PUNCA PERBALAHAN SESAMA UMAT

SIRI#011

————————

Dunia Islam ketika detik-detik akhir ini diuji dengan pelbagai fitnah. Ujian yang dihadapi umatnya ketika ini umpama meredah malam yang gelap gelita. Kebiasaanya ia berpunca dari sikap berlebih-lebih ‘overact’ dan lemah dari sudut penafsiran terhadap nas-nas syarak. Maka wujudlah golongan yang senang-senang melemparkan tuduhan bid’ah, kufur dan syirik kepada orang-orang Islam. Begitu juga punca tercetusnya kelakuan sebegini adalah disebabkan oleh kejahilan terhadap perkara-perkara khilafiah yang telahpun disebutkan mengenainya oleh tokoh-tokoh Islam terdahulu.

 

Apa yang pasti, golongan berkenaan sebenarnya tidak mengtahui bahawa rahsia kesinambungan ajaran Islam berlaku menerusi perbezaan perselisihan yang disanjung lagi dihargai. Perbezaan pendapat yang terpuji inilah yang digalakkan oleh Islam, bahkan sikap inilah juga yang menghiasi peribadi ilmuan-ilmuan ummah semenjak awal penubuhan tamadun Islam lagi.

 

Sesungguhnya racun paling berbisa yang disantap selama ini oleh para penfitnah adalah racun: 1) Tidak beradab dengan adab-adab perdebatan, 2) Tidak beradab dengan adab-adab perbezaan pendapat, di samping tidak memenuhi kriteria-kriteria yang sepatutnya bagi kedua-dua aktiviti tersebut. Di mana, tataadab dan kriteria inilah yang menjaga dari munculnya sikap berlebihan dalam menyampaikan agama Allah, dan juga menjaga dari terjadinya perbuatan memburuk-burukkan orang lain, sekiranya kebenaran yang mereka impikan hasil dari penyataan perbezaan pendapat, bukan pula atas tujuan menjadi juara  dek taasub buta (fanatik), ataupun atas tujuan nafsu kebencian, firman Allah Taala:

 

{وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِ هُدًى مِّنَ اللَّهِ}

 

{…dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah } (Surah al-Qasos: ayat 50).

 

Telah menjadi amalan sunah para sahabat, tabiin juga para pewaris sesudah mereka dikalangan alim ulama Islam ketikamana berlangsung perdebatan diantara mereka, mereka usaha menggunakan ungkapan-ungkapan yang lembut serta memilih perkataan-perkataan yang manis menyenangkan hati, kerana mereka tahu perilaku sedemikian berupaya melembutkan hati yang keras dan menarik minat pihak lawan yang degil, sebagaimana Allah subhanahu wa taala berfirman:

 

{ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيم}

 

{ Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.} [Surah Fussilat: ayat 34].

 

Begitu juga diperintahkan supaya membalas dengan kata-kata yang baik, malah seeloknya yang paling baik. Di mana ungkapan balas yang baik ini dapat menghadang laluan-laluan masuk syaitan, yang selama ini memperdaya agar manusia saling musuh-bermusuhan, benci-membenci dan bersikap kasar melalui ungkapan kata-kata kesat serta membalas dengan kejahatan, firman Allah Taala:

 

{وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُواْ الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا}

 

[ Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.} [Surah al-Isra’: ayat 53]. Dan Rasulullah ﷺ itu bukanlah seorang pencaci, bukanlah seorang yang biadab dan bukan juga pemaki hamun.

 

Lalu teladan nabawi inilah yang menjadi ikutan  tokoh-tokoh ulama ummah bilamana terjadinya perselisihan diantara mereka. Oleh kerana itu, maka kita dapat menyaksikan bagaimana imam az-Zahabi masih menyanjung dengan sanjungan yang penuh kehormatan terhadap Taqiuddin as-Subki, meskipun as-Subki ini adalah merupakan pemuka al-Asha’irah, dimana berlaku pertikaian sengit antara as-Subki dengan guru kepada az-Zahabi iaitu ibnu Taimiyah.

 

Para tokoh ulama ummah sama sekali tidak melakukan sesuatu atas dasar syak wasangka, apatah lagi menyalahkan masyarakat dengan melemparkan kata-kata ‘bodoh’ atau ‘khianat’ pada mereka, bahkan tokoh-tokoh ini sepakat menyatakan bahawa: “Hukum asal bagi seluruh umat Islam itu adalah mereka ini jujur, adil, maka berbaik sangkalah terhadap mereka. Ketika seorang muslim berkatakan tentang sesuatu perkara, maka peganglah kata-katanya itu dengan sebaik-baik sangkaan selagi masih ada jalan untuk bersangka baik”.

 

Pernyataan ini ditujukan buat umat Islam (dikalangan orang awam) iaitu kita perlu berbaik sangka terhadap kata-kata yang mereka ungkapkan, namun bagaimana pula jika ulama dan cendiakawan mereka yang mengungkapkan sesuatu perkara ? Di sini barulah kita sedar bahawa sikap berwaspada dari melontar tuduhan sangat diutamakan, manakala sikap cermat dan berhati-hati lebih berguna, ini kerana para ulama bercakap berdasarkan sandaran syarak walaupun mereka tidak menyebutkan sandaran berkenaan di dalam kitab-kitab mereka. Tindakan ulama yang tidak memuatkan sandaran ini, dipraktikkan di dalam kitab-kitab ahli fiqah, ketikamana mereka berbahas mengenai isu-isu fiqah yang tidak disertakan dengan nas-nas yang menjadi hujah keatas isu-isu berkait.

