BERTASBIH MENGGUNAKAN BIJI

Siri#017

—————–

Disediakan Oleh :

Ustaz Muhammad Alif Najmi

 

Sayyiduna Rasulullah ﷺ bertasbih menggunakan jari dengan bilangan seperti 33 dan 53. Kata Guru yang Mulia : Mengira menggunakan jari kebiasanya digunakan oleh orang Arab untuk mengurangkan harga ketika membeli di pasar.

 

Kaedah bilangan 53 seperti kedudukan jari tangan kanan semasa tahiyyat akhir. Caranya pernah ditunjukkan oleh al-Allamah Shaykh Dr Ahmad Mamduh ḥafiẓahuLlāh kepada Guru yang Mulia Shaykh Muhammad Nazrul Nasir al-Azhari ḥafiẓahuLlāh semasa di Mesir.

 

Sayyiduna Rasulullah ﷺ banyak berpesan kepada perempuan tentang tasbih, bahkan ketika permulaan Islam sendiri pun, ramai perempuan yang menggunakan tasbih. Sayyiduna Rasulullah ﷺ tidak melarang kita menggunakan biji tasbih dengan kayu, batu atau sebagainya.

 

Suatu hari, Sayyidatuna Safiyyah raḍiyaLlāhu ‘anha menggunakan 4000 biji kurma tanpa diikat untuk dijadikan sebagai tasbih. Kemudian, datang Sayyiduna Rasulullah ﷺ dan bertanya: “Apakah ini wahai anak perempuan kepada Huyay?” Lalu jawabnya: “Saya bertasbih menggunakannya.”

 

Sayyiduna Rasulullah ﷺ bersabda : “Mahukah kamu jika aku ajarkan sesuatu yang lebih banyak daripada apa yang kamu tasbihkan dengannya”. Jawabnya: “Tolong ajarkan kepada saya wahai Sayyiduna Rasulullah. Kemudian, Baginda bersabda: (( سبحان الله عدد خلقه ))

 

[ Tanbih Guru yang Mulia ]

 

  1. Sayyiduna Rasulullah ﷺ tidak pernah melarang umatnya untuk bertasbih menggunakan biji. Di mana, hadis tersebut sering kali ditafsir secara menyimpang oleh sesetengah manusia.
  2. Sayyiduna Rasulullah ﷺ hendak mengajarkan perkara afdhal yang perlu diucapkan semasa bertasbih. Sayyiduna Rasulullah ﷺ hanya mengajar zikir yang ringkas dan mudah untuk diamalkan.

Guru yang Mulia menyarankan kepada kita semua untuk membaca sebuah risalah yang telah dihasilkan oleh al-Imam al-Suyuti raḥimahuLlāh pada membahaskan penggunaan biji tasbih. Risalah tersebut bertajuk: “Al-Minhah fi al-Sibhah” (( المنحة في السبحة )).

 

[ Sebanyak Bilangan Makhluk ]

 

Antara Selawat yang disebutkan oleh al-Imam al-Juzuli raḥimahuLlāh di dalam kitab Dalail al-Khairat ialah :

 

(( اللهم صل على سيدنا محمد عدد ما خلق الله ))

 

Maksudnya : “Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas Sayyiduna Muhammad sebanyak bilangan makhluk yang diciptakan oleh Allah Ta’ala.”

 

Timbul persoalan: Banyak mana pahala yang kita akan dapat sekiranya berselawat dengan sighah tersebut? Jawabnya ialah : Sebanyak makhluk yang diciptakan oleh Allah Ta’ala.

 

  • Selawat Sayyiduna Ibrahim :

 

(( اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد # كما صليت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم # وبارك على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد # كما باركت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم # في العالمين انك حميد مجيد ))

 

Kata Guru yang Mulia : Perhatikan lafaz yang diajarkan oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ bahawa

 

(( كما صليت على سيدنا إبراهيم وعلى آل سيدنا إبراهيم ))

 

yang bermaksud “Sebanyak Mana Selawat ke atas Sayyiduna Nabi Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Sayyiduna Nabi Ibrahim”.

 

Lalu, timbul pula persoalan, berapa banyakkah bilangan yang dikatakan ‘sebanyak mana’ di dalam selawat tersebut? Jawab Guru yang Mulia: Tentulah lagi banyak, sebab kita sudah menyerahkan terus bilangannya kepada Allah Ta’ala.

 

https://t.me/RasyidAlkinti

 

[ Amalan Para Salaf ]

 

  1. Sayyidatuna Fatimah binti Husain bin Ali Abi Talib raḍiyaLlāhu ‘anhum mempunyai tasbih yang diikat dengan menggunakan benang.

