loader image

Siri 3 Terjemahan Khutbah Syeikh Yusri

SIRI 3:
KELEBIHAN SELAWAT KE ATAS NABI ﷺ

Setiap lintasan di dalam fikiranmu mengenai zat Allah ﷻ adalah bercanggah sama sekali dengan hakikat sebenarNya. Maha Suci Tuhan yang tidak menyerupai kejadian makhluk ciptaanNya. Allah ﷻ dapat dikenali melalui asma’ dan sifat-sifatNya.

Firman Allah ﷻ :

﴾لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى﴿

Maksudnya: bagiNyalah segala nama yang baik.

(Taha : 8)

Adapun zatNya tidak dapat dicapai oleh pancaindera dan kekal sebagai rahsia dalam ilmu Allah ﷻ . Kerana itu, Allah ﷻ memberi peringatan kepada hambanya:

﴾وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ﴿

Maksudnya: Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksakamu). Dan (ingatlah juga), Allah amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.

(Ali ‘Imran : 30)

Orang ramai pada ketika ini sibuk meraikan hari kelahiran Baginda ﷺ dan berselawat ke atas Baginda ﷺ . Namun demikian, terdapat sebahagian kelompok manusia pada zaman fitnah ini yang bersangka buruk akan sebarang perayaan menyambut kelahiran Baginda ﷺ . Malah mereka mengeluarkan kata-kata yang menyakiti Baginda ﷺ melalui siaran televisyen, surat khabar, rencana, ceramah dan mimbar. Di zaman yang penuh dengan fitnah dan kata-kata yang dusta ke atas Baginda ﷺ, perbanyakkanlah selawat ke atas Baginda ﷺ .

Firman Allah ﷻ :

﴿إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا﴿

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

(al-Ahzab : 56)

Selawat Allah ﷻ ke atas kekasihnya adalah bersifat Qadim semenjak dari Azali iaitu sebelum diciptakan sebarang makhluk di alam semesta ini. Fi’il Allah ﷻ yang bersifat Qadim tidak terikat dengan masa dan tempat. Selawat Allah ﷻ ini adalah pada hakikatnya sebagai persediaan sebelum diciptakan Ruhaniah Muhammadiah lalu menjadi rahmat ke atas sekalian alam. Maka dengan berkat Ruhaniah Muhammadiah ini, semua makhluk yang diciptakan Allah ﷻ mendapat madad daripadanya.

Nikmat kewujudan (al-ijad) daripada sifat ketiadaan (al-a’dam) adalah nikmat yang agung. Ianya memerlukan perantaraan (wasitah) iaitu Ruhaniah Muhammadiah di antara al-khalik (Allah ﷻ ) dan al-makhluk. Apabila sesuatu yang belum diciptakan (al-ma’dum) dijadikan Allah ﷻ, maka ianya berhajat kepada ni’mat al-imdad bagi berkekalan kewujudannya di alam semesta ini. Setelah itu, semua makhluk yang diciptakan akan kembali semula kepada sifat al-a’dam.

Maka penciptaan Baginda ﷺ adalah di antara dua nikmat iaitu ni’mat al-ijad dan ni’mat al-imdad. Batin penciptaan Baginda ﷺ adalah Ruhaniah Ahmadiah, manakala zahirnya adalah Basyariah Muhammadiah. Kedua-dua nikmat ini adalah daripada Tajalli ar-Rububiah yang memberi madad kepada alam semesta keseluruhannya melalui al-Inayah dah ar-Ri’yah daripada Allah ﷻ. Selain itu, melalui Imdad al-Uluhiah yang dikhususkan kepada Baginda ﷺ dapat memberikan taufiq dan hidayah menuju ke syurga Allah ﷻ seperti di dalam firmannya:

﴾وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ﴿

Maksudnya: Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu kejalan yang lurus,

(asy-Syura : 52)

Kerana itu, Allah ﷻ berfirman:

﴿وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ﴿

Maksudnya: Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah

(al-Hujurat : 7)

Ketahuilah, pada diri setiap hamba itu adanya Baginda ﷺ. Kalaulah bukan kerana kewujudan penciptaan Ruhaniah Muhammadiah ini, tiada makna kehidupan kamu. Kamu sesekali tidak akan mengenali pencipta dan beribadah kepadaNya. Kalaulah bukan kerana penciptaan Ruhaniah Muhammadiah ini, tidak diturunkan al-Quran untuk dibaca. Tiada sesuatu pon di alam semesta ini yang mampu menanggung wahyu ilahi melainkan hati Baginda ﷺ .

