Hak Banduan Untuk Bersama Dengan Isterinya.

Siri#040

————————————-

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nur Syawal Bin Ismail

(Graduan Syariah Islamiyah,Universitiy Al-Azhar)

 

Siri Fatwa Darul Ifta’ Misriyyah

Soalan:

Adakah seorang banduan itu diberi hak untuk  bersama dengan isterinya (dan juga sebaliknya) ketika dalam tahanan?

Jawapan:

Islam amat mengambil kira soal memenuhi keperluan material dan rohani insan. Tujuannya adalah memastikan keamanan dan kestabilan masyarakat. Secara tidak langsung, ianya menyerlahkan elemen wasatiyah dan keseimbangan yang dimiliki oleh Syariat Islam. Begitu juga konsep ‘tanggung kesalahan sendiri’ merupakan salah satu konsep yang menjadi teras dalam Islam. Seseorang itu tidak  akan dihukum melainkan atas kesalahan dirinya sendiri bukan atas kesalahan orang lain biarpun sesama ahli keluarga.

Syariat Islam juga telah memperuntukkan hak-hak bagi setiap yang bergelar suami atau isteri. Serta, menetapkan kewajipan-kewajipan yang wajib ditunaikan terhadap pasangan masing-masing. Antara hak-hak tersebut adalah hak untuk mengadakan hubungan intim dengan pasangan. Dari perpekstif Fiqh Islami, majoriti Fuqaha berpendapat seorang isteri itu punyai hak agar disetubuhi sebanyak sekali bagi setiap fasa suci atau sekurang-kurangnya sebulan sekali. Hal ini jika tiada sebarang halangan yang diambil kira oleh syara’. Pendapat ini berasaskan firman Allah Ta`ala dalam surah Al-Baqarah ayat 222:

فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ

“..jika mereka (para isteri itu) selesai mandi (kerana telah suci dari haid) maka datangilah (setubuhilah) mereka  menurut aturan yang Allah telah perintahkan kepada kamu”

Imam Al-Syafi`i pula berpandangan bahawa hak bersetubuh ini hanyalah hak suami, maka jika  suami tidak mahu mengadakan hubungan intim dia tidak dihukum berdosa. Imam Ahmad pula menetapkan sekurang-kurangnya suami mesti menyetubuhi isterinya sebanyak sekali setiap empat bulan. Beliau berhujah dengan qiyas ke atas masalah ilaa (الإيلاء) seperti yang dinyatakan dalam firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 226:

لِلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ فَإِنْ فَاءُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيم

“kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan menyetubuhi isteri-isteri mereka, mereka diberi tempoh selama empat bulan. Setelah itu jika mereka (menyesal dan) kembali menyetubuhinya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun”

 

Dalam sesetengah keadaan, suami mungkin berjauhan dengan isteri seperti bermusafir. Jika si suami tiada sebarang keuzuran yang menghalangnya dari pulang semula bertemu dengan isteri, maka tempoh yang diberikan adalah sebanyak enam bulan. Jika dia enggan pulang walhal si isteri pula ketiadaan mahram yang boleh menemaninya pergi berjumpa dengan suami, maka Qadhi boleh memisahkan mereka berdua. Demikian pendapat Imam Ahmad. Pendapat ini berasaskan peristiwa Saidina `Umar Al-Khattab ketika beliau bertanya kepada anaknya, Hafsah tentang berapa lama wanita dapat bersabar ketika berjauhan dengan suami. Jawab Hafsah, “enam bulan”.

Oleh itu secara keseluruhannya, wajib ke atas suami mendorong isterinya menjaga kehormatan diri mengikut kadar hajat isterinya. Perkara ini ditegaskan oleh Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ `Ulumiddin (2/50):

وينبغي أن يأتيها في كل أربع ليالٍ مرةً، فهو أعدل؛ إذ عدد النساء أربعة، فجاز التأخير إلى هذا الحد. نعم، ينبغي أن يزيد أو ينقص بحسب حاجتها في التحصين؛ فإن تحصينها واجب عليه

“ sewajarnya si suami itu menyetubuhi isterinya sekali setiap empat hari. Itulah yang lebih adil kerana seorang seorang lelaki hanya dibenarkan memilik tidak lebih dari empat orang isteri. Namun boleh sahaja dikurang atau ditambah tempoh jarak masa itu mengikut hajat isterinya. Hal ini kerana mendorong isteri memelihara kehormatan itu wajib”

Sebagai kesimpulan, harus bagi seorang banduan diberikan hak untuk bersama dengan isterinya (dan juga sebaliknya) bagi mengadakan hubungan intim sepanjang dalam tempoh tahanan. Hal ini kerana konsep hukuman dalam Islam adalah per individu. Yakni hukuman tersebut tidak melibatkan pihak lain selain dari pesalah. Oleh itu dalam hal ini pihak pemerintah diberi kuasa samada untuk bertindak menghalang atau membenarkan hal tersebut menurut kemaslahatan masyarakat awam.

Wallahu a`lam.

 

Sumber:

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11701&Lang