loader image

MEMBERIKAN SEBAHAGIAN DARIPADA SEMBELIHAN KORBAN KEPADA PENYEMBELIH SEBAGAI UPAH

MEMBERIKAN SEBAHAGIAN DARIPADA SEMBELIHAN KORBAN KEPADA PENYEMBELIH SEBAGAI UPAH

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Atif Bin Abdullah

(Gradua Darul Ifta’Misriyyah)

Jumhur ulama menyatakan tidak harus untuk memberikan sebahagian daging korban kepada penyembelih berdalilkan daripada hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ali r.a. :

“Bahawasanya Nabi sallallahu alaihi wa sallam menyuruhnya untuk menyembelih seekor unta dan membahagikan keseluruhannya,dagingnya,kulitnya dan pelananya dan tidak diberikan kepada penyembelihnya sesuatu pun”.Muttafaqun alaih.

     Dalam satu riwayat yang lain : “Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam menyuruhku untuk menyembelih seekor unta dan bersedekah dengan daging,kulit dan pelananya dan tidak diberikan kepada penyembelihnya sesuatu pun”,dan dia berkata : “kami memberinya upah dari sisi kami”.Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sohihnya.

Cuma yang perlu difahami maksud dari pemberian yang dilarang disini adalah : ganti kepada upah,tetapi sekiranya diberikan korban kepada penyembelih selepas dibayar upahnya sebagai sedekah atau hadiah maka tiada masalah padanya.

     Imam Al-Baghawi menyebutkan di dalam “Syarhus Sunnah”(7/188,cetakan al-Maktab al-Islami) : “Dan perkara ini(larangan memberi) jika dia memberikan kepadanya(sebahagian korban) sebagai upah,manakala jika dia bersedekah kepadanya sesuatu daripada korban tiada masalah padanya,inilah pendapat kebanyakan ulama”.

     Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani juga menyebutkan di dalam “Fathul Bari”(3/556,cetakan Darul Fikr) : “dan tidak diberikan kepada penyembelihnya sesuatu pun : pada zahirnya tidak boleh diberikan apa-apa langsung kepada penyembelih,tetapi bukan itu yang dikehendaki(oleh hadis),bahkan yang dimaksudkan adalah tidak diberikan kepada penyembelih bahagian korban sesuatu pun seperti yang disebut oleh Imam Muslim;dan zohirnya dengan demikian bukan juga yang dikehendaki tetapi Imam An-Nasai telah menjelaskan dalam riwayatnya dari jalan Syuaib bin Ishak daripada Ibnu Juraij bahawasanya yang dimaksudkan adalah larangan memberi sebahagian daripada haiwan korban kepada penyembelih sebagai ganti upahnya”.

     Dan para fuqaha’ telah menaskan bahawa jika pembuat korban telah membayar upah kepada penyembelih kemudian dia memberinya daging kerana dia miskin atau sebagai hadiah;hukumnya harus seperti diberikan kepada orang lain,bahkan lebih utama kerana dia yang melaksanakannya dan dirinya pasti ingin kepadanya.

     Kata Ibnu Najim al-Hanafi (wafat:970H) di dalam “al-Bahru al-Raiq”(3/78,cetakan Dar al-Kutub al-Islamiy) : “dan ditentukan dengan upah;kerana jikalau dia bersedekah dengan daging korban kepadanya selain pemberian upah kepadanya hukumnya adalah harus,kerana dia termasuk dalam golongan yang layak menerima sedekah”.

     Dan al-Allamah Syihabuddin al-Nafrawi al-Maliki telah menyebutkan di dalam “al-Fawakih al-Dawwani”(1/393,cetakan Darul fikr) : “dan tidak boleh diberikan(daging) kepada penyembelih sebagai bayaran upah sembelihannya tetapi boleh diberi sebagai sedekah dan telah disebutkan dahulu bahawa orang yang menerima sedekah boleh menjualkan daging korban yang diterimanya dan zahirlah di sini atau lebih utama seperti itu”.

