loader image

Risalah Tarikh : Keistimewaan Sayyidatina Khadijah R.A

Risalah Tarikh : Keistimewaan Sayyidatina Khadijah R.A

SIRI #005

 

Biografi keperibadian yang disegani ini semestinya menjadi suri tauladan yang dibicarakan oleh setiap insan berakal khususnya umat Islam. Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu anha’ adalah wanita pertama yang beriman dari kalangan wanita dan merupakan tulang belakang dakwah Rasulullah ﷺ . Salasilah keturunan Sayyidatina Khadijah radhiyallahu ‘anha bersambung dengan salasilah keturunan Rasulullah ﷺ  melalui datuk baginda yang bernama Qusai.

 

Daripada Saidina Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, :

“Pada suatu ketika malaikat Jibril ‘alaihissalam datang kepada Rasulullah ﷺ sambil berkata, wahai Rasulullah, ini dia Khadijah. Ia datang kepadamu dengan membawa wadah yang berisi lauk pauk, makanan, minuman. Apabila ia datang kepadamu, maka sampaikanlah salam dari Allah ‘azza wa jalla dan dari diriku kepadanya. Khabarkan kepadanya juga bahawa rumahnya di syurga terbuat daripada emas dan perak, yang di sana tidak ada kebisingan dan kepayahan di dalamnya” (HR. Bukhari, no. 3820 dan Muslim no. 2432)

 

Inilah antara keistimewaan Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu ‘anha yang jelas menunjukkan keistimewaan beliau. Makam Sayyidatina Khadijah terletak di Perkuburan Al-Maala, Makkah Al Mukarramah berhampiran Bukit Hujun.

 

 

Sejarah rumah Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu ‘anha

Di rumah inilah Rasulullah ﷺ  hidup berumah tangga bersama Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu anha’, beliau tidak pernah dimadukan oleh Rasulullah ﷺ selama 28 tahun  dan semua putera puteri bagindaﷺ lahir di teratak yang mulia ini. Kesemua permata berharga putera puteri Rasulullah ﷺ adalah Sayyidina Qasim, Sayyidina Abdullah, Sayyidatina Ummu Kulthum, Sayyidatina Ruqayyah, Sayyidatina Zainab, Sayyidatina Fatimah az-Zahra radhiyallahu ‘anhum. Manakala, Sayyidina Ibrahim radhiyallahu ‘anhu adalah putera dari Sayyidatina Mariyah al-Qibtiyyah radhiyallahu ‘anha.

 

Nabi Muhammad ﷺ  tetap menetap di teratak mulia ini sehingga baginda mendapat perintah daripada Allah ‘Azza wajalla untuk berhijrah ke Madinah al-Munawwarah. Menurut Sayyid Dr. Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki rahimahullahu taala, rumah mulia ini merupakan tempat yang paling terbaik setelah Masjidil Haram, kerana ianya juga antara tempat turunnya wahyu Allah taala kepada baginda ﷺ.

 

Setelah Rasulullah ﷺ  berhijrah ke Madinah al-Munawwarah, rumah Sayyidatina Khadijah radhiyallahu ‘anha telah dipegang oleh Sayyidina ‘Aqil bin Abi Talib radhiyallahu ‘anhu, kemudian dijual kepada Sayyidina Mua’wiyah ibn Abi Sufyan radhiyallahu ‘anhu yang mana ketika itu beliau menjadi khalifah. Maka setelah itu, Sayyidina Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhu menjadikan rumah mulia ini sebagai masjid dan didirikan solat padanya. Menurut Ibn Zhahīrah rahimahullahu ta’ala, mereka berzikir kepada Allah Subhanahuwa ta’ala pada setiap malam selasa daripada waktu isya’ sehinggalah subuh menjelma, teratak ini adalah tempat solat yang terbaik di Makkah setelah Masjidil Haram. Ibn Jubair dalam bukunya yang berjudul ‘perjalanan’ mencatat bahawa keluasan teratak ini adalah 5 hasta atau 2,3 meter. Selain itu, beliau mencatat bahawa dahulumya rumah Sayyidatina Khadijah radhiyallahu ‘anha ini dijaga dan dikunci, hanya dibuka kepada umum ketika menjelang setiap hari Isnin, bulan Rabi’ul Awal atau bertepatan hari kelahiran Rasulullah ﷺ . Beliau juga mengatakan bahawa beliau sempat memasuki kamar tempat lahirnya Sayyidatina Fatimah az-Zahra radhiyallahu ‘anha.

