loader image

Mendirikan Jumaat Di Rumah Kerana Wabak COVID-19

Mendirikan Jumaat Di Rumah Kerana Wabak COVID-19

Siri#026

———————————

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nur Syawal Bin Ismail

(Graduan Syariah Islamiah,Universitiy Al-Azhar Kaherah,Mesir)

Siri fatwa Darul Ifta Misriyah

Soalan:

Apakah hukum melakukan solat Jumaat di rumah, terutamanya pada ketika mana ada pihak-pihak tertentu berpandangan dan menggesa agar ditangguhkan ibadah Solat Jumaat kerana ingin mematuhi SOP sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19?

Jawapan:

Mendirikan  Jumaat itu merupakan sebuah wilayah (autoriti) yang Syariat berikan kepada pemerintah (Imam). Oleh itu, keizinan pemerintah bagi melaksanakan Jumaat itu perlu diambil kira. Hal ini kerana  Jumaat yang didirikan semenjak zaman Nabiصلى الله عليه وسلم  begitu juga pada zaman sahabat dan tabi`in kesemuanya didirikan dengan keizinan pemerintah pada zaman tersebut. Malah perkara ini telah menjadi amalan turun-temurun kaum Muslimin. Seterusnya menjadi Ijmak yang wajib dipatuhi. Cuma, perkara diperselisihkan adalah adakah keizinan pemerintah itu merupakan syarat sah Jumaat atau hanya sekadar satu bentuk hak moral yang perlu diberikan kepada pihak penguasa biarpun  Jumaat itu sah didirikan tanpa mendapat keizinan darinya. (yakni sekadar mustahab)

Juga mereka berselisih pandangan jika terdapat situasi yang menghalang daripada mendapat keizinan pemerintah seperti terlalu jauh atau berlaku perlucutan kuasa dan sebagainya. Maka mereka yang berpandangan ianya tidak disyaratkan, mereka melihat kepada situasi yang sering berubah dan sukar mendapatkan keizinan untuk setiap kali Jumaat.

Menurut pandangan majoriti Fuqaha, keizinan pemerintah itu tidaklah disyaratkan dan diwajibkan  bagi mendapatkannya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang masyhur iaitu:

الأمر إذا ضاق اتسع

“Apabila sesuatu perkara menjadi sukar maka diberikan keluasan padanya”

Namun kesemua Fuqaha bersepakat bahawa mendirikan  Jumaat itu adalah termasuk dalam urusan pemerintah dan adalah haram ‘berebut’ dengan pemerintah dalam urusan mendirikan Jumaat. Kerana ianya termasuk dalam larangan:  الافتيات على الإمام(Mendahului pemerintah dalam urusannya) serta cuba membuka pintu fitnah perpecahan dalam kalangan orang Islam.

Terdapat beberapa riwayat hadith yang menunjukkan akan pensyariatan meminta keizinan pemerintah untuk mendirikan Jumaat. Contohnya Al-Imam Abdul Razzaq meriwayatkan dalam Musonnafnya (3/161):

عن معمر، عن الزهري: أن مسلمة بن عبد الملك كتب إليه: “إني في قرية فيها أموالٌ كثير، وأهلٌ وناسٌ، أفأُجَمِّعُ بهم ولستُ بأمير؟، فكتب إليه الزهري: إن مصعب بن عُمَيْر رضي الله عنه استأذن رسولَ الله صلى الله عليه وآله وسلم بأن يُجَمِّع بأهل المدينة، فأذن له، فجمَّع بهم وهم يومئذ قليلٌ؛ فإن رأيتَ أن تكتب إلى هشامٍ حتى يأذن لك فافعل

 Maslamah bin `Abdul Malik telah menulis surat kepada Al-Zuhri . Katanya dalam surat itu: “ aku berada dalam sebuah perkampungan padanya ada harta yg banyak juga penduduk yang ramai, adakah boleh aku mendirikan Jumaat dengan mereka sedangkan aku bukan pemimpin mereka?” lalu Al-Zuhri memberi jawapan balas, “Adalah Mus`ab bin `Umair itu pernah meminta keizinan daripada Rasullullah صلى الله عليه وسلم   untuk memimpin orang Madinah mendirikan  Jumaat. Lalu baginda mengizinkannya walhal bilangan mereka itu sedikit. Maka jika engkau ingin menulis surat meminta keizinan dari Hisyam maka lakukanlah”

