ADAKAH AYAM TERMASUK DALAM MAKANAN SUNNAH ?

SIRI #007


 

Oleh : Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain

Pada majlis bacaan hadith yang ke-227 guru kami yang mulia; Fadhilat al-Syeikh Yusri Bin Rushdi al-Hasani membacakan serta menghuraikan Sunan al-Tirmidzi dengan keberkatan sanad beliau sehingga kepada al-Imam Abu Isa al-Tirmidzi.

Hadith-hadith yang dibaca membicarakan berkenaan binatang-binatang yang pernah dimakan oleh baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam.

Berikut adalah kesimpulan huraian beliau :

1) Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam pernah makan ayam sebagaimana yang dinyatakan oleh hadith yang ke-1942 dan 1943.

 (عن زهدم الجرمي قال: (دخلت على أبى موسى وهو يأكل دجاجة فقال: إدن فكل فإني رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يأكله

Daripada Zahdam al-Jarmi telah berkata : Aku masuk bertemu Abi Musa dan beliau sedang memakan ayam, lalu beliau berkata :” Mari dan makanlah ayam itu kerana sesungguhnya aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakannya”.

(عن أبي موسى قال: (رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يأكل لحم دجاج

Daripada Abi Musa telah berkata :” Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan ayam”.

2) Rasulullah pernah makan شواء (Syiwa’) iaitu daging kambing yang dipanggang tanpa kulit.

عن عطاء بن يسار أخبره أن أم سلمة أخبرته: (أنها قربت إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم جنبا مشويا فأكل منه ثم تمام إلى

 (الصلاة وما توضأ

Daripada Atha’ Bin Yasar telah mengkhabarkan bahawa Ummu Salamah telah menceritakan kepadanya bahawa :” Dia mendekati Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam keadaan Baginda memanggang (kambing tanpa kulit) dan memakannya, kemudian Baginda menuju menunaikan solat tanpa berwudhuk”.

Menurut Syeikh Yusri Hafizahullah, Rasulullah juga pernah makan مسموط (Masmut) iaitu daging kambing yang dipanggang sekali dengan kulitnya. Maknanya setelah disembelih, bulu kambing tersebut dibuang dan dibersihkan lalu dipanggang tanpa dibuang kulitnya.

Saya berkata : Mungkin ini akan memberikan idea kepada para peniaga untuk mencuba resepi Masmut.

3) Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam juga pernah makan حبارى (Hubaro).

(عن إبراهيم بن عمر بن سفينة عن أبيه عن جده قال: (أكلت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم لحم حبارى

Daripada Ibrahim Bin Umar Bin Safinah, dari ayahnya dan dari datuknya telah berkata :” Aku memakan hubaro Bersama Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.”

Hubaro rupa-rupanya adalah sejenis burung yang ada di padang pasir yang tidak ada di Malaysia. Saya sertakan gambarnya untuk tatapan pembaca.

 

 

____

Kesimpulan :

1) Syeikh Yusri menyatakan bahawa dalam sebulan, Rasulullah lebih banyak berpuasa daripada tidak berpuasa. Baginda akan berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis. Baginda juga akan berpuasa pada setiap 1, 2, 3, 13, 14, 15, 28, 29 dan 30 haribulan Islam. Baginda juga akan turut berpuasa pada hari-hari yang digalakkan berpuasa seperti hari Asyura dan sebagainya.

2) Syeikh Yusri turut menyatakan bahawa Rasulullah ketika makan, baginda tidak akan makan sampai kenyang melainkan hanya apabila baginda didatangi tetamu. Ketika itu barulah baginda makan sehingga kenyang untuk meraikan tetamu.

3) Saya berkata : Ramai orang suka makan makanan sunnah termasuk saya tapi tak ramai orang mengamalkan puasa sunnah sedangkan makanan sunnah adalah terlalu sikit dimakan oleh baginda berbanding dengan puasa sunnah Baginda.

AL-BAYAN : HUKUM MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM NON-MUSLIM

SIRI #006

(Terjemahan serta olahan fatwa Darul Ifta’ Jordan)

 

 

Oleh : Ustaz Muhammad Zulkifli Bin Salleh

 

 

Soalan : Bolehkah kita mengucapkan salam kepada non-Muslim dengan lafaz “Assalamualaikum”, atau kita perlu gantikan dengan ucapan lain seperti “Salam sejahtera” ? Dan bolehkah kita menjawab salam dari non-Muslim ?