Firman Allah ﷻ:

﴾لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْآنَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ﴿

Maksudnya: Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah . Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

(al-Hasyr : 21)

Melalui kekuatan hati Baginda ﷺ inilah Syariat Ilahiah disampaikan.

Firman Allah ﷻ :

﴾عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ﴿

Maksudnya: Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia).

(asy-Syu’ara’ : 194)

Seterusnya, melalui lisan Baginda ﷺ al-Quran tersebut dibacakan dalam Bahasa Arab. Ini bagi memudahkan umatnya untuk membaca dan bertadabbur.

Firman Allah ﷻ :

﴾بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ﴿

Maksudnya:(Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.

(asy-Syu’ara’ : 195)

Firman Allah ﷻ :

﴾فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لِتُبَشِّرَ بِهِ الْمُتَّقِينَ وَتُنْذِرَ بِهِ قَوْمًا لُدًّا﴿

Maksudnya: Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.

(Maryam : 97)

Selawat Allah ﷻ ke atas Baginda ﷺ adalah Madad Al-Uluhiah agar melaluinya Baginda ﷺ memberikan kepada semua makhluk ciptaannya mengikut iradah Allah ﷻ . Oleh kerana itu Baginda ﷺ menyebutkan:

((إِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللَّهُ يُعْطِي))

Maksudnya: “Sesungguhnya aku hanya pembahagi, dan Allah adalah sebenarnya yang memberi.”

(Riwayat al-Bukhari)

Sebagaimana dimaklumi bahawa Baginda ﷺ tidak pernah menolak sebarang permintaan umatnya. Ini kerana apa sahaja yang Baginda ﷺ infaqkan pada hakikatnya adalah daripada perbendaharaan Allah ﷻ. Diberikan kunci syurga dan segala isi dunia kepada Baginda ﷺ sewaktu tidurnya, akan tetapi semua kenikmatan tersebut tidak membuat Baginda ﷺ berpaling dan lalai daripada rahmat Tuhannya. Dalam satu hadis yang masyhur, Saidina Abu Hurairah  menyebutkan daripada Baginda ﷺ:

((وَبَيْنَا أَنَا نَائِمٌ أُتِيتُ بِمَفَاتِيحِ خَزَائِنِ الأَرْضِ فَوُضِعَتْ فِي يَدِي))

Maksudnya: “Sewaktu aku sedang tidur, diberikan kepada aku kunci perbendaharaan dunia dan diletakkan dikedua telapak tanganku.”

(Riwayat al-Bukhari)

Kehidupan Baginda ﷺ hanyalah bergantung sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Oleh kerana itu, siapa yang bergantung harap kepada Allah ﷻ, maka dia akan memperoleh kekayaan di dunia dan di akhirat. Semua nikmat yang kita kecapi pada ketika ini pada hakikatnya semuanya adalah daripada perbendaharaan Ruhaniah Muhammadiah yang mulia.

Sebagai mana semua perbendaharaan dunia ada pada tangan Baginda ﷺ, maka syafaat juga ada pada Baginda ﷺ. Tanpa syafaat Baginda ﷺ, tiada hisab pada hari akhirat kelak. 1 hari Hari Qiamat menyamai 50 ribu tahun, namun dengan berkat syafaat Baginda ﷺ tempoh tersebut menjadi singkat. Seribu tahun adalah pada orang-orang kafir. Manakala bagi orang beriman tempohnya adalah di antara waktu asar dan maghrib.

Namun demikian, tempoh tersebut akan menjadi lebih singkat dengan berkat syafaat Baginda ﷺ. Dipenghujung hari perhitungan nanti, Baginda ﷺ menanti untuk memberi minum air telaga al-kauthar kepada umatnya seterusnya masuk ke dalam syurga. Di dalam syurga, melalui syafaat Baginda ﷺ sesuatu darjat seseorang hamba akan ditinggikan dan dimuliakan Allah ﷻ.

