Hari Syak Serta Hikmah Larangan Berpuasa Pada Hari Tersebut

Siri#024

———————-

Diterjemah dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Zulkifli Bin Salleh

(Graduan Darul Ifta’Misriyyah)

 

Siri Fatwa Darul Ifta’Misriyyah

Soalan: Apa itu Hari Syak ? Dan kenapa diharamkan berpuasa pada Hari Syak ?

 

(Terjemahan serta olahan dari fatwa bertulis Prof. Dr. Ali Jumu’ah)

 

Jawapan: Ulama’ berbeza-beza pendapat ketika menetapkan Hari Syak, namun pendapat yang kuat disisi majoriti tokoh-tokoh ulama’ menyatakan bahawa Hari Syak itu ialah hari yang ke-30 Syaaban, apabila terdapat segelintir orang yang memberitahu penampakkan anak bulan Ramadhan tetapi tidak dapat dibuktikan, ataupun saksi yang memberitahu peristiwa itu adalah dikalangan orang fasiq dan seumpamanya.

 

Tindakkan penetapan Hari Syak ini adalah berdasarkan khabar Saidina Ammar bin Yasir Radhia Allahu Anhu:

قول عمار بن ياسر رضي الله عنه: “مَنْ صَامَ الْيَوْمَ الَّذِي يَشُكُّ فِيهِ النَّاسُ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صلى الله عليه وآله وسلم” رواه أبو داود وغيره.

 

“Sesiapa yang puasa pada hari yang diragui (samada masih bulan Syaaban atau telah masuk Ramadhan), maka dia berlaku derhaka terhadap bapa Al-Qasim (Rasulullah) ” Dikisahkan oleh Imam Abu Daud serta perawi-perawi yang lain.

 

Adapun hukum berpuasa pada Hari Syak bergantung pada 2 keadaan:

 

Keadaan Pertama: Orang yang keterlaluan ketika mengambil langkah berjaga-jaga (ihtiyat) dengan cara berpuasa pada Hari Syak dengan niat puasa Ramadhan. Majoriti ulama’ mengatakan perbuatan seperti inilah yang dimaksudkan dalam perkhabaran sahabat Nabi diatas (puasa yang dilarang).

 

Ada juga dikalangan ulama’ iaitu hampir sebahagian besar tokoh-tokoh mazhab Syafie yang menghukum HARAM lagi tidak sah perbuatan puasa pada Hari Syak bagi keadaan pertama ini.

 

Manakala tokoh-tokoh mazhab Hanafi, Maliki serta Hanbali pula berpendapat perbuatan puasa bagi keadaan pertama ini sekadar dihukum MAKRUH sahaja.

 

Lain pula hukumnya jika terbukti Hari Syak tersebut merupakan hari pertama Ramadhan, maka ketika ini Imam Laith bin Saad serta tokoh-tokoh mazhab Hanafi berpendapat bahawa SAH hukumnya orang yang berpuasa pada hari itu, namun tokoh-tokoh mazhab Maliki, Syafie’ dan Hanbali berpendapat sebaliknya (TIDAK SAH).

 

※※※

 

Keadaan Kedua: Orang yang berpuasa pada Hari Syak, tetapi bukan dengan niat Ramadhan. Untuk situasi ini pula, majoriti ulama’ bersepakat membolehkan puasa orang ini jika sekiranya Hari Syak itu jatuh pada hari kebiasaan dia berpuasa; kerana sabda baginda Nabi :

 

لقول النبي صلى الله عليه وآله وسلم: «لا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ، إِلا أَنْ يَكُونَ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمَهُ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ» رواه الجماعة

 

(( Jangan ada seorang pun dikalangan kalian mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau 2 hari sebelum Ramadhan, melainkan bagi orang yang (kebiasaannya) berpuasa sunat, maka hendaklah dia berpuasa pada hari tersebut )) Diriwayatkan oleh sekumpulan perawi.

 

Disertakan juga keizinan untuk berpuasa qadha dan puasa nazar pada Hari Syak menurut pandangan majoriti ulama’ berdasarkan hadis baginda Nabi yang telah disebutkan sebentar tadi.

 

Tetapi jika berniat untuk berpuasa sunat mutlak ( iaitu semata-mata sunat tanpa sebarang ikatan ) yang bukan menjadi kebiasaan bagi dirinya selama ini, maka perbuatan orang yang berpuasa sunat mutlak pada Hari Syak ini dihukum HARAM menurut pendapat sahih tokoh-tokoh mazhab Syafie’, KECUALI lah jika sekiranya orang itu tadi sempat berpuasa pada separuh kedua bulan Syaaban(iaitu dengan syarat bermula dari 15 Syaaban berterusan tanpa selang hingga ke Hari Syak), maka ketika itu perbuatan menghubungkan kedua-duanya adalah dibolehkan, dan tidak mengapa menurut pendapat mazhab Hanafi dan juga mazhab Maliki.

 

※※※

 

Adapun menyentuh tentang hikmah tegahan berpuasa pada Hari Syak, maka para ulama’ berbeza-beza pandangan mengenainya:

 

  1. Ada yang menyatakan hikmah dilarang berpuasa pada hari itu adalah untuk memastikan tubuh badan berada dalam keadaan siap siaga (sihat) bagi menghadapi bahang puasa Ramadhan, dengan cara berbuka puasa pada Hari Syak.

 

  1. Ada juga ulama’ menyebut bahawa hikmah larangan ini adalah kerana dibimbangi berlaku percampuran antara ibadat sunat dengan ibadat fardhu.

 

  1. Ada pula ulama’ yang menegaskan bahawa larangan ini adalah perlu kerana penetapan hukum bergantung kepada hasil cerapan anak bulan.

 

Maha Suci Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui

 

Ramadhan Kareem

 

Sumber  :

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=12667&Lang