 

Jawapannya :-

Segala pujian hanya layak bagi Allah, selawat dan salam buat Saidina Rasulullah ﷺ.

Syariat Islam yang bersifat murah hati ini sangat menggalakkan interaksi yang baik sesama manusia disamping menghormati kebebasan peribadi mereka. Non-Muslim yang tinggal bersama-sama kita, mereka itu tidak memusuhi apatah lagi memerangi kita. Oleh yang demikian, syariat menjelaskan kepada kita agar berlaku adil serta bersikap belas kasihan terhadap mereka, jangan sesekali menyakiti mereka. Allah Taala berfirman:-

 

{{ لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ }}

 

Maksudnya: {{ Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.}} [Al-Mumtahanah, ayat 8]

Baginda Nabi ﷺ pula bersabda:

 

(( مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَة ِ)) رواه أبو داود.

 

Maksudnya : (( Sesiapa yang menzalimi seorang kafir mu‘ahad, atau mengurangi haknya, atau membebaninya dengan sesuatu yang tidak tertanggung olehnya, ataupun mengambil daripadanya sesuatu tanpa senang hati, maka aku akan menjadi pembelanya kelak pada hari kiamat. )) [Hadis riwayat Imam Abu Daud]

 

Catatan :
Kini non-Muslim yang mendiami negara Islam tidak lagi dipanggil ‘Kafir Mu’ahad’ malah mereka dipanggil sebagai warganegara ‘المواطنة’.

 

Daripada bentuk pergaulan yang dibenarkan adalah menziarahi dan menyertai aktiviti bersama non-Muslim sama ada aktiviti yang berbentuk sambutan kemeriahan seperti kenduri kahwin mahupun mengunjungi mereka disaat sukar seperti sedang sakit atau berlaku kematian. Ini telah dibuktikan di dalam hadis sahih ketika mana Baginda Nabi ﷺ menziarahi seorang kanak-kanak Yahudi yang sedang sakit.

 

Agama kita yang benar ini mengajak supaya bersikap ramah, berkasih sayang, menjalinkan hubungan tanpa melihat warna kulit, keturunan mahupun agama.

 

Hukum hakam dalam agama datang bersesuaian dengan perkembangan semasa disamping meraikan adat setempat. Saudara non-Muslim seperti bangsa Cina dan India telah lama hidup bersama-sama dengan kita di negara ini dalam keadaan aman sentosa.

 

Oleh kerana itu, tiada masalah bagi kita sebagai Muslim menyambut mereka dengan menggunakan apa-apa jenis lafaz penghormatan sekalipun, salah satunya dengan ucapan salam: “Assalamualaikum”.

Dalilnya:-

 

(( عنِ ابنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنه، قالَ: “مَنْ سَلَّمَ عَلَيْكُمْ مِنْ خَلْقِ اللَّهِ فَرُدُّوا عَلَيْهِمْ، وَإِنْ كَانَ يَهُودِيًّا أَوْ نَصْرَانِيًّا أَوْ مَجُوسِيًّا”))

 

Saidina Abdullah bin Abbas berkata:

“Sesiapa sahaja dikalangan makhluk Allah yang ucap salam buatmu, hendaklah kamu ucapkan pula salam buatnya, walaupun ucapan itu dari seorang Yahudi, Kristian mahupun Majusi.
[Rujukan: Al-Musonnaf Imam Ibnu Abi Shaybah]

Saidina Abdullah bin Mas’ud juga menghukum sedemikian.[Rujuk: Fathul Bãri Imam Ibnu Hajar jilid 11, halaman 45]

 

Oleh itu, melalui kata-kata sahabat Nabi ﷺ yang *faqih ini, kita dibolehkan untuk memberi salam dan menjawab salam kepada NON-MUSLIM (Orang yang belum Islam).

