Syubhah Sekitar Hukum Bunuh Kerana Murtad

Siri#021

—————————————

Diterjemah dan diolah oleh:

Muhammad Nur Syawal Bin Ismail

(Graduan Syariah Islamiah,Universiti Al-Azhar Kaherah,Mesir)

Siri Fatwa Darul Ifta Al-Misriyah

Soalan:

Kebebasan beraqidah merupakan antara faktor utama Islam itu dihormati. Malah ianya menjadi hak yang dijamin bagi setiap individu dan dipersetujui bersama. Namun demikian mengapa Islam mengenakan hukuman bunuh bagi mereka yang murtad?

Jawapan:

Isu hukuman bunuh ke atas mereka yang murtad amat dipandang serius pada perspektif Barat. Justeru, mereka melihat Islam seolah-olah memaksa manusia menganutnya dan telah alpa akan salah satu prinsip dasar Islam iaitu:

     لا إكراه في الدين.

Kita boleh melihat isu ini dari dua sudut. Pertama, keberadaan nas agama yang  yang menghalalkan darah orang yang murtad. Kedua, dari sudut  pelaksanaan hukum tersebut dan manhaj berinteraksi dengan isu murtad pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم  dan para khulafa Al-Rasyidin.

Adapun pada zaman Nabi, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim, Baginda tidak mengambil tindakan hukum bunuh terhadap Abdullah bin Ubay ibn Salul tatkala mana dia mengungkapkan kebencian dirinya terhadap Nabi dan Sahabat seperti mana dalam firman Allah ta’ala:

 

لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى المَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنْهَا الأَذَلَّ

pasti setelah kita pulang ke Madinah nanti orang-orang yang mulia dari kalangan kita akan menghalau mereka yang lemah (yakni Nabi dan para sahabat) keluar dari Madinah”

(Al-Taubah:8)

 

Juga Baginda صلى الله عليه وسلم tidak menghukum bunuh ZulKhuawaisirah Al-Tamimiy tatkala dia berkata dengan penuh biadap terhadap Rasulullah “berlaku adillah wahai Muhammad!”.

Menurut riwayat Imam Ahmad, seseorang  telah menuduh baginda sebagai sesat dengan berkata:

 

“يَزْعُمُونَ أَنَّكَ تَنْهَى عَنِ الْغَيِّ وَتَسْتَخْلِي بِهِ”

“mereka mendakwa engkau melarang dari kesesatan sedangkan engkau yang sesat”.

 

Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim juga meriwayatkan tentang sikap yang sama juga baginda tunjukkan dalam peristiwa Hunain terhadap seseorang yang berkata:

إِنَّ هَذِهِ الْقِسْمَةَ مَا أُرِيدَ بِهَا وَجْهُ اللهِ

sungguh pembahagian (yang Muhammad tetapkan) ini tidak diinginkan padanya redha Allah”.

 

Al-Bukhari dan lainnya juga meriwayatkan tatkala Nabi memutuskan hukuman dalam kes perebutan air Syirajul Harrah antara Al-Zubair dan seorang Ansar. Baginda memberi keputusan yang menyebelahi pihak  Al-Zubair kerana air itu melalui kawasan Al-Zubair terlebih dahulu sebelum ke kawasan si Ansar tersebut. Namun baginda mengarahkan agar Al-Zubair mengalirkan air dengan kadar segera bagi jiran Ansarnya itu. Baginda dituduh sebagai tidak adil dan hanya mengutamakan keluarga sendiri.

 

أَنْ كَانَ ابْنَ عَمَّتِكَ

“..hanya kerana dia adalah sepupu kamu”.

 

Serta pelbagai lagi bentuk perkataan yang menyakitkan hati serta cuba menjatuhkan air muka Baginda صلى الله عليه وسلم.  Sudah terang lagi jelas kesemua perkataan ini memurtadkan pengucapnya kerana terdapat unsur menuduh Nabi atau Rasul itu sebagai pendusta lagi berlaku zalim.