 

 

Pada tahun 1373H rumah Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu ‘anha telah dijadikan Sekolah Tahfiz Al-Quran oleh Syeikh ‘Abbas Al-Qattan yang pada saat itu telah rasmi menjadi gabenor Makkah, sesuai dengan permintaannya kepada pemerintah setempat. Setelah dipersetujui oleh pemerintah, tempat itu menjadi wakaf yang tidak boleh dijual beli, disewa, tidak boleh berpindah tangan, ditukar atau dipinjamkan. Ini  bertujuan bagi memelihara kemuliaan tempat ini.

 

Pada tahun 1401 H, tempat ini kemudian diambil-alih oleh pemerintah dan dibongkar untuk perluasan halaman kawasan Masjidil Haram. Ketika pembongkaran teratak mulia ini, mereka menemui kesan-kesan peninggalan Nabi Muhammad ﷺ  seperti Mihrab Rasulullah ﷺ yang menghadap ke Ka’abah, Bak (bekas) wudhuk Rasulullah ﷺ , kamar  Rasulullah ﷺ , tempat lahir Sayyidatina Fatimah az-Zahra radhiyallahu ‘anha dan sebagainya.

 

 

 

 

Anak panah di atas menunjukkan rumah Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu ‘anha. Manakala gambar bersebelahannya adalah gambar mihrab Rasulullah ﷺ yang menghadap ke Ka’abah di rumah Saiyyidatina Khadijah radhiyallahu ‘anha. Gambar seterusnya itu ialah gambar kamar Rasulullah ﷺ dan Sayyidatuna Khadijah al-Kubra radhiyallahu ‘anha. Gambar dari Hasansagaf.wordpress.com/2016/06/20/rumah -siti-khadijah radhiyallahhu ‘anha.

 

 

Anak panah berwarna hitam itu menunjukkan kawasan rumah Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid al-Kubra bersama Rasulullah ﷺ . Kata guru kami al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam bin Mat Husien hafizahullahhutaala, jubin itu mungkin sengaja dibezakan sebagai tanda pemberitahuan bahawa ini adalah kawasan rumah Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid al-Kubra bersama Rasulullah ﷺ . (Gambar Umrah Perindu Ruwaq Jawi 2020 dari facebook, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi).

 

Kini rumah Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu ‘anha terletak di Bab An-Nabiyy (pintu Nabi) atau beberapa langkah dari pintu tersebut. Ketika dulu, ditempat itu dibuatkan kubah kecil yang diberi nama Kubbah al- Wahyu, kerana rumah ini adalah antara tempat yang selalu diturunkan wahyu dari Allah melalui malaikat Jibril ‘alaihissalam.

 

 

RUJUKAN

 

Kitab Makkah al-Mukarramah wa ma’alimiha, Assayyid Muhammad ‘Ali Soleh al-Qazni

Hasansagaf.wordpress.com/2016/06/20/rumah -siti-khadijah radhiyallahhu ‘anha

Lihat O.Hasem, Op Cit, Halaman. 47, dipetik dari  (https://ganaislamika.com/situs-situs-bersejarah -islam-di-kota-mekkah-4-rumah-khadijah-darul-wahyirumah-wahyu-2/)

 

 

Oleh : Ustazah Nur Syifak Ajla Binti Tajul Ashikin  (Pelajar Universiti Al-Azhar)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​