 

Catatan:-
*Faqih : Orang yang ahli dalam ilmu feqah atau bidang-bidang lain yg diiktiraf dalam pengajian Islam: seorang ulama. [Kamus Dewan]

Manakala hadis yang melarang umat Islam dari memberi dan mengucap salam iaitu hadis yang menyebutkan tentang peristiwa Baginda Nabi ﷺ mengetuai sepasukan *platun tentera menuju ke penempatan bani Qurayza kerana ingin membalas pengkhianatan mereka terhadap orang-orang Islam.

 

Catatan:-
*Platun : sekumpulan tentera (antara 30-40 orang). [Kamus Dewan]

Daripada Abu al-Khair katanya: Aku telah mendengar Abu Basroh radha Allahu anhu berkata: Rasulullah ﷺ bersabda (mengingatkan para tentera Islam): ((“Sesungguhnya kita bergerak awal menuju ke kawasan Yahudi, maka janganlah kalian memberi ucapan salam kepada mereka, jika mereka mengucapkan salam kepada kalian, maka katakan kepada mereka: “Bahkan keatas kalian”)). Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam kitab ‘Musnad’nya.

 

Hadis tersebut hanya khusus buat kaum tertentu iaitu Bani Qurayza sahaja (salah satu puak Yahudi).

 

Dalam masa yang sama, hadis tersebut hanya ditujukan kepada SAHABAT-SAHABAT Nabi ﷺ yang sedang berada bersama-sama dengan Baginda ketika itu.

 

Kesimpulannya, tiada halangan bagi non-Muslim memberi salam kepada Muslim dan tiada pula halangan bagi seorang Muslim mengucapkan salam kepada non-Muslim dengan ucapan “Assalamualaikum”.

Maha Suci Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui

 

SUMBER :

https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=3467…

 

 

RISALAH TARIKH : KEISTIMEWAAN SAYYIDATINA KHADIJAH R.A

SIRI #005

 

Biografi keperibadian yang disegani ini semestinya menjadi suri tauladan yang dibicarakan oleh setiap insan berakal khususnya umat Islam. Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu anha’ adalah wanita pertama yang beriman dari kalangan wanita dan merupakan tulang belakang dakwah Rasulullah ﷺ . Salasilah keturunan Sayyidatina Khadijah radhiyallahu ‘anha bersambung dengan salasilah keturunan Rasulullah ﷺ  melalui datuk baginda yang bernama Qusai.

 

Daripada Saidina Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, :

“Pada suatu ketika malaikat Jibril ‘alaihissalam datang kepada Rasulullah ﷺ sambil berkata, wahai Rasulullah, ini dia Khadijah. Ia datang kepadamu dengan membawa wadah yang berisi lauk pauk, makanan, minuman. Apabila ia datang kepadamu, maka sampaikanlah salam dari Allah ‘azza wa jalla dan dari diriku kepadanya. Khabarkan kepadanya juga bahawa rumahnya di syurga terbuat daripada emas dan perak, yang di sana tidak ada kebisingan dan kepayahan di dalamnya” (HR. Bukhari, no. 3820 dan Muslim no. 2432)

 

Inilah antara keistimewaan Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu ‘anha yang jelas menunjukkan keistimewaan beliau. Makam Sayyidatina Khadijah terletak di Perkuburan Al-Maala, Makkah Al Mukarramah berhampiran Bukit Hujun.

 

 

Sejarah rumah Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu ‘anha

Di rumah inilah Rasulullah ﷺ  hidup berumah tangga bersama Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu anha’, beliau tidak pernah dimadukan oleh Rasulullah ﷺ selama 28 tahun  dan semua putera puteri bagindaﷺ lahir di teratak yang mulia ini. Kesemua permata berharga putera puteri Rasulullah ﷺ adalah Sayyidina Qasim, Sayyidina Abdullah, Sayyidatina Ummu Kulthum, Sayyidatina Ruqayyah, Sayyidatina Zainab, Sayyidatina Fatimah az-Zahra radhiyallahu ‘anhum. Manakala, Sayyidina Ibrahim radhiyallahu ‘anhu adalah putera dari Sayyidatina Mariyah al-Qibtiyyah radhiyallahu ‘anha.

 

Nabi Muhammad ﷺ  tetap menetap di teratak mulia ini sehingga baginda mendapat perintah daripada Allah ‘Azza wajalla untuk berhijrah ke Madinah al-Munawwarah. Menurut Sayyid Dr. Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki rahimahullahu taala, rumah mulia ini merupakan tempat yang paling terbaik setelah Masjidil Haram, kerana ianya juga antara tempat turunnya wahyu Allah taala kepada baginda ﷺ.