Jika diperhatikan sikap Baginda صلى الله عليه وسلم yang tidak mengambil tindakan hukuman bunuh terhadap para pelaku jenayah murtad ini mendatang maslahah yang besar semasa hayat baginda juga setelah baginda wafat. Ianya agar melembutkan hati manusia dengan Islam dan tidak lari ketakutan dari agama ini. Hikmah ini jelas disebutkan oleh baginda sendiri bilamana Saidina Umar bin Al-Khattab ingin membunuh Abdullah bin Ubay,

 

لَا يَتَحَدَّثُ النَّاسُ أَنَّ مُحَمَّدًا يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ

“jangan, aku tidak mahu orang mula menyangka Muhammad membunuh sahabatnya” (riwayat Al-Bukhari)

 

Baginda sangat pemaaf, tidak menggunakan peluang yang ada untuk membalas dendam dan terus menghukum atas tindakan biadap mereka yang munafiq itu biarpun diizinkan oleh Allah Ta`ala sepertimana firmanNya:

 

لَئِن لَّمْ يَنتَهِ المُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ وَالْمُرْجِفُونَ فِي المَدِينَةِ لَنُغْرِيَنَّكَ بِهِمْ ثُمَّ لَا يُجَاوِرُونَكَ فِيهَا إِلا قَلِيلًا * مَلْعُونِينَ أَيْنَمَا ثُقِفُوا أُخِذُوا وَقُتِّلُوا تَقْتِيلً

“sungguh jika orang-orang munafiq dan orang-orang yang ada penyakit (syak) dalam hati mereka, serta mereka yang suka menyebarkan berita-berita palsu di Madinah itu berhenti dari (dari perbuatan jahat masing-masing), nescaya Kami akan menjadikanmu berkuasa atas mereka (menghalau mereka dari majlis atau memerangi mereka) dan mereka tidak akan tinggal berjiran denganmu di Madinah lagi melainkan sebentar sahaja. Mereka itu dalam keadaan terlaknat. Di mana sahaja mereka ditemui mereka akan ditangkap dan dibunuh habis-habisan.” (Surah Al-Ahzab :60-61)

 

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari  Jabir Bin Abdillah:

أَنَّ أَعْرَابِيًّا بَايَعَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ عَلَى الإِسْلَامِ، فَأَصَابَ الأَعْرَابِيَّ وَعْكٌ بِالْمَدِينَةِ، فَأَتَى الأَعْرَابِيُّ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَقِلْنِي بَيْعَتِي، فَأَبَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ، ثُمَّ جَاءَهُ فَقَالَ: أَقِلْنِي بَيْعَتِي، فَأَبَى، ثُمَّ جَاءَهُ فَقَالَ: أَقِلْنِي بَيْعَتِي، فَأَبَى، فَخَرَجَ الأَعْرَابِيُّ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ: إِنَّمَا المَدِينَةُ كَالكِيرِ، تَنْفِي خَبَثَهَا، وَيَنْصَعُ طِيبُهَا

Seorang lelaki badwi telah datang memberi bai`ah kepada Nabi memberi sumpah taat setia dengan Islam. Lalu lelaki tersebut ditimpa demam panas (disebabkan cuaca di Madinah). Oleh kerana itu, lelaki tersebut datang berjumpa dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم agar dibatalkan bai`ah tersebut. “ Ya Rasulullah batalkan bai`ahku”, namun Nabi enggan. Kemudian dia datang lagi “ Ya Rasulullah batalkan bai`ahku” namun Baginda tetap enggan membatalkannya. Kemudian dia datang lagi dan meminta, “ya Rasulullah, batalkan bai`ahku”, tetap baginda enggan. Kemudian lelaki itu keluar dari Madinah. Lalu kata Rasulullah صلى الله عليه وسلم “ Sungguh Madinah itu seperti hububan/ubub yang  menghilangkan kotoran pada besi.”

