loader image

BOLEH KE BAWA MUSHAF WAKAF KELUAR DARI MASJID?

BOLEH KE BAWA MUSHAF WAKAF KELUAR DARI MASJID?

Siri#46

————————-

Diterjemahkan dan diolah oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nur Syawal Bin Ismail

(Graduan Syariah Islamiyah,Universitiy Al-Azhar)

Siri Fatwa Darul Ifta’Misriyyah

Soalan :

Apa hukum mengambil mushaf Al-Quran yang diwakafkan untuk masjid keluar dari masjid tanpa meminta izin dari pihak pengurusan masjid?

Jawapan :

Berkata Imam Khatib Al-Syirbini dalam Mughni Al-Muhtaj  (3/ 522):

حَبْس مال يمكن الانتفاع به مع بقاء عينه بقطع التَّصرُّف في رقبته على مَصْرفٍ مباح موجودٍ

“Wakaf secara istilah syaraknya adalah seseorang menyerahkan hak milik hartanya yang boleh dimanfaatkan serta kekal fizikalnya (tidak susut) kepada pengguna yang sedia ada untuk tujuan yang diharuskan oleh syarak.”

Oleh itu, sesiapa  yang mengambil mushaf wakaf atau bahan bacaan wakaf keluar dari masjid maka dia telah melakukan satu kesalahan. Tidak kira samada diberi keizinan oleh pihak pengurusan masjid atau tidak. Hal ini kerana, dengan semata-mata barang tersebut diwakafkan melalui lafaz oleh pewakaf seperti “Aku mewakafkan mushaf al-Quran ini untuk masjid agar dimanfaatkan oleh kaum muslimin”, secara ‘automatik’ ia menjadi hak milik masjid dan bukan lagi hak milik pewakaf.

Bukan itu sahaja, setiap barang wakaf hendaklah dijaga dan diuruskan selari dengan kehendak pewakaf. Jika dia mewakafkan untuk masjid maka tidak boleh dimanfaatkan untuk selain masjid. Jika diwakafkan untuk anak-anak yatim maka tidak boleh dimanfaatkan oleh selain mereka. Begitulah seterusnya.

Maka mengeluarkan mushaf dan seumpamanya keluar dari masjid adalah bertentangan dengan pinsip wakaf tersebut. Bahkan keberadaan mushaf itu dalam masjid menjadi tanda dan bukti ianya diwakafkan untuk masjid tersebut dan bukan selainnya.

 Kaedah fiqah menyebut:

شَرْط الواقف كنص الشارع

 “syarat yang diletakkan oleh pewakaf itu juga adalah syarat yang diletakkan oleh syarak”

Hal ini berbeza jika pewakaf itu sendiri yang mengizinkan dalam kontrak wakaf agar barang wakaf itu dipinjamkan. Maka tidak menjadi satu kesalahan bagi seseorang membawa mushaf keluar atas dasar meminjam.

Namun tidak dinafikan adakalanya syarat yang diletakkan oleh pewakaf itu sendiri menjejaskan objektif (maslahat) berwakaf iaitu agar dimanfaatkan. Dan hal ini  agak kerap berlaku seperti terdapat banyak bahan bacaan di masjid-masjid tidak dimanfaatkan oleh orang ramai. Justeru, sebahagian Fuqaha mengharuskan pinjaman harta wakaf biarpun menyalahi kehendak si pewakaf atas dasar maslahat ibadah berwakaf.

Berkata Imam Al-Nawawi rhm dalam Raudhoh Al-Tolibin (335/5, Maktabah Islamiy):

والأصل فيه -أي: في الوقف- أَنَّ شروط الواقف مَرْعيَّة، ما لم يكن فيها ما ينافي الوقف

“secara dasarnya, harta wakaf itu diuruskan selari dengan kehendak pewakaf selagi mana ianya tidak melanggar konsep wakaf itu sendiri”

Sebagai kesimpulan, perbuatan membawa mushaf atau apa sahaja barang harta yang diwakafkan keluar dari masjid adalah haram dan pelakunya berdosa melainkan dia tidak mengetahui hukum-hakam ini atau tidak sengaja melakukannya. Bagi sesiapa yang telah mengeluarkannya dari masjid tidak kira samada sengaja atau tidak, wajib memulangkannya semula. Jika berlaku kerosakan atau kehilangan maka wajib digantikan dengan yang barang yang semisal dengan harta tersebut. Wajib dia bertaubat kepada Allah agar dosanya diampunkan.

Wallahu a`lam

Sumber :

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=15151&Lang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Ruwaq Jawi​​