loader image

Risalah Tarikh : Perkahwinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasalam Dengan Sayyidatina Aishah R.A

Risalah Tarikh : Perkahwinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasalam Dengan Sayyidatina Aishah R.A

SIRI #012

—————————–

Disediakan Oleh : Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain Syeikh Ruwaq Jawi,Kaherah Mesir.

(Calon PhD University Al-Azhar)

( Siri 2 )

Isu Seputar Poligami Dan Perkahwinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam Dengan Sayyidatina Aishah.

Mengapa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam Berkahwin Lebih?

Isu Poligami Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam

Antara persoalan yang sering ditimbulkan oleh sebahagian pihak adalah isu perkahwinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang baginda memiliki 11 orang isteri sedangkan lelaki muslim yang lain hanya dibenarkan mempunyai 4 orang isteri sahaja dalam satu masa. Akibat salah faham terhadap isu ini, ada yang menuduh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dengan tuduhan-tuduhan yang tidak pantas disandarkan kepada baginda selaku Nabi yang terulung.

Kalaulah kita meneliti status setiap isteri baginda, nescaya kita akan mengetahui betapa mulianya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dalam mengahwini wanita-wanita terpilih tersebut.

Fadhilat al-Syeikh Dr. Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy selaku seorang tokoh terkenal dalam bidang hadith dan tasauf di Mesir telah membuat kesimpulan mudah dalam isu ini dengan menyatakan bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam adalah seorang Rasul yang telah diutuskan oleh Allah. Maka setiap tindakan dan ucapan baginda adalah merupakan arahan dan keizinan daripada Allah Taala kerana baginda dan seluruh para Rasul yang lain mempunyai sifat ‘Ismah iaitu dipelihara oleh Allah Taala daripada jatuh ke lembah dosa. Maka mempertikaikan segala tindakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam adalah mempertikaikan arahan Allah yang meminta dan mengizinkan baginda berkahwin lebih daripada 4 orang isteri.

Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah) pula pernah mengeluarkan satu artikel khusus bagi menjawab persoalan mengapa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam berkahwin lebih daripada 4 orang isteri. Menurut institusi fatwa bertaraf dunia ini, perkahwinan Nabi Muhammad Sallallahu Alihi Wa Alihi Wasallam adalah berlegar pada 3 faktor: faktor kemasyarakatan, faktor pensyariatan dan faktor politik.

Pertama: Faktor Kemasyarakatan:

Perkahwinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dengan Sayyidatina Khadijah binti Khuwaylid adalah bertunjangkan faktor kemasyarakatan kerana masyarakat mengharapkan pasangan suami isteri adalah mereka yang matang dari sudut pemikiran dan pengurusan rumah tangga. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam sewaktu berkahwin dengan Sayyidatina Khadijah adalah berusia 25 tahun. Baginda melayari bahtera rumah tangga bersama isteri tercinta ini tanpa berpoligami selama 25 tahun iaitu sehingga kewafatan Sayyidatina Khadijah.

Selepas kemangkatan Sayyidatina Khadijah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah mengahwini Sayyidatina Sawdah bin Zam’ah yang merupakan seorang janda. Ini kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam selepas kemangkatan Sayyidatina Khadijah

memerlukan seorang isteri yang baharu untuk menjadi ibu yang akan menjaga empat orang puteri baginda yang masih kecil hasil perkongsian hidup baginda bersama Sayyidatina Khadijah.

Seterusnya pada tahun 3 Hijriyyah, baginda telah mengahwini Sayyidatina Hafsoh puteri Sayyidina Umar bin al-Khattob yang baru sahaja kematian suaminya. Perkahwinan ini adalah untuk memuliakan dan menggembirakan hati Sayyidina Umar bin al-Khattob yang berusaha mencari suami baru terbaik buat puteri beliau.

Pada tahun 4 Hijriyyah pula, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah mengahwini Sayyidatina Zainab binti Khuzaymah yang baru sahaja kematian suami yang gugur syahid di medan Uhud. Pada tahun yang sama juga, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah mengahwini Sayyidatina Ummu Salamah atau nama sebenar beliau Hind binti Umayyah yang kematian suami di samping memiliki anak-anak yang masih kecil.

Maka jelaslah bahawa perkahwinan-perkahwinan di atas antara tujuannya adalah untuk menjaga para isteri sahabat baginda yang telah gugur di medan perang agar para isteri yang ditinggalkan dan anak-anak yang menjadi yatim dapat dibela nasibnya oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam sendiri.

Kedua: Faktor Pensyariatan:

Perkahwinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dengan Sayyidatina Aisyah puteri Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq adalah berasaskan faktor pensyariatan kerana baginda telah bermimpi bahawa baginda mengahwini Sayyidatina Aisyah dan mimpi para Rasul adalah merupakan wahyu daripada Allah Taala. Maka menerusi mimpi ini, tahulah kita bahawa Allah sendiri telah memerintahkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam mengahwini puteri Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq sekalipun jarak usia antara baginda dan Sayyidatina Aisyah adalah jauh. Ini sekaligus menjawab kritikan segelintir pihak yang mempertikaikan perkahwinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dengan Sayyidatina Aisyah.

