loader image

Hukum Menghadiahkan Bacaan A l-Quran Kepada Simati

Hukum Menghadiahkan Bacaan A l-Quran Kepada Simati

Siri#036

————————-

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Khairul Faizi Bin Samsudin

(Pelajar Master Usul Fiqh,Universitiy Al-Azhar)

 

Soalan :

Telah menjadi adat bagi sebahagian orang – terutama di masyarakat luar bandar dan orang awam – untuk melakukan pengkhataman Al-Qur’an tiga hari setelah kematian seseorang.  Apakah hukum syarak pada amalan ini?  Adakah pahala bacaan ini sampai kepada si mati?

Jawapan : (Terjemahan serta olahan dari fatwa bertulis Prof. Dr. Ali Jumu’ah)

Antara ibadat yang paling afdal untuk mendekatkan diri kepada Allah adalah membaca Al-Quran. Syarak juga telah memerintahkan kita untuk membaca Al-Quran dengan perintah yang mutlak. Dan seperti apa yang telah ditetapkan dalam usul fiqh bahawa sesungguhnya perintah yang mutlak itu membawa faham umumnya perintah tersebut dari segi tempat, masa dan keadaan kecuali perkara yang telah dikecualikan dan ditaqyidkan oleh syarak.

Maka, membaca Al-Quran kepada orang mati, sama ada ketika kematiannya ataupun setelah itu, di rumahnya atau di masjid, di perkuburan atau lainnya, ketika penanaman atau selepasnya, kesemua keadaan tersebut adalah harus di sisi syarak dan tidak haram dengan ijmak ulama, melainkan sebahagian ulama mazhab maliki yang berpendapat bahawa makruh hukumnya membaca Al-Quran di atas perkuburan. Adapun begitu,  As-Syeikh ad-Dardīr Radhiallahu ‘anhu  dalam kitab asy-sharhu al-kabīr pada bab menziarahi kubur (423/1) berkata:

[المتأخرون على أنه لا بأس بقراءة القرآن والذكر وجعل ثوابه للميت، ويحصل له الأجر إن شاء الله] اهـ.

“(ulama malikiyyah yang) terkemudian berpendapat bahawa tidak mengapa membaca Al-Quran dan berzikir seterusnya jadikan pahala yang demikian itu kepada si mati, dengan izin Allah si mati akan beroleh pahala”

Ramai daripada ulama yang mengarang tentang permasalahan ini walaupun mereka  dari mazhab fiqah yang berbeza, seperti al-Imam al-khallāl al-hanbali telah menulis pada bahagian “pembacaan (Al-Quran) di atas perkuburan”, al-hāfiz  Syams ad-dīn al-maqdisi al-hanbali, As-Sayyid Abdullah Al-Ghumari juga telah menulis dalam kitabnya “ penjelasan yang mampan bagi menceritakan sampainya pahala Al-Quran” dan ramai lagi.

Antara dalil yang menunjukkan keharusan membaca Al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada orang mati :

  1. Hadis Ma’qal bin Yassar Radhiallahu ‘anhu dari baginda nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, baginda bersabda :

«اقرءوا يس على موتاكم».

“bacalah (surah) yāsīn ke atas orang mati di kalangan kamu”

Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan ibnu Mājah, telah disahihkan oleh ibnu Hibbān dan al-Hākim. Perlu diketahui, perintah untuk membaca surah yasin ke atas mayat ini merangkumi ketika waktu nazak dan selepasnya.

  1. Hadis ibnu Umar Radhiallahu ‘anhumā katanya : aku mendengar baginda nabi bersabda :

«إذا مات أحدُكم فلا تحبسوه، وأَسْرِعوا به إلى قبره، وليُقْرَأْ عند رأسه بفاتحة الكتاب، وعند رجليه بخاتمة سورة البقرة في قبره»

“sekiranya telah mati salah seorang dari kalian, janganlah kamu melewatkan pengebumiannya dan bersegeralah membawanya ke perkuburan, bacalah surah Al-Fatihah di kepalanya, dan akhir surah al-Baqarah di kakinya di kuburnya.”

