ISLAM RAI PERBEZAAN PANDANGAN FIKAH

Siri#020

————————

Disediakan Oleh : Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husian Sheikh Ruwaq Jawi,Kaherah,Mesir.

(Calon PhD University Al-Azhar)

 

Islam rai perbezaan pandangan fikah

Ilmu fiqh adalah ilmu yang mengajar kita untuk hidup di dunia ini dengan menjadikan segala kemahuan dan perilaku kita sama ada dari sudut ibadah, ekonomi, perkahwinan, perundangan dan kenegaraan adalah tunduk kepada kehendak Allah dan RasulNya. Ini telah dijelaskan sendiri oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam:

« لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ »

yang bermaksud: “Tidak akan beriman seorangpun daripada kalian (secara sempurna) sehinggalah hawa nafsunya adalah pengikut kepada apa yang daku telah datang membawanya”.

Ilmu fiqh secara mudahnya adalah ilmu yang membahaskan hukum halal dan haram bagi segala perbuatan para mukallaf (orang yang baligh dan berakal). Ilmu ini adalah bersumberkan kepada dalil-dalil Syarak yang muktabar iaitu al-Quran, Hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam, Ijmak, Qiyas dan dalil-dalil yang lain.

Oleh kerana bukan semua individu mempunyai kepakaran dalam memahami dalil-dalil Syarak secara halus dan terperinci, maka bagi memastikan manusia mentaati Allah dan Rasul-Nya dalam segala tindak-tanduk mereka, para fuqaha selaku golongan pakar di dalam ilmu fiqh telah bertungkus-lumus memudahkan manusia dengan cara mengkaji secara langsung ayat-ayat al-Quran, hadith-hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam, Ijmak, Qiyas dan pelbagai dalil-dalil Syarak yang lain bagi mencari apakah sebenarnya hukum bagi sebarang perbuatan yang dilakukan oleh manusia. Hasil kajian mereka atau juga disebut sebagai ijtihad telah direkodkan, dibukukan dan diajarkan kepada para murid mereka dan terus diwarisi zaman-berzaman sehingga pada saat ini.

Oleh kerana kefahaman seseorang fuqaha terhadap dalil-dalil Syarak tidak sama dengan kefahaman fuqaha yang lain, maka kita sering mendapati berlaku perbezaan pandangan dalam dunia fiqh. Sebagai contoh, al-Imam al-Syafi’e berpandangan bahawa sentuhan kulit di antara suami dengan isteri tanpa lapik akan membatalkan wuduk sekalipun tanpa syahwat berdasarkan firman Allah Taala di dalam Surah al-Ma-idah ayat ke-6

(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُوا۟ وُجُوهَكُمۡ وَأَیۡدِیَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ وَٱمۡسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمۡ وَأَرۡجُلَكُمۡ إِلَى ٱلۡكَعۡبَیۡنِۚ وَإِن كُنتُمۡ جُنُبا فَٱطَّهَّرُوا۟ۚ وَإِن كُنتُم مَّرۡضَىٰۤ أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوۡ جَاۤءَ أَحَد مِّنكُم مِّنَ ٱلۡغَاۤىِٕطِ أَوۡ لَـٰمَسۡتُمُ ٱلنِّسَاۤءَ فَلَمۡ تَجِدُوا۟ مَاۤءفَتَیَمَّمُوا۟ صَعِیدا طَیِّبا فَٱمۡسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمۡ وَأَیۡدِیكُم مِّنۡهُۚ مَا یُرِیدُ ٱللَّهُ لِیَجۡعَلَ عَلَیۡكُم مِّنۡ حَرَج وَلَـٰكِن یُرِیدُ لِیُطَهِّرَكُمۡ وَلِیُتِمَّ نِعۡمَتَهُۥ عَلَیۡكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ)

Ayat ini antara antara lainnya menyebut bahawa persentuhan antara lelaki dan wanita akan membatalkan wuduk. Namun al-Imam Malik pula selaku guru al-Imam al-Syafi’e berpandangan bahawa maksud ‘persentuhan’ yang diinginkan oleh ayat ke-6 daripada Surah al-Ma-idah adalah persentuhan secara bersyahwat. Adapun persentuhan kulit tanpa syahwat, ia tidak membatalkan wuduk. Al-Imam Malik berhujahkan hadith riwayat al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim:

عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا قَالَتْ: كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَىْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلاَىَ فِى قِبْلَتِهِ، فَإِذَا سَجَدَ.. غَمَزَنِى فَقَبَضْتُ رِجْلَىَّ، فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا، قَالَتْ: وَالْبُيُوتُ يَوْمَئِذٍ لَيْسَ فِيهَا مَصَابِيحُ

Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam sewaktu sedang solat malam di rumah Sayyidatina Aisyah pernah menyentuh beliau agar Sayyidatina Aisyah membengkokkan kakinya yang telah dilunjurkan di tempat sujud Baginda supaya Baginda dapat sujud. Ini disebabkan ruangan bilik Sayyidatina Aisyah adalah sempit sehingga beliau sewaktu tidur terpaksa melunjurkan kaki beliau di tempat sujud Baginda. Walau bagaimanapun bagi al-Imam al-Syafi’e, beliau memahami bahawa sentuhan yang berlaku semasa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam sedang solat malam adalah secara berlapik dan bukannya persentuhan kulit secara langsung supaya tidak berlaku pertentangan antara ayat al-Quran dan Hadith.