 

Abdul Razzaq juga ada meriwayatkan dari Saidina `Ali :

لا جماعةَ يومَ جمعةٍ إلا مع الإمام

“tidak ada Jemaah yang mendirikan Jumaat melainkan hendaklah adanya Imam yang memimpin mereka“.

Ibn Zanjawaih dalam Al-Amwal ada meriwayatkan daripada Hasan Al-Basri yang mana kata beliau:

أربعٌ لا تَصْلُحُ إلا بإمام: الحدود، والقضاء، والجمعة، والزكاة

Empat perkara yang tidak akan terurus melainkan dengan adanya pemerintah: Hudud, Kehakiman, Jumaat dan Zakat.

 

Berkata Imam Kasani dalam kitabnya Badai` Sanai` (1/261)

هذه صلاةٌ تُؤدَّى بجمعٍ عظيمٍ، والتقدمُ على جميع أهل المصر يُعَدُّ مِن باب الشرف وأسباب العلو والرفعة؛ فيتسارع إلى ذلك كلُّ مَن جُبِلَ على علو الهمة والميل إلى الرئاسة؛ فيقع بينهم التجاذب والتنازع، وذلك يؤدي إلى التقاتل والتقالي؛ ففُوِّضَ ذلك إلى الوالي ليقوم به أو ينصب من رآه أهلًا له، فيمتنع غيره من الناس عن المنازعة؛ لما يرى من طاعة الوالي، أو خوفًا من عقوبته، ولأنه لو لم يُفوَّضْ إلى السلطان لا يخلو إما أن تُؤدِّيَ كلُّ طائفة حضرت الجامع، فيؤدي إلى تفويت فائدة الجمعة وهي اجتماع الناس لإحراز الفضيلة على الكمال، وإما أن لا تؤدى إلا مرة واحدة، فكانت الجمعة للأولين وتفوت عن الباقين،

 “ Jumaat ini didirikan dalam Jemaah yang ramai. Dan memimpin rakyat dalam sesuatu perkara  itu dianggap satu kemuliaan dan jalan untuk mendapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Maka mereka yang ‘gila kuasa’ akan berebut bagi mendapatkannya. Seterusnya berlaku perpecahan dalam umat. Maka adalah munasabah jika urusan Jumaat ini diserahkan kepada pemerintah atau wakilnya yang berkelayakan. Jika tidak, setiap kumpulan akan melakukan Jumaat mereka sendiri (berbilang Jumaat) di masjid yang sama, lalu hilanglah objektif Jumaat. Ataupun jika mereka inginkan satu Jumaat sahaja, mereka yang hadir awal sahaja yang akan memperloleh Jumaat.”  

 

Sebagai tambahan, para Fuqaha telah bersepakat akan syarat perlunya keizinan pemerintah untuk mendirikan Jumaat sekiranya perbuatan tidak meminta izin itu mempunyai unsur menghina kemuliaan pemerintah. Begitu juga haram menyelisihi arahan pemerintah sekiranya diarahkan meminta izin terlebih dahulu. Kerana mengkhianati dan menzahirkan kedegilaan terhadap pemerintah itu sesuatu yang diharamkan oleh Syariat Islam.

Namun biarpun terdapat khilaf dalam masalah ini, boleh juga berlaku dalam sesebuah sistem kemasyarakatan di mana mereka yang hidup di kawasan bandar dan selainnya bebas menentukan sesiapa sahaja menjadi imam dan khatib Jumaat. Hal keadaan ini memberi kefahaman bahawa meminta keizinan pemerintah itu hanya sekadar satu bentuk hak moral dan bukannya kewajipan syari`e mahupun syarat yang mesti dipatuhi. Kerana ianya tidak anggap sebagai mencabul hak pemerintah. Malah uruf dan sistem kemasyarakatan ini memberikan sedikit kebebasan buat penduduk bandar dan kampung untuk menguruskan urusan hal ehwal agama tanpa merujuk kepada pemerintah utama  terlebih dahulu.