 

Hal yang sama juga dititik beratkan oleh ahli Hadis, mereka (ahli Hadis) tidak mencabar seseorang luar dari skop periwayatan hadis, mereka turut mengatakan haram hukumnya menyebut sifat-sifat tercela orang Islam, kecuali sewaktu mereka membuat sanggahan terhadap satu-satu perawi yang bermasalah demi memelihara keabsahan as-Sunnah sebelum pembukuan as-Sunnah. Adapun luar dari bidang skop sanggahan perawi bermasalah, maka ahli Hadislah golongan yang paling banyak beradab, berakhlak mulia, bermanis muka serta sedia memaafi orang yang jahil.

 

Sama sekali bukan dari akhlak alim ulama Hadis mahupun ulama Fiqah yang berkelakuan mencaci, menghina dan merendahkan antara satu sama lain, mereka (para ulama) bukanlah jenis mencemar maruah diri pihak yang berlainan pandangan, malah tidak pernah lahir ulama tulen yang bertindak sedemikian rupa dalam tamadun keilmuan Islam kecuali mereka-mereka yang berlakon sebagai ulama sedangkan pelakon-pelakon ini tidak tergolong dikalangan ulama.

 

Para pelakon ini membuat kacau huru-hara melalui ucapan-ucapan mereka dengan harapan orang yang jahil menganggap mereka ini sebagai ulama. Kalaulah betul mereka ini dikalangan ulama, tentulah mereka menghiasi diri dengan pakaian akhlak-akhlak terpuji para ulama, dan dalam masa yang sama memelihara tutur kata tatkala berbicara, berdebat serta berbeza pendapat sepertimana mereka menyarung pakaian zahir para ulama. Namun golongan ini masih sahaja menipu orang ramai dengan memperalatkan ilmu para ulama.

 

Al-Hãfiz Ibnu Rajab al-Hanbali mengatakan: “Apabila berlaku banyak perbezaan pandangan mengenai isu-isu agama dikalangan orang awam serta banyak pula perpecahan dikalangan mereka, disebabkan itu, maka banyaklah jua terjadi sikap saling kutuk-mengutuk dan marah-memarahi sesama orang awam. Dan setiap seorang dari mereka akan perasan menyangka bahawa dirinya berkelakuan marah sedemikian demi Allah Taala.” Kemudian al-Hãfiz berkata lagi: “Maka di sinilah perkara tersembunyi yang memerlukan kecerdikkan untuk mengesannya, iaitu ramai dikalangan tokoh-tokoh agama yang berjasa semasa menyelesaikan masalah berbangkit di zamannya, tokoh ulama tersebut membuat keputusan untuk mengambil dan menggunapakai ‘qaul marjuh’ pendapat yang lemah, kapasiti beliau ketika itu adalah seorang mujtahid yang pastinya memperoleh ganjaran pahala atas usaha ijtihadnya,

 

namun, (generasi seterusnya iaitu) para penyokong tokoh mujtahid tersebut tidak boleh lagi menguatkan hujah pendapat yang sama apabila berhadapan dengan pihak lawan, ini kerana perbezaan kapasiti keilmuan diri penyokong berbanding tokohnya. Penyokong yang berhujah menggunakan pendapat yang lemah dengan alasan tokohnya pernah menggunakannya hampir tidak dapat lagi diperakui. (Dalam erti kata lain) Pendapat lemah berkenaan hanya laku dipakai ‘valid’ kerana ianya diungkapkan oleh tokoh mujtahid. Sedangkan si penyokong tadi itu pula telah dinodai dengan sangkaan dirinya benar belaka, keinginan yang membuak-buak demi mengangkat kedudukan tokoh pilihannya, menguatkan hujah dirinya sendiri serta berkeyakinan bahawa dirinya tidak bersalah. Maka inilah komplot rancangan jahat yang menjejaskan tujuan asal penyokong terbabit iaitu hasrat menegakkan kebenaran. Oleh yang demikian, fahamilah ungkapan ku ini kerana ianya begitu penting.” [Dipetik dari kitab: Jãmi’ul Ulum wal Hikam, jilid 1, halaman 330].

 

Sesungguhnya hawa nafsu tidaklah menjadi tunggangan bagi seorang pun dikalangan sahabat, tabiin, mahupun tokoh ulama yang agung tatkala mereka berselisih pendapat. Justera, perbezaan-perbezaan pendapat dikalangan ulama begitu istimewa sehingga ianya menjadi teladan sepanjang zaman serta digunapakai kerana mereka berjaya meraikan adab-adab berbahas. Pendorong kepada berlakunya peristiwa sebegini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mencari kebenaran. Sebenarnya nilai persaudaraan Islam itulah yang menjadi asas utama bagi mereka (para ulama tulen), yang mana ajaran Islam tidak akan tertegak tanpa persaudaraan sesama umatnya. Nilai persaudaraan ini mengatasi seluruh perbezaan mahupun persepakatan kelompok tertentu di dalam masalah-masalah ijtihadiah.

 

Maha Suci Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.

 

SUMBER :

(Terjemahan dari hantaran facebook Dr. Ali Jum’ah bertarikh 4 Oktober 2020)

 

https://www.facebook.com/90845230143/posts/10164821565625144/

 

 

Terjemahan dan diolah oleh :

Ustaz Muhammad Zulkifli Bin Salleh

(Graduan Darul Ifta’Misriyyah)