loader image

BUNUH DIRI ADAKAH IA SATU PENYELESAIAN ?

BUNUH DIRI ADAKAH IA SATU PENYELESAIAN ?

Disediakan oleh :

Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husian

Syeikh Ruwaq Jawi Kaherah,Mesir

(Calon PhD Universitiy Al-Azhar)

Allah telah mengabadikan sabdaan Nabi Allah Yaakub kepada anak-anak lelaki baginda agar mereka tidak berputus asa sama sekali daripada rahmat Allah Taala menerusi ayat ke-87 daripada Surah Yusuf :

یَٰبَنِیَّ ٱذۡهَبُوا۟ فَتَحَسَّسُوا۟ مِن ‌یُوسُفَ ‌وَأَخِیهِ وَلَا تَا۟یۡءَسُوا۟ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ لَا یَا۟یۡءَسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ

yang bermaksud: “Wahai anak-anakku. Kamu semua pergilah lalu carilah khabar berita tentang Yusuf dan saudara lelakinya dan janganlah kamu semua berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tidaklah akan berputus asa daripada rahmat Allah melainkan hanyalah kaum yang kafir”.

Ayat ini sangat jelas dalam menuntut kita semua agar tidak berputus asa sama sekali daripada rahmat dan kasih sayang Allah walau seberat manapun ujian yang melanda kerana Allah sama sekali tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya.

Gembira Dan Duka Adalah Tabiat Seorang Manusia

Menurut Fadhilat al-Syeikh ‘Aliyy bin Jum’ah; sepanjang hidup kita di dunia ini, kita akan dikurniakan kegembiraan atas nikmat yang kita terima dan kita juga akan bersedih dengan musibah yang melanda. Kesedihan dan kegembiraan bukanlah satu kesalahan. Namun bergembira sehingga melakukan kerosakan di atas muka bumi ini adalah satu kesalahan. Bersedih hati juga bukanlah satu kesilapan tetapi bersedih sehingga menyendiri dan menjauhi manusia adalah satu kesalahan. Fadhilat al-Syeikh ‘Aliyy bin Jum’ah turut menyatakan bahawa apabila seseorang putus asa, dia sebenarnya berada di dalam kelalaian. Maka penawar bagi kelalaian adalah keluar daripada kelalaian dan menuju kepada mengingati Allah Taala. Allah berfirman di dalam Surah al-Jumu’ah ayat ke-10

وَٱذۡكُرُوا۟ ‌ٱللَّهَ ‌كَثِیرا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

yang bermaksud: “Kamu semua sebutlah [nama] Allah dengan banyak. Moga-moga kamu semua akan berjaya”.

Jangan Meminta Kesabaran Sebelum Ujian

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam sentiasa meminta kita agar optimis dan tidak sama sekali meminta kesusahan. Bahkan sewaktu baginda dan para sahabat sedang berhadapan dengan tentera musuh yang akan menyerang mereka bila-bila masa, baginda telah bersabda kepada para perajurit Islam :

أَيُّهَا النَّاسُ، لاَ تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ، وَسَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ.. فَاصْبِرُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلاَلِ السُّيُوفِ

“Wahai manusia. Kamu semua janganlah mengharapkan pertemuan dengan musuh. Kamu semua mohonlah daripada Allah akan keselamatan. Lantas apabila kamu semua telah bertemu dengan mereka, maka kamu semua bersabarlah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya syurga adalah di bawah bayangan pedang-pedang”.

Pernah pada satu hari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam mendengar seorang lelaki berdoa: “Ya Allah. Sesungguhnya daku memohon daripada-Mu akan kesabaran”. Lantas baginda telah bersabda:

سَأَلْتَ اللَّهَ الْبَلاَءَ، فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ

“Anda telah meminta daripada Allah akan malapetaka. Maka mohonlah daripada-Nya akan keselamatan”.

Baginda menegur sahabat tersebut kerana dengan memohon kepada Allah agar dikurniakan kesabaran bererti memohon agar ditimpakan kecelakaan terlebih dahulu sedangkan kita tidak boleh meminta ujian daripada Allah. Namun jika kita benar-benar diuji dengan kesusahan dan ujian, barulah kita pada saat itu dituntut untuk memohon kesabaran.

Ujian Adalah Hadiah Daripada Allah Taala

Mungkin ramai akan terkejut jika ada orang yang berkata: “Ujian adalah hadiah daripada Allah”. Namun ini sebenarnya adalah satu realiti. Seseorang yang melihat dengan mata hati akan menyedari bahawa ujian yang menimpa dirinya bukanlah tanda kebencian Allah kepadanya bahkan sebenarnya Allah ingin mengangkat lagi kedudukan orang yang diuji di sisi Allah Taala.

Pernah pada satu hari Sayyidina Sa’d bin Abu Waqqos bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam: “Wahai Rasulullah. Mana satukah manusia yang paling dahsyat sekali ditimpa ujian”? Baginda telah bersabda:

الأَنْبِيَاءُ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ، فَيُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ دِينُهُ صُلْبًا.. اشْتَدَّ بَلاَؤُهُ، وَإِنْ كَانَ فِى دِينِهِ رِقَّةٌ.. ابْتُلِىَ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَمَا يَبْرَحُ الْبَلاَءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِى عَلَى الأَرْضِ مَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ

“Para nabi. Kemudian orang yang paling menyerupai [para Nabi] lalu [yang seterusnya pula adalah] orang yang paling menyerupai [orang yang paling menyerupai para Nabi]. Maka seorang lelaki akan diuji berdasarkan [kekuatan] agamanya. Lalu sekiranya agamanya adalah keras, nescaya ujiannya telah menjadi berat. Sekiranya tipis yang wujud di dalam agamanya, nescaya dia telah diuji berdasarkan [hal keadaan] agamanya. Maka ujian akan berterusan [bersama] dengan seorang hamba sehinggalah ujian meninggalkannya berjalan di atas bumi dalam keadaan sudah tidak ada lagi di atasnya sebarang kesalahan”.