Oleh kerana itu, perbanyakkanlah selawat ke atas Baginda ﷺ di atas muka bumi ini. Ibadat selawat adalah ibadat yang paling afdhal. Ini kerana ibadat selawat turut dilakukan oleh para malaikat bersama-sama umat Baginda ﷺ. Tiada satu pahala yang mampu menandingi ibadat selawat ini. Apabila kamu berselawat ke atas Baginda ﷺ sekali, maka Allah ﷻ akan berselawat ke atas kamu sepuluh kali. Tiada ganjaran pahala sebegini pada ibadah lain seperti berjihad, melakukan ibadah haji dan umrah, membaca al-Quran, hatta ibadah solat yang mana solat merupakan tiang agama.

Atas sebab itulah, menurut Mazhab Syafie dijadikan ibadah selawat ke atas Baginda ﷺ merupakan salah satu rukun dalam melakukan ibadat solat sama ada secara nafilah atau faridhah. Melalui selawat ke atas Baginda ﷺ, ibadah yang kamu lakukan akan diterima Allah ﷻ dan diangkat darjatnya. Tidak sah solat yang dilakukan seorang hamba sekiranya tidak berselawat ke atas Baginda ﷺ, malah wajib ke atas diri al-musolli untuk mengulanginya. Selawat ke atas Baginda ﷺ juga merupakan satu doa. Selain itu, Baginda ﷺ juga mengajarkan kepada kita untuk berselawat ke atas ahli keluarga Baginda ﷺ.

Sesungguhnya ibadah selawat adalah ibadah yang sangat agung dan diterima Allah ﷻ walaupun daripada hati hamba-hambaNya yang lalai. Bagaimanakah pula keadaannya sekiranya selawat dan pujian ke atas Baginda ﷺ tersebut adalah lahir daripada hati yang khusyuk dan mengharapkan redha dan rahmat dari Tuhannya? Demi memuliakan kekasihNya, dijadikan selawat ke atas Baginda ﷺ setiap kali selepas laungan azan dan iqamat. Azan yang dikumandangkan setiap sudut di dunia pada setiap detik sama ada siang atau malam, telah meninggikan lagi darjat Baginda ﷺ di sisi Allah ﷻ . Selain itu, ibadah selawat juga disyariatkan pada ibadah haji dan takbir al-aid.

Ibadah selawat adalah ibadah yang agung (misk al-khitam). Ibadah selawat adalah kunci penerimaat bagi segala ibadah yang disyariatkan. Berapa ramai umat Baginda ﷺ yang diberikan nama seperti Baginda ﷺ iaitu Muhammad, Ahmad, Mahmud, Syafi’, Abdur Rahman, Abdullah dan lain-lainnya. Ini menunjukkan betapa tinggi dan agungnya kekasih Allah ﷻ ini.

Kemulian nama Baginda ﷺ juga turut disebutkan di dalam al-Quran melalui firman Allah ﷻ :

﴾سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ﴿

Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(al-Isra’ : 1)

Dhamir Ha’ pada kalimat بِعَبْدِهِ ini menunjukkan kepada 99 nama Allah ﷻ. Oleh kerana itu, apabila kita membaca ayat tersebut atau mendengarnya maka disunatkan kepada kita untuk berselawat ke atas Baginda ﷺ .

اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله في كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله

Apabila turunnya firman Allah ﷻ di dalam surah al-Ahzab ayat 56 yang memerintahkan untuk berselawat ke atas Baginda ﷺ, maka seorang sahabat telah bertanya kepada Baginda ﷺ kaifiat sebenar untuk berselawat.

