loader image

COVID 19.ADAKAH DOA KITA SEMUA SUDAH DITOLAK OLEH ALLAH?

COVID 19.ADAKAH DOA KITA SEMUA SUDAH DITOLAK OLEH ALLAH?

Disediakan oleh :

Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain

Sheikh Ruwaq Jawi,Kaherah Mesir

(Calon PhD Universitiy Al-Azhar)

Pandemik COVID-19 di Malaysia sehingga ke saat ini masih lagi pada angka yang membimbangkan. Pelbagai usaha sama ada secara fizikal atau spiritual telah dilakukan dalam membendung wabak yang semakin menggila ini. Doa telah dipanjatkan kepada Allah. Solat hajat telah didirikan dengan penuh pengharapan. Ruwaq Jawi sendiri telah mengadakan majlis bacaan Sahih al-Bukhari setiap hari semenjak Februari 2021 setiap hari sehingga ke saat ini dengan niat semoga Allah menghilangkan wabak ini. Namun sehingga ke hari ini, pemohonan dan doa daripada umat Islam masih belum nampak keberhasilannya. Adakah ini satu petanda bahawa doa kita semua sudah tidak diterima lagi oleh Allah Taala Yang Maha Berkuasa?   

Doa Adalah Tanda Kita Adalah Hamba Yang Fakir Kepada Allah

Doa adalah satu pengabdian diri daripada seorang hamba kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Menerusi doa, seorang hamba sebenarnya membuktikan betapa lemahnya dirinya dalam menghadapi ujian sehingga dia sekalipun mempunyai pelbagai idea dan kepakaran, dia tetap memerlukan Allah yang memiliki kuasa tidak terbatas. Rasulullah SAW sendiri selaku kekasih Allah yang paling dicintai oleh Allah tetap berdoa dan memohon kepada Allah sepanjang hidup Baginda. Doa akan menjadikan manusia menyedari bahawa dia memiliki tempat pergantungan sekalipun dunia sudah sempit baginya lalu sang pendoa akan terus optimis tanpa ada rasa putus asa di dalam hatinya.   

Adakah Doa Kita Sudah Tidak Dikabulkan Oleh Allah

Ramai orang menyangka bahawa apabila dia memanjatkan doa kepada Allah lalu dia tidak memperolehi apa yang dimintanya, itu adalah tanda bahawa doanya sudah ditolak oleh Allah. Persepsi ini berpunca kerana dia menyangka bahawa doa hanya akan diterima sekiranya apa yang dimintanya diperolehi pada waktu sesegera mungkin.

Namun pada hakikatnya apabila seseorang berdoa, Allah akan menerima doanya dengan pelbagai cara. Kadang-kadang Allah menerima doanya dengan cara memberikan kepadanya apa yang diminta oleh sang pendoa dengan segera. Kadang-kadang Allah menerima doa seseorang dengan menganugerahkannya apa yang dimintanya tetapi setelah berlalu zaman yang panjang. Ada juga orang yang meminta sesuatu daripada Allah lalu Allah tidak memberikan kepadanya apa yang dimintanya sebaliknya Allah memberikannya sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dimintanya. Ada juga orang yang meminta sesuatu namun sehingga ke akhir hayatnya dia tidak menerima daripada Allah apa yang dimintanya sebaliknya Allah memberikannya ganjaran yang sangat istimewa di syurga kelak. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apakah yang paling sesuai untuk seseorang hamba sedangkan sang hamba pula kadang-kadang meminta sesuatu yang rupa-rupanya akan membahayakan kehidupannya di dunia dan di akhirat.

Doa Tertolak Sekiranya Hamba Yang Berdoa Bergelumang Dengan Dosa

Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana yang direkodkan di dalam Sahih Muslim: “Sesungguhnya Allah -telah tinggilah Dia- adalah baik. Dia tidak akan menerima melainkan [perkara] yang baik. Sesungguhnya Allah -telah perkasalah Dia dan telah gahlah Dia- telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk [melakukan] apa yang Dia telah memerintahkan para Rasul untuk [melakukan]nya. Maka Dia -telah tinggilah Dia- telah berfirman: Wahai para Rasul! Anda semua makanlah [apa sahaja makanan] daripada [makanan-makanan] yang baik-baik dan anda semua lakukanlah amal soleh [Surah al-Mu’minun: 51]. Dia -telah tinggilah Dia- telah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman. Anda semua makanlah [apa sahaja yang anda semua mahu] daripada [makanan-makanan] yang baik-baik yang Kami telah merezekikan anda semua” [Surah al-Baqoroh: 172]. Sayyidina Abu Huroyroh telah berkata: “Kemudian Baginda telah menyebut [perihal] seorang lelaki yang jauh bermusafir, yang kusut rambutnya, yang berdebu [tubuhnya dan] yang menadahkan kedua-dua tangannya ke langit [seraya berdoa]: “Wahai Tuhanku. [Berikan daku begian-begian]. Wahai Tuhanku. [Jauhkan daku daripada begian-begian]” walhal makanannya adalah haram, minumannya adalah haram, pakaiannya adalah haram dan dia tumbuh membesar dengan [makanan] yang haram. Maka bagaimana hajat [orang] itu akan ditunaikan?!