     Al-Imam al-Nawawi juga menyebutkan di dalam “Raudatu al-Tholibin”(3/222,cetakan al-Maktab al-Islamiy) : “dan harus untuk diberikan sebahagian daripadanya kepadanya(penyembelih) kerana kefakirannya atau diberi makan kepadanya sekiranya dia seorang yang kaya.Dan harus memberikannya kepada orang miskin untuk mereka jual atau membuat sesuatu dengannya”.

     Dan kata Imam Ibnu Qudamah di dalam “al-Mughni”(9/450,cetakan al-Qahirah) : “segala apa yang diberikannya kepada penyembelih menjadi upah dan ganti kepada pekerjaannya dan sembelihannya dan tidak harus  digantikan dengan sesuatu daripadanya(sembelihan)manakala jika diberikan kepadanya kerana kemiskinannya atau sebagai hadiah maka tiada masalah padanya;kerana dia berhak untuk menggambilnya,hukumnya seperti orang lain bahkan lebih layak lagi kerana dia yang melakukannya dan teringin kepadanya”.

     Oleh yang demikian,tidak harus bagi seorang muslim untuk memberikan kepada penyembelih sebahagian daripada haiwan korban sebagai upah tetapi harus diberikan kepadanya dalam bentuk kurniaan dan hadiah atau sedekah,dan yang demikian itu kerana pemberian daging korban sebagai upah kepada penyembelih seperti hukum menjual daging korban;kerana dia berhak untuk mendapat upah,dan telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya sabda Nabi sallallahu alaihi wa sallam :

“sesiapa yang menjual kulit haiwan korbannya maka tiadalah korban baginya” dikeluarkan oleh Imam al-Hakim di dalam “al-Mustadrak”.

     Dan mazhab al-Hanafi telah mengharuskan bagi pembuat korban untuk menjualkan dagingnya setelah disembelih sekiranya perbuatan itu untuk mendekatkan diri kepada Allah;seperti disebutkan di dalam “al-Fatawa al-Hindiyyah fi Fiqhil Hanafiah”(5/301,cetakan Darul Fikr) : “sekiranya dia menjualnya dengan beberapa dirham untuk disedekahkan dengannya hukumnya harus;kerana ia termasuk qurbah(mendekatkan diri kepada Allah) seperti bersedekah.Seperti itu juga disebut di dalam “al-Tabyin” dan begitu juga di dalam “al-Hidayah”dan “al-Kafi”,dan jikalau dia membeli bungkusan dengan menggunakan daging korban tidak harus,dan jika dia membeli dengan dagingnya bijirin harus,dan jika dia membeli dengan dagingnya daging yang lain harus jua.Mereka berkata : “dan yang asoh pada perkara ini bahawasanya harus menjual bahan makanan dengan membeli bahan makanan tetapi tidak boleh dijual bahan makanan untuk membeli bahan bukan makanan.Beginilah yang disebut di dalam “al-Zohiriah”dan “Fatawa Qadhi Khan”.

     Dan berdasarkan yang demikian dan mengikut keadaan penanya : tiada masalah pada apa sahaja yang diambil oleh penyembelih seperti kepala dan kaki haiwan korban selama mana tidak termasuk dalam upah yang disepakati kedua pihak dan selama pembuat korban rela untuk memberikannya serta ianya tidak memberi kesan kepada diterimanya ibadah korban bahkan memberi kepadanya itu lebih utama untuk memuaskannya dan menenangkannya kerana dia yang menguruskan sembelihan dan dagingnya dan pasti ingin kepadanya.

Wallahu subhanahu wa ta’ala a’lam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Ruwaq Jawi​​

Disediakan oleh : Al-Fadhil Ustaz Affan Bin Azizan ( Panel Penyelidikan Ruwaq Jawi ) Merokok