loader image

Kisah Disebalik Penyusunan Kitab Dalail Khairat

Kisah Disebalik Penyusunan Kitab Dalail Khairat

Siri#016

—————-

Terjemahan Oleh :

Ustaz Muhammad Zulkifli Bin Salleh

(Graduan Darul Ifta’Misriyyah)

 

[ Berikut adalah terjemahan perkata bagi syarahan Dr. Yusri Jabr al-Hasani (ulama Hadis Mesir) mengenai kitab Dalail al-Khairat ]

” Ketika Sheikh Muhammad bin Sulaiman al-Jazūli pergi bermusafir, beliau singgah sebentar di tengah perjalanan untuk menunaikan solat.

Apabila tiba di sebuah perigi untuk mengambil wudhuk, beliau mendapati air dalam perigi itu terlalu dalam untuk diceduk, sedangkan tiada pun penceduk di situ, bahkan tali pengikat penceduk pun tiada.

Dalam keadaan waktu solat sudah pun masuk, serta keinginannya untuk menunaikan solat, beliau terduduk di hadapan perigi, mati akal apa yang harus dilakukan.

Timbul di dalam fikirannya; “Adakah aku perlu tayammum sedangkan air masih ada ? Walaupun tak mampu dapatkan air…
Atau apa lagi yang aku boleh buat ?”

Kemudian datang perempuan biasa seorang pengembala kambing melintasi perigi tersebut dan ternampak Sheikh Muhammad dalam keadaan pening memikirkan sesuatu.

Si pengembala kambing itu pun mendekati perigi dan langsung bertanya kepada Sheikh: “Kamu nak airkah?” Jawab Sheikh: “Ya!”, lantas pengembala itu pun meludah ke dalam perigi, lalu paras air terus meningkat mendadak sehingga mencapai ke permukaan perigi !

Sheikh yang terkejut dengan kemampuan pengembala itu pun bertanya: “Amalan apa yang membuatkan kau sampai ke tahap ini ?!”, pengembala itu membalas: “Aku selawat keatas Nabi lah ﷺ! Bukankah kau seorang alim yang disanjungi ramai orang ? Kenapa kau jadi bingung fikirkan cara untuk keluarkan air dari dalam perigi ??”

“Keadaan aku begini sebab banyak selawat kat Nabi ﷺ”

[Tamat perbualan antara Sheikh al-Juzuli dengan si pengembala yang solehah]

[Sila rujuk kitab: Jãmi’ Karamãt al-Awliyã’, susunan: al-Qãdhi Yusuf an-Nabhãni, halaman: 276]

[Dr. Yusri menyambung syarahannya lagi…]

Perempuan pengembala kambing itu ketagih berselawat, hampir setiap waktu dia berselawat. Pagi, petang, siang dan malam. Begitu juga sewaktu menjaga ternakannya.

Dengan sebab itulah, Allah Taala mendekatkan benda yang jauh kepada dirinya

Apabila Sheikh Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli mengalami peristiwa sebegini, beliau menaruh azam yang kuat untuk menyusun sebuah kitab yang menghimpunkan di dalamnya sejumlah lafaz-lafaz selawat keatas baginda Nabi ﷺ semampu mungkin, yang dipetik dari kitab-kitab warisan, bertujuan untuk dikongsikan bersama dengan seluruh kaum muslimin.

Sekembalinya Sheikh dari musafir, beliau langsung pergi ke perpustakaan besar Fez, Morocco. Beliau membelek kitab-kitab agung yang membicarakan mengenai selawat, lalu dicatit di dalam buku nota akan segala maklumat yang berkaitan dengan selawat, terdiri daripada; Sanad, teks matan serta faedah-faedah yang diperolehi bagi setiap amalan selawat tersebut.

Sehinggalah himpunan lembaran-lembaran nota selawat tersebut menebal, lalu beliau membuat keputusan untuk meninggalkan ‘skip’ nama-nama para penyampai ‘sanad’ selawat berkenaan, agar tidak terlalu panjang untuk bacaan masyarakat awam.

Maka, terhasillah kitab Dalail Khairat yang mengandungi doa selawat buat Junjungan Mulia Baginda Nabi ﷺ.

“Subhanallah !

Kitab ini diterima baik oleh seluruh umat baginda Nabi ﷺ, ini kerana kecintaan mereka buat Junjungan Mulia.

Kitab ini juga berupaya mengenyangkan serta menghilangkan kerinduan umat kepada baginda Nabi ﷺ dengan cara mengingati baginda melalui ucapan selawat.

[Kitab Yang Paling Banyak Dicetak]

Kita akan dapati begitu banyak manuskrip-manuskrip (tulisan tangan) bagi kitab Dalail Khairat. Ini adalah kerana para ulama pada zaman dahulu bersepakat untuk menyebar luaskan amalan bacaan yang berkat ini ke seluruh negara-negara Islam.