 

Lihat. Baginda langsung tidak menjatuhkan hukuman bunuh ke atas lelaki tersebut dan selainnya sedangkan mereka telah berkata dengan perkataan kufur. Firman Allah Ta`ala:

 

وَلَقَدْ قَالُوا كَلِمَةَ الكُفْرِ وَكَفَرُوا بَعْدَ إِسْلامِهِمْ

“dan sungguh mereka telah berkata dengan perkataan kufur dan mereka telah menjadi kafir (dengan perkataan itu) setelah mereka memeluk Islam”

(Surah Al-Taubah;74)

 

Adapun pada zaman Khulafa Al-Rasyidin terutamanya zaman Khalifah `Umar bin Al-Khattab, telah diriwayatkan bahawa Saidina Anas Bin Malik setelah beliau pulang dari Tustar bertemu dengan Khalifah. Lalu Khalifah bertanya:

 

مَا فَعَلَ الرَّهْطُ السِّتَّةُ مِنْ بَكْرِ بْنِ وَائِلٍ الَّذِينَ ارْتَدُّوا عَنِ الْإِسْلَامِ فَلَحِقُوا بِالْمُشْرِكِينَ؟ قَالَ: فَأَخَذْتُ بِهِ فِي حَدِيثٍ آخَرَ لِيَشْغَلَهُ عَنْهُمْ، قَالَ: مَا فَعَلَ الرَّهْطُ السِّتَّةُ الَّذِينَ ارْتَدُّوا عَنِ الْإِسْلَامِ فَلَحِقُوا بِالْمُشْرِكِينَ مِنْ بَكْرِ بْنِ وَائِلٍ؟ قَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قُتِلُوا فِي الْمَعْرَكَةِ، قَالَ: إِنَّا للهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، قُلْتُ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ وَهَلْ كَانَ سَبِيلُهُمْ إِلَّا الْقَتْلَ؟ قَالَ: نَعَمْ، كُنْتُ أَعْرِضُ عَلَيْهِمْ أَنْ يَدْخُلُوا فِي الْإِسْلَامِ، فَإِنْ أَبَوَا اسْتَوْدَعْتُهُمُ السِّجْن

“ apa yang enam golongan itu lakukan dari Bani Bakr Bin Wail yang telah murtad dari Islam lalu bersama dengan kaum musyrikin?”.  Kata Anas, “ aku cuba mengalihkan pandangan `Umar dengan berbicara topik yang lain”. Lalu Tanya `Umar lagi “apa yang enam golongan itu lakukan dari Bani Bakr Bin Wail yang telah murtad dari Islam lalu bersama dengan kaum musyrikin?” maka Anas menjawab “ Wahai Amirul Mukminin, mereka telah terbunuh di medan peperangan.” Kata `Umar “Innalillah wa inna ilaihi raji`un” . Anas pun bertanya, “ wahai Amirul Mukminin, adakah ada cara lain menghukum mereka selain dibunuh?”. Jawab `Umar “ Ya, akan aku pujuk mereka agar kembali kepada Islam dan jika mereka enggan akan aku penjarakan mereka”.

 

Lihat. Saidina ‘Umar langsung tidak ingin terus menghukum bunuh ke atas mereka walapun mereka murtad malah memerangi kaum muslimin.  Bahkan beliau ingin meminta mereka agar bertaubat jikalau mereka enggan maka akan dipenjarakan.

Kesemua peristiwa di atas memberi kefahaman kepada para fuqaha kita bahawa hukuman bunuh terhadap pesalah murtad ini tidak ada kaitan tentang kebebasan beragama mahupun unsur paksaan. Segala nas-nas yang menekan isu ini tidak bermaksud keluar dari agama sama seperti mereka yang keluar memerangi Islam yang mana ianya sebuah jenayah yang amat serius kerana cuba menentang ‘Social Order’ dalam sesebuah negara. Malah tidak syak lagi ianya sebuah pengkhianatan terhadap masyarakat dan negara yang layak dihukum bunuh dalam mana-mana undang-undang sekalipun.