 

Setelah Rasulullah ﷺ  berhijrah ke Madinah al-Munawwarah, rumah Sayyidatina Khadijah radhiyallahu ‘anha telah dipegang oleh Sayyidina ‘Aqil bin Abi Talib radhiyallahu ‘anhu, kemudian dijual kepada Sayyidina Mua’wiyah ibn Abi Sufyan radhiyallahu ‘anhu yang mana ketika itu beliau menjadi khalifah. Maka setelah itu, Sayyidina Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhu menjadikan rumah mulia ini sebagai masjid dan didirikan solat padanya. Menurut Ibn Zhahīrah rahimahullahu ta’ala, mereka berzikir kepada Allah Subhanahuwa ta’ala pada setiap malam selasa daripada waktu isya’ sehinggalah subuh menjelma, teratak ini adalah tempat solat yang terbaik di Makkah setelah Masjidil Haram. Ibn Jubair dalam bukunya yang berjudul ‘perjalanan’ mencatat bahawa keluasan teratak ini adalah 5 hasta atau 2,3 meter. Selain itu, beliau mencatat bahawa dahulumya rumah Sayyidatina Khadijah radhiyallahu ‘anha ini dijaga dan dikunci, hanya dibuka kepada umum ketika menjelang setiap hari Isnin, bulan Rabi’ul Awal atau bertepatan hari kelahiran Rasulullah ﷺ . Beliau juga mengatakan bahawa beliau sempat memasuki kamar tempat lahirnya Sayyidatina Fatimah az-Zahra radhiyallahu ‘anha.

 

 

Pada tahun 1373H rumah Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu ‘anha telah dijadikan Sekolah Tahfiz Al-Quran oleh Syeikh ‘Abbas Al-Qattan yang pada saat itu telah rasmi menjadi gabenor Makkah, sesuai dengan permintaannya kepada pemerintah setempat. Setelah dipersetujui oleh pemerintah, tempat itu menjadi wakaf yang tidak boleh dijual beli, disewa, tidak boleh berpindah tangan, ditukar atau dipinjamkan. Ini  bertujuan bagi memelihara kemuliaan tempat ini.

 

Pada tahun 1401 H, tempat ini kemudian diambil-alih oleh pemerintah dan dibongkar untuk perluasan halaman kawasan Masjidil Haram. Ketika pembongkaran teratak mulia ini, mereka menemui kesan-kesan peninggalan Nabi Muhammad ﷺ  seperti Mihrab Rasulullah ﷺ yang menghadap ke Ka’abah, Bak (bekas) wudhuk Rasulullah ﷺ , kamar  Rasulullah ﷺ , tempat lahir Sayyidatina Fatimah az-Zahra radhiyallahu ‘anha dan sebagainya.

 

 

 

 

Anak panah di atas menunjukkan rumah Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu ‘anha. Manakala gambar bersebelahannya adalah gambar mihrab Rasulullah ﷺ yang menghadap ke Ka’abah di rumah Saiyyidatina Khadijah radhiyallahu ‘anha. Gambar seterusnya itu ialah gambar kamar Rasulullah ﷺ dan Sayyidatuna Khadijah al-Kubra radhiyallahu ‘anha. Gambar dari Hasansagaf.wordpress.com/2016/06/20/rumah -siti-khadijah radhiyallahhu ‘anha.

 

 

Anak panah berwarna hitam itu menunjukkan kawasan rumah Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid al-Kubra bersama Rasulullah ﷺ . Kata guru kami al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam bin Mat Husien hafizahullahhutaala, jubin itu mungkin sengaja dibezakan sebagai tanda pemberitahuan bahawa ini adalah kawasan rumah Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid al-Kubra bersama Rasulullah ﷺ . (Gambar Umrah Perindu Ruwaq Jawi 2020 dari facebook, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi).

 

Kini rumah Sayyidatina Khadijah al-Kubra radhiyallahu ‘anha terletak di Bab An-Nabiyy (pintu Nabi) atau beberapa langkah dari pintu tersebut. Ketika dulu, ditempat itu dibuatkan kubah kecil yang diberi nama Kubbah al- Wahyu, kerana rumah ini adalah antara tempat yang selalu diturunkan wahyu dari Allah melalui malaikat Jibril ‘alaihissalam.

