BALASAN MENGKUFURI NIKMAT SUHBAH

SIRI #003

 

 

Syaikh Dr Musa Syuman as-Siddiqi as-Syazuli hafizahullah menceritakan tentang balasan seseorang yang mengingkari kebaikan Gurunya kepadanya.

 

Ini adalah kisah Abu Al-Hasan As-Sarifi.

 

Beliau telah mengambil ilmu dan tarbiyah daripada al-Arif Billah Abu Al-Hasan Ali bin Uthman as-Syawi rahimahullah. Beliau berkhidmat kepada al-Arif As-Syawi rahimahullah sekian lama masanya. Sehinggalah beliau mula dikenali dan tersebar tentang beliau di seluruh pelusuk negara. Semakin ramai pengikut beliau sehingga memaksa beliau berpindah ke sebuah tempat yang disebut sebagai Abubin.

 

Kisah beliau semakin tersebar di seluruh pelusuk negara Maghribi pada ketika itu. Juga terzahir daripada tangan beliau karamah yang tidak terhingga banyaknya. Sehinggalah beliau menyangka bahawa dirinya pada ketika itu lebih tinggi kedudukannya daripada gurunya sendiri al-Arif As-Syawi rahimahullah. Perkara ini menyebabkan dia tidak ingin menisbahkan dirinya kepada Gurunya tersebut.

 

Dia bersama para muridnya menuju ke Murrakesh untuk mengambil terus dengan Guru kepada Gurunya iaitu Sayyidi Abu Muhammad al-Ghazwani rahimahullah. Dia bertemu dengannya lalu terus menisbahkan dirinya kepada Sayyidi al-Ghazwani rahimahullah tanpa menisbahkan dirinya kepada al-Arif As-Syawi rahimahullah.

 

Bilamana As-Sarifi pulang ke negerinya, Gurunya As-Syawi rahimahullah menunggu kedatangan muridnya tersebut. Namun dia langsung tidak melawat Gurunya tersebut.

 

al-Arif As-Syawi rahimahullah lalu berkata kepada para muridnya :

 

” Marilah kita bersama-sama melawat al-Imam al-Arif Billah Abdul Salam bin Masyish rahimahullah , dan dalam perjalanan tersebut kita boleh singgah melawat muridku As-Sarifi”

 

Ketika sampai di tempat berhampiran dengan kawasan muridnya tersebut , al-Arif As-Syawi rahimahullah singgah di sebuah masjid lalu menjemput muridnya As-Sarifi datang bertemu dengannya. Namun as-Sarifi enggan bertemu Gurunya tersebut sebaliknya hanya mengirimkan makanan kepada rombongan Gurunya.

 

Maka al-Arif As-Syawi rahimahullah lalu berkata :

 

” Bangunlah semua dan kita tidak akan sesekali memakan makanannya. Sesungguhnya kami datang ini adalah untuk mengambil amanah yang telah kami titipkan kepadanya dahulu”

 

Seketika itu juga , As-Sarifi seakan-akan melihat seperti sedang bermimpi bahawa bulan keluar daripada dadanya lalu terangkat ke langit. Maka itu adalah sebagai isyarat kepada terangkatnya hikmah daripada dadanya. Berterusanlah As-Sarifi dalam keadaan terangkat hikmah sehinggalah dia mati.

 

Bilamana disampaikan berita ini kepada al-Arif Billah Sayyidi Abi Muhammad al-Ghazwani rahimahullah , beliau lalu berkata :

 

” ذلك جزاء من يكفر بإحسان شيخه “

 

Maksudnya : Itu adalah sebagai balasan kepada seseorang yang mengkufuri nikmat kebaikan Syaikhnya kepadanya”

 

Fahamilah para murid sekalian. Jangan sampai tercabut barakah daripada hidup kalian

 

 

Oleh : Ustaz Mohd Nazrul Bin Abdul Nasir Al-Azhari

           Sheikh Ruwaq Jawi