Contoh ini menunjukkan bahawa sekalipun wujud perbezaan pandangan sesama para fuqaha sewaktu mereka menafsirkan dalil-dalil Syarak dalam keadaan masing-masing berperasaan bahawa pandangan merekalah yang sebenarnya menepati kehendak Allah dan Rasul-Nya, namun ini sama sekali tidak mengundang masalah dari sudut Syariat kerana perbezaan pandangan fiqh adalah dibenarkan dan diakui sendiri oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam sebagaimana yang berlaku di dalam kisah peperangan Bani Quroyzoh sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhariyy:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ: قَالَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَنَا لَمَّا رَجَعَ مِنَ الأَحْزَابِ: لاَ يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ الْعَصْرَ إِلاَّ فِى بَنِى قُرَيْظَةَ، فَأَدْرَكَ بَعْضُهُمُ الْعَصْرَ فِى الطَّرِيقِ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: لاَ نُصَلِّى حَتَّى نَأْتِيَهَا، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ نُصَلِّى، لَمْ يُرَدْ مِنَّا ذَلِكَ، فَذُكِرَ لِلنَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يُعَنِّفْ وَاحِدًا مِنْهُمْ.

Riwayat ini menjelaskan bahawa semasa peperangan tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah meminta para sahabat Baginda untuk mara ke perkampungan Yahudi Bani Quroyzoh yang telah belot. Baginda meminta para sahabat mendirikan solat fardu Asar yang bakal tiba setelah mereka tiba di perkampungan tersebut. Namun waktu solat Asar telah masuk sebelum para sahabat sempat tiba di perkampungan Yahudi Bani Quroizoh. Akhirnya para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam berbeza pandangan. Ada yang terus solat fardu Asar di perjalanan dengan berhujahkan bahawa mendirikan solat di awal waktu adalah tuntutan Islam manakala para sahabat yang lain pula melambatkan solat Asar dan mereka hanya mendirikannya setelah mereka tiba di perkampungan tersebut kerana berhujahkan arahan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang meminta mereka mendirikan solat Asar di perkampungan tersebut. Setelah berita ini sampai kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam, Baginda sama sekali tidak menyalahkan kedua-dua kumpulan tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa kepelbagaian pandangan para fuqaha dalam memahami dalil Syarak bukanlah satu kesalahan.

Fakta ini telah digurindamkan oleh al-Imam Ahmad bin al-Husayn bin al-Hasan atau lebih dikenali dengan panggilan Ibnu Ruslan di dalam kitab beliau; al-Zubad menerusi kalam indah yang berbunyi:

وَالشَّـــــــــــــافِعِىْ وَمَالِكٌ وَالنُّعْمَانْ                 وَأَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ وَسُـــــــــــــــــــــــفْيَانْ

                         

  وَغَيْرُهُمْ مِنْ سَــــــــــائِرِ الْأَئِمَّــــــــــــــــــةْ               عَلَى هُدًى وَالِاخْتِـَلافُ رَحْمَــةْ                  

yang bermaksud: “Al-Shafi‘iyy, Malik dan Nu’man. (Juga) Ahmad bin Hanbal dan Sufyân. (Begitu juga) selain mereka daripada seluruh para ulama (umat. Seluruh mereka berada) di atas hidayah dalam keadaan perbezaan (pandangan sesama mereka) adalah rahmat”.

Sekalipun para fuqaha berbeza pandangan dari sudut fiqh, namun pandangan-pandangan tersebut tetap bersumberkan dalil-dalil Syarak. Oleh itu ucapan seseorang yang mengatakan bahawa pandangan al-Imam al-Shafi‘iyy contohnya dalam isu begian-begian telah menyanggahi hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam sebenarnya adalah satu pandangan yang tidak tepat kerana para fuqaha sebenarnya tidak menganggahi hadith Baginda. Namun kerapkali berlaku perbezaan pandangan di kalangan mereka dalam memahami sabdaan Baginda yang akhirnya telah melahirkan pandangan fiqh yang beraneka ragam disebabkan perbezaan kefahaman tersebut. Maka tidak hairanlah apabila guru kami Fadhilat al-Shaykh Sayyid Syaltut al-Shafi’iyy telah menyatakan bahawa kitab yang menghuraikan hadith-hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang berkait dengan hukum-hakam fiqh adalah kitab-kitab fiqh.

Antara kesilapan lain yang sering berlaku pada zaman ini adalah pemikiran bahawa sesiapa sahaja yang mengetahui terjemahan al-Quran dan Hadith sudah layak untuk terus mencari hukum-hakam fiqh secara langsung daripada dua sumber ini. Akhirnya mereka sewenang-wenangnya berkata: “Ini halal dan itu pula haram kerana Allah telah berfirman begian-begian dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah bersabda begian-begian”. Secara tidak langsung mereka telah mengangkat diri mereka berada pada tahap kepakaran seorang fuqaha seperti al-Imam al-Shafi’iyy sedangkan mereka sama sekali sangat jauh dari tahap tersebut.

Oleh itu penjelasan kepada masyarakat bahawa orang yang layak untuk mencari hukum-hakam fiqh secara langsung daripada al-Quran dan Hadith hanyalah golongan fuqaha sahaja adalah sangat penting. Adapun kita yang tidak memiliki keahlian tersebut, maka berpegang dengan apa yang telah dinyatakan oleh golongan fuqaha adalah satu kewajipan.