Hadis ini telah ditakhrijkan oleh imam ath-Thabrāni begitu juga imam Al-Baihaqi dalam kitabnya; “cabang-cabang iman”.  Ia juga telah dihukumkan sebagai hadis hasan oleh al-Hāfiz ibnu Hajar. Terdapat dalam riwayat lain yang diriwayatkan dengan «بفاتحة البقرة»  “awal surah al-Baqarah” ganti kepada perkataan «فاتحة الكتاب»  . Begitu juga telah datang dari riwayat yang sahih dari ibnu Umar Radhiallahu ‘anhumā bahawasanya beliau mewasiatkan supaya dibacakan awal surah al-Baqarah dan akhir surah al-Baqarah di sisinya sekiranya beliau dikebumikan. Riwayat ini ditakhrijkan oleh al-khallāl dan dihukumkan sebagai sahih oleh ibnu Qudāmah adapun imam An-Nawawi menghukumkannya sebagai Hassan.

  1. Hadis marfū’ yang diriwayatkan dari Anas Radhiallahu ‘anhu :

«مَنْ دخل المقابر، فقرأ فيها يس، خفَّف الله عنهم يومئذٍ، وكان له بعددهم حسنات»

“Barang siapa yang telah dikebumikan, kemudian dibacakan padanya surah Yasin, Allah akan meringankan bagi mereka pada hari tersebut, dan baginya kebaikan mengikut bilangan mereka”

Hadis ini telah ditakhrijkan oleh sohib Al-khallāl dan disebut oleh ibnu Qudāmah dalam kitabnya; Al-Mughni.

Perlu diketahui bahawa khilaf dalam masalah ini adalah khilaf yang lemah, dan pendapat yang paling kuat adalah pendapat yang mengatakan bacaan Al-Quran (kepada si mati) adalah mustahab dan diharuskan. Sehinggakan sebahagian ulama berpendapat bahawa masalah ini merupakan masalah ijmak (tidak ada khilaf padanya). Antara ulama yang menyebut bahawa masalah ini merupakan masalah yang telah diijmakkan oleh para ulama ialah al-Imam ibnu Qudāmah al-maqdisi al-hanbali ; katanya : [ apa-apapun amalan mendekatkan diri (kepada Allah) yang dilakukan dan dijadikan pahalanya kepada orang muslim yang telah meninggal dunia, akan memberi manfaat kepada mereka insya-Allah… -sehinggalah beliau menyebut :- sebahagian ulama  telah berkata : sekiranya dibacakan Al-Quran di sisi si mati, ataupun dihadiahkan pahala bacaan kepadanya, maka bagi pembacanya pahala bacaan tersebut  dan si mati seolah-olah menghadiri majlis bacaan tersebut maka diharapkan rahmat baginya, dan dalil bagi kami (yang membolehkan) ialah apa yang telah kami sebut, dan ianya merupakan ijmak muslimin. Maka sesungguhnya orang muslimin itu tidak kira di tempat mana mereka duduki,dan di zaman mana mereka berada, mereka berkumpul dan membaca Al-Quran kemudian menghadiahkan pahala bacaan mereka itu kepada orang yang telah pergi meninggalkan mereka tanpa ada yang mengingkari perbuatan tersebut.] Al-Mughni (225/2)

Begitu juga As-Syeikh al-Uthmani dalam kitabnya “rahmat ke atas umat pada menghuraikan perbezaan pendapat antara para imam” telah meriwayatkan ijmak dengan katanya [ dan para ulama telah bersepakat (ijmak) bahawa istighfar, doa, sedekah, haji dan memerdekakan hamba sahaya dapat memberi manfaat kepada orang mati, serta pahalanya sampai kepada mereka, para ulama juga bersepakat bahawa membaca Al-Quran di perkuburan itu merupakan perkara yang mustahab.]

Para ulama mengambil pendapat bahawa sampainya pahala bacaan Al-Quran kepada si mati itu dari harusnya melaksanakan haji bagi pihak mereka dan sampainya pahala haji itu kepada mereka; ini kerana haji itu sendiri merangkumi sembahyang yang terdapat di dalamnya bacaan al-Fatihah dan lain-lain. Apa yang sampai secara keseluruhannya akan sampai juga secara sebahagiannya. Maka, pahala bacaan Al-Quran sampai kepada orang mati sekiranya pembacanya niat untuk sampaikan kepada mereka, di sisi jumhur ulama. Adapun ulama mazhab Syafi’i berpendapat bahawa pahala itu sampai dengan cara berdoa dengan berkata “ya Allah! Jadikanlah kepada si fulan pahala sepertimana pahala apa yang aku baca (daripada Al-Quran)”, bukan dengan cara menghadiahkan amalan itu sendiri. Walau bagaimanapun ini merupakan khilaf yang kecil, dan kita tidak sepatutnya berselisih dalam masalah ini.

Wallahu a’lam

 

Sumber :

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11449&Lang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​