Menurut Fadhilat al-Shaykh Prof. Dr. Aliyy bin Jum‘ah selaku mantan Mufti Kerajaan Mesir; hadith ini menerangkan kepentingan doa dalam kehidupan seorang muslim. Hadith ini turut menjelaskan bahawa antara syarat utama bagi penerimaan doa adalah makan makanan yang halal, memakai pakaian yang halal dan melakukan perbuatan yang halal.  Beliau menyatakan bahawa seseorang muslim perlu memastikan bahawa rezeki yang diperolehinya adalah rezeki yang halal. Maka dia tidak boleh menerima rasuah, tidak boleh merampas harta orang lain, tidak boleh mencuri, tidak boleh mengambil upah sebagai seorang tukang tilik, tidak boleh mendapatkan wang kerana menjual anjing, tidak boleh menerima upah kerana menjual kehormatannya, tidak boleh mendapatkan rezeki dengan cara menipu orang lain, tidak boleh makan harta anak yatim, tidak boleh terlibat dengan jenis-jenis perniagaan yang diharamkan oleh Islam dan dia tidak boleh menerima sebarang rezeki yang diperolehi dengan cara yang dimurkai oleh Allah Taala. Setelah rezeki yang diperolehinya adalah hanya dengan cara yang halal, seseorang muslim hendaklah memastikan bahawa makanan yang dibeli dengan harta yang halal itu juga adalah makanan yang halal. Maka dia hendaklah menjauhkan diri daripada arak, babi, bangkai dan sebarang makanan yang diharamkan oleh Islam. Setelah semua ini dipatuhi, doanya akan dimakbulkan oleh Allah Taala.

Namun sekiranya dia masih berada di dalam lingkungan perkara-perkara yang haram, maka sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam Ibnu Hajar al-Haytamiyy; makanan dan pakaian yang haram kebiasaannya akan menghalang doa seseorang daripada dimakbulkan oleh Allah sekalipun dia telah melakukan perbuatan-perbuatan yang membawa kepada penerimaan doa.

Menurut guru kami Fadhilat al-Shaykh Dr. Yusri bin Ruhsdi al-Hasaniyy pula; setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka nerakalah yang paling layak untuknya manakala setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang halal, maka pemiliknya adalah orang yang hampir dengan Allah, doanya adalah mustajab dan amalannya adalah diterima oleh Allah.

Pulangkan Segala Hak Manusia Yang Kamu Perolehinya Secara Zalim

Oleh kerana penghalang penerimaan doa adalah apabila sang pendoa bergelumang dengan harta yang diperolehi secara haram, maka setiap pihak yang pernah menzalimi seseorang dengan merampas hartanya tanpa hak perlu memulangkan semula harta itu kepada empunya supaya doa yang dipanjatkan selepas itu didengari oleh Allah Taala.

Namun sekiranya yang menzalimi sudah tidak dapat menjejaki yang dizalimi, maka sebagaimana yang dinyatakan oleh Fadhilat al-Shaykh Prof. Dr. Aliyy bin Jum‘ah; orang yang menzalimi diwajibkan untuk membebaskan dirinya daripada harta tersebut dengan cara memberikannya kepada fakir miskin dan orang yang memerlukan bantuan. Walau bagaimanapun pemberian harta yang haram kepada golongan yang memerlukan bukanlah dengan niat sedekah sebaliknya dengan niat ingin membebaskan diri daripada memiliki harta yang haram kerana Allah hanya akan menerima sedekah sekiranya sedekah itu daripada sumber yang halal. Maka pahala pemberian harta yang haram itu kepada golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan akan diperolehi oleh pemilik asal harta tersebut dan bukannya diperolehi oleh orang yang memperolehi harta secara haram. Walaupun begitu tindakannya yang membebaskan diri daripada bergelumang dengan harta yang haram adalah satu pemberitahuan bahawa dia telah bertaubat atas dosa memperolehi harta tersebut dengan cara yang haram dengan harapan semoga dia tidak akan dihukum di akhirat kelak atas dosa tersebut.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Ruwaq Jawi​​