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنَ أَبِي لَيْلَى قَالَ: لَقِيَنِي كَعْبُ بْنُ عُجْرَةَ، فَقَالَ: أَلاَ أُهْدِي لَكَ هَدِيَّةً؟ إِنَّ النَّبِيَّ ﷺ خَرَجَ عَلَيْنَا، فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَدْ عَلِمْنَا كَيْفَ نُسَلِّمُ عَلَيْكَ، فَكَيْفَ نُصَلِّي عَلَيْكَ؟ قَالَ: ((فَقُولُوا: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ))

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abdur Rahman bin Abi Laila, beliau berkata: Ka’ab bin ‘Ujrah telah bertemu aku lalu berkata: tidakkah kamu mahu aku memberikan kamu hadiah? Sesugguhnya pada suatu hari Baginda keluar menemui kami. Lalu kami berkata: engkau telah mengajarkan kepada kami untuk memberi salam hormat ke atas kamu, bagaimana pula caranya untuk kami berselawat ke atas kamu? Jawab Baginda : “kamu katakan:

“اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ”

(Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas adalah salah satu sighah daripada 20 sighah Selawat Ibrahimiah ke atas Baginda ﷺ yang dibaca di dalam tasyahhud. Berkat ketinggian Baginda ﷺ, Nabi Ibrahim  telah mendapatkan darjat kedudukan yang tinggi di sisi Allah ﷻ sehingga hari kiamat. Ini kerana nama Baginda  ﷺ turut diucapkan di dalam selawat tersebut.

Baginda ﷺ bersabda:

((لاَ تُصَلُّوا عَلَيَّ الصَّلاَةَ البَتْرَاء))

Maksudnya: Jangalah kamu berselawat ke atas aku dengan selawat yang tidak sempurna”.

(Disebutkan oleh as-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’)

Oleh kerana Nubuwwah terhenti pada Baginda ﷺ, maka disunatkan kepada kita berselawat ke atas ahli keluarga Baginda ﷺ juga. Jika tidak, selawat yang diucapkan tersebut termasuk dalam kategori as-Selawat al-Batra’ (tidak sempurna). Oleh kerana itu, semua ahli keluarga Baginda ﷺ ditinggikan darjat mereka. Malah, sesiapa sahaja daripada kalangan umatnya yang mempunyai pertalian sama ada dari sudut nasab atau pertalian ruhani turut dimuliakan Allah ﷻ sekiranya mencintai Baginda ﷺ.

Sekiranya kamu ingin menyebutkan nama sahabat Baginda ﷺ, janganlah disebutkan secara kebersamaan (al-‘athaf). Bahkan sebaik-baik ungkapan selawat adalah secara takhsis seperti:

اللهم صل على سيدنا محمد، وعلى آل سيدنا محمد، وأخص من بين آله الصحابة الكرام

Ini kerana lafaz kebersamaan (al-‘athaf) memberi makna yang berbeza dan menyempitkan makna selawat tersebut. Lafaz kebersamaan (al-‘athaf) hanya mengkhususkan kaum kerabat sahaja tanpa meliputi semua umat Baginda ﷺ.

Adapun sebaik-baik ungkapan selawat yang ringkas namun memberikan makna yang luas, iaitu meliputi kaum kerabat, para sahabat, tabiin dan semua umat Baginda ﷺ sehingga hari kiamat adalah seperti berikut:

اللهم صل على سيدنا محمد، وعلى آل سيدنا محمد

Adalah sangat beruntung bagi mereka yang mempunyai pertalian nasab dengan Baginda ﷺ kerana Baginda ﷺ adalah sebaik-baik makhluk diciptakan. Namun, ini tidaklah bermakna mereka yang bukan ahlul bait tercicir daripada rahmat Ruhaniah Muhammadiah. Mereka yang mempunyai pertalian ruhani bersama Baginda ﷺ adalah mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Baginda ﷺ. Mereka akan mendapat kedudukan yang tingi di sisi Allah ﷻ dan dimasukkan ke dalam syurgaNya. Sesungguhnya, pada diri Baginda ﷺ itu terhimpun segala kemuliaan dari segi zahir dan batin.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى نُوْرِ الْأَنْوَارِ، وَسِرِّ الْأَسْرَارِ، وَتِرْيَاقِ الْأَغْيَارِ، وَمِفْتَاحِ بَابِ الْيَسَارِ، سَيِّدِنَا وَمَوْلَانَا مُحَمَّدٍ الْمُخْتَارِ، وَآلِهِ الْأَطْهَارِ، وَأَصْحَابِهِ الْأَخْيَارِ، عَدَدَ نِعَمِ اللَّهِ، وَإِفْضَالِهِ