Seterusnya perkahwinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dengan Sayyidatina Zaynab binti Jahsy pada tahun 5 Hijriyyah yang telah diceraikan oleh bekas suaminya Sayyidina Zayd bin Harithah yang merupakan anak angkat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam juga atas faktor pensyariatan. Ini kerana Allah ingin menyatakan kepada umat Islam bahawa tidak berdosa sekiranya ayah angkat mengahwini isteri anak angkatnya setelah berlaku perceraian. Maka Allah sendiri telah memerintahkan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam menjelaskan perkara ini secara praktikal. Ini jelas terpapar di dalam Surah al-Ahzab ayat ke-37 yang bermaksud:

 

“Maka apabila Zayd telah selesai mendapatkan hajat daripada dia [iaitu setelah beliau selesai menceraikan isterinya], Kami telah mengahwinkan anda dengannya [iaitu bekas isteri Sayyidina Zayd] supaya tidak berlaku kesusahan ke atas orang mukmin untuk mereka mengahwini isteri-isteri kepada anak-anak angkat mereka setelah anak-anak angkat tersebut mendapatkan hajat daripada isteri-isteri mereka [iaitu setelah mereka menceraikan isteri-isteri mereka]. Sesungguhnya urusan Allah [iaitu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah] adalah berlaku”.

 

Ketiga: Faktor Politik:

Perkahwinan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dengan sebahagian isteri baginda selepas itu adalah disebabkan faktor politik bagi mengelakkan permusuhan, menautkan hati musuh kepada keindahan Islam dan dapat menyebabkan pembebasan tawanan perang.

Perkahwinan baginda dengan Sayyidatina Juwayriyah binti al-Harith yang bapanya merupakan penghulu suku al-Mustoliq yang merupakan salah satu suku daripada kekeluargaan Khuza’ah adalah didasari faktor politik. Ini kerana setelah peperangan antara umat Islam dan suku al-Mustoliq selesai dengan kemenangan diraih oleh umat Islam, Sayyidatina Juwayriyah ketika itu termasuk salah seorang tawanan perang. Lalu beliau telah dikahwini oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam pada tahun 6 Hijriyyah. Semestinya perkahwinan ini membuka hati orang suku al-Mustoliq untuk mengenali keindahan peribadi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang sama sekali tidak menghina puteri ketua suku mereka sebaliknya baginda telah menjulang tinggi status wanita tersebut sehingga dipanggil sebagai Ummul Mu’minin iaitu ibu bagi seluruh orang mukmin.

Perkahwinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dengan Sayyidatina Ummu Habibah atau nama asalnya Romlah yang merupakan puteri Sayyidina Abu Sufyah telah melembutkan permusuhan Sayyidina Abu Sufyan yang masih belum memeluk agama Islam ketika itu terhadap Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dan agama Islam. Perkahwinan ini akhirnya telah membawa kepada pengislaman Sayyidina Abu Sufyan.

Sayyidatina Sofiyyah binti Huyayy bin Akhtob yang berbangsa Yahudi pada asalnya adalah salah seorang tawanan perang setelah peperangan antara umat Islam dan Yahudi di Khaybar dimenangi oleh umat Islam. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah membebaskan Sayyidatina Sofiyyah lalu baginda telah mengahwini beliau pada tahun 7 Hijriyyah.

Adapun isteri baginda yang bernama Sayyidatina Maymunah binti al-Harith, beliau telah dikahwini oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam pada tahun 7 Hijriyyah.

Fadhilat al-Syeikh Prof. Dr Umar Hasyim selaku mantan rektor Universiti al-Azhar al-Syarif telah menjelaskan bahawa antara hikmah poligami Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam adalah supaya para isteri baginda dapat menyampaikan hukum-hakam terutama yang berkait dengan hal ehwal kewanitaan agar dapat disampaikan kepada golongan wanita dengan mudah, selesa dan tanpa rasa malu. Ini kerana perbezaan jantina antara guru dan murid boleh menyebabkan hukum-hakam yang berkaitan dengan hal-hal keperempuanan disampaikan secara kekok dan tidak selesa.

Dari sudut yang lain, Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir turut menjelaskan bahawa Bible yang merupakan pegangan masyarakat Kristian jelas menyatakan bahawa para Rasul sebelum kedatangan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam juga berpoligami. Ini jelas menunjukkan bahawa poligami bukanlah satu perkara yang baharu. Bilangan para isteri bagi sebahagian para Rasul terdahulu menurut Bible adalah seperti berikut:

1) Nabi Ibrahim memiliki 3 orang isteri iaitu Saroh, Hajar dan Qaturoh. Baginda juga memiliki seorang hamba perempuan.