Menurut Syeikh Mahmud Syaltut Mantan Syeikhul Azhar dalam bukunya الإسلام عقيدة وشريعة  (Islam sebagai Akidah dan Syariat) bahawa hukuman bunuh terhadap pesalah murtad itu tidak termasuk dalam hukuman hudud. Kata beliau lagi:

“Dalam isu ini, pandangan sudah berubah kerana melihat kebanyakkan fuqaha mensyaratkan hukuman Hudud itu tidak boleh disabitkan dengan Hadis Ahad. Juga semata-mata kekufuran itu sendiri bukanlah faktor yang menyebakan darah seseorang menjadi halal. Bahkan faktor yang sebenarnya adalah unsur memerangi kaum Muslimin, mengkhianati mereka malah cuba menghidupkan api fitnah sesama mereka agar keluar dari agama. Tambahan pula, banyak ayat-ayat Al-Quran jelas menentang paksaan menganut Islam.”

Oleh itu, hukum bunuh orang yang murtad bukan semata-mata kerana keluar dari Islam. Bahkan  kerana dia telah melakukan sesuatu yang lebih serius dari itu iaitu memecahkan kesatuan kaum Muslimin dengan menjadikan perbuatan murtadnya sebagai wasilah (modus operandi). Hal ini jelas seperti mana dalam firman Allah:

 

وَقَالَت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الكِتَابِ آمِنُوا بِالَّذِي أُنزِلَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَجْهَ النَّهَارِ وَاكْفُرُوا آخِرَهُ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

berkata sebahagian Ahli KItab sesama mereka “berimanlah dengan apa yang turunkan kepada mereka yang beriman itu pada sebelah, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya (mereka merasa ragu-ragu lalu) mereka menjadi kafir semula” (Ali `Imran:72)

 

Kenyataan Al-Syeikh Ibn Taimiyah dalam kitabnya Al-Sorim Al-Maslul الصارم المسلول  menguatkan lagi perkara ini. Kata beliau:

“Nabi صلى الله عليه وسلم telah menerima taubat sekelompok individu yang telah murtad. Juga baginda menghukum bunuh terhadap sebahagian mereka yang lain kerana mereka bukan sahaja murtad, malah cuba membahayakan Islam dan kaum Muslimin. Contohnya, Baginda menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Maqis Bin Hubabah pada hari pembukaan kota Makkah kerana telah menghimpunkan jenayah murtad dengan pembunuhan seorang Muslim dan mengambil harta secara haram. Dia langsung tidak mahu bertaubat sebelum diambil tindakkan ke atasnya. Begitu juga Baginda menjatuhkan hukuman bunuh terhadap kaum Quraniyyin disebabkan mereka telah melakukan hal sama. Begitu juga hukuman bunuh terhadap Ibn Khatal disebabkan jenayah murtad dan mencaci Nabi serta membunuh orang Islam. Begitu juga  terhadap Ibn Abi Sarh disebabkan dia telah murtad, mencaci Nabi dan berbohong atas nama Nabi.” (dengan sedikit olahan)

Kesimpulannya, hukum bunuh bagi kesalahan murtad ini tidaklah dipraktik dan diamalkan dalam kehidupan realiti. Kewujudan nas-nas agama yang berkaitan tidaklah sebagai sebuah hukuman yang menggambarkan percanggahan dengan konsep kebebasan berfikir dan beragama. Bahkan hukuman seperti ini tertakluk kepada undang-undang urus tadbir sesebuah negara.

Wallahu a’lam.

Sumber:

https://www.dar-alifta.org/ar/Viewstatement.aspx?sec=fatwa&ID=4435&13