 

  1. Sayyiduna Abu Hurairah raḍiyaLlāhu ‘anhu mempunyai tasbih yang diikat sebanyak 2000 biji dan beliau tidak akan tidur melainkan setelah menyelesaikan kesemua bilangan tasbihnya.

 

  1. Sayyiduna Abu Darda’ raḍiyaLlāhu ‘anhu juga memiliki biji-biji yang disimpan dalam bekas untuk kegunaan berzikir. Beliau akan mengeluarkan satu-persatu biji tersebut sehingga habis. Beliau bertasbih sebanyak 100,000 kali sehari. Suatu hari, Sayyiduna Salman al-Farisi raḍiyaLlāhu ‘anhu telah melihat cawan-cawan yang berada di rumah saudaranya juga turut berzikir, kerana kuatnya beliau dalam bertasbih.

 

  1. Sayyiduna Abu Saʼid al-Khudri raḍiyaLlāhu ‘anhu bertasbih menggunakan batu.

 

[ Tasbih Milik Guru yang Mulia ]

 

  1. Tasbih Sejuta: Satu pusingan terdapat 100 biji yang besar. Di bahagian kepala pula, terdapat 10 biji yang kecil. Kemudian, terdapat satu lagi bahagian yang boleh digerakkan ke setiap 100 biji tasbih yang besar. Ia memuatkan 10 biji yang kecil lagi. Maka, jumlahnya ialah: 100 × 10 × 10 × 100 = 1,000,000.

 

  1. Tasbih 12 Juta Tariqat Tijaniyah: Satu pusingan terdapat 100 biji yang besat. Di bahagian kepala pula, terdapat 12 biji kecil dan satu bahagian yang lain 10 biji kecil. Kemudian, terdapat satu lagi bahagian yang boleh digerakkan ke setiap 100 biji tasbih yang besar. Ia memuatkan 10 biji yang kecil lagi. Maka, jumlahnya ialah: 100 × 12 × 10 × 10 × 100 = 12,000,000.

 

  1. Tasbih Biji Pisang Sunan Bonang

 

Setiap pokok Pisang Sunan Bonang hanya akan menghasilkan pisang dengan bilangan biji yang ganjil sahaja. Isinya sangat sedikit, cukup sekadar untuk membaluti biji pisang sahaja. Apa yang lebih menarik ialah biji-bijinya sudah siap terbelah dan berlubang sejak berada di dalam buah pisang lagi!

Kisahnya bermula apabila Sunan Bonang bertasbih dan terputus talinya. Maka, bertebaranlah dan tertanamlah biji-biji tasbih tersebut di atas tanah. Beberapa lama kemudian, tumbuh pokok-

pokok pisang. Menariknya, pokok tersebut hanya akan tumbuh dengan semaian biji – bukannya tumbuh melalui anak-anak pokok pisang yang lain.

Bahkan, disebutkan oleh Guru yang Mulia, telah diceritakan kepada beliau bahawa terdapat para pengkaji tumbuhan daripada Belanda melakukan kajian berkenaan pokok pisang itu. Hasilnya ialah Pisang Sunan Bonang hanya boleh tumbuh di daerah Tuban sahaja.

 

[ Musalsal Tasbih ]

 

Alhamdulillah, Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir juga telah mengijazahkan kepada kami Musalsal Tasbih bil Munawalah, melalui jalur Masyayeikh beliau seperti: (1) al-Allamah Shaykh Abdul Aziz Kabbarah raḥimahuLlāh [ Mesir ] dan (2) al-Allamah Abuya Kiyai Ahmad Syaʼrani bin Toyyib al-Martapurayi ḥafiẓahuLlāh [ Indonesia ].

 

[ Kesimpulan ]

 

Akhirnya, disimpulkan oleh Guru yang Mulia bahawa: Menggunakan jari itu lebih afdhal berbanding menggunakan biji, sekiranya seseorang itu boleh mengingati berapakah bilangan tasbihnya. Namun, jika dia bimbang tidak ingat, maka lebih afdhal ke atas mereka untuk menggunakan biji tasbih.

 

Tambahan: Bertasbih menggunakan biji yang diperbuat daripada kayu atau batu adalah lebih afdhal berbanding biji plastik yang diproses. Ini kerana, kayu juga adalah makhluk hidup yang juga akan berzikir bersama dengan pemilik tasbih.

 

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم

والله اعلم

 

-Rasyid Al-Kinti

Hari Dua Ratus Dua Enam,

13 Rabi’ul Anwar 1442/

30 Oktober 2020