 

 

RUJUKAN

 

Kitab Makkah al-Mukarramah wa ma’alimiha, Assayyid Muhammad ‘Ali Soleh al-Qazni

Hasansagaf.wordpress.com/2016/06/20/rumah -siti-khadijah radhiyallahhu ‘anha

Lihat O.Hasem, Op Cit, Halaman. 47, dipetik dari  (https://ganaislamika.com/situs-situs-bersejarah -islam-di-kota-mekkah-4-rumah-khadijah-darul-wahyirumah-wahyu-2/)

 

 

Oleh : Ustazah Nur Syifak Ajla Binti Tajul Ashikin  (Pelajar Universiti Al-Azhar)

MAKAN BERLEBIHAN KETIKA BERBUKA PUASA

SIRI #004

 

Soalan: Adakah makan berlebihan sewaktu berbuka menjejaskan matlamat yang diingini disebalik ibadah puasa ?

 

Jawapan: Prof. Dr. Ahmad Toyyib

 

Makan berlebihan sewaktu berbuka memberi impak negatif terhadap tujuan dan hikmah ibadat puasa; Ini kerana sikap berlebihan secara keseluruhannya merupakan kelakuan tercela di dalam syariat Islam berdasarkan firman Allah Taala:

 

﴿وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ﴾ [الأعراف: 31]

 

{Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas}.[Al-A’raaf : 31]

 

Keseimbangan di dalam setiap perkara perlu dititikberatkan kerana Islam adalah agama yang menganjurkan sikap sederhana, tidak kedekut (kikir) dan tidak pula melampau; firman Allah Taala:

 

﴿وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا﴾ [البقرة: 143]

 

{Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil }. [Al-Baqarah : 143]

 

Ibadat puasa sepatutnya memberi kesan positif kepada orang yang berpuasa, tidak logiklah apabila orang yang sepanjang harinya berusaha menahan diri dari makan dan minum, kemudian setelah itu membiarkan dirinya melahap apa saja yang sedap dan lazat, seolah-olah dia tidak berpuasa pada hari itu, langsung tidak mengambil pengajaran dari puasanya.

 

Tambahan pula, sikap sebegini sebenarnya memberi kesan negatif terhadap kesihatan; kerana ia memberi tekanan kepada perut (terpaksa mencerna kuantiti makanan yang banyak dalam satu masa), menjadi berat dan mengalami kejutan akibat:

  1. Diisi dengan jumlah makanan yang diluar kemampuan organ perut untuk memproses.
  2.  Perut yang sebelumnya berada dalam keadaan seimbang, nyaman serta berehat (dari sebarang aktiviti penghadaman), tiba-tiba diisi dengan jumlah makanan yang banyak secara mendadak.

 

Perlakuan ini sememangnya bertentangan dengan hikmah ibadah puasa. Ini kerana ibadah puasa sebenar menganjurkan manusia agar mengurangi makan minum disamping mengambilnya sekadar perlu.

 

Maha Suci Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.

 

Terjemahan oleh :

Ustaz Muhammad Zulkifli Bin Salleh

Graduan Darul Ifta’ Misriyyah

 

BALASAN MENGKUFURI NIKMAT SUHBAH

SIRI #003

 

 

Syaikh Dr Musa Syuman as-Siddiqi as-Syazuli hafizahullah menceritakan tentang balasan seseorang yang mengingkari kebaikan Gurunya kepadanya.

 

Ini adalah kisah Abu Al-Hasan As-Sarifi.

 

Beliau telah mengambil ilmu dan tarbiyah daripada al-Arif Billah Abu Al-Hasan Ali bin Uthman as-Syawi rahimahullah. Beliau berkhidmat kepada al-Arif As-Syawi rahimahullah sekian lama masanya. Sehinggalah beliau mula dikenali dan tersebar tentang beliau di seluruh pelusuk negara. Semakin ramai pengikut beliau sehingga memaksa beliau berpindah ke sebuah tempat yang disebut sebagai Abubin.

