loader image

BIDAAH ADAKAH SEMUANYA DITOLAK ?

Disediakan oleh :

Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain

Sheikh Ruwaq Jawi Kaherah,Mesir

(Calon PhD Umiversitiy Al-Azhar)

Masyarakat kerapkali diseru oleh sebahagian pihak yang mendakwa diri mereka sebagai pengikut ulama salaf untuk meninggalkan amalan tertentu seumpama bacaan Yasin pada malam Jumaat hanya dengan alasan bahawa amalan tersebut tidak dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam. Lalu golongan ini mendakwa amalan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam hendaklah ditolak kerana ia adalah BIDAAH iaitu amalan yang diada-adakan yang tidak dilaksanakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam. Mereka berdalilkan hadith yang telah direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim:

Daripada Sayyidatina ‘Aishah -[semoga] Allah telah meredhai beliau-, beliau telah berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَحْدَثَ فِى أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ.. فَهُوَ رَدٌّ

“Barang siapa yang telah mengada-adakan di dalam urusan kami ini [iaitu agama Islam] sesuatu [perkara] yang bukan daripada urusan kami, maka perkara tersebut adalah penolakan”.

Kefahaman Para Ulama Terhadap Hadith Bidaah

Hadith yang telah diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aishah di atas secara zahirnya menunjukkan bahawa kita diminta untuk menolak segala perkara baharu yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam. Namun para ulama menjelaskan bahawa perkara yang diada-adakan tersebut hanya diminta untuk ditolak apabila ia bertentangan dengan kehendak Syarak. Sekiranya perkara yang diada-adakan tersebut tidak pula bercanggah dengan arahan Syarak, maka perkara yang diada-adakan itu sebenarnya adalah dibolehkan.

Al-Imam Ibnu Hajar al-Haytamiyy yang merupakan antara tokoh utama di dalam mazhab al-Imam al-Syafi’iyy telah menukilkan ucapan al-Imam al-Syafi’iyy

الْمُحْدَثَاتُ ‌مِنَ ‌الْأُمُورِ ضَرْبَانِ: أَحَدُهُمَا: مَا أُحْدِثَ يُخَالِفُ كِتَابًا أَوْ سُنَّةً أَوْ أَثَرًا أَوْ إِجْمَاعًا، فَهَذِهِ لَبِدْعَةُ الضَّلَالَةِ، وَالثَّانِيَةُ: مَا أُحْدِثَ مِنَ الْخَيْرِ لَا خِلَافَ فِيهِ لِوَاحِدٍ مِنْ هَذَا، وَهِذِهِ مُحْدَثَةٌ غَيْرُ ‌مَذْمُومَةٍ.

yang bermaksud: “Apa sahaja [perbuatan] yang diada-adakan dan bercanggah dengan al-Quran atau hadith atau ijmak atau athar, maka ia adalah bidaah yang sesat. [Namun] apa sahaja [perbuatan] yang diada-adakan berupa kebaikan dan ia tidak bercanggah dengan sesuatupun daripada [yang telah disebutkan] itu, maka ia adalah bidaah yang dipuji”.    

Bidaah Sebenarnya Sudah Berlaku Pada Zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam

Ada para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang telah mengada-adakan ibadah yang tidak dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam. Namun bidaah tersebut masih tidak menjadi bidaah yang dicela kerana ia masih berada di dalam ruang lingkup keizinan Syariat.

Contohnya adalah solat dua rakaat yang dilakukan oleh Sayyidina Bilal bin Robah setiap kali beliau selesai berwuduk. Sekalipun tindakan beliau ini secara khususnya bukanlah kerana beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam meminta untuk dilaksanakan solat sunat setelah berwuduk sebaliknya hanya berdasarkan kepada kefahaman beliau terhadap arahan umum syariat yang meminta agar kita mendirikan solat, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah memuji tindakan beliau ini dengan menyatakan bahawa baginda telah mendengar bunyi derapan kaki Sayyidina Bilal di dalam syurga. Pujian ini menunjukkan bahawa tidak semestinya ibadah yang diada-adakan akan terus menjadi bidaah yang dicela oleh Syariat.

Selain Sayyidina Bilal, Sayyidina Khubayb bin ‘Adiyy bin Malik al-Ansoriyy juga telah mengada-adakan solat sunat sebelum seseorang dibunuh sekalipun solat ini tidak berdalilkan sabdaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam. Sayyidina Khubayb telah ditangkap lalu dijual di Mekah kepada keluarga al-Harith bin ‘Amir bin Nawfal bin ‘Abdu Manaf demi untuk membalas dendam kerana Sayyidina Khubayb telah membunuh al-Harith bin ‘Amir di medan perang Badar. Apabila tiba waktu yang telah ditetapkan, keluarga al-Harith bin ‘Amir telah membawa keluar Sayyidina Khubayb dari tanah Haram untuk dijatuhkan hukuman bunuh. Sebelum hukuman dijalankan, Sayyidina Khubayb telah meminta sedikit waktu untuk beliau mendirikan terlebih dahulu solat dua rakaat lalu dibenarkan oleh mereka. Akhirnya mereka telah membunuh Sayyidina Khubayb setelah beliau selesai melaksanakan solat sunat dua rakaat tersebut. Para ulama telah berkata: “Khubayb adalah orang yang telah mengada-adakan dua rakaat untuk [menjadi ikutan] setiap lelaki muslim yang [dijatuhkan hukuman] bunuh”. Sekalipun tindakan Sayyidana Khubayb ini tidak bersumberkan kepada perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam, tindakan ini tidak dihukum sebagai satu bidaah yang ditolak oleh Syariat kerana secara dasarnya Islam tidak menghalang seseorang untuk melaksanakan solat.     