Walaubagaimanapun, kebebasan ini tidak boleh berlaku dalam sebuah negara yang lengkap dengan pelbagai agensi serta badan berautoriti yang telah disusun atur bidang kuasa masing-masing. Bagi masjid-masjid pula terdapat pihak tertentu yang bertanggungjawab mengurus tadbir segala hal ehwal masjid. Mereka  inilah yang akan menentukan siapakah para Imam yang akan memimpin solat jemaah,  para khatib dan para penceramah. Maka secara tak langsung mereka ini telah dianggap sebagai ‘pemerintah’ bagi hal ehwal ibadah dan dakwah secara amnya dan Jumaat secara khususnya. Keengganan mematuhi peraturan badan ini dianggap sebagai mencabuli hak pemerintah. Maka para imam, khatib dan semua yang bertanggungjawab menguruskan masjid-masjid wajib   mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

 

Perihal tempat juga menjadi perkara yang diambil kira dalam pelaksanaan Jumaat. Kerana itulah tidak didirikan Jumaat itu melainkan di masjid jami’ dan pada dasarnya tidak boleh berlaku berbilang Jumaat dalam satu-satu kawasan, melainkan terdapat hajat seperti populasi penduduk yang padat dan masjid tersebut tidak mampu menampung bilangan jemaah yang hadir.

Berkata Imam Abu ‘Umar bin ‘Abdil Bar Al-Maliki dalam Al-Kafi (1/249):

ولا تُصلَّى -يعني: الجمعة- إلا في المسجد، أو في رحابه، أو الطرق المتصلة به، دون ما يُمنع الناس من دخوله

dan tidak boleh dilakukan solat Jumaat melainkan di masjid atau di perkarangan masjid atau di jalan-jalan yang bersambung dengan masjid. Dan bukannya di kawasan yang dilarang untuk dimasukki.”

Berkata Imam Taqiuddin Al-Subki dalam Fatawanya (1/175):

ومن محاسنِ الإسلام اجتماعُ المؤمنين كل طائفة في مسجدهم في الصلوات الخمس، ثم اجتماع جميع أهل البلد في الجمعة، ثم اجتماع أهل البلد وما قرب منها من العوالي في العيدين، لتحصل الألفة بينهم ولا يحصل تقاطع ولا تفرق

 

 “Di antara keindahan Islam adalah perhimpunnya setiap kumpulan individu (spt jiran tetangga) di masjid masing-masing pada solat fardhu. Setelahnya itu berhimpunnya kesemua masyarakat bandar pada Solat Jumaat. Setelah itu berhimpunnya masyarakat bandar serta mereka yang duduk berhampiran dengan bandar di suatu tempat bagi meraikan dua hari raya. Kesemuanya ini bertujuan agar wujudnya kesatuan sesama kaum Muslimin dan menjauhi perpecahan.”

Berkata pula Burhanuddin Al-Biqa’ie dalam Nazm Al-Durar (1/590):

“Nama Jumaat itu sendiri menerangkan apakah yang dituntut dilakukan seperti kewajipan berhimpun padanya, bersegera menuju ke masjid bagi melaksanakannya dan meninggalkan segala urusan yang lain”

Sebagai penutup kepada perbahasan,dapatlah kita simpulkan di sini bahawa Solat Jumaat itu dilaksanakan menurut aturan pihak pemerintah serta keizinannya secara umum bagi mengelakkan berlakunya fitnah. Selain itu, biarpun terdapat khilaf tentang adakah keizinan pemerintah itu sebagai syarat mendirikan Jumaat, para Fuqaha bersepakat mengatakan ianya menjadi syarat sekiranya perbuatan tidak meminta izin itu mempunyai unsur menghina pihak pemerintah atau unsur mendahului atau mencabuli hak pemerintah dalam urusannya.

Sumber:

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=15817&Lang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​