MENGHADAPI PENGHINAAN NABI SAW.

Siri#018

———————-

Disediakan Oleh : Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain Sheikh Ruwaq Jawi,Kaherah Mesir.

(Calon PhD University Al-Azhar)

 

Apakah Sikap Kita Dalam Menghadapi Penghinaan Ke Atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam

Penghinaan sebahagian bukan muslim ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam seperti yang berlaku di Perancis baru-baru ini adalah sejumlah penghinaan yang terus-menerus dilakukan oleh mereka bagi menyakiti umat Islam dengan alasan kebebasan bersuara.

Kebebasan Bersuara?!

Alasan pihak yang berani menghina Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam bahawa ini adalah kebebasan bersuara merupakan satu alasan yang rapuh. Kebebasan bersuara hanya akan dihormati selagi ia tidak memudaratkan pihak lain. Maka sebagaimana umat Islam wajib menghormati pegangan dan kepercayaan orang lain, orang lain juga wajib menghormati pegangan umat Islam. Sudah sampai masanya umat Islam berjuang agar dunia mengiktiraf bahawa mempersendakan mana-mana agama dan menghina tokoh yang dimuliakan di dalam mana-mana agama adalah satu jenayah yang pelakunya mesti dihukum.

Penentangan Sebahagian Umat Islam Terhadap Penghinaan Ke Atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam Tetapi Dengan Cara Yang Ekstrim

Kecintaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam adalah kecintaan yang tiada tara dan tiada penghujungnya. Mereka sama sekali tidak akan menerima sebarang cacian terhadap Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang sangat mulia. Bahkan mereka juga akan sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan maruah dan kesucian Baginda. Namun ada sebahagian umat Islam yang telah tersasar dalam mengambil tindakan balas terhadap penghinaan tersebut sehingga mereka melakukan tindakan-tindakan yang melampaui batas. Tindakan yang ekstrim seperti terburu-buru membunuh seorang guru yang menghina Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam adalah tindakan yang tersasar sama sekali daripada ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang menyeru kepada belas kasihan, kemaafan dan kesabaran. Sebarang hukuman ke atas sesiapa sahaja yang bersalah perlu melalui proses undang-undang dan bukannya boleh dilaksanakan secara semberono oleh mana-mana individu. Sikap segelintir umat Islam di Perancis yang telah melaksanakan solat secara beramai-ramai di tengah jalan raya sehingga menghalang pergerakan lalu lintas adalah contoh sikap yang sekalipun dilakukan atas niat ingin memprotes penghinaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam tetapi ia telah mengakibatkan pandangan serong bukan muslim terhadap ajaran Islam. Bukan muslim yang tidak mengetahui hakikat sebenar ajaran Islam akan menganggap bahawa Islam adalah punca kerosakan bagi kehidupan. Sedangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam sendiri pernah bersabda yang bermaksud:

“Kalian jangan sekali-kali duduk di jalan-jalan”. Lalu para sahabat Baginda berkata kepada Baginda: “Wahai Rasulullah. Kami terpaksa duduk di jalan [disebabkan rumah kami sempit] supaya kami dapat bersembang [bersama para sahabat kami] di jalan-jalan”. Lalu Baginda bersabda: “Maka [kalau begitu] kalian hendaklah memberikan jalan akan haknya”. Para sahabat bertanya lagi: “Apakah hak jalan wahai Rasulullah”? Baginda telah bersabda: “Menundukkan pandangan, membuang kemudaratan, menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran”

(Hadith Riwayat al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim).

Maka bagaimana seseorang muslim ingin mempertahankan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dengan melakukan pula tindakan yang bertentangan dengan arahan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam?! Bahkan secara tidak sedar ini juga adalah satu penghinaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam kerana mereka telah menyebabkan bukan muslim memandang buruk ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam.

Allah Sendiri Yang Akan Membela Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam

Allah telah berfirman di dalam Surah al-Hijr ayat ke-95 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah melindungi anda [wahai Nabi] daripada [kejahatan] orang-orang yang memperolok-olokkan [anda]”.

Sejarah lampau telah membuktikan bahawa sekalipun Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam diperolok-olokkan oleh para musuh Baginda, namun Allah tetap melindungi Baginda dengan memberikan kemenangan kepada Baginda. Adapun para penentang baginda, ada yang akhirnya telah memeluk agama Islam setelah mereka menghayati ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam seperti yang berlaku kepada Sayyidina Umar bin al-Khottob, Sayyidina Khalid bin al-Walid dan Sayyidina Abu Sufyan. Ada juga yang terus menentang Baginda sehingga akhir hayat mereka yang hanya mengakibatkan kehinaan yang tiada penghujung.

