loader image

Lewat Membayar Zakat Fitrah

Lewat Membayar Zakat Fitrah

Siri#033

————————————-

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nur Syawal Bin Ismail

(Graduan Syariah Islamiyah,Universitiy Al-Azhar)

 

Siri Fatwa Darul Ifta’Misriyyah

Soalan:

Tabung zakat masjid kami menerima wang zakat fitrah dan diagihkan kepada mereka yang berhak. Dan perkara itu berterusan sehinggalah pada waktu pertengahan malam raya. Akan tetapi sejak jam 2 pagi sehinggalah solat hari raya,kami mendapati ada sejumlah wang dalam tabung zakat tersebut. Apa yang patut kami lakukan terhadap wang ini? Bolehkah kami membeli binatang korban dengan wang tersebut dan mengagihkannya kepada faqir miskin? Ataupun si pembayar zakat yang lewat itu sendiri perlu memberinya kepada fakir miskin?

 

Jawapan:

Majoriti Fuqaha yang terdiri dari Malikiyah, Syafi`iyah dan Hanabilah juga Al-Hasan Bin Ziyad Al-Hanafi berpendapat bahawa waktu wajib menunaikan zakat fitrah adalah terhad dan sempit. Iaitu sesiapa yang membayar zakat fitrah selepas terbenam matahari pada hari raya tanpa sebarang keuzuran maka  berdosalah dia dan pembayarannya itu tidak dianggap tunai (الأداء) bahkan dianggap Qadha (القضاء). Berbeza pula dengan majoriti Fuqaha Ahnaf yang berpendapat waktu wajib membayar zakat fitrah adalah luas tiada had. Hanya sunat membayarnya sebelum keluar pergi ke masjid untuk solat hari raya.

 

Pun begitu, keseluruhan para Fuqaha menyatakan tanggungjawab membayar zakat fitrah itu tidak akan gugur disebabkan keluar waktunya. Maka ianya menjadi ‘hutang yang wajib dilangsaikan’ kepada asnaf yang berhak menerimanya.

Berkata Syaikhul Islam Al-Bajuri rhm dalam Hasyiah `ala Syarh Ibn Qasim:

ويجوز إخراجُها -أي زكاة الفطر- في أول رمضان، ويُسَنُّ أن تُخرج قبل صلاة العيد للاتباع إن فُعِلَت الصلاةُ أولَ النهار، فإن أُخِّرَت استحب الأداءُ أولَ النهار، ويكره تأخيرُها إلى آخر يوم العيد؛ أي قبل غروب شمسه، ويحرم تأخيرُها عنه لذلك؛ أي لآخر يوم العيد، وهو ما بعد المغرب

boleh membayar zakat fitrah pada awal Ramadhan. Dan disunatkan membayarnya sebelum solat hari raya. Hal ini sekiranya solat hari raya itu dilakukan pada awal siang hari. Adapun jika dilewatkan solat, maka sunat membayarnya pada awal siang hari. Dan adalah makruh melewatkan pembayaran zakat fitrah sehingga akhir waktu pada hari raya-iaitu sebelum terbenamnya matahari-. Dan adalah haram melewatkan pembayaran sehingga setelah terbenamnya matahari. “

 

Oleh itu, berdasarkan keterangan di atas, wang yang didapati dalam tabung zakat tersebut wajib diagihkan kepada asnaf yang berhak menerimanya dan tidak boleh digunakan untuk membeli perkara lain untuk diberikan kepada asnaf.

Wallahu`alam.

 

Sumber:

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11461&Lang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​