 

Kisah beliau semakin tersebar di seluruh pelusuk negara Maghribi pada ketika itu. Juga terzahir daripada tangan beliau karamah yang tidak terhingga banyaknya. Sehinggalah beliau menyangka bahawa dirinya pada ketika itu lebih tinggi kedudukannya daripada gurunya sendiri al-Arif As-Syawi rahimahullah. Perkara ini menyebabkan dia tidak ingin menisbahkan dirinya kepada Gurunya tersebut.

 

Dia bersama para muridnya menuju ke Murrakesh untuk mengambil terus dengan Guru kepada Gurunya iaitu Sayyidi Abu Muhammad al-Ghazwani rahimahullah. Dia bertemu dengannya lalu terus menisbahkan dirinya kepada Sayyidi al-Ghazwani rahimahullah tanpa menisbahkan dirinya kepada al-Arif As-Syawi rahimahullah.

 

Bilamana As-Sarifi pulang ke negerinya, Gurunya As-Syawi rahimahullah menunggu kedatangan muridnya tersebut. Namun dia langsung tidak melawat Gurunya tersebut.

 

al-Arif As-Syawi rahimahullah lalu berkata kepada para muridnya :

 

” Marilah kita bersama-sama melawat al-Imam al-Arif Billah Abdul Salam bin Masyish rahimahullah , dan dalam perjalanan tersebut kita boleh singgah melawat muridku As-Sarifi”

 

Ketika sampai di tempat berhampiran dengan kawasan muridnya tersebut , al-Arif As-Syawi rahimahullah singgah di sebuah masjid lalu menjemput muridnya As-Sarifi datang bertemu dengannya. Namun as-Sarifi enggan bertemu Gurunya tersebut sebaliknya hanya mengirimkan makanan kepada rombongan Gurunya.

 

Maka al-Arif As-Syawi rahimahullah lalu berkata :

 

” Bangunlah semua dan kita tidak akan sesekali memakan makanannya. Sesungguhnya kami datang ini adalah untuk mengambil amanah yang telah kami titipkan kepadanya dahulu”

 

Seketika itu juga , As-Sarifi seakan-akan melihat seperti sedang bermimpi bahawa bulan keluar daripada dadanya lalu terangkat ke langit. Maka itu adalah sebagai isyarat kepada terangkatnya hikmah daripada dadanya. Berterusanlah As-Sarifi dalam keadaan terangkat hikmah sehinggalah dia mati.

 

Bilamana disampaikan berita ini kepada al-Arif Billah Sayyidi Abi Muhammad al-Ghazwani rahimahullah , beliau lalu berkata :

 

” ذلك جزاء من يكفر بإحسان شيخه “

 

Maksudnya : Itu adalah sebagai balasan kepada seseorang yang mengkufuri nikmat kebaikan Syaikhnya kepadanya”

 

Fahamilah para murid sekalian. Jangan sampai tercabut barakah daripada hidup kalian

 

 

Oleh : Ustaz Mohd Nazrul Bin Abdul Nasir Al-Azhari

           Sheikh Ruwaq Jawi

SAHUR BAGI ORANG YANG BERPUASA

SIRI #002

 

Sumber : Darul Ifta’ Misriyyah

 

Soalan: Apakah hukum bersahur bagi orang yang berpuasa ?

 

Jawapan:-

 

Pertama: Pengenalan tentang sahur

Sahur dari sudut bahasa: makanan pada waktu sahur dan minuman pada waktu sahur.

Ahli sejarawan Arab iaitu Al-Atsir Abu Sa’adat (wafat 606 hijrah) menjelaskan di dalam kitabnya ‘An-Nihayah’ bahawa: Kalimah ‘السَّحُور’ (As-Sahur) iaitu huruf  ‘Sin’ yang berbaris ‘fathah’ bermaksud; nama bagi apa sahaja minuman atau makanan yang dijamah sewaktu fajar belum menyingsing. Manakala kalimah ‘السُّحُور’ (As-Suhur) iaitu huruf ‘Sin’ yang berbaris ‘dhommah’ pula bermaksud; perbuatan bersahur itu sendiri, ia merupakan kata terbitan. Namun, kalimah yang banyak dipertuturkan adalah kalimah yang berbaris ‘fathah’ (As-Sahur).