Sehingga para pengkaji manuskrip kurun ke-20 menemui hampir ribuan naskhah tulisan tangan bagi kitab Dalail Khairat sahaja

Oleh itu, para pengkaji membuat kesimpulan bahawa kitab yang paling banyak manuskrip selepas al-Quran ialah Dalail Khairat.

Kini, kitab yang paling banyak dicetak selepas al-Quran adalah kitab Dalail Khairat. Diikuti kitab Riyãdhu as-Solihēn:-

1) al-Quran ul-Karim
2) Dalail ul-Khairat
3) Riyãdhu us-Solihěn

Rumah orang Islam banyak mempunyai kitab-kitab ini

Mereka berusaha membacanya, menjadikannya sebagai rutin harian, membahagikan pula bacaan-bacaannya mengikut hari.

Ada dikalangan mereka yang mengkhatamkannya dalam tempoh seminggu. Ada yang menghabiskan bacaan dalam masa 4 hari. Ada pula yang memerlukan masa 2 hari. Dan ada pula yang hanya mengambil masa sehari sahaja (iaitu pada hari Jumaat).

Bukti betapa banyaknya kitab ini hinggakan di saat Imam al-Qastollãni (wafat 923 Hijrah) menziarahi masjid Nabawi ketika menunaikan haji, beliau mengatakan bahawa: “Masjid Nabawi itu dipenuhi dengan al-Quran dan Dalail Khairat !”. Zaman itu ada 2 pilihan bacaan utama di dalam masjid Nabawi, sama ada pengunjung hendak membaca al-Quran atau pun Dalail Khairat.

Ini membuktikan umat Islam waktu itu begitu gemar membaca dan mengamalkannya sehinggalah detik munculnya pemikiran Wahhabi.

Untuk pengetahuan kalian, pemikiran Wahhabi kini sudah berusia hampir 200 tahun.

Golongan ini sangat anti pada kitab ini. Mereka menuduh bahawa di dalam terdapat benda-benda syirik.

Kalaulah betul tuduhan yang dibuat oleh Wahhabi bahawa di dalam kitab yang mulia ini mengandungi perkara-perkara syirik, maka hari ini kita akan sama-sama mengkaji dengan membacanya secara teliti beramai-ramai.

Kita cari di mana yang dikatakan ‘syirik’ itu.

Hari ini cukup menyedihkan apabila ada dikalangan mereka yang tidak memilikinya apatah lagi membacanya akibat terpengaruh dengan momokkan Wahhabi.

Kita dapat lihat kesannya terhadap diri ahli-ahli keluarga yang membesar dalam kondisi rumah yang tidak mengamalkan kitab selawat.

Aku sangat bersyukur kepada tuhan kerana aku dibesarkan di dalam rumah yang mengamalkan selawat Dalail Khairat ini

Malah, kitab yang aku pegang sekarang ini pun adalah naskhah ayahku punya.

Boleh dikatakan kami sekeluarga tak baca kitab lain selain al-Quran dan Dalail Khairat sahaja di rumah.

Aku perasaan kitab ini semasa aku darjah 1 sekolah rendah, kemudian aku ambil kitab ini selepas ayahku meninggal.

Kesimpulannya, isi rumah yang betul-betul memahami Islam dengan fahaman yang benar, tidak boleh lari dari memiliki gabungan kedua-dua kitab ini.

Oleh sebab itulah, hari ini aku ingin sampaikan kepada kalian syarahan isi kandungan kitab ini, supaya umat Islam sedar dan kembali mengamalkan kitab selawat yang berkat ini.

Ini kerana, semakin banyak amalan pembacaan selawat dalam rumah-rumah umat Islam, semakin banyak keberkatan yang boleh dituai dalam kehidupan mereka.

Kerana kelebihan berselawat itu terlalu banyak.

Kita mulai dengan mengkaji pendahuluan kitab ini.

Kamu akan dapati antara faedah berselawat ini adalah nur yang bakal muncul di dalam diri orang yang berselawat.

Melalui selawat jugalah pangkat derajat diri seorang mukmin meningkat naik.

Di akhir syarahan kitab ini, akanku ijazahkan kepada kalian sanad periwayatannya.

Alhamdulillah aku memiliki salasilah sanad bagi Dalail Khairat.

Aku juga berkesempatan menziarahi makam Sheikh Muhammad bin Sulaiman di Marrakech, Morocco.

Untuk pengetahuan kalian, almarhum Sheikh meninggal jauh dari tempat beliau disemadikan ketika ini.

