loader image

Mantan Mufti Mesir Prof. Dr. Aliyy bin Jum’ah adalah antara ulama terkemuka peringkat dunia yang banyak mengetengahkan idea bernas tetapi kadang kalanya panas dalam memandu umat Islam terutama bagi mengelakkan mereka terjebak menyertai golongan pelampau dalam beragama sehingga agama Islam dilihat sebagai satu agama yang menakutkandan begitu menyempitkan. Antara karya beliau yang begitu penting untuk dihalusi secara penuh cermat dalam memahami ciri-ciri golongan pelampau agama adalah satu karya yang berjudul al-Mutasyaddidun Manhajuhum Wa Munaqosyah Ahamm Qodhoyahum (Golongan Pelampau; Manhaj Mereka Dan Kritikan Terhadap Isu-Isu Terpenting Mereka). 

Tujuh Belas Isu Utama Golongan Pelampau Agama

Karya ini telah menggariskan 17 isu utama yang telah dijadikan oleh golongan pelampau agama sebagai dasar utama mereka iaitu

Pertama: Mensifatkan Allah Dengan Lokasi,

Kedua: Mencemuh Golongan Asya’iroh,

Ketiga: Menolak Mazhab-Mazhab Fikah Yang Muktabar,

Keempat: Memberikan Fatwa Tanpa Memiliki Keahlian Dalam Berfatwa,

Kelima: Meluaskan Kefahaman Terhadap Erti Bidaah Sehingga Mereka Membidaahkan Kebanyakan Orang Islam,

Keenam: Mengharamkan Tawassul Dengan Rasulullah SAW Sehingga Tawassul Dianggap Syirik,

Ketujuh: Mengharamkan Solat Di Masjid Yang Mempunyai Kubur, Kelapan: Menganggap Mengambil Keberkatan Daripada Tinggalan-Tinggalan Rasulullah SAW Dan Orang-Orang Soleh Adalah Syirik,

Kesembilan: Mengharamkan Perayaan Maulidur Rasul Dengan Anggapan Bahawa Ia Adalah Bidaah,

Kesepuluh: Mengharamkan Ziarah Rasulullah SAW, Kubur Para Nabi Dan Orang-Orang Soleh,

Kesebelas: Menuduh Orang Yang Bersumpah Dengan Nama Nabi Muhammad SAW Sebagai Syirik,

Kedua Belas: Menghukum Kedua Ayah Bonda Rasulullah SAW Sebagai Ahli Neraka,

Ketiga Belas: Menolak Bahawa Si Mati Menyedari Kedatangan Orang Yang Menziarahi Pusaranya,

Keempat Belas: Menolak Kebanyakan Zikir-Zikir Dan Wirid-Wirid,

Kelima Belas: Menganggap Bahawa Menggunakan Tasbih Adalah Bidaah,

Keenam Belas: Berbeza Dari Sudut Pakaian dan

Ketujuh Belas: Merasakan Bahawa Para Penceramah Layak Untuk Menjawab Hukum-Hakam.

Siapakah Golongan Salafi

Menurut Prof. Dr. Aliyy bin Jum’ah; kalimah Salaf dari sudut istilah para ulama adalah merujuk kepada golongan terdahulu yang hidup pada tiga kurun terawal umat Islam iaitu golongan sahabat, golongan tabiin dan tabi tabiin. Istilah ini adalah berasaskan hadith riwayat al-Imam al-Bukhoriyy dan al-Imam Muslim;

Daripada [Saidina] Abdullah [bin Mas’ud], daripada Nabi SAW, baginda telah bersabda: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku. Kemudian [golongan] yang datang selepas mereka. Kemudian [golongan] yang datang selepas mereka. Kemudian akan datang kumpulan-kumpulan yang penyaksian salah seorang daripada mereka akan mendahului sumpah mereka dan sumpah mereka akan mendahului penyaksian mereka”.

Namun istilah Salaf akhirnya telah dirosakkan dengan penggunakan istilah Salafi (pengikut Salaf) yang hanya merujuk kepada satu kumpulan yang mendakwa bahawa merekalah satu-satunya pengikut Salaf yang sebenar. Akhirnya golongan ini telah membidaahkan ramai para ulama muktabar di banyak tempat dengan alasan pegangan para ulama tersebut berbeza dengan pandangan yang dipegang oleh golongan yang mendakwa mereka adalah Salafi.

Menurut Prof. Dr. Aliyy bin Jum’ah lagi; Salafi pada hakikatnya adalah orang yang berpegang dengan kaedah dan prinsip pemikiran golongan Salaf dan bukannya berpegang dengan hukum fikah yang dipegang oleh golongan salaf. Ini kerana sekiranya kita meneliti pandangan fikah yang dipegang oleh para sahabat, tabiin dan tabi tabiin, kita akan menjumpai kepelbagaian pandangan fikah dan kepelbagaian persoalan cabbang dalam ilmu akidah. Maka berdasarkan pengertian sebenar bagi kalimah Salafi, ini membolehkan kita untuk menyatakan bahawa masyarakat muslim yang berpegang dengan mazhab-mazhab fikah yang muktabar sekalipun berlaku perbezaan pandangan fikah sesama mereka adalah Salafi.

