loader image

Risalah Tarikh : Mengapa Rasulullah Saw Berkahwin Lebih?

Risalah Tarikh : Mengapa Rasulullah Saw Berkahwin Lebih?

SIRI #013

——————————–

Disediakan Oleh : Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain Sheikh Ruwaq Jawi,Kaherah Mesir.

(Calon PhD University Al-Azhar)

(Siri 1 )

Antara persoalan yang sering ditimbulkan oleh sebahagian pihak adalah isu perkahwinan Rasulullah SAW yang baginda memiliki 11 isteri sedangkan lelaki muslim yang lain hanya dibenarkan mempunyai empat isteri sahaja dalam satu masa.

Akibat salah faham terhadap isu ini, ada yang menuduh Nabi SAW dengan tuduhan-tuduhan yang tidak pantas disandarkan kepada baginda selaku Nabi yang terulung.

Sebenarnya, jika kita meneliti status setiap isteri baginda, nescaya kita akan mengetahui betapa mulianya Nabi Muhammad SAW dalam mengahwini wanita-wanita terpilih tersebut.

Fadhilat al-Syeikh Dr. Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy selaku seorang tokoh terkenal dalam bidang hadis dan tasauf di Mesir telah membuat kesimpulan mudah dalam isu ini dengan menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah rasul yang diutuskan oleh Allah.

Maka setiap tindakan dan ucapan baginda adalah merupakan arahan dan keizinan daripada Allah SWT kerana baginda dan seluruh para rasul yang lain mempunyai sifat ‘Ismah iaitu dipelihara oleh Allah SWT daripada jatuh ke lembah dosa.

Maka mempertikaikan segala tindakan Rasulullah SAW adalah mempertikaikan arahan Allah yang meminta dan mengizinkan baginda berkahwin lebih daripada empat isteri.

Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah) pula pernah mengeluarkan satu artikel khusus bagi menjawab persoalan mengapa baginda SAW berkahwin lebih daripada empat isteri.

Menurut institusi fatwa bertaraf dunia ini, perkahwinan Nabi Muhammad SAW adalah berlegar pada tiga faktor iaitu kemasyarakatan, pensyariatan dan politik.

Faktor Kemasyarakatan:

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Khadijah binti Khuwaylid adalah bertunjangkan faktor kemasyarakatan kerana masyarakat mengharapkan pasangan suami isteri adalah mereka yang matang dari sudut pemikiran dan pengurusan rumah tangga.

Baginda SAW semasa berkahwin dengan Saidatina Khadijah berusia 25 tahun. Baginda melayari bahtera rumah tangga bersama isteri tercinta ini tanpa berpoligami selama 25 tahun iaitu sehingga kewafatan Saidatina Khadijah.

Selepas kemangkatan Saidatina Khadijah, Nabi SAW mengahwini Saidatina Sawdah bin Zam’ah yang merupakan seorang janda. Ini kerana Rasulullah SAW selepas kemangkatan Saidatina Khadijah memerlukan isteri yang baharu untuk menjadi ibu bagi menjaga empat puteri baginda yang masih kecil hasil perkongsian hidup baginda dengan Saidatina Khadijah.

Seterusnya pada tahun 3 Hijriah, baginda mengahwini Saidatina Hafsoh puteri Saidina Umar bin al-Khattab yang baru sahaja kematian suaminya. Perkahwinan ini bertujuan memuliakan dan menggembirakan hati Saidina Umar yang berusaha mencari suami baru terbaik buat puteri beliau.

Pada tahun 4 Hijriah pula, Rasulullah SAW mengahwini Saidatina Zainab binti Khuzaymah yang baru sahaja kematian suami yang gugur syahid di medan Uhud. Pada tahun yang sama juga, Nabi Muhammad SAW mengahwini Saidatina Ummu Salamah atau nama sebenar beliau Hind binti Umayyah yang kematian suami di samping memiliki anak-anak yang masih kecil.

Maka jelaslah bahawa perkahwinan-perkahwinan di atas antara tujuannya adalah untuk menjaga para isteri sahabat baginda yang telah gugur di medan perang agar para isteri yang ditinggalkan dan anak-anak yang menjadi yatim dapat dibela nasibnya oleh Rasulullah SAW.

Faktor Pensyariatan:

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah puteri Saidina Abu Bakr al-Siddiq adalah berasaskan faktor pensyariatan kerana baginda telah bermimpi bahawa baginda mengahwini Saidatina Aisyah. Mimpi para Rasul adalah merupakan wahyu daripada Allah SWT.

Maka menerusi mimpi ini, tahulah kita bahawa Allah memerintahkan Nabi SAW mengahwini puteri Saidina Abu Bakr al-Siddiq sekalipun jarak usia antara baginda dan Saidatina Aisyah adalah jauh. Ini sekali gus menjawab kritikan segelintir pihak yang mempertikaikan perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah.

Seterusnya perkahwinan Rasulullah SAW dengan Saidatina Zaynab binti Jahsy pada tahun 5 Hijriah yang telah diceraikan oleh bekas suaminya Saidina Zayd bin Harithah yang merupakan anak angkat Rasulullah SAW juga atas faktor pensyariatan.

Ini kerana Allah ingin menyatakan kepada umat Islam bahawa tidak berdosa sekiranya ayah angkat mengahwini isteri anak angkatnya setelah berlaku perceraian. Maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW menjelaskan perkara ini secara praktikal.

Ini jelas terpapar di dalam surah al-Ahzab ayat ke-37 yang bermaksud: Maka apabila Zayd telah selesai mendapatkan hajat daripada dia [iaitu setelah beliau selesai menceraikan isterinya], Kami telah mengahwinkan anda dengannya [iaitu bekas isteri Saidina Zayd] supaya tidak berlaku kesusahan ke atas orang mukmin untuk mereka mengahwini isteri-isteri kepada anak-anak angkat mereka setelah anak-anak angkat tersebut mendapatkan hajat daripada isteri-isteri mereka [iaitu setelah mereka menceraikan isteri-isteri mereka]. Sesungguhnya urusan Allah [iaitu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah] adalah berlaku.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​