Meskipun begitu, terdapat juga dikalangan ulama’ yang menyebut: Sebetulnya ia ditutur dengan baris ‘dhommah’ (As-Suhur), ini kerana baris ‘fathah’ merujuk kepada makanan sedangkan berkat, ganjaran serta pahala melibatkan perbuatan seorang hamba dan bukannya pada makanan.

Tambahan dari kitab Lisanul Arab:

 

وَقَالَ ثَعْلَبٌ: الوُضُوءُ: مَصْدَرٌ، والوَضُوءُ: مَا يُتَوَضَّأُ بِهِ، والسُّحُورُ: مَصْدَرٌ، والسَّحُورُ: مَا يُتَسَحَّر بِهِ

 

Di dalam kitab ‘Lisanul Arab’ juga menerangkan makna sahur dan suhur dari segi bahasa arab dikiaskan dengan wadhuk (Nama bagi air sembahyang) dan wudhuk (perihal perbuatan mengambil air sembahyang). [ Jilid 1/ muka surat 195]

Kalimah berikutnya iaitu kalimah ‘السَّحَر’ (As-Sahar) yang mana huruf  ‘Sin’ dan huruf  ‘Ha’ kedua-duanya berbaris ‘fathah’ bermaksud; waktu penghujung malam sebelum hampir masuk waktu Subuh. Kata majmuknya ialah ‘أسحار’ (Ashãr). Ada juga dikalangan ulama’ yang mendefinisikan ‘السَّحَر (As-Sahar) ini sebagai; waktu yang bermula dari sepertiga terakhir malam hingga terbit fajar.

 

Kedua: Hukum Bersahur

Amalan bersahur merupakan SUNNAH bagi orang yang berpuasa;

 

 فعن أَنَس بْن مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ: «تَسَحَّرُوا؛ فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً» أخرجه البخاري في “صحيحه”

 

Daripada Saidina Anas bin Malik radhia Allah anhu berkata: baginda Nabi ﷺ bersabda: (( Hendaklah kalian bersahur, sesungguhnya pada sahur itu berkat )) Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Al-Bukhary menerusi kitab Sahihnya.

 

Kelebihan Bersahur

Bersahur dapat membantu kita berpuasa di siang hari. Baginda Nabi ﷺ telahpun memberi isyarat mengenai kelebihan ini agar umatnya mengambil perhatian;

 

فعَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ قَالَ: «اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ، وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ» أخرجه ابن ماجه في “سننه”

 

Daripada Saidina Abdullah bin Abbas radhia Allahu anhu bahawa baginda Nabi ﷺ bersabda: (( Carilah kekuatan tenaga untuk berpuasa di siang hari dengan memakan pada waktu sahur dan carilah kekuatan tenaga untuk berqiamullail dengan tidur qailulah )) Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ibn Majah menerusi kitab ‘Sunan’nya.

 

Ketiga: Dengan cara apa kita memperoleh fadhilat sahur ?

Setiap apa yang dimakan atau diminum akan memperoleh fadhilat sahur;

 

فعَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ: «السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ» أخرجه أحمد في “مسنده”.

 

Daripada Saidina Abi Said Al-Khudri radhia Allahu anhu berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: (( Makan pada waktu sahur adalah makan yang penuh berkat, jangan kalian meninggalkannya walau dengan seteguk air, kerana Allah dan malaikatNya berselawat kepada orang yang bersahur )) Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad menerusi kitab ‘Musnad’nya.

 

Kesimpulannya: Bersahur merupakan SUNNAH yang diberi ganjaran pahala buat muslim yang melakukannya. Sayugialah bagi seorang muslim untuk terus memelihara sunnah yang mulia ini.

 

Allah Subhanahu wa Taala lebih mengetahui.

Ramadhan Kareem.

 

Terjemahan oleh :

Ustaz Zulkifli

Graduan Darul Ifta’ Misriyyah

SAHUR BAGI ORANG YANG BERPUASA

SIRI #002

 

Soalan: Apakah hukum bersahur bagi orang yang berpuasa ?

 

Jawapan:-

 

Pertama: Pengenalan tentang sahur

Sahur dari sudut bahasa: makanan pada waktu sahur dan minuman pada waktu sahur.

