Buka Siaran Al-Quran Tapi Tak Mahu Dengar.

Artikel#035

—————————–

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nur Syawal Bin Ismail

(Graduan  Syariah Islamiyah,Universitiy Al-Azhar)

 

Siri Fatwa Darul Ifta’Misriyyah

Soalan:

Kami mendapati sebahagian pekedai-pekedai membuka siaran rakaman bacaan Al-Quran di radio sepanjang siang hari. Bahkan sehingga mereka menutup kedai-kedai mereka dan membiarkan radio itu terbuka sepanjang malam. Dan kebiasaannya suara radio itu kuat sehingga menyakiti jiran tetangga. Walhal mereka pada waktu itu dalam keadaan leka, berseronok dan langsung tidak memberi tumpuan kepada bacaan Al-Quran tersebut.

1)      Apa hukum dalam Islam terhadap amalan mereka ini yang sehingga menyakiti jiran tetangga?

2)      Apa hukum jika seseorang membuka siaran rakaman Al-Quran di radio atau selainnya tetapi langsung tidak memberi tumpuan kepada bacaan tersebut malah sibuk dengan urusan lain?

 

Jawapan:

Al-Quran itu adalah Kalamullah yang benar (Al-Haq) lagi jelas dan nyata. Tiada sesiapa yang mengetahui segala isi kandungan melainkan Allah jua. Dan tidak mungkin ada makhluk yang mengetahui walaupun sebahagian darinya juga segala rahsianya. Pun begitu, Allah ta`ala itu amat pemurah kepada insan. Dia  ‘berinteraksi’ melalui KalamNya dengan bahasa manusia.Tujuannya untuk mengajar manusia apa yang benar dan membuka minda agar mereka berfikir. Firman Allah Ta`ala:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ

“ sungguh Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pengajaran (daripadanya)?”

Firman Allah lagi dalam surah Sad ayat 29:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

“itulah kitab yang kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad), lagi berkat (banyak faedahnya) agar mereka memerhati isi kandungannya, dan agar mereka yang berakal sempurna mengambil peringatan darinya”

Allah Ta`ala juga memerintahkan kita agar diam dan memberi tumpuan apabila mendengar bacaan Al-Quran di dalam solat fardhu seperti mana yang Ibn `Abbas tafsirkan ayat 204 dari  surah Al-A’raf:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“dan apabila dibacakan Al-Quran hendaklah kamu mendengarnya dan diam agar kamu dilimpahi rahmat”

Dan diantara adab-adab mendengar Al-Quran adalah

·         Diam dan memberi tumpuan kepada ayat-ayat yang dibacakan

·         Cuba memahami makna-maknanya

·         Merasakan kegerunan mendengar ayat-ayat azab dan larangan

·         Merasakan ketenangan ketika mendengar ayat-ayat rahmat.

Semuanya ini untuk merealisasikan perintah ayat diatas. Maka adalah wajib ke atas mereka yang mendengar alunan ayat-ayat suci Al-Quran beriltizam dengan adab-adab ini serta tidak berbual kosong atau melakukan apa sahaja perkara yang membuatkan mereka tidak memberi tumpuan kepada Al-Quran.

Sebagai kesimpulan, tiada halangan membaca Al-Quran di mana-mana tempat asalkan ianya suci lagi terhormat, jika diniatkan ingin berzikir dan mengharapkan pahala, atau ingin mengajar orang lain cara membaca dengan betul (bertajwid) atau mengajarkan hukum-hakamnya atau ingin mengajak orang lain agar melazimi bacaan Al-Quran. Ini selagi mana tidak meninggikan suara (volume) sehingga boleh menggangu orang lain apatah lagi jiran tetangga.

Wallahu a`lam

Sumber:

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=15175&Lang