Baginda ﷺ adalah cahaya bagi segala cahaya (nur al-anwar) dan rahsia segala rahsia (sir al-asrar). Ruhaniah Muhammadiah adalah kiblat kepada semua arwah yang diciptakan Allah ﷻ. Oleh kerana itu, pada hari akhirat kelak, semua umat akan cuba mendapatkan syafaat daripada para anbiya’ mereka seperti Adam , Nuh , Ibrahim , Musa  dan Isa . Namun tidak berhasil sehinggalah semua para anbiya tersebut mengarahkan umatnya untuk mendapatkan rahmat dan Syafaat Al-Uzma daripada Baginda ﷺ. Maka dengan berkat Baginda ﷺ, diampunkan dosa mereka dan ditinggikan darjat mereka di sisi Allah ﷻ.

Diriwayatkan terdapat seorang salaf as-soleh telah melihat Baginda ﷺ di dalam mimpinya sewaktu tersebarnya fitnah yang dahsyat di Mesir pada ketika itu. Lalu Baginda ﷺ telah berkata: “sampaikanlah khabar gembira kepada ahli Mesir, kerana merekalah dikalangan umataku yang paling banyak bersewalat ke atas aku.”

Sesungguhnya mimpi bertemu Baginda ﷺ adalah benar. Setiap amal soleh yang dilakukan dan selawat yang dibacakan akan dipamerkan di hadapan Ruhaniah Muhammadiah yang mulia. Jasad Baginda ﷺ kekal di dalam kubur di Raudhah yang mulia, akan tetapi ruhnya kekal hidup sehingga kiamat.

Perbanyakkan doa kepada Allah ﷻ agar sepanjang kehidupan diberikan peluang untuk berselawat ke atas Baginda ﷺ. Bahkan, mohonlah kepada Allah ﷻ agar diberikan kesempatan untuk berselawat ke atas Baginda ﷺ walaupun kamu telah meninggal dunia dan jasad kamu berada di dalam kubur.

Sabda Baginda ﷺ:

أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً

Maksudnya: “Umatku yang dekat denganku pada hari kiamat kelak adalah mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas aku (sewaktu di dunia).”

(Riwayat at-Tirmizi)

Fadhilat berselawat ke atas Baginda ﷺ terlalu banyak sama ada sewaktu di dunia atau di akhirat. Diriwayatkan suatu ketika Imam Sufyan ath-Thauri iaitu ‘Alim al-Kuffah sedang bertawaf mengelilingi Ka’bah, beliau telah melihat seorang pemuda yang berkelakuan ganjil. Sewaktu tawaf tersebut dilakukan, beliau tidak mendengar bacaan zikir atau sebarang doa kepada Allah ﷻ oleh pemuda tersebut melainkan hanya ungkapan selawat ke atas Baginda ﷺ. Setelah tamat tujuh pusingan, beliau telah meminta penjelasan kepada pemuda tersebut sambil membaca firman Allah ﷻ :

﴾ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ﴿

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonankamu.

(Ghafir : 60)

Pemuda tersebut lantas menjawab bahawa demikian itu terdapat kisah yang telah berlaku ke atas dirinya. Ketika beliau dan ayahnya sedang bermusafir, ayahnya telah ditimpa sakit dan meninggal dunia. Perkara yang mengejutkan beliau adalah wajah ayahnya telah bertukar menjadi hitam. Maka beliau mengetahui itu adalah petanda mati yang tidak baik (su’ al-khatimah). Setelah runsing memikirkan perkara tersebut, beliau tertidur bersebelahan jasad ayahnya dalam keadaan yang sangat sedih.

Di dalam tidurnya, beliau telah bermimpi melihat Baginda ﷺ. Dengan telapak tangan Baginda ﷺ yang mulia, Baginda ﷺ telah menyapu ke atas wajah dan juga perut ayahnya. Dengan serta merta wajah ayah dan perut ayahnya telah bertukar kepada asal dan lebih bercahaya daripada sebelumnya.