Apakah Sikap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam Apabila Baginda Dihina?

Golongan Yahudi di Madinah pernah mendoakan kehancuran untuk Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dengan menyatakan kepada baginda secara terang-terangan sewaktu mereka menemui Baginda:

“Assamu Alaikum” yang hampir sama dengan ucapan Assalamu Alaikum namun bermaksud: “Kehancuran untukmu wahai Muhammad”. Baginda hanya menjawab dengan berkata: “Wa Alaikum” yang bermaksud: “Ke atas kamu semua juga”. Namun Sayyidatina Aisyah sangat marah dengan kebiadaban golongan Yahudi tersebut terhadap kekasih hati beliau lantas Sayyidatina Aisyah membalas secara keras dengan berkata: “Bahkan ke atas kamu semua kehancuran. Allah melaknat kamu semua dan murka kepada kamu semua”. Lalu Baginda terus menegur sang isteri dengan bersabda: “Nanti dahulu wahai Aisyah. Anda hendaklah berlemah lembut. Jangan sesekali bersikap kasar atau berkata kesat. Sesungguhnya Allah mencintai kelembutan pada seluruh perkara”

(Hadith Riwayat al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim).

Perkenalkan Keperibadian Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam Kepada Dunia

Akhlak yang mulia adalah tunjang utama agama Islam. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah meminta manusia agar berakhlak mulia bahkan Baginda sendiri adalah insan yang begitu mulia pekertinya sehingga Allah sendiri memuji Baginda di dalam Surah al-Qalam ayat ke-4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya anda benar-benar berada di atas akhlak yang hebat”.

Menurut al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani; hadith-hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam sekiranya dibanci dengan ditiadakan hadith-hadith yang berulang, maka jumlah keseluruhan hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam adalah berjumlah 60,000 hadith. Daripada jumlah ini, hanya sekitar 5,000 hadith sahaja yang membicarakan hukum-hakam manakala 55,000 hadith yang berbaki kesemuanya adalah membicarakan ketinggian akhlak yang mulia. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah mempraktikkan akhlak-akhlak yang mulia ini sehingga orang yang mengenali baginda akan jatuh hati kepada baginda dek ketinggian akhlak dan keperibadian baginda.  Maka sudah sampai masa umat Islam mengatur strategi yang serius untuk memperkenalkan keperibadian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam kepada dunia agar dunia seluruhnya mengenali keperibadian Baginda lalu dunia akan jatuh hati kepada Baginda. Bukan sekadar memperkenalkan akhlak Baginda, umat Islam sendiri wajib berakhlak dengan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam. Inilah cara mempertahankan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam Juga Adalah Rahmat Untuk Bukan Muslim

Umat Islam perlu menyedari bahawa mereka adalah umat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang merupakan rahmat untuk seluruh alam dan bukannya hanya rahmat buat orang Islam. Lihat sahaja tindakan Baginda yang memaafkan para penduduk Mekah pada peristiwa pembukaan kota Mekah sedangkan merekalah yang telah melakukan kezaliman dan penghinaan yang tidak sudah-sudah kepada Baginda. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam pernah bersabda kepada Sayyidatina Aisyah yang bermaksud:

“Sesungguhnya berlemah lembut tidak akan berada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasi perkara tersebut. Berlemah lembut tidak akan dicabut daripada sesuatu melainkan ia akan menghodohkannya”

(Hadith riwayat al-Imam Muslim).

Maka setiap tindakan yang ingin dilakukan oleh mana-mana orang Islam perlu berpaksikan kepada kerahmatan buat seluruh alam. Umat Islam perlu menjadi ikutan masyarakat dunia dari sudut kasih sayang kerana dengan cara ini dunia akan mengetahui bahawa kasihan belas yang diamalkan oleh orang Islam adalah kerana mereka mengamalkan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam. Biar alam seluruhnya menyedari bahawa umat Islam adalah umat yang merahmati sekalipun kepada yang bukan beragama Islam. Tidak mustahil golongan yang mempersendakan Baginda pada hari ini akan menjadi pembela Baginda pada masa hadapan.