AL-BAYAN : ISLAM MENGIZINKAN PENDERAAN KE ATAS PARA ISTERI?!

SIRI #014

———————-

Disediakan Oleh : Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain Sheikh Ruwaq Jawi,Kaherah Mesir.

(Calon PhD University Al-Azhar)

Tulisan Asal : Al-Imam Al-Akbar Fadhilat Al-Syeikh Prof. Dr. Ahmad al-Toyyib Yang Merupakan Syeikh al-Azhar al-Syarif

Antara yang sering dicari-cari oleh mereka yang ingin memburukkan Islam adalah ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang seakan-akan berlawanan dengan hak-hak kemanusiaan. Antara yang sering dimanipulasi oleh mereka adalah ayat al-Quran dari Surah al-Nisa’ ayat ke-34.

Menurut al-Imam al-Akbar Fadhilat al-Syeikh Prof. Dr. Ahmad al-Toyyib yang merupakan Syeikh al-Azhar al-Syarif waktu ini, firman Allah di dalam Surah al-Nisa’ ayat ke-34 ini yang bermaksud:

“Pukullah mereka [iaitu para isteri yang derhaka]”

bukanlah satu arahan untuk para suami memukul isteri mereka sewenang-wenangnya pada bila-bila waktu yang mereka ingin lakukannya.

Menurut beliau; Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri tidak pernah menyuruh para suami untuk memukul para isteri bahkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri tidak pernah memukul para isteri baginda sama sekali walaupun hanya sekali.

Adapun firman Allah di dalam Surah al-Nisa’ ayat ke-34 yang bermaksud:

“Wanita-wanita yang kamu semua takuti penderhakaan mereka [kepada para suami], maka berikanlah peringatan kepada mereka, tinggalkanlah mereka di tempat pembaringan dan pukullah mereka. Sekiranya mereka mentaati kamu semua, maka janganlah kamu semua mencari jalan [untuk kamu semua melakukan kezaliman] ke atas mereka”,

maka pukulan yang dinyatakan di dalam ayat ini adalah ubat terakhir bagi mengubati sikap penderhakaan para isteri kepada para suami mereka.

Pukulah tersebut pula adalah semata-mata pukulan simbolik yang hanya ingin menunjukkan kemarahan suami terhadap isteri yang menderhakai suami dan tidak mahu mendengar kata. Ini dibuktikan dengan kesepakatan seluruh ulamak Islam yang menyatakan bahawa pukulan yang dinyatakan di dalam Surah al-Nisa’ ayat ke-34 tersebut hanyalah bertujuan untuk membetulkan sikap derhaka isteri sahaja dan bukannya untuk menyakiti, menghina dan memudharatkan para isteri.

Menurut al-Imam al-Akbar Fadhilat al-Syeikh Prof. Dr. Ahmad al-Toyyib, para ulama menyatakan pukulan secara simbolik tersebut hanya dengan menggunakan kayu sugi atau berus gigi pada zaman hari ini yang semestinya tidak akan memudharatkan jasad para isteri sama sekali. Pukulan ringan tersebut hanyalah bertujuan untuk menzahirkan kemarahan suami ke atas sikap penderhakaan isteri dan bukannya untuk menyakiti batang tubuh si isteri. Maka jelaslah bahawa memukul isteri dengan cara yang mengakibatkan kesakitan dan penderaan ke atas batang tubuh adalah haram sama sekali.

Menurut beliau lagi, di dalam Islam, para tentera musuh yang telah kalah peperangan lalu dijadikan sebagai tawanan perang adalah diharamkan di dalam Islam daripada disakiti dan dizalimi sedangkan mereka sewaktu peperangan bercita-cita besar untuk memudharatkan masyarakat dan negara Islam. Maka bagaimana kita boleh pula beranggapan para isteri yang hidup di bawah naungan dan jagaan suaminya boleh pula dipukul dan dizalimi oleh si suami?!

Sekiranya kita meneliti keseluruhan isi kandungan al-Quran, kita akan mendapati hanya satu sahaja arahan di dalam al-Quran yang menyuruh para suami memukul isteri mereka sedangkan ayat-ayat al-Quran yang lain yang membicarakan tentang hubungan antara suami dan isteri seluruhnya menyeru kepada menjaga dan memuliakan para isteri.

Contohnya al-Quran menyuruh para suami agar berlaku baik kepada para isteri seperti firman Allah di dalam surah al-Nisa’ ayat ke-19 yang bermaksud:

Kamu semua dampingilah mereka [iaitu para isteri] dengan baik”

dan Surah al-Baqarah ayat ke-231 yang bermaksud:

“Maka peganglah mereka [iaitu para isteri] dengan baik”.

Al-Quran juga mengharamkan para suami daripada menzalimi para isteri seperti yang dinyatakan oleh Surah al-Tolaq ayat ke-6 yang bermaksud:

“Janganlah kamu semua memudharatkan mereka [iaitu para isteri]”.

Surah al-Nisa’ ayat ke-19 pula menyatakan kepada suami bahawa kadang-kadang kekurangan yang ada pada si isteri sebenarnya mempunyai hikmah dan kebaikan yang tidak disedari oleh para suami. Allah berfirman yang bermaksud:

“Maka sekiranya kamu semua membenci mereka [iaitu para isteri], berkemungkinan kamu membenci sesuatu dalam keadaan Allah menjadikan di dalam apa yang kamu benci itu akan kebaikan yang banyak”.

Maka apabila Allah berfirman di dalam Surah al-Nisa’ ayat ke-34 yang bermaksud:

“Pukullah mereka”

sedangkan ayat-ayat al-Quran yang lain semuanya menyeru kepada memuliakan para isteri, dapatlah kami ketahui bahawa pukulan yang dimaksudkan oleh ayat ke-34 dari Surah al-Nisa’ bukanlah pukulan yang difahami oleh masyarakat hari ini yang membawa kepada penyeksaan, kesakitan, kemudharatan dan penghinaan kepada kaum wanita.

Islam adalah agama yang sama sekali tidak mengizinkan sebarang bentuk keganasan. Islam sangat memuliakan perkahwinan dan menyeru agar perkahwinan diurus dengan bijaksana dan pandangan yang jauh. Namun sekiranya perkahwinan sudah tidak dapat lagi diselamatkan, Islam memberikan peluang kepada setiap pasangan untuk berpisah dengan cara yang baik dan kembali hidup berasingan agar setiap pasangan dapat hidup dengan aman dan bahagia tanpa ada sebarang unsur penindasan.