loader image

Hukum Puasa Orang yang Tidur Lama Pada Waktu Siang Ramadhan

Hukum Puasa Orang yang Tidur Lama Pada Waktu Siang Ramadhan

Artikel Siri#027

————————-

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Zulkifli Bin Salleh

(Graduan Darul Ifta’Misriyyah)

Soalan: Bagi orang yang tidur lama pada waktu siang Ramadhan; Adakah terbatal puasanya

Terjemahan jawapan dari bahagian penyelidik fatwa Darul Ifta’ Misriyyah

Tidur lama pada waktu siang Ramadhan TIDAK membatalkan puasa, malah kalau orang yang sedang berpuasa itu tidur sepanjang hari sekalipun puasanya tetap sah, namun dia telah rugi kerana terlepas peluang mendapatkan ganjaran pahala buat dirinya.

Imam An-Nawawi di dalam kitabnya “Raudhoh At-Tholibin wa Umdah Al-Muftin” (Muka surat 366/jilid 2) menyebut: [ Meskipun dia telah tidur sepanjang siang hari, puasanya sah menurut pendapat sahih ].

Imam Ibnu Qudamah (tokoh mazhab Hanbali) pula menyebutkan di dalam kitabnya “Al-Mughni”: [ Tidur tidak menjejaskan puasa seseorang samada dia tidur sepanjang hari ataupun sekerat hari ].

Namun, mazhab Maliki berpendapat perbuatan memperbanyakkan tidur di siang hari Ramadhan dikira termasuk dalam kategori perkara-perkara yang makruh; tokoh mazhab Maliki Al-Hattob menyebutkan di dalam kitabnya “Mawahib Al-Jalil fi Syarhi Mukhtasor Khalil”(415/2); [( Subtajuk bagi bab puasa: Daripada perkara yang dihukum MAKRUH adalah puasa wisol (perbuatan meneruskan puasa tanpa berbuka ketika matahari telah terbenam), bergaul dengan pasangan (tanpa jimak), merenung pasangan (bermain mata), banyak bersembang, giat melakukan aktiviti, menguji rasa kuah masakan di lidah dan memperbanyakkan tidur pada waktu siang, ia dicatatkan oleh Qadi ‘Iyad dan Ibnu Juzayy ].

Kesimpulannya, tidak diragukan lagi bahawa ganjaran pahala orang berpuasa itu bergantung kepada sekadar mana kepayahan yang ditanggungnya selama berpuasa; ini adalah kerana baginda Nabi pernah berpesan kepada Saidatina Aisyah Radhia Allahu Anha:

(( Sesungguhnya ganjaran pahala buatmu adalah berdasarkan kadar lelah dan penat yang ditanggung olehmu )) Riwayat Al-Hakim di dalam kitabnya “Al-Mustadrak”.

Maha Suci Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui

 

Ramadhan Kareem

Sumber :

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?sec=fatwa&ID=13877

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​