SIRI #010

—————————————–

 

Timbul persoalan mengenai keperluan memperbaharui wacana keagamaan (tajdid al-khitab al-dini) dan apa pula metode yang diperlukan?

 

Jawapan dari : Mawlana al-Imam Dr. Ali Jum’ah –hafizahullahu Ta’ala

 

Kita tidak dapat faham mengenai pembaharuan wacana keagamaan kecuali setelah kembali kepada sumber-sumber primer, yang darinya terbit ilmu-ilmu berkaitan agama. Sumber-sumber primer tersebut ialah : al-Quran al-Karim, al-Sunnah yang benar dan apa jua yang diperkenalkan tokoh-tokoh ulamak dari dunia Islam, berserta sumber-sumber hukum lain yang disepakati oleh mereka secara bersama.

 

Hal ini bererti, wacana keagamaan di era mutakhir ini, perlu dimurnikan dari pengaruh:-
1. Amalan tradisi yang menyimpang dari roh nas-nas syarak yang suci.
2. Amalan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak syarak.
3. Amalan yang tidak menepati matlamat pensyariatan (maqasid al-syariah) bagi sesuatu hukum.

 

Sebagai contoh, terdapat pandangan berkaitan dengan wanita yang tidak selari dengan ajaran Islam, dimana pendapat ini menyusahkan kehidupan bagi seorang wanita tua, lebih-lebih lagi wanita Arab yang dibebani dengan pelbagai syarat dan pantang larang. Sedangkan kita sendiri tidak menjumpai sebarang dalil yang jelas di dalam al-Quran al-Karim mahupun al-Sunnah mengenai hal tersebut. Bahkan, syarat dan pantang larang sebegini boleh jadi, ianya bertentangan dengan hukum yang telah jelas termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri.

 

Begitu juga proses pembaharuan wacana keagamaan ini mesti mencapai maksud yang dicitakan. Setiap pembaharuan yang diimpikan adalah proses memurnikan kandungan pengajaran agama Islam dari ideologi-ideologi asing yang bercanggah dan faham-faham yang sering kali berlawanan dengan ajaran Islam. Lebih-lebih lagi, ideologi yang berkait rapat dengan kegiatan perzinaan, yang melaungkan slogan keramat mereka iaitu ‘Kebebasan Mutlak’ (Individual Freedom). Fahaman sebegini menyusup masuk dan kemudiannya berlindung di bawah naungan ‘Human Rights’ (Pertubuhan Hak Asasi Manusia). Gerakan inilah juga yang sering menyuarakan hak untuk melakukan hubungan kelamin luar tabi’i/songsang (paraphilia) serta menuntut kepada pihak-pihak kerajaan supaya melegalkan tindakan pengguguran bayi dan seumpama dengannya.

 

Ketahuilah bahawa semua malapetaka yang disebutkan di atas, mampu mengancam kelangsungan aktiviti pengajaran agama yang benar ini. Jika kita serius menolak ajaran agama yang disampaikan secara keras, pesimis, menakut-nakutkan dan ekstrem, maka kita juga perlu serius menolak ajaran agama yang disampaikan secara main-main, terlalu terbuka (sehingga menyentuh perkara aib) dan ajaran yang telah bercampur dengan unsur-unsur aneh, dimana ajaran-ajaran seperti ini tidak direstui syarak. Tidak kiralah pengaruh ajaran ini datang dari dalam mahupun luar.

 

Kedua-dua jenis ajaran yang telah dikemukakan dalam perenggan sebelum ini, tidak sepatutnya berlaku dalam agama yang mulia ini. Ajaran-ajaran sedemikian jelas menyimpang dari landasan kebenaran, dan akal yang waras pasti menolaknya. Malah, umat Islam yang selama ini mengamalkan kesederhanaan dalam banyak perkara, kini dipandang jelek akibat penularan pengaruh asing ke dalam ajaran Islam. Hal ini, sekaligus mencemarkan nama baik agama Islam yang sebelumnya terkenal dengan sifatnya yang wasatiah.

