Isteri ‘Free Hair’ Suami Berdosa?

Siri#038

————————————

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nur Syawal Bin Ismail

(Graduan Syariah Islamiyah,Universitiy Al-Azhar)

 

Siri Fatwa Darul Ifta’Misriyyah

Soalan:

Sejauh manakah tanggungjawab seorang suami dalam memastikan isterinya memakai tudung? Sekiranya si isteri ingkar tidak mahu bertudung adakah wajib si suami tadi memukulnya atau melayannya secara kasar sehigga dia memakai tudung? Dan adakah suami berdosa jika isterinya tidak bertudung?

Jawapan:

Allah memberikan tanggungjawab kepada para suami agar memastikan keluarganya selamat dari kemudaratan dunia dan akhirat. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Ibn `Umar dari Nabi صلى الله عليه وسلم:

كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا

“ setiap dari kamu dibebani dengan tanggungjawab, dan kalian pasti akan dipersoalkan akan tanggungjawab kamu. Oleh itu, para pemimpin bertanggungjawab akan rakyatnya, seorang lelaki bertanggungjawab akan keluarganya, seorang isteri itu bertanggungjawab akan hal ehwal dalam rumah suaminya”

Berkata Al-`Allamah Ibn Battal dalam Syarh Sahih Al-Bukhari (7/322):

كل من جعله الله أمينًا على شيء، فواجب عليه أداء النصيحة فيه، وبذل الجهد في حفظه ورعايته؛ لأنه لا يسأل عن رعيته إلا من يلزمه القيام بالنظر لها وصلاح أمرها

“setiap orang yang diamanahkan dalam sesuatu urusan, wajib ke atasnya memberikan yang terbaik dalam urusannya itu dan berusaha memeliharanya kerana dia akan dipersoalkan tentangnyaa”

Syariat mewajibkan para ketua keluarga agar memastikan kemaslahatan orang yang di bawah tanggungjawabnya terpelihara samada dari sudut duniawi atau ukhrawi.

Dari sudut duniawi, mereka bertanggungjawab memberi nafkah bagi memenuhi keperluan keluarganya seperti tempat tinggal, pakaian, makanan, ubatan serta rawatan sekadar mana yang mereka mampu. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Talaq ayat 7:

لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللهُ لَا يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا

“ dan hendaklah yang memiliki kesenangan (harta) itu memberi nafkah dari sebahagian hartanya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya hendaklah dia memberi nafkah sekadar yang dia mampu. Tidaklah Allah membebankan seseorang (kewajipan infaq) melainkan sekadar yang Allah telah berikan kepadanya (harta)”

Adapun dari sudut ukhrawi pula, para ketua keluarga diwajibkan menyuruh ahli keluarganya taat akan suruhan agama, melaksanakan ibadah, melarang mereka dari melakukan maksiat dan mungkar dengan mengajar serta memberi nasihat. Hendaklah mereka itu sabar melaksanakan tugas ini. Firman Allah Ta`ala dalam surah Al-Tahrim ayat 6

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

“ wahai orang-orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang mana bahan bakarnya adalah manusia dan batu-batuan”

Berbalik kepada masalah hijab atau tudung, ianya merupakan kewajipan khusus ke atas kaum wanita yang baligh dan berakal. Kewajipan ini terlaksana apabila wanita muslimah tadi memakai pakaian yang menutup seluruh  auratnya iaitu seluruh anggota tubuh kecuali muka dan tapak tangan, tidak ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh, serta tidak jarang sehingga boleh dilihat anggota tubuh di sebalik pakaiannya. Imam Abu Daud dan selainnya meriwayatkan dalam sunannya bahawa kata baginda:

«يَا أَسْمَاءُ، إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا»

“wahai Asma’ apabila baligh seorang perempuan itu tidak boleh diperlihatkan tubuhnya melainkan ini dan ini (muka dan tapak tangan)

Oleh itu suami perlu (wajib) sentiasa menasihatkan dan menggalakkan isterinya bertudung. Hal ini diqiyaskan ke atas perihal si suami wajib menyuruh keluarganya mendirikan solat dan bersabar melaksanakan perintah ini. Perkara yang menjadi `illah dalam qiyas ini adalah kedua-duanya merupakan kewajipan agama (hak Allah). Firman Allah Ta`ala dalam surah Taha ayat 132:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

“..dan perintahkan keluargamu agar mendirikan solat dan bersabar (istiqamah) menjalankan tugas ini”

Kalimah Istabir hاصطبر dalam ayat memberi makna “ hendaklah kamu lebih bersabar” yang mana ianya lebih mendalam dan hiperbola berbanding kalimah isbir اصبر.

Perlu diingatkan bahawa jika si isteri jenis yang taat hanya dengan cara berlemah-lembut dan pujukan, maka memadailah dengan berlembut. Akan tetapi kalau si isteri hanya akan mendengar kata (taat) dengan cara ketegasan maka suami perlu tegas. Namun, tidak dibenarkan sesekali memukul menyakiti tubuh badan isteri dan tidak boleh menghalang nafkah isteri sehingga menyebabkan tekanan jiwa kerana itu bukanlah cara yang berhikmah.

Kewajipan menutup aurat dan semua ibadah dalam agama adalah hak Allah. Tiada sesiapa yang boleh memaksa orang lain menjalankan perintah Allah. Dan hal ini tidak termasuk dalam nusyuz. Berkata Al-`Allamah Al-Syarawani dalam Hasyiahnya ke atas Syarhul Minhaj (1/452):

وليس للزوج ضرب زوجته على ترك الصلاة ونحوها.. ومثل المعلم الزوج في زوجته فله الأمر لا الضرب

“dan tidak boleh si suami memukul isterinya kerana meninggalkan solat dan seumpamanya (spt berhijab). Hukumnya sama seperti seorang guru terhadap anak muridnya. Dia hanya boleh memberi perintah namun tidak boleh memukul”

 

Berkata Imam Al-Ramli dalam Nihayah Al-Muhtaj (8/22):

وللزوج تعزير زوجته لحق نفسه كنشوز، لا لحقه تعالى إن لم يبطل أو ينقص شيئًا من حقوقه

“boleh si suami itu mengenakan hukuman takzir ke atas isterinya kerana tidak memenuhi haknya sebagai suami (nusyuz), dan bukan kerana isteri tadi mengabaikan hak Allah. Ini sekiranya tidak membatalkan hak atau mengurangkan hak suami.”

Sebagai penutup, apabila si suami tadi telah melaksanakan tanggungjawabnya menasihati isterinya agar bertudung namun isterinya masih berdegil, maka yang berdosa hanyalah si isteri. Tidak ada istilah ‘menanggung dosa anak, isteri atau orang lain’ di dalam Islam. Firman Allah Ta`ala dalam surah Al-An`am ayat 164:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

“ .. dan tiadalah sesuatu yang dilakkukan melainkan orang itu sahajalah yang menanggung dosanya. Dan seseorang tidak akan memikul dosa orang lain”

 

Wallahu a`lam

 

Sumber:

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=15752&Lang