Asalnya beliau disemadikan berdekatan Fez kerana menghembuskan nafas terakhirnya di situ, namun setelah 77 tahun berlalu, para penduduk Marrakech mendesak supaya jasadnya di pindahkan ke Marrakech, dengan alasan almarhum lahir dan membesar di sana.

Selepas pertikaian demi pertikaian berlaku, pihak berkuasa tempatan terpaksa bersetuju untuk memindahkan jasad Sheikh Muhammad al-Jazuli dari kota Fez ke perkampungan asalnya Marrakech.

(Jarak antara kedua-kedua lokasi ini adalah selama 8 jam perjalanan dengan menaiki kenderaan)

Apabila tiba hari kubur Sheikh Muhammad dibongkarkan untuk proses pemindahan jasadnya, para penggali dapat mencium bauan kasturi semerbak, lalu mendapati tubuhnya masih segar sekali seakan-akan baru sahaja meninggal (walhal sudah 77 tahun dikebumikan), bahkan jari tangannya di dapati menyentuh pipi, apabila penggali ingin memperbetulkan kedudukan tangan Sheikh al-Jazuli, di dapati pipinya kemerahan bekas sentuhan jari sebelum ini.

Ini kerana bumi tidak sekali-kali memamah jasad para ulama, jasad para wali, jasad para syuhada’ dan jasad para nabi, sebagaimana yang kita sedia maklum.

Segala pujian ke hadrat ilahi atas kurniaan itu.

Kemudian jasadnya dipindahkan ke kota Marrakech, Morrocco untuk disemadikan di sana, setelah itu di dirikan pula masjid sekitar makam Sheikh al-Jazuli.

Insha Allah, apabila kalian berpeluang nanti, ziarahilah beliau di Masjid itu.

Alhamdulillah aku berkesempatan berkunjung ke sana jatuh pada hari majlis penutup bacaan selawat Dalail, mereka mengadakan majlis tersebut secara mingguan.

Pada kunjungan itu, aku berpeluang menemui zuriat Sheikh al-Jazuli.

Beliaulah yang memberi ijazah kepadaku beserta dengan kitab Dalail Khairat (khusus).

[Lokasi-lokasi Majlis Pembacaan Dalail Khairat]

Sekarang bacaan selawat ini dipraktikkan di dalam setiap pertemuan majlis tarekat Jazuliyah cabang Shaziliyah (ini kerana Sheikh al- Jazuli dari tarekat Shaziliyah) sama ada di Morocco atau pun di mana-mana sahaja.

Hingga di Mesir sekalipun, yang mana kalian dapat mendengar wirid mereka adalah selawat-selawat yang dinukil dari Dalail Khairat.

Di Qina, Sa’ īd Misr, bahkan di masjid Sayyidah Zainab seusai solat Subuh dan bacaan al-Quran beramai-ramai, para jemaah akan sama-sama mengalunkan selawat-selawat Dalail Khairat.

Begitu juga, di masjid Abu Abbas al-Mursi Iskandariah, di mana para jemaah memulakan bacaan selawat Dalail Khairat seusai solat Jumaat. Jemaah yang menyertai bacaan ini dipanggil ‘Dalailiyyun’.

Ini menguatkan lagi bahawa amalan selawat ini diamalkan dari generasi ke generasi berzaman lamanya, tanpa mengira tempat mahupun waktu.

Meskipun di negara-negara bukan Arab yang mana bahasa rasmi mereka bukanlah berbahasa Arab.

Kitab yang berkat, lagi mujarab, dipenuhi dengan nur.

Kita patut bersyukur ke hadrat ilahi kerana menunjukkan kepada kita jalan untuk mengenali kitab ini.

Lihat sahaja pada judul kitab ini iaitu ‘Dalail’ kata jamak bagi ‘Dalil’ yang bermaksud ‘petunjuk’= petunjuk kepada sesuatu. Bahkan kitab ini bukan setakat menunjukkan kepada satu sahaja kebaikkan (‘khair’= 1 kebaikkan), malah ia menunjukkan jalan bagi memperolehi banyak kebaikkan (‘khairãt’).

Ini bererti selawat ke hadrat baginda ﷺ akan memandu kita ke arah kebaikkan demi kebaikkan.

Judul kitab sahaja pun sudah cukup indah.

Lalu ada lagi tambahan bagi judul kitab ini, iaitu:

“..وشوارق الأنوار”

Maknanya: “…yang menerbitkan nur-nur di dalam kalbu kalian”

“..في ذكر الصلاة على النبي المختار ﷺ”

Maknanya: “..dengan mengingati Sang Nabi Pilihan ﷺ”

Wallahu’alam.

 

Sumber :

https://www.facebook.com/dr.yosrygabr/videos/711533083043352/

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​