Ini bermakna semakin kita menghampiri keperibadian para rasul, semakin dahsyat ujian yang melanda. Ini bagi menghapuskan segala dosa dan membuahkan juga sifat sabar yang akan menatijahkan kecintaan Allah Taala sebagaimana yang tertera di dalam ayat ke-146 daripada Surah Ali ‘Imron:

وَٱللَّهُ ‌یُحِبُّ ‌ٱلصَّٰبِرِینَ

“Allah mencintai mereka yang sabar”. Menurut Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy; apabila seseorang sudah dicintai oleh Allah, dia tidak akan diazab oleh Allah di dalam api neraka.

Al-Imam al-Bukhoriyy pernah meriwayatkan satu hadith yang menceritakan kelebihan ujian yang menimpa seseorang. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

“Tidak akan menimpa seorang muslim [apa sahaja] daripada kepenatan, kesakitan, kerunsingan [disebabkan musibah yang bakal berlaku], kesedihan [disebabkan musibah yang telah berlaku], kemudharatan dan penderitaan sehinggakan duri yang menusuknya pun melainkan Allah telah menutupi disebabkan musibah-musibah itu akan kesilapan-kesilapannya”.

Membunuh Diri Bukanlah Satu Pengakhiran Sebaliknya Satu Permulaan Yang Mengerikan

Ramai orang yang kecewa beranggapan bahawa dengan membunuh diri, selesailah segala masalah yang dihadapinya selama ini. Namun dia sebenarnya telah tersilap kerana membunuh diri bererti memulakan penderitaan yang akan terus menyakitkan dirinya. Al-Imam al-Bukhoriyy telah meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah bersabda :

مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ.. فَهْوَ فِى نَارِ جَهَنَّمَ يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَحَسَّى سَمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ.. فَسَمُّهُ فِى يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ.. فَحَدِيدَتُهُ فِى يَدِهِ يَجَأُ بِهَا فِى بَطْنِهِ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا

“Barang siapa yang telah terjun daripada gunung lalu dia telah membunuh dirinya, maka dia di dalam neraka Jahanam akan terjun daripada gunung [yang ada di dalam neraka] dalam keadaan dia adalah orang yang kekal dan dikekalkan di dalam neraka Jahanam selama-lamanya. Barang siapa yang telah meneguk racun lalu dia telah membunuh dirinya, maka racunnya [akan berada] di tangannya di dalam neraka Jahanam dalam keadaan dia adalah orang yang kekal dan dikekalkan di dalam neraka Jahanam selama-lamanya. Barang siapa yang telah membunuh dirinya dengan sebilah [senjata] besi, maka [senjata] besinya [akan berada] di tangannya dalam keadaan dia akan memukul perutnya dengan besi itu di dalam neraka Jahanam dalam keadaan dia adalah orang yang kekal dan dikekalkan di dalam neraka Jahanam selama-lamanya”.

Bayangkan derita sewaktu nyawa ditarik akibat membunuh diri di dunia tidak hanya berhenti di dunia sebaliknya kengerian itu akan terus dirasai berulang-ulang kali sewaktu dia di dalam api neraka nanti apabila dia akan berterusan diazab dengan cara dia membunuh diri di dunia dahulu.

Solidariti Buat Mereka Yang Diuji Dengan Kesempitan Yang Menekan

Bukan semua orang mempunyai kematangan dalam menghadapi kesempitan hidup. Mereka sangat memerlukan sokongan daripada semua lapisan masyarakat dalam menghadapi situasi getir di dalam kehidupan. Maka segala usaha bantuan kepada golongan yang menghadapi tekanan adalah satu tuntutan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam pernah bersabda :

لَيْسَ ‌الْمُؤْمِنُ الَّذِي ‌يَشْبَعُ، ‌وجارُه ‌جَائِعٌ

“Bukanlah seorang mukmin orang yang kenyang sedangkan jirannya berlapar”. Bukan hanya yang susah diuji oleh Allah bahkan orang yang senang juga diuji oleh Allah sama ada dia akan membantu yang susah atau membiarkannya sahaja.

Bagi yang berada di dalam kesempitan, jangan malu untuk meminta bantuan kerana anda layak untuk menuntut bantuan dek kerana kesusahan yang anda hadapi. Dengan meminta bantuan atas kesusahan yang benar-benar terjadi kepada anda, anda sama sekali tidak mencemarkan maruah anda bahkan anda telah membuka ruang kepada kami untuk menjadi seorang mukmin yang hakiki. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam pernah bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ.. لاَ يُرْحَمُ

“Barang siapa yang tidak merahmati, dia tidak akan dirahmati”.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Ruwaq Jawi​​

Disediakan oleh : Al-Fadhil Ustaz Affan Bin Azizan ( Panel Penyelidikan Ruwaq Jawi ) Merokok