Lalu beliau bertanya kepada Baginda ﷺ akan kejadian itu. Baginda ﷺ memberikan khabar busyra (gembira) bahawa walaupun arwah ayahnya telah melakukan kezaliman dan melakukan banyak kejahatan, namun ayahnya sentiasa melazimi selawat ke atas Baginda ﷺ. Oleh kerana itu, kedatangan Baginda ﷺ adalah memberi syafaat ke atas kematian ayahnya. Semenjak hari itulah, pemuda tersebut tidak pernah meninggalkan selawat ke atas Baginda ﷺ.

Daripada Saidina Ubai bin Ka’ab Baginda ﷺ bersabda:

كَانَ رَسُولُ اللهِ ﷺ إِذَا ذَهَبَ ثُلُثَا اللَّيْلِ قَامَ فَقَالَ: ((يَا أَيُّهَا النَّاسُ اذْكُرُوا اللَّهَ، اذْكُرُوا اللَّهَ، جَاءَتِ الرَّاجِفَةُ تَتْبَعُهَا الرَّادِفَةُ، جَاءَ الْمَوْتُ بِمَا فِيهِ، جَاءَ الْمَوْتُ بِمَا فِيهِ)) قَالَ أُبَيٌّ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلاَةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلاَتِي؟ فَقَالَ: ((مَا شِئْتَ)). قَالَ: قُلْتُ: الرُّبُعَ، قَالَ: ((مَا شِئْتَ، فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ)) قُلْتُ: النِّصْفَ، قَالَ: ((مَا شِئْتَ، فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ)) قَالَ: قُلْتُ: فَالثُّلُثَيْنِ، قَالَ: ((مَا شِئْتَ، فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ)) قُلْتُ: أَجْعَلُ لَكَ صَلاَتِي كُلَّهَا قَالَ: ((إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ، وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ))

Maksudnya: Bila dua pertiga malam berlalu, Rasulullah bangun lalu bersabda: “Wahai sekalian manusia, ingatlah Allah , ingatlah Allah , tiupan pertama datang dan diiringi oleh tiupan kedua, kematian datang dengan yang ada padanya, kematian datang dengan membawa segala kelanjutannya, kematian datang dengan membawa segala kelanjutannya.” Berkata Ubai: “Wahai Rasulullah ﷺﷺ, sesungguhnya aku ingin membanyakkan berselawat kepadamu. Dari itu, berapa banyakkah dari doaku perlu aku jadikan untuk berselawat kepadamu?” Rasulullah menjawab: Terserah kepadamu.” Aku pun berkata: “Adakah satu perempat darinya?” Rasulullah menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku berkata: “Adakah separuh daripadanya?” Rasulullah menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu Aku berkata: “Adakah dua pertiga?” Rasulullah menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku pun berkata: “Aku jadikan semua doa ku berselawat ke atas mu.” Baginda pun bersabda: “Sekiranya begitu, akan dicukupkan semua keinginanmu dan diampuni semua dosamu.”

(Riwayat at-Tirmizi)

Selawat ke atas Baginda ﷺ adalah syiar bagi sekalian orang Islam dan awliya’ as-salihin. Di antara golongan yang sentiasa melazimi selawat ke atas Baginda ﷺ adalah ahli sufi dan tarikat sufiah. Mereka mengamalkan pelbagai jenis selawat pada waktu pagi dan petang, melaziminya sepanjang hayat mereka, dan mengambil bai’ah daripada Murabbi Mursyid atau Syeikh Tarikat. Tujuannya adalah untuk berpegang teguh atas amalan yang dibai’ah agar istiqamah melaksanakan sama ada sewaktu senang atau sukar.

Sekiranya kamu tidak berpegang kepada sebarang tarikat melalui pengijazahan seorang Murabbi Mursyid, maka memadailah Baginda ﷺ adalah murabbi yang paling agung. Berselawatlah ke atas Baginda ﷺ sebanyak yang mungkin. Sekiranya kamu tidak mampu, paling kurang berselawatlah pada setiap waktu pagi dan petang sebanyak 100 kali. Barang siapa yang lupa untuk berselawat ke atas Baginda ﷺ, ketahuilah perjalanannya menuju ke syurga adalah tempang.