2) Nabi Ya’qub memiliki 2 orang isteri dan dua orang hamba perempuan dalam satu masa.

3) Nabi Daud memiliki 9 orang isteri.

4) Nabi Sulaiman mempunyai 700 orang isteri dan 300 orang hamba perempuan.

Adakah Perkahwinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam Atas Faktor Nafsu?

Menurut Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir, poligami Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam hanya bermula setelah baginda berusia 53 tahun. Maka secara logiknya, adakah seorang lelaki hanya mula bersyahwat dengan wanita pada usia seperti ini?! Adakah ada lelaki yang berkahwin dengan para janda yang kematian suami dan ibu-ibu yang memiliki anak-anak yatim atas faktor nafsu?!

Menurut Almarhum Prof. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Butiyy pula, kalaulah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam berkahwin atas faktor nafsu, maka sepatutnya baginda sudah mula berpoligami sewaktu hayat Sayyidatina Khadijah lagi bahkan sepatutnya baginda tidak mengahwini mana-mana wanita yang lebih berusia daripada baginda.

Menurut beliau: “Namun [Nabi] Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah melepasi fasa zaman ini tanpa baginda berfikir sama sekali untuk memadukan [Sayyidatina] Khadijah. Kalaulah baginda ingin, pasti baginda akan mendapat calon isteri dan hamba perempuan yang banyak dalam keadaan berpoligami tidaklah menyalahi norma kebiasaan masyarakat ketika itu. Namun baginda telah mengahwini [Sayyidatina] Khadijah sedangkan beliau adalah janda dan umur beliau hampir satu kali ganda dengan umur baginda”.

Isu Perkahwinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam Dengan Sayyidatina Aisyah.

Umum mengetahui bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah mengahwini Sayyidatina Aisyah ketika beliau berusia 6 tahun dan baginda mula hidup bersama Sayyidatina Aisyah di bawah satu bumbung ketika beliau berusia 9 tahun. Isu perkahwinan muda ini telah menyebabkan sebahagian pihak berpendapat dengan pandangan yang salah bahawa perkahwinan ini adalah satu gejala pedofilia.

Fadhilat al-Syeikh Prof. Dr. Umar Hasyim ketika mengulas isu ini menegaskan bahawa perkahwinan ini secara asasnya adalah merupakan perintah daripada Allah Taala ke atas RasulNya agar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam mengahwini Sayyidatina Aisyah dalam usia tersebut. Maka apabila ini adalah arahan Allah, semestinya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam akan menjunjung tinggi titah tersebut.

Selain itu Fadhilat al-Syeikh Prof. Dr. Umar Hasyim juga menjelaskan bahawa antara hikmah perkahwinan ini adalah supaya Sayyidatina Aisyah yang memiliki kepintaran dan kecerdasan akal yang luar biasa dapat mempelajari langsung daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam selok belok agama Islam khususnya hukum-hakam yang berkait dengan hal ehwal kewanitaan dan kekeluargaan. Ini akhirnya terbukti selepas kewafatan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam apabila Sayyidatina Aisyah menjadi salah seorang pakar rujuk utama dalam hal-hal yang berkaitan dengan hukum-hakam Islam dan dalam bidang periwayatan hadith.

Fadhilat al-Syeikh Prof. Dr. Ali Jum’ah selaku mantan Mufti Mesir pula mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu perkahwinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dengan Sayyidatina Aisyah. Menurut beliau, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam sebenarnya berkahwin dengan Sayyidatina Aisyah tanpa hubungan intim sewaktu beliau berusia 15 tahun dan hidup bersama sebagai pasangan suami isteri sewaktu beliau berusia 18 tahun dan bukannya 9 tahun. Ini berdasarkan kajian perbandingan antara umur Sayyidatina Aisyah dan umur kakak beliau iaitu Sayyidatina Asma binti Abu Bakr al-Siddiq.

Menurut Fadhilat al-Syeikh Prof. Dr. Ali Jum’ah lagi, ucapan Sayyidatina Aisyah yang berbunyi: “Saya telah dikahwini oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika saya berusia 6 tahun dan baginda telah bersama dengan saya sewaktu saya berusia 9 tahun” sebenarnya merujuk kepada umur beliau setelah beliau baligh dan bukannya merujuk kepada umur setelah beliau lahir. Ini memberi maksud bahawa umur Sayyidatina Aisyah sewaktu perkahwinan dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam adalah 15 tahun (6 tahun setelah baligh + 9 tahun sebelum baligh) manakala beliau mula hidup sebagai suami isteri bersama baginda sewaktu beliau berusia 18 tahun (9 tahun setelah baligh + 9 tahun sebelum baligh).

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​