SAHUR BAGI ORANG YANG BERPUASA

SIRI #002

 

Sumber : Darul Ifta’ Misriyyah

 

Soalan: Apakah hukum bersahur bagi orang yang berpuasa ?

 

Jawapan:-

 

Pertama: Pengenalan tentang sahur

Sahur dari sudut bahasa: makanan pada waktu sahur dan minuman pada waktu sahur.

Ahli sejarawan Arab iaitu Al-Atsir Abu Sa’adat (wafat 606 hijrah) menjelaskan di dalam kitabnya ‘An-Nihayah’ bahawa: Kalimah ‘السَّحُور’ (As-Sahur) iaitu huruf  ‘Sin’ yang berbaris ‘fathah’ bermaksud; nama bagi apa sahaja minuman atau makanan yang dijamah sewaktu fajar belum menyingsing. Manakala kalimah ‘السُّحُور’ (As-Suhur) iaitu huruf ‘Sin’ yang berbaris ‘dhommah’ pula bermaksud; perbuatan bersahur itu sendiri, ia merupakan kata terbitan. Namun, kalimah yang banyak dipertuturkan adalah kalimah yang berbaris ‘fathah’ (As-Sahur).

Meskipun begitu, terdapat juga dikalangan ulama’ yang menyebut: Sebetulnya ia ditutur dengan baris ‘dhommah’ (As-Suhur), ini kerana baris ‘fathah’ merujuk kepada makanan sedangkan berkat, ganjaran serta pahala melibatkan perbuatan seorang hamba dan bukannya pada makanan.

Tambahan dari kitab Lisanul Arab:

 

وَقَالَ ثَعْلَبٌ: الوُضُوءُ: مَصْدَرٌ، والوَضُوءُ: مَا يُتَوَضَّأُ بِهِ، والسُّحُورُ: مَصْدَرٌ، والسَّحُورُ: مَا يُتَسَحَّر بِهِ

 

Di dalam kitab ‘Lisanul Arab’ juga menerangkan makna sahur dan suhur dari segi bahasa arab dikiaskan dengan wadhuk (Nama bagi air sembahyang) dan wudhuk (perihal perbuatan mengambil air sembahyang). [ Jilid 1/ muka surat 195]

Kalimah berikutnya iaitu kalimah ‘السَّحَر’ (As-Sahar) yang mana huruf  ‘Sin’ dan huruf  ‘Ha’ kedua-duanya berbaris ‘fathah’ bermaksud; waktu penghujung malam sebelum hampir masuk waktu Subuh. Kata majmuknya ialah ‘أسحار’ (Ashãr). Ada juga dikalangan ulama’ yang mendefinisikan ‘السَّحَر (As-Sahar) ini sebagai; waktu yang bermula dari sepertiga terakhir malam hingga terbit fajar.

 

Kedua: Hukum Bersahur

Amalan bersahur merupakan SUNNAH bagi orang yang berpuasa;

 

 فعن أَنَس بْن مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ: «تَسَحَّرُوا؛ فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً» أخرجه البخاري في “صحيحه”

 

Daripada Saidina Anas bin Malik radhia Allah anhu berkata: baginda Nabi ﷺ bersabda: (( Hendaklah kalian bersahur, sesungguhnya pada sahur itu berkat )) Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Al-Bukhary menerusi kitab Sahihnya.

 

Kelebihan Bersahur

Bersahur dapat membantu kita berpuasa di siang hari. Baginda Nabi ﷺ telahpun memberi isyarat mengenai kelebihan ini agar umatnya mengambil perhatian;

 

فعَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ قَالَ: «اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ، وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ» أخرجه ابن ماجه في “سننه”

 

Daripada Saidina Abdullah bin Abbas radhia Allahu anhu bahawa baginda Nabi ﷺ bersabda: (( Carilah kekuatan tenaga untuk berpuasa di siang hari dengan memakan pada waktu sahur dan carilah kekuatan tenaga untuk berqiamullail dengan tidur qailulah )) Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ibn Majah menerusi kitab ‘Sunan’nya.

 

Ketiga: Dengan cara apa kita memperoleh fadhilat sahur ?

Setiap apa yang dimakan atau diminum akan memperoleh fadhilat sahur;

 

فعَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ: «السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ» أخرجه أحمد في “مسنده”.

 

Daripada Saidina Abi Said Al-Khudri radhia Allahu anhu berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: (( Makan pada waktu sahur adalah makan yang penuh berkat, jangan kalian meninggalkannya walau dengan seteguk air, kerana Allah dan malaikatNya berselawat kepada orang yang bersahur )) Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad menerusi kitab ‘Musnad’nya.

 

Kesimpulannya: Bersahur merupakan SUNNAH yang diberi ganjaran pahala buat muslim yang melakukannya. Sayugialah bagi seorang muslim untuk terus memelihara sunnah yang mulia ini.

 

Allah Subhanahu wa Taala lebih mengetahui.

Ramadhan Kareem.

 

Terjemahan oleh :

Ustaz Zulkifli

Graduan Darul Ifta’ Misriyyah