Hukuman Melakukan Hubungan Suami Isteri di Siang Hari Ramadhan

Siri#031

————————-

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Zulkifli Bin Salleh

(Graduan Darul Ifta’Misriyyah)

 

Siri Fatwa Darul Ifta’Misriyyah

Soalan : Apakah hukuman terhadap suami isteri yang melakukan hubungan kelamin ketika sedang berpuasa di bulan Ramadhan ?

Jawapan: Melakukan hubungan kelamin di siang hari Ramadhan adalah salah satu dari dosa-dosa besar dan WAJIB bertaubat akibat dari perbuatan tersebut dengan cara menghentikannya serta merta, perlu berasa menyesal dan bertekad takkan kembali mengulanginya.

 

Ini kerana, hubungan kelamin yang dilakukan oleh suami keatas isterinya adalah perlakuan sengaja dan atas pilihanya sendiri. Perbuatan ini jelas membatalkan puasa kedua-dua pasangan suami isteri tersebut, walaupun hubungan itu sekadar memasukkan takuk anu (leher kemaluan lelaki) ke dalam faraj mahupun lubang punggung. Tanpa mengira sama ada keluar air mani ataupun tidak keluar.

 

Akibat kesalahan ini, pasangan suami isteri terbabit WAJIB menggantikan puasa mengikut hari yang ditinggalkan.

 

Selain ganti puasa, si suami dikehendaki berpuasa selama 2 bulan berturut-turut (tanpa selang hari) sebagai denda Kaffarah atas kesalahan yang berlaku.

 

Jika si suami berkenaan tidak mampu berbuat demikian kerana ada halangan seperti faktor kesihatan tak mengizinkan (sakit) atau ada pengesahan dari pihak doktor perubatan yang mengatakan suami tersebut tidak mampu berpuasa (selama 2 bulan berturut-turut), maka BARULAH si suami diberi pilihan yang kedua iaitu PERLU memberi makanan kepada 60 orang miskin, berdasarkan hadis;

 

Saidina Abi Hurairah radhia Allahu anhu katanya: ((“Ketika kami duduk di samping Baginda Nabi , seorang lelaki menemui Baginda, dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku binasa.” Baginda bertanya: “Kenapa?” Jawabnya: “Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa.” Sabda Baginda: “Adakah kamu boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?” Jawabnya: “Tidak.” Baginda bersabda: “Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Jawabnya: “Tidak.” Sabda Baginda: “Adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?” Jawabnya: “Tidak.” Baginda Nabi diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, Nabi memberi sebakul tamar, lalu bersabda: “Di manakah orang yang bertanya tadi?” Lelaki itu menjawab: “Aku.” Sabda Baginda lagi: “Ambillah tamar ini dan sedekahkan.” Lelaki itu berkata: “Adakah ada orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang lebih fakir daripada keluargaku di antara Timur dan Barat Madinah ini!” Nabi ketawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda: “Berikan makan tamar itu kepada keluargamu.”)) Hadis riwayat Imam Al-Bukhari.

 

Majoriti ulama’ berpendapat bahawa denda Kaffarah ini hanya WAJIB keatas suami sahaja. Jika suami terlupa yang dirinya sedang berpuasa Ramadhan, maka tidak perlu Kaffarah.

 

Sumber :

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=12449&Lang

 

Tambahan

Pengenalan Ringkas Tentang Kaffarah Serta Jumlah Yang Perlu Diberi

Maksud Kaffarah

Kata dasar Al-Kaffarah adalah Al-Kufr, iaitu penutup; kerana Kaffarah menutupi dosa serta menghilangkan dosa, inilah asal perkataan Kaffarah. [Kitab: Tahrīr Alfãz At-Tanbīh Imam An-Nawawi, halaman 125]

 

Ada juga ulama’ yang mendefinisikan bahawa Kaffarah ini merupakan langkah (salah satu cara) pendekatan yang Allah Taala tetapkan bertujuan untuk menghapuskan dosa-dosa kesalahan dan memperoleh keampunanNya. [Mu’jam Alfãz Al-Quran Al-Karim, jilid 2, halaman 974]

 

Kadar Pemberian Kaffrah Dalam bentuk Makanan Asasi Setempat

 

Makanan ruji iaitu makanan harian yang utama bagi penduduk di negara kita adalah beras.

 

Kadar Sukatan

 

Satu ‘Mud’ untuk setiap orang miskin, tidak boleh kurang dari jumlah ini.  Apabila diagih-agihkan kepada kepada 60 orang miskin, perlulah dipastikan setiap seorang dari mereka mendapat sebanyak satu ‘Mud’.

 

‘Mud’ adalah nama sukatan atau ukuran ISI PADU ruang yang dipenuhi sesuatu jisim dalam sesuatu bekas.

 

Kuantiti isi padu untuk 1 Mud beras: bersamaan dengan satu tadahan penuh kedua-dua tangan orang biasa, tanpa genggam. [Rujuk Lisanul Arab & An-Nihayah Ibn Atsir bagi item (م د د)].

 

1 mud = 510 gram beras

60 mud = 510 x 60

= 30 kilogram 600 gram

 

Di sini, seorang fakir miskin perlu mendapat sebanyak 510 gram beras. Jumlah keseluruhan beras yang perlu diberikan kepada 60 orang miskin adalah sebanyak 30 kilogram 600 gram.

 

Pemberian Kaffarah Dalam Bentuk Nilai Wang

 

Menurut pendapat ulama’ Mazhab Hanafi, Kaffarah juga boleh diberikan kepada orang miskin dalam bentuk wang.

 

Ini bergantung kepada nilai semasa harga beras. Misalnya harga beras biasa di negeri Langkasuka pada tarikh 30 April 2020 untuk 1 kilo berharga RM 2.60

 

1000 gram = RM 2.60

1 Mud = 510 gram beras

60 Mud = 30 kg 600g

 

1 Mud = RM 1.326 (0.0026 x 510)

60 Mud = RM 79.56 (0.0026 x 30600)

 

1 Mud bersamaan RM 1.40

(Untuk seorang fakir miskin)

 

60 Mud bersamaan RM 84

(Untuk 60 orang miskin)

 

Kesimpulannya, suami yang ingin menebus kesalahan melakukan hubungan kelamin di siang hari Ramadhan boleh mengeluarkan Kaffarah dalam bentuk makanan beras iaitu sebanyak 30 kilogram 600 gram ATAU dalam bentuk wang iaitu RM 84 kepada 60 orang miskin.

 

Namun, disebabkan objektif pensyariatan (Maqasid) Kaffarah ini adalah sebagai satu bentuk hukuman, majlis agama Islam di negeri-negeri berhak menetapkan dengan menaikkan jumlah MUNASABAH yang patut dikeluarkan oleh pesalah terbabit iaitu jumlah yang melebihi had minimum RM 84 kepada misalnya RM 600 bagi 60 orang miskin bergantung kepada tempat, zaman dan purata pendapat individu di negeri berkenaan.

 

Allah Taala lebih Mengetahui

 

Ramadhan Kareem