 

Agamawan yang ingin menyampaikan ajaran dengan cara yang betul, perlu menilai dan mengambil kira situasi, meneliti realiti sekeliling dengan cermat kemudian barulah berusaha memperbetulkan keadaan sekitarnya bertepatan dengan prinsip agama iaitu fokus pertamanya mendahulukan elemen-elemen kebaikan, etika (tatasusila) disamping menghormati nilai-nilai murni.

 

Manakala seorang agamawan yang kecundang pula, apabila dia berhadapan dengan situasi buruk di sekelilingnya, dia pula yang terpengaruh dengan suasana-suasana tersebut sehingga melahirkan perasaan berpuas hati terhadap apa yang berlaku. Lebih buruk lagi, sekiranya agamawan itu sendiri yang menjustifikasi segala kepincangan yang berleluasa di tempatnya. Sekiranya keadaan sebegini terus berlarutan, nescaya ia akan memusnahkan peluang penerapan agama yang sahih, seterusnya kerja-kerja dakwah yang selama ini telah berakar di tempat tersebut bakal lenyap bersama akar-akarnya sekali.

 

Adapun metode yang digunakan dalam menyampaikan seruan agama adalah dengan kita kembali merujuk kepada al-Quran al-Karim, dan menjadikannya sebagai sumber panduan utama. Kita juga perlu menghayati aturan-aturan ilahi (al-Sunan al-Ilahiyyah), yang mana Allah SWT telah menunjukkan kepada kita segala sunan tersebut :
1. Sunan al-Tawazun; keseimbangan (meliputi alam seluruhnya),
2. Sunan al-Ta’aruf; aturan keupayaan makhluk untuk saling kenal mengenali,
3. Sunan al-Tadafu’; saling lindung melindungi antara satu sama lain,
4. Sunan al-Takamul; aturan bagi setiap pasangan pula saling lengkap melengkapi.

 

Metode berikutnya dalam pembaharuan wacana keagamaan adalah pemahaman mengenai prinsip-prinsip asasi, seperti:-
1. “Seseorang pemikul tidak akan memikul dosa orang lain”
2. “Hukuman Qisas itu, terdapat jaminan hidup”
3. “Allah SWT mengampunkan apa yang telah berlalu”
4. “Balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya”.

 

Prinsip-prinsip asasi tersebut hendaklah disematkan di dalam hati agar ianya dapat menimbulkan kesedaran.Dalam masa yang sama, metode pembaharuan ini menuntut kita untuk mendalami ilmu berkaitan Maqasid al-Syariah (Objektif Pensyariatan) yang terdiri daripada lima komponen utama berdasarkan tertib berikut:-
1. Memelihara nyawa
2. Memelihara akal
3. Memelihara agama
4. Memelihara maruah insan
5. Memelihara harta

 

Kita juga dituntut supaya memperhalusi kaedah-kaedah fiqh yang besar, iaitu:-
1. Kaedah “Hapuskan kesusahan”
2. Kaedah “Kesusahan menyebabkan adanya kemudahan”
3. Kaedah “Adat berupaya memutuskan hukum”.

 

Hanya tiga kaedah fiqh sahaja yang disebutkan kerana ianya mempunyai hubungan langsung dengan isu perbincangan kita.

 

Sebagai penutup, kita sebagai seorang Muslim hendaklah mengalihkan tanggapan kita selama ini terhadap al-Quran, dari sekadar bacaan rutin harian semata-mata kepada suatu keyakinan bahawa ianya merupakan sebuah panduan lengkap yang mesti dikaji demi pembinaan akal Muslim berwibawa. Selain daripada itu, menerusi nur yang terdapat pada al-Quran, moga dapat memimpin kita semua untuk memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa ayat 174 :

 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَكُمْ بُرْهَانٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكُمْ نُورًا مُبِينًا

“Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak”.

 

 

Maha Suci Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.

 

SUMBER :

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?sec=fatwa…

 

Terjemahan oleh :

Ustaz Muhammad Zulkifli Bin Salleh

(Graduan Darul Ifta’ Misriyyah)