loader image

Haji Atau Kahwin

Siri#034

————————————-

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nur Syawal Bin Ismail

(Graduan Syariah Islamiyah,Universitiy Al-Azhar)

 

Siri Fatwa Darul Ifta’Misriyyah

Soalan:

Seseorang telah mencapai umur 26 tahun dan bekerja di salah sebuah negara di timur tengah. Dari sudut kewangan dan selainnya dia sudah cukup syarat wajib untuk menunaikan kewajipan Haji di tanah suci. Cumanya dia masih belum berkahwin. Apakah yang afdal bagi dirinya, menunaikan Haji atau berkahwin?

Jawapan:

Haji itu merupakan Fardhu `Ain ke atas setiap individu Muslim tidak kira samada lelaki mahupun wanita jika syarat-syarat kewajipan itu sudah dipenuhi. Firman Allah ta`ala:

وَللهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

“Dan hanyalah bagi Allah jua diwajibkan Haji ke atas setiap mereka yang mampu”

Ianya juga salah satu daripada rukun Islam. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم  bersabda:

بُنِيَ الإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ … والحج

“Islam itu dibina di atas lima perkara (antaranya ialah) Haji.”

Maka seseorang Muslim itu jika mati dalam keadaan tidak menunaikan Haji sedangkan dia mampu dan telah memenuhi segala syarat wajibnya, dia mati dalam keadaan berdosa. Diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmidzi dalam Sunannya:

من مَاتَ وَلم يحجّ فليمت إِن شَاءَ يَهُودِيّا أَو نَصْرَانِيّا

“sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan tidak menunuaikan Haji –sedangkan dia mampu- maka matilah dia sebagai seorang Yahudi atau Nasrani”

 

Adapun  bernikah itu hukumnya sunat. Oleh itu, wajib didahulukan yang fardhu ke atas yang sunat. Hal ini sekiranya seseorang itu aman dari fitnah pintu-pintu perzinaan. Adapun jika tidak, maka wajib ke atas dirinya mendahulukan perkahwinan ke atas Haji. Kemudian setelah itu hendaklah dia melakukan Haji jika masih terdapat kemampuan.

 

Adalah perlu difahami bahawa tidaklah menjadi syarat wajib Haji bahawa seseorang itu perlu bernikah terlebih dahulu. Bahkan Haji itu menjadi wajib samada ke atas mereka yang belum mahupun yang sudah berkahwin.

 

Maka bagi individu dalam soalan tadi, hendaklah dia bersegera menunaikan Haji terlebih dahulu dan kemudian melangsungkan pernikahan. Ini jika dia mampu melaksanakan kedua-keduanya. Namun jika dia sudah bertunang atau telah mengadakan akad nikah ke atas salah seorang wanita lalu ingin bermusafir bagi menyempurnakan perkahwinan tersebut dan memelihara dirinya dari fitnah maka kami berpandangan adalah lebih baik untuknya bernikah terlebih dahulu. Oleh itu, hendaklah dia memastikan keadaan dirinya yang sebenar. Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Sunannya:

مَنْ لَمْ يَحْبِسْهُ مَرَضٌ أَوْ حَاجَةٌ ظَاهِرَةٌ أَوْ مَشَقَّةٌ ظَاهِرَةٌ أَوْ سُلْطَانٌ جَائِرٌ فَلَمْ يَحُجَّ فَلْيَمُتْ إنْ شَاءَ يَهُودِيًّا وَإِنْ شَاءَ نَصْرَانِيًّا

sesiapa yang tidak melaksanakan Haji sedangkan dia tidak sakit atau tidak ada hajat yang penting atau kesukaran yang teramat atau dihalang oleh pemerintah yang zalim, maka dia sendiri yang menentukan samada hendak mati sebagai Yahudi ataupun Nasrani”

Wallahu a`lam

 

Sumber :

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=15589&Lang

 

 

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​