Ganjaran Luar Biasa Malam Al-Qadr

Siri#041

—————————–

Disediakan oleh :

Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain

(Calon PhD Universitiy Al-Azhar)

 

Malam Al-Qadr Yang Yang Menjanjikan Pahala Beribadah Selama 833 Tahun

Malam al-Qadr adalah malam termulia dalam setahun. Al-Qadr bermaksud ‘Kedudukan’. Malam itu dinamakan sebagai malam al-Qadr kerana malam itu adalah malam yang memiliki kedudukan yang istimewa di sisi Allah berbanding dengan malam-malam yang lain. Allah mengabadikan kemuliaan malam al-Qadr menerusi Surah al-Qadr yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Dia tidak memberitahu kepadamu (akan hakikat sebenar) apakah malam al-Qadr. Malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat dan al-Ruh akan turun (dari langit ke bumi) pada malam itu dengan keizinan (daripada) tuhan mereka daripada semua perkara. Keselamatan adalah malam itu sehinggalah terbit fajar”.

Malam Al-Qadr Malam Penurunan Al-Quran

Menurut guru kami Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdu al-Hasaniyy: Allah telah memilih malam al-Qadr sebagai malam penurunan al-Quran yang menunjukkan kemuliaan yang disertai oleh kemuliaan-kemuliaan yang beraneka rakam. Ini kerana al-Quran selaku kitab suci yang paling mulia antara kitab-kitab suci yang lain. Al-Quran telah diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang paling mulia daripada kalangan para nabi. Al-Quran diturunkan melalui perantaraan Sayyidina Jibril Alaihissalam yang merupakan malaikat yang paling mulia daripada kalangan para malaikat. Al-Quran diturunkan pada malam al-Qadr yang merupakan malam yang paling mulia berbanding malam-malam yang lain. Penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam kali pertama telah berlaku di gua Hirak yang terletak di bumi Makkah yang mulia. Penurunan ini berlaku pada bulan yang paling mulia iaitu bulan Ramadhan untuk menjadi pedoman kepada umat yang paling mulia iaitu umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam.

Ketua Para Malaikat Yang Turun Dari Langit Ke Bumi Bagi Memuliakan Tetamu Malam Al-Qadr

Malaikat Jibril pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam kerap kali turun ke bumi bagi menyampaikan titah Allah Taala kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam. Namun selepas kewafatan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam, Sayyidina Jibril sudah tidak lagi turun untuk menyampaikan wahyu. Namun bumi pada setiap tahun tidak akan sunyi daripada menerima kedatangan sang malaikat yang mulia ini pada malam al-Qadr. Ini adalah berpandukan ayat keempat daripada Surah al-Qadr yang bermaksud: “Para malaikat dan al-Ruh akan turun (dari langit ke bumi) pada malam itu dengan keizinan (daripada) tuhan mereka daripada semua perkara”. Al-Ruh yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Malaikat Jibril Alaihissalam.

Malam Al-Qadr Adalah Malam Yang Lebih Baik Daripada Seribu Bulan

Apabila Allah Taala di dalam al-Quran menyatakan bahawa amalan begian-begian adalah lebih baik, ini akan menunjukkan bahawa pahala yang bakal diperolehi adalah seumpama si pelaku amalan tersebut melakukan amalan itu sebanyak sepuluh kali. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah Taala di dalam Surah al-Qosos ayat ke-84 yang bermaksud: “Barangsiapa yang telah datang dengan (melakukan) satu kebaikan, maka baginya (pahala) yang lebih baik daripada kebaikan tersebut”. Lalu Allah telah menjelaskan maksud-Nya ini menerusi Surah al-An’am ayat ke-160 yang bermaksud: “Barangsiapa yang telah datang dengan (melakukan) satu kebaikan, maka baginya sepuluh seumpama kebaikan tersebut”.  Lain pula halnya dengan malam al-Qadr yang telah dinyatakan oleh Allah di dalam Surah al-Qadr ayat ke-3 yang bermaksud “Malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan”.

