loader image

Puasa Orang Yang Menghidap Diabetes

Puasa Orang Yang Menghidap Diabetes

Siri#030

————————-

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nur Syawal Bin Ismail

(Graduan Syariah Islamiyah,Universitiy Al-Azhar)

 

Siri Fatwa Darul Ifta’Misriyyah

Soalan:

Apakah hukum puasa bagi mereka yang menghidap penyakit Diabetes (kencing manis)? Sebahagian daripada para penghidap Diabetes ini akan mengalami komplikasi yang buruk sekiranya terus dalam keadaan berpuasa. Namun begitu mereka ini pada tahap-tahap yang berbeza.

Jawapan:

Umum mengetahui puasa itu satu kefardhuan ke atas sesiapa yang mampu. Bagi mereka yang tidak mampu dan tiada halangan syara’,maka diberikan keringanan (rukhsoh) untuk berbuka ataupun tidak berpuasa pada hari tersebut. Ini jelas berdasarkan firman Allah ta’ala:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

“sesiapa yang sakit atau dalam permusafiran (lalu dia berbuka) maka hendaklah dia menggantikannya pada hari yang lain. Dan sesiapa yang langsung tidak mampu berpuasa maka hendaklah membayar fidyah iaitu memberi makan kepada golongan miskin” (Al-Baqarah: 184)

Jika seseorang yang sakit itu sembuh, maka hendaklah digantikan puasa tersebut setelah sembuh. Adapun jika penyakit itu tiada harapan untuk sembuh (bermakna tiada kemampuan lagi untuk berpuasa sepanjang hayatnya) maka tidak diwajibkan lagi ke atasnya berpuasa. Sebaliknya wajib keatasnya membayar fidyah iaitu makanan ruji masyarakatnya pada kadar satu mud. Menurut Fuqaha Ahnaf, satu mud itu dua ritl ‘iraqiy bersamaan 812.5 gram. Manakala majoriti berpendapat ianya 1 1/3 ritl ‘iraqiy iaitu bersamaan 510 gram.  Pun begitu, yang difatwakan adalah boleh mengeluarkan nilai kadar makanan ruji tersebut (yang dibayar dengan wang) kerana itu lebih meraikan maslahat golongan faqir miskin.

 

Berbalik kepada penyakit Diabetes, penyakit ini boleh dikategorikan sebagai penyakit yang tiada harapan sembuh. Dan hukum berpuasa bagi penghidapnya adalah berdasarkan kaedah rawatan yang sesuai menurut kondisi tubuh masing-masing.

Kategori pertama: Mereka yang boleh mengawal kencing manis tadi dengan hanya menjaga pemakanan dan bersenam. Mereka ini wajib berpuasa kerana sakit mereka tidak begitu serius. Namun jika terdapat mudarat maka wajib ke atasnya mengambil rukhsoh berbuka.

Kategori kedua: Mereka yang diberi diskribsi ubat bersama plan diet yang bersesuaian. Mereka terbahagi kepada dua kumpulan:

  • Yang mengambil ubat sekali sahaja dalam sehari. Maka tidak ada masalah untuk berpuasa kerana boleh dia mengambil ubat pada waktu sahur.
  • Yang mengambil makanan bijirin dua ke tiga kali sehari. Dalam keadaan ini, kalau dia mampu untuk hanya mengambil bijirin tersebut pada sahur dan waktu berbuka tanpa sebarang mudhorat maka wajib dia berpuasa.

Kategori ketiga: mereka yang mengambil insulin sekali atau dua kali sehari. Bagi kategori ini, wajib mereka berpuasa dan pengambilan insulin itu lansung tidak membatalkan puasa. Hal kerana kayu ukur (dhobit) perkara yang membatalkan puasa ialah “sesuatu yang sampai ke dalam rongga tubuh melalui saluran yang pada asalnya terbuka secara zahir” . Dan segala ubat yang diambil secara suntikan samada suntikan pada kulit atau pada urat saraf (artery) atau pada otot tidaklah membatalkan puasa.

Menurut Syeikh Muhammad Bakhit Al-Muthi’ie (mantan Mufti Mesir), segala bentuk rawatan melalui suntikan adalah tidak membatalkan puasa berdasarkan empat mazhab.

Berkata Imam Al-Khatib Al-Syirbini dalam Mughni Al-Muhtaj:

“ dan jika kembali sakit setelah sembuh dan berhajat kepada makan dan taku akan mudhorat yang lebih besar, maka wajib dia berbuka. Demikianlah yang dijelaskan oleh Imam Al-Ghazali dan selainnya. Adapun Imam Al-Azri`iy berpendapat tiada khilaf dalam mazhab dalam masalah ini. Adapun bagi mereka yang teramat lapar dan dahaga,mereka boleh berbuka sama seperti orang yang sakit .”

Kesimpulannya, hukum puasa bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis ini adalah bergantung kepada kondisi fizikal mereka. Jika mereka merasakan mampu untuk berpuasa maka wajib ia berpuasa. Namun jika doktor pakar yang dipercayai menasihatkan agar dia berbuka puasa maka wajib dia berbuka.

Wallahu`alam

Sumber:

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=12694&Lang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​