loader image

Isteri Yang Nusyuz

Siri#042

————————————–

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nur Syawal Bin Ismail

(Graduan Syariah Islamiyah Universitiy Al-Azhar)

 

Siri Fatwa Darul Ifta’Misriyyah

Soalan:

Apakah hukum syarak ke atas wanita yang enggan ‘bersama’ dengan suaminya? Adakah dia dianggap Nusyuz? Dan adakah dia berhak menerima nafkah dalam tempoh ‘iddah, mut`ah serta baki maharnya yang ditangguhkan?

Jawapan:

Para Fuqaha telah menyatakan bahawa seseorang isteri itu dianggap berdosa besar apabila tidak mentaati suaminya  jika dia tidak mempunyai sebarang keuzuran atau alasan yang munasabah. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin `Auf bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم  bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

“seseorang wanita itu apabila dia mendirikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka akan dipanggil di Akhirat kelak “masuklah ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang kau suka””

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan:

«إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ أَنْ تَجِيءَ لَعَنَتْهَا الْمَلائِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ»

“apabila seorang suami menyuruh isterinya untuk bersama lalu isterinya enggan, maka Malaikat  akan melaknatnya sehinggalah pagi hari”

Berdasarkan dua hadis tadi, dapatlah kita fahami bahawa menjadi satu kewajipan ke atas wanita mentaati suaminya selagi mana bukan dalam perkara maksiat. Malah, keengganan isteri untuk ‘bersama’ dengan suaminya menyebabkan  kewajipan nafkahnya digugurkan dari tanggungjawab suami.

Adapun tentang nafkah dalam tempoh ‘iddah, mut`ah dan baki mas kahwin, terdapat perincian seperti yang telah dijelaskan oleh para Fuqaha. Iaitu jika isteri itu sendiri yang menuntut talak maka tiadalah baginya hak nafkah `iddah, mut`ah dan baki mahar yang ditangguh. Firman Allah Ta`ala dalam surah Al-Baqarah ayat 229:

 وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَنْ يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللهِ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ 

“dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu daripada apa yang kamu telah berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan) kecuali jika keduanya (suami dan isteri) itu takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa-mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya..”

Adapun jika suami itu sendiri yang mentalakkan tanpa sebarang tuntutan dari isteri dan tanpa isteri menggugurkan kesemua hak-haknya tadi, maka wajib ke atas suami menunaikan hak-hak tersebut.

Wallahu a`lam

 

Sumber:

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11719&Lang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​