﺣﺪﻫﻢ، ﻓﻼ ﺗﺠﺒﻪ ﻓﻮﺭ ﺣﺪﻳﺜﻪ ﺑﻞ ﻟﻴﻨﺘﻈﺮﻙ ﺣﺘﻰ ﺗﻘﻒ ﻋﻠﻰ ﺭﺃﺱ ﺍﻵﻳﺔ ﻓﻲ ﻣﻮﻗﻒ ﻣﻨﺎﺳﺐ

 

  1. Jika kamu terpaksa juga berhenti bacaanmu untuk bercakap dengan mereka, jangan terus balas (respond), tetapi biarkan dia menunggumu sebentar sehinggalah kamu berhenti di pangkal ayat iaitu pada tempat berhenti yang sesuai.

 

٨ – ﻳﺠﺐ ﻋﻠﻴﻚ ﺗﺤﺮﻳﻚ ﻟﺴﺎﻧﻚ ﺃﺛﻨﺎﺀ ﺍﻟﻘﺮﺍﺀﺓ، ﺃﻣﺎ ﻗﺮﺍﺀﺓ ﺍﻟﻌﻴﻦ ﻓﻬﻲ ﻻ ﺗﺠﺰﺉ ﻭﻻ تعتبر ﻗﺎﺭﺋﺎ

 

  1. Kamu perlu gerakkan lidahmu sewaktu membaca al-Quran. Orang yang sekadar menggerakkan mata (tanpa mengeluarkan suara), tidak diberi ganjaran pahala membaca, dan tidak pula dikira sebagai pembaca al-Quran.

 

٩ – ﻣﻦ ﻋﺪﻡ ﺍﺣﺘﺮﺍﻣﻚ ﻟﻜﻼﻡ ﺭﺑﻚ ﺃﻥ ﺗﻘﺮﺃ ﺁﻳﺎﺕ ﻳﺴﻴﺮﺓ ﺛﻢ ﺗﺘﺎﺑﻊ ﺗﻮﻳﺘﺮ ﻭﺗﻠﻴﺠﺮﺍﻡ ﻭ … ﻭ … ﺛﻢ ﺗﻌﻮﺩ، ﺛﻢ ﺗﺘﺼﻔﺢ ﻭﻫﻜﺬﺍ

 

  1. Antara perbuatan yang menunjukkan kamu tidak hormat kepada kalam Tuhanmu adalah ketika kamu baru membaca sepotong dua ayat kemudian kamu terus membuka Twitter dan Telegram dan … dan … kemudian kembali semula buka al-Quran.

 

١٠ – ﺃﻧﺼﺤﻚ ﺃﻥ ﺗﺬﻫﺐ ﻟﻤﺴﺠﺪ ﺑﻌﻴﺪ ﻻ ﻣﻌﺎﺭﻑ ﻟﻚ ﺑﻪ، ﻭﺃﻥ ﺗﺬﻫﺐ ﺍﻷﺧﺖ ﻟﻐﺮﻓﺔ ﻣﻨﻌﺰﻟﺔ، ﻟﺘﺨﻠﻮ ﺑﻜﺘﺎﺏ ﺭﺑﻚ ﻓﺘﺬﻭﻕ ﺣﻼﻭﺗﻪ ﻭﺗﺘﺪﺑﺮ ﺁﻳﺎﺗﻪ

 

  1. (Antara inisiatif untuk khusyuk ketika membaca al-Quran) Aku nasihatkan kamu pergi ke masjid yang jauh dimana tiada kenalan kamu disana, manakala saudari pula pergilah asingkan diri dalam bilik yang sunyi di rumah.

Supaya kalian dapat bersendirian dengan kitab tuhan agar dapat merasai sendiri kemanisannya dan menghayati ayat-ayatNya.

 

١١ – ﻣﻬﻤﺔ: ﺷﺮ ﺟﻠﻴﺲ ﻟﻚ ﻓﻲ ﻗﺮﺍﺀﺗﻚ ﻫﺎﺗﻔﻚ! ﻓﺄﻧﺼﺤﻚ ﺃﻥ ﺗﺘﺮﻛﻪ ﻓﻲ ﺍﻟﻤﻨﺰﻝ ﺃﻭ ﺍﻟﺴﻴﺎﺭﺓ ﻭﺗﺬﻫﺐ ﻟﻠﻘﺮﺍﺀﺓ ﻭﺣﺪﻙ ﺣﺘﻰ ﻻ ﻳﺪﺧﻞ ﻣﻨﻪ ﺍﻟﺸﻴﻄﺎﻥ

 

  1. PENTING : Sejahat-jahat teman rapatmu ketika sedang membaca al-Quran adalah ‘handphone’! Oleh itu, aku nasihatkan supaya kamu tinggalkan ‘handphone’ di rumah atau di dalam kereta, kemudian barulah kamu pergi membaca, agar syaitan tidak dapat masuk ke ruang bacaan al-Quran.