Ahli sejarawan Arab iaitu Al-Atsir Abu Sa’adat (wafat 606 hijrah) menjelaskan di dalam kitabnya ‘An-Nihayah’ bahawa: Kalimah ‘السَّحُور’ (As-Sahur) iaitu huruf  ‘Sin’ yang berbaris ‘fathah’ bermaksud; nama bagi apa sahaja minuman atau makanan yang dijamah sewaktu fajar belum menyingsing. Manakala kalimah ‘السُّحُور’ (As-Suhur) iaitu huruf ‘Sin’ yang berbaris ‘dhommah’ pula bermaksud; perbuatan bersahur itu sendiri, ia merupakan kata terbitan. Namun, kalimah yang banyak dipertuturkan adalah kalimah yang berbaris ‘fathah’ (As-Sahur).

Meskipun begitu, terdapat juga dikalangan ulama’ yang menyebut: Sebetulnya ia ditutur dengan baris ‘dhommah’ (As-Suhur), ini kerana baris ‘fathah’ merujuk kepada makanan sedangkan berkat, ganjaran serta pahala melibatkan perbuatan seorang hamba dan bukannya pada makanan.

Tambahan dari kitab Lisanul Arab:

 

وَقَالَ ثَعْلَبٌ: الوُضُوءُ: مَصْدَرٌ، والوَضُوءُ: مَا يُتَوَضَّأُ بِهِ، والسُّحُورُ: مَصْدَرٌ، والسَّحُورُ: مَا يُتَسَحَّر بِهِ

 

Di dalam kitab ‘Lisanul Arab’ juga menerangkan makna sahur dan suhur dari segi bahasa arab dikiaskan dengan wadhuk (Nama bagi air sembahyang) dan wudhuk (perihal perbuatan mengambil air sembahyang). [ Jilid 1/ muka surat 195]

Kalimah berikutnya iaitu kalimah ‘السَّحَر’ (As-Sahar) yang mana huruf  ‘Sin’ dan huruf  ‘Ha’ kedua-duanya berbaris ‘fathah’ bermaksud; waktu penghujung malam sebelum hampir masuk waktu Subuh. Kata majmuknya ialah ‘أسحار’ (Ashãr). Ada juga dikalangan ulama’ yang mendefinisikan ‘السَّحَر (As-Sahar) ini sebagai; waktu yang bermula dari sepertiga terakhir malam hingga terbit fajar.

 

Kedua: Hukum Bersahur

Amalan bersahur merupakan SUNNAH bagi orang yang berpuasa;

 

فعن أَنَس بْن مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ: «تَسَحَّرُوا؛ فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً» أخرجه البخاري في “صحيحه”.

 

Daripada Saidina Anas bin Malik radhia Allah anhu berkata: baginda Nabi ﷺ bersabda: (( Hendaklah kalian bersahur, sesungguhnya pada sahur itu berkat )) Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Al-Bukhary menerusi kitab Sahihnya.

 

Kelebihan Bersahur

Bersahur dapat membantu kita berpuasa di siang hari. Baginda Nabi ﷺ telahpun memberi isyarat mengenai kelebihan ini agar umatnya mengambil perhatian;

 

فعَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ قَالَ: «اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ، وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ» أخرجه ابن ماجه في “سننه”.

 

Daripada Saidina Abdullah bin Abbas radhia Allahu anhu bahawa baginda Nabi ﷺ bersabda: (( Carilah kekuatan tenaga untuk berpuasa di siang hari dengan memakan pada waktu sahur dan carilah kekuatan tenaga untuk berqiamullail dengan tidur qailulah )) Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ibn Majah menerusi kitab ‘Sunan’nya.

 

Ketiga: Dengan cara apa kita memperoleh fadhilat sahur ?

Setiap apa yang dimakan atau diminum akan memperoleh fadhilat sahur;

 

فعَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ: «السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ» أخرجه أحمد في “مسنده”.

 

Daripada Saidina Abi Said Al-Khudri radhia Allahu anhu berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: (( Makan pada waktu sahur adalah makan yang penuh berkat, jangan kalian meninggalkannya walau dengan seteguk air, kerana Allah dan malaikatNya berselawat kepada orang yang bersahur )) Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad menerusi kitab ‘Musnad’nya.

 

Kesimpulannya: Bersahur merupakan SUNNAH yang diberi ganjaran pahala