Tiga Bahaya Pemikiran Golongan Pelampau

Prof. Dr. Aliyy bin Jum’ah telah mendatangkan tiga bahaya yang akan terjadi apabila pemikiran golongan pelampau berjaya meresapi masyarakat Islam seperti berikut:

Pertama: Dunia seluruhnya akan membenci orang Islam. Ini akan mengakibatkan penentangan demi penentangan terhadap umat Islam dan agamanya.

Kedua: Berlaku tindakan balas daripada umat Islam terhadap penentangan dunia kepada mereka. Penentangan dalam bentuk tindak balas ini akan berlaku dalam dua bentuk; membunuh orang yang tidak beragama Islam dan membunuh orang yang murtad yang fasiq. Membunuh mereka yang tidak beragama Islam di sisi golongan pelampau bererti membunuh sesiapa sahaja yang tidak mengucapkan dua kalimah syahadah manakala membunuh orang yang murtad bererti membunuh sesiapa sahaja yang mengucapkan dua kalimah syahadah tetapi mempunyai pemikiran yang bersalahan dengan pegangan puak pelampau.

Ketiga: Pemikiran golongan pelampau akan membawa pengikutnya untuk tidak bersependapat dengan pandangan umum masyarakat Islam. Mereka akan membebaskan diri mereka daripada terikat dengan institusi lalu akhirnya mereka akan mempunyai cara tindakan tersendiri dan akan mengasingkan diri daripada cita-cita umat. Lalu mereka sentiasa merasakan bahawa pihak lain sentiasa mengintai peluang untuk membahayakan mereka sehingga segala yang berlaku dianggap sebagai satu konspirasi untuk melenyapkan mereka. 

Sudah Sampai Masanya

Menurut Prof. Dr. Aliyy bin Jum’ah di dalam kitab al-Mutasyaddidun; masanya sudah tiba untuk kita sama-sama membenteras pemikiran ekstrem dalam beragama dengan cara kembali kepada manhaj yang dibawa oleh institusi al-Azhar al-Syarif yang telah mengibarkan panji Ahlus Sunnah semenjak berkurun lamanya. Mereka yang berpegang dengan aqidah Ahlus Sunnah akan mengiktiraf seluruh para sahabat tidak seperti Syiah yang hanya mengiktiraf Sayyidina Ali dan beberapa orang yang lain sebagai sahabat Rasulullah SAW.

Maka dari sudut aqidah, al-Azhar membawa masyarakat Muslim kepada akidah yang diimani oleh majoriti umat Islam iaitu aqidah al-Asy’ariyyah.

Al-Azhar juga mengajar masyarakat agar berpegang dengan mazhab-mazhab fikah aliran Ahlus Sunnah iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’iyy dan Hanbali dalam masa yang sama al-Azhar turut mendidik umat agar tidak menolak ijtihad fikah yang dikeluarkan oleh individu tertentu atau institusi tertentu yang mempunyai kelayakan untuk mengeluarkan pandangan fikah. Al-Azhar juga mendidik umat agar tidak menolak pandangan fikah yang ada di dalam mazhab fikah aliran bukan Ahlus Sunnah iaitu fikah mazhab Ibadhiyyah, Zohiriyyah, Imamiyyah dan Zaidiyyah. Bahkan bukan sekadar itu al-Azhar juga mendidik umat agar tidak menolak pandangan-pandangan fikah yang tidak termasuk di dalam pegangan utama lapan mazhab fikah yang dinyatakan di atas apabila keperluan semasa memerlukan kepada pandangan-pandangan tersebut.

Dari sudut kerohanian pula, al-Azhar mengajar manusia akan mazhab-mazhab tasauf yang akan mendidik manusia untuk menyahkan kekotoran berupa kebongkakan dan sikap terus berpegang dengan kebatilan seterusnya jiwa yang sudah kosong dari kekotoran ini diajar pula cara-cara mengisinya dengan keindahan seumpama kembali kepada sumber rujukan yang benar, ilmu serta ketaatan kepada Allah, rasul-Nya dan para pemimpin.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Ruwaq Jawi​​

Haji dan Perubahan

Firman Allah dalam surah Al Baqarah ۞ إِنَّ ٱلصَّفَا وَٱلۡمَرۡوَةَ مِن شَعَاۤىِٕرِ ٱللَّهِۖ فَمَنۡ حَجَّ

Para penyair dan jurucakap Nabi Muhamad ﷺ : Ka’ab bin Malik, Abdullah bin Rawahah dan