Sabda Baginda ﷺ :

((مَنْ نَسِيَ الصَّلَاةَ عَلَيَّ خَطِئَ طَرِيقَ الْجَنَّةِ))

Maksudnya: “Barang siapa yang lupa untuk berselawat ke atas aku, silaplah langkahnya menuju ke syurga.”

(Riwayat Ibnu Majah)

Selain itu, Baginda ﷺ juga memberi peringatan kepada umatnya agar tidak menjadi seorang yang bakhil seperti sabda Baginda ﷺ:

((الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ))

Maksudnya: “Orang yang bakhil itu adalah seseorang yang apabila mendengar nama aku, akan tetapi tidak berselawat ke atas aku.”

(Riwayat at-Tirmizi)

Baginda ﷺ juga bersabda melalui hadis yang lain:

أنَّ النَّبيَّ ﷺ صَعِدَ المِنْبَرَ فَقَالَ: آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ. قِيْلَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ، إنَّكَ صَعِدْتَ المِنْبَرَ، فَقُلْتَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ. فَقَالَ: إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ. فَقَالَ: مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ، فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ، فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ. قُلْ: آمِيْنَ. فَقُلْتُ: آمِيْنَ. وَمَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يَبِرَّهُمَا، فَمَاتَ فَدَخَلَ النَّارَ، فَأَبْعَدَهُ اللهُ. قُلْ: آمِيْنَ. فَقُلْتُ: آمِيْن.َ وَمَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ. قُلْ: آمِيْنَ. فَقُلْتُ: آمِيْنَ.

Maksudnya: Ketika Nabi menaiki mimbar, Baginda bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah ﷺ ﷺ, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin , amin”. Maka Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Jibril telah datang kepad aku, lalu dia (Jibril) berkata: Barang siapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah . Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. Dan barang siapa sempat dengan kedua orang tuanya tetapi tidak berlaku baik kepada meraka. Kemudian dia meninggal maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah . Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. Dan barang siapa yang disebut kepadanya dan dia tidak berselawat kepadaku, maka dia akan dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah . Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”.

(Riwayat Ibnu Hibban)

Oleh kerana itu, perbanyakkanlah selawat ke atas Baginda ﷺ. Kecelakaan yang besar bagi seorang hamba apabila nama Baginda ﷺ di sebutkan tetapi tidak disahut dengan pujian ke atas Baginda ﷺ. Janganlah kamu menjadi dikalangan mereka yang tertegah daripada mendapat syafaat Baginda ﷺ dan terhalang untuk melihat Baginda ﷺ sama ada secara jaga (yaqazah) atau ketika di dalam tidur. Adalah lebih malang bagi mereka yang terhijab untuk melihat Baginda ﷺ di dunia, lalu terhijab juga untuk mendapat syafaat Baginda ﷺ di akhirat. Wal’iayazubillah…

 

“Sekiranya kita sebutkan tawassul kepada Baginda ﷺ adalah harus, maka tawassul kepada insan yang alim juga adalah harus. Allah ﷻ berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan (al-wasilah) kepadaNya. Wasilah adalah salah satu cara taqqarrub kepada Allah ﷻ. Diantaranya juga adalah dengan mencintai orang-orang salih, mencontohi mereka, dan mencintai amal soleh.”

Maulana Al-Arif Billah Syeikh Dr Yusri As-Said Jabr Al-Hasani Hafizahullah



Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Ruwaq Jawi​​

Bahaya Pelampau Agama

Mantan Mufti Mesir Prof. Dr. Aliyy bin Jum’ah adalah antara ulama terkemuka peringkat dunia yang

Haji dan Perubahan

Firman Allah dalam surah Al Baqarah ۞ إِنَّ ٱلصَّفَا وَٱلۡمَرۡوَةَ مِن شَعَاۤىِٕرِ ٱللَّهِۖ فَمَنۡ حَجَّ

Para penyair dan jurucakap Nabi Muhamad ﷺ : Ka’ab bin Malik, Abdullah bin Rawahah dan