 

١٢ – ﺃﺛﻨﺎﺀ ﻗﺮﺍﺀﺗﻚ ﺳﺘﻤﺮ ﻋﻠﻴﻚ ﺁﻳﺎﺕ ﺭﺣﻤﺔ ﻭﻭﻋﻴﺪ ﻗﻒ ﻋﻨﺪ ﺑﻌﻀﻬﺎ ﻭﺍﺭﻓﻊ ﻳﺪﻳﻚ ﻭﺍﺳﺄﻝ ﺍﻟﻠﻪ ﻣﻦ ﻓﻀﻠﻪ ﻓﻠﻬﺎ ﺃﺛﺮ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻘﻠﺐ ﻛﺒﻴﺮ

 

12- Di saat kamu membaca al-Quran, kamu akan lalui ayat-ayat rahmat Allah dan juga ayat-ayat peringatan keras (ancaman), oleh itu, berhentilah sebentar di hujung ayat itu, lalu tadahkan kedua tanganmu memohon perkenan serta perlindungan dari Allah, amalan ini besar kesannya terhadap hati.

 

١٣ – ﺇﻥ ﻛﻨﺖ ﺑﻄﻲﺀ ﺍﻟﻘﺮﺍﺀﺓ ﺃﻭ ﻻ ﺗﺤﺴﻨﻬﺎ ﻓﺎﻋﻠﻢ ﺃﻥ ﺃﺟﺮﻙ ﻣﻀﺎﻋﻒ، ﻓﻠﻚ ﺍﻷﺟﺮ ﻣﺮﺗﻴﻦ، ﻭﺃﻭﺻﻴﻚ ﺑﺘﺤﻤﻴﻞ ﺍﻟﻘﺮﺁﻥ ﺻﻮﺗﻴﺎً ﺑﻬﺎﺗﻔﻚ ﻭﺗﺎﺑﻌﻪ

 

13- Jika kamu seorang yang masih bertatih (lambat) ketika membaca al-Quran atau bacaanmu tak lancar, ketahuilah ganjaran untukmu berganda, 2 kali kamu mendapat pahala ( 1 pahala kerana membaca dan 1 lagi akibat kesukaran yang dialami).

Apabila kamu mengalami situasi ini, aku nasihatkan kamu agar memuat turun audio al-Quran menggunakan ‘handphone’ kemudian dengar (melatih kemahiran mendengar).

 

١٤ – ﺧﺘﻢ ﻗﺮﺍﺀﺗﻚ ﻋﻠﻰ ﺃﻭﺍﺧﺮ ﺍﻟﺴﻮﺭ ﺃﻛﻤﻞ ﻭﺃﻓﻀﻞ ﻣﻦ ﺧﺘﻤﻬﺎ ﻋﻠﻰ ﺃﻭﺍﺧﺮ ﺍﻷﺟﺰﺍﺀ
كان ﺍﺑﻦ ﻋﻤﺮ رضي الله عنهما ﺇﺫﺍ ﺷﺮﻉ ﻓﻲ ﺳﻮﺭﺓ ﻻ ﻳﻘﻒ ﺣﺘﻰ ﻳﺨﺘﻤﻬﺎ –

 

14- Selesaikan bacaan kamu hingga akhir surah adalah lebih baik dan lebih sempurna berbanding memberhentikan bacaan pada akhir juzu’.

 

Apabila Saidina Abdullah bin Umar memulakan bacaan satu-satu surah, beliau takkan berhenti sehinggalah khatam surah berkenaan.

 

١٥ – ﻻ ﻳﺸﻐﻠﻨﻚ ﻗﻄﻊ ﺍﻷﺟﺰﺍﺀ ﻋﻦ ﺍﻟﺘﺪﺑﺮ، ﻭﻣﻤﺎ ﻳﺴﺎﻋﺪﻙ ﻋﻠﻴﻪ ﺗﻜﺮﺍﺭ ﺍﻵﻳﺔ ﻣﺮﺗﻴﻦ ﻭﺛﻼثاً ﻭﻋﺸﺮاً ﺣﺘﻰ ﻳﻠﻴﻦ ﻟﻬﺎ ﻗﻠﺒﻚ

 

15- Jangan sibukkan dirimu dengan lintas (lalu dengan cepat) juzuk demi juzuk di dalam al-Quran tanpa cuba menghayati terlebih dahulu ayat demi ayat.

 

Antara cara yang dapat membantumu menghayati al-Quran adalah dengan mengulang-ulang 1 ayat sebanyak 2 kali atau 3 kali atau 10 kali sehingga hatimu terasa lunak (selesa) terhadap ayat tersebut.

