loader image

Makan Berlebihan Ketika Berbuka Puasa

Makan Berlebihan Ketika Berbuka Puasa

SIRI #004

 

Soalan: Adakah makan berlebihan sewaktu berbuka menjejaskan matlamat yang diingini disebalik ibadah puasa ?

 

Jawapan: Prof. Dr. Ahmad Toyyib

 

Makan berlebihan sewaktu berbuka memberi impak negatif terhadap tujuan dan hikmah ibadat puasa; Ini kerana sikap berlebihan secara keseluruhannya merupakan kelakuan tercela di dalam syariat Islam berdasarkan firman Allah Taala:

 

﴿وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ﴾ [الأعراف: 31]

 

{Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas}.[Al-A’raaf : 31]

 

Keseimbangan di dalam setiap perkara perlu dititikberatkan kerana Islam adalah agama yang menganjurkan sikap sederhana, tidak kedekut (kikir) dan tidak pula melampau; firman Allah Taala:

 

﴿وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا﴾ [البقرة: 143]

 

{Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil }. [Al-Baqarah : 143]

 

Ibadat puasa sepatutnya memberi kesan positif kepada orang yang berpuasa, tidak logiklah apabila orang yang sepanjang harinya berusaha menahan diri dari makan dan minum, kemudian setelah itu membiarkan dirinya melahap apa saja yang sedap dan lazat, seolah-olah dia tidak berpuasa pada hari itu, langsung tidak mengambil pengajaran dari puasanya.

 

Tambahan pula, sikap sebegini sebenarnya memberi kesan negatif terhadap kesihatan; kerana ia memberi tekanan kepada perut (terpaksa mencerna kuantiti makanan yang banyak dalam satu masa), menjadi berat dan mengalami kejutan akibat:

  1. Diisi dengan jumlah makanan yang diluar kemampuan organ perut untuk memproses.
  2.  Perut yang sebelumnya berada dalam keadaan seimbang, nyaman serta berehat (dari sebarang aktiviti penghadaman), tiba-tiba diisi dengan jumlah makanan yang banyak secara mendadak.

 

Perlakuan ini sememangnya bertentangan dengan hikmah ibadah puasa. Ini kerana ibadah puasa sebenar menganjurkan manusia agar mengurangi makan minum disamping mengambilnya sekadar perlu.

 

Maha Suci Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.

 

Terjemahan oleh :

Ustaz Muhammad Zulkifli Bin Salleh

Graduan Darul Ifta’ Misriyyah

 

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​