Guru Al-Imam Al-Nawawiyy Turut Menyokong Bidaah

Al-Imam Ibnu Hajar al-Haytamiyy menyatakan bahawa antara bidaah yang dipuji menurut guru kepada al-Imam al-Nawawiyy iaitu al-Imam Abu Shamah adalah sambutan hari kelahiran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang dilakukan saban tahun. Ini kerana sambutan tersebut selain daripada mengandungi pelbagai ibadah seperti bersedekah, melakukan kebaikan dan menzahirkan kegembiraan, sambutan ini juga menunjukkan penghormatan dan kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam juga melahirkan kesyukuran kepada Allah yang telah menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam sebagai rahmat buat seluruh alam.

Hadith Bidaah Menurut Prof. Dr. Aliyy Bin Jum’ah

Menurut Fadhilah al-Shaykh Prof. Dr. Aliyy bin Jum‘ah yang merupakan mantan mufti kerajaan Mesir; hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aishah di atas sebenarnya telah membahagikan bidaah kepada bidaah yang bersalahan dengan syarak (Bidaah Dholalah) dan bidaah yang menepati syarak (Bidaah Hasanah). Ini kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah bersabda

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَحْدَثَ فِى أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ.. فَهُوَ رَدٌّ

yang bermaksud: “Barang siapa yang telah mengada-adakan di dalam urusan kami ini [iaitu agama Islam] sesuatu [perkara] yang bukan daripada urusan kami, maka perkara tersebut adalah penolakan”.

Baginda Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam tidak pula bersabda: “Barang siapa yang telah mengada-adakan di dalam urusan kami akan sesuatu, maka perkara tersebut adalah penolakan”.

Maka ini menunjukkan bahawa bidaah yang dicela oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam hanyalah apabila bidaah tersebut tidak menepati asas-asas syarak. Namun sekiranya bidaah tersebut menepati asas-asas syarak, maka ia adalah bidaah yang diterima selakupun tidak dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam.

Menurut Fadhilah al-Shaykh Prof. Dr. ‘Aliyy bin Jum‘ah lagi, hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang lain turut menunjukkan kewujudan bidaah yang dibenarkan oleh syariat. Antaranya adalah hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim

مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ.. كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ.. كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ

yang bermaksud: “Sesiapa sahaja yang telah memulakan di dalam Islam dengan melakukan satu amalan yang baik, lalu perbuatan baik yang telah dimulakannya telah diamalkan [pula oleh orang lain] selepas dia [melakukannya], nescaya telah dituliskan buat orang yang memulakan seperti pahala sesiapa sahaja yang telah beramal dengan perbuatan tersebut dalam keadaan tidak berkurang sesuatu pun daripada pahala-pahala mereka. Sesiapa sahaja yang telah memulakan di dalam Islam dengan melakukan satu amalan yang buruk, lalu perbuatan buruk yang telah dimulakannya telah diamalkan [pula oleh orang lain] selepas dia [melakukannya], nescaya telah dituliskan buat orang yang memulakan seperti dosa sesiapa sahaja yang telah beramal dengan perbuatan tersebut dalam keadaan tidak berkurang sesuatu pun daripada dosa-dosa mereka”.   

Penentu Sesuatu Bidaah Bercanggah Atau Tidak Dengan Syariat Adalah Fuqaha

Apabila para ulama telah membahagikan bidaah kepada bidaah yang sesat dan bidaah yang dipuji dengan menjadikan sebab kepada sesuatu bidaah menjadi bidaah yang dicela adalah apabila bidaah tersebut bercanggah dengan Syariat, maka orang yang layak menentukan sesuatu bidaah adalah bidaah yang bertentangan dengan syariat atau tidak hanyalah golongan fuqaha sahaja kerana mereka sahajalah yang dipertanggungjawabkan untuk mengkaji hukum bagi sebarang perbuatan manusia. Adapun orang yang tidak sampai kepada tahap kepakaran dalam ilmu fiqh, mereka tidak boleh sewenang-wenang menyatakan bahawa sesuatu perbuatan adalah bidaah hanya dengan alasan bahawa perbuatan tersebut tidak dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Ruwaq Jawi​​

Disediakan oleh : Al-Fadhil Ustaz Affan Bin Azizan ( Panel Penyelidikan Ruwaq Jawi ) Merokok