Apabila kebiasaan setiap kebaikan digandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali ganda dalam masa yang sama Allah telah menyatakan bahawa malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan, maka guru kami Fadhilat al-Syeikh Dr. Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy berpandangan bahawa pahala beribadat pada malam al-Qadr adalah menyamai pahala sepuluh kali ganda bagi seribu bulan iaitu SEPULUH RIBU BULAN. Maka menurut beliau, sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr, dia akan dianugerahkan pahala beribadah kepada Allah selama 833 tahun 4 bulan.

Hikmah Penggandaan Luar Biasa Ibadah Pada Malam Al-Qadr

Allah telah mentakdirkan umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam berusia sekitar 60 ke 70 tahun secara kebiasaannya. Maka sekiranya ibadah yang dilakukan oleh umat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam adalah dikira berdasarkan umur mereka, ibadah yang mampu dilakukan hanya sekitar 55 tahun sahaja. Maka sekiranya seseorang yang telah mencapai umur baligh pada usia 15 tahun dan meninggal dunia pada usia 70 tahun telah beribadah kepada Allah dalam sehari selama 5 jam, maka sepanjang hidupnya dia hanya beribadah kepada Allah sebanyak 97,625 jam sahaja iaitu menyamai 4,067 hari dan 17 jam menurut kalendar hijri iaitu menyamai sekitar 11 tahun 162 hari sahaja. Akhirnya ibadah yang mampu dilakukan oleh orang ini sepanjang hidupnya hanyalah dilakukan selama 11 tahun 5 bulan 12 hari 17 jam sahaja. Maka kalaulah ini neraca bagi kiraan pahala, umat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang merupakan umat yang paling mulia hanya akan mampu membawa pahala amalan yang terlalu sedikit sekali berbanding dengan umat terdahulu yang memiliki usia yang panjang yang pastinya ahli ibadah umat terdahulu telah dapat beribadah dalam tempoh ratusan tahun lamanya.

Atas dasar rahmat Allah yang tidak bertepi kepada umat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam, Allah Taala telah menyediakan satu malam yang sangat istimewa yang kadar pahala ibadah pada malam tersebut akan dapat mengatasi kadar pahala ibadah umat para nabi terdahulu. Kelebihan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memuliakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang merupakan kekasih Allah Taala.

Bilakah Malam Al-Qadr

Allah Taala dan Rasul-Nya Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam tidak menyatakan dengan jelas bilakah sebenarnya malam al-Qadr sehingga ada di kalangan para ulama yang berpendapat bahawa berkemungkinan malam al-Qadr berlaku pada bulan selain Ramadan. Walau bagaimanapun kebanyakan para ulama berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada bulan Ramadan.

Antara hikmah mengapa Allah menyembunyikan tarikh malam al-Qadr adalah supaya kita bersungguh-sungguh dalam beribadat pada waktu malam sepanjang bulan Ramadan. Ini kerana sekiranya Allah menyatakan tarikh tepat malam al-Qadr, orang yang malas beribadah hanya akan menumpukan ibadah pada malam itu sahaja lalu dia akan tidur lena sepanjang malam-malam yang lain.

Walaupun tidak ada kepastian bilakah sebenarnya malam al-Qadr, kebanyakan para ulama menyatakan bahawa malam tersebut berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Ini dikuatkan dengan sikap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang menghidupkan 10 malam terakhir dengan bersungguh-sungguh sehingga baginda telah beriktikaf di al-Masjid al-Nabawi selama 10 hari 10 malam dan baginda tidak pulang ke rumah baginda sama sekali sepanjang tempoh tersebut. Al-Imam al-Syafi’iyy lebih cenderung untuk menyatakan bahawa malam istimewa ini adalah malam ke-21. Beliau juga mempunyai pandangan lain bahawa malam tersebut berkemungkinan adalah malam yang ke-23. Ada juga para ulama yang berpandangan bahawa malam al-Qadr pada setiap tahun akan berlaku pada malam ke-27 Ramadan.

Menurut al-Imam Ibnu Roslan, seseorang akan dianggap telah menghidupkan malam al-Qadr sekiranya dia telah beribadah sepanjang malam tersebut atau dia telah beribadah pada kebanyakan malam tersebut. Menurut al-Imam al-Nawawi, tanda malam al-Qadr adalah malam tersebut tidak sejuk dan tidak panas. Pada keesokan harinya pula, matahari akan terbit berwarna putih dan pancaran sinarnya tidak terik.