 

 

ﺗﻘﺒﻞ ﺍﻟﻠﻪ ﻣﻨﺎ ﻭمنكم، ﻭﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻰ ﻧﺒﻴﻨﺎ ﻣﺤﻤﺪ ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻟﻪ ﻭﺻﺤﺒﻪ ﻭﺳﻠﻢ

 

Semoga Allah menerima amalanku dan juga amalan kalian serta selawat dan salam Allah buat nabi kita ﷺ , kaum keluarganya dan para sahabat baginda.

 

 

SUMBER :

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2783309818389537&id=673814899339050

 

Terjemahan oleh :

Ustaz Muhammad Zulkifli Bin Salleh

(Graduan Darul Ifta’ Misriyyah)

 

BALASAN MENGKUFURI NIKMAT SUHBAH

SIRI #003

 

 

Syaikh Dr Musa Syuman as-Siddiqi as-Syazuli hafizahullah menceritakan tentang balasan seseorang yang mengingkari kebaikan Gurunya kepadanya.

 

Ini adalah kisah Abu Al-Hasan As-Sarifi.

 

Beliau telah mengambil ilmu dan tarbiyah daripada al-Arif Billah Abu Al-Hasan Ali bin Uthman as-Syawi rahimahullah. Beliau berkhidmat kepada al-Arif As-Syawi rahimahullah sekian lama masanya. Sehinggalah beliau mula dikenali dan tersebar tentang beliau di seluruh pelusuk negara. Semakin ramai pengikut beliau sehingga memaksa beliau berpindah ke sebuah tempat yang disebut sebagai Abubin.

 

Kisah beliau semakin tersebar di seluruh pelusuk negara Maghribi pada ketika itu. Juga terzahir daripada tangan beliau karamah yang tidak terhingga banyaknya. Sehinggalah beliau menyangka bahawa dirinya pada ketika itu lebih tinggi kedudukannya daripada gurunya sendiri al-Arif As-Syawi rahimahullah. Perkara ini menyebabkan dia tidak ingin menisbahkan dirinya kepada Gurunya tersebut.

 

Dia bersama para muridnya menuju ke Murrakesh untuk mengambil terus dengan Guru kepada Gurunya iaitu Sayyidi Abu Muhammad al-Ghazwani rahimahullah. Dia bertemu dengannya lalu terus menisbahkan dirinya kepada Sayyidi al-Ghazwani rahimahullah tanpa menisbahkan dirinya kepada al-Arif As-Syawi rahimahullah.

 

Bilamana As-Sarifi pulang ke negerinya, Gurunya As-Syawi rahimahullah menunggu kedatangan muridnya tersebut. Namun dia langsung tidak melawat Gurunya tersebut.

 

al-Arif As-Syawi rahimahullah lalu berkata kepada para muridnya :

 

” Marilah kita bersama-sama melawat al-Imam al-Arif Billah Abdul Salam bin Masyish rahimahullah , dan dalam perjalanan tersebut kita boleh singgah melawat muridku As-Sarifi”

 

Ketika sampai di tempat berhampiran dengan kawasan muridnya tersebut , al-Arif As-Syawi rahimahullah singgah di sebuah masjid lalu menjemput muridnya As-Sarifi datang bertemu dengannya. Namun as-Sarifi enggan bertemu Gurunya tersebut sebaliknya hanya mengirimkan makanan kepada rombongan Gurunya.

 

Maka al-Arif As-Syawi rahimahullah lalu berkata :

 

” Bangunlah semua dan kita tidak akan sesekali memakan makanannya. Sesungguhnya kami datang ini adalah untuk mengambil amanah yang telah kami titipkan kepadanya dahulu”

 

Seketika itu juga , As-Sarifi seakan-akan melihat seperti sedang bermimpi bahawa bulan keluar daripada dadanya lalu terangkat ke langit. Maka itu adalah sebagai isyarat kepada terangkatnya hikmah daripada dadanya. Berterusanlah As-Sarifi dalam keadaan terangkat hikmah sehinggalah dia mati.

 

Bilamana disampaikan berita ini kepada al-Arif Billah Sayyidi Abi Muhammad al-Ghazwani rahimahullah , beliau lalu berkata :

 

” ذلك جزاء من يكفر بإحسان شيخه “

 

Maksudnya : Itu adalah sebagai balasan kepada seseorang yang mengkufuri nikmat kebaikan Syaikhnya kepadanya”

 

Fahamilah para murid sekalian. Jangan sampai tercabut barakah daripada hidup kalian

 

 

Oleh : Ustaz Mohd Nazrul Bin Abdul Nasir Al-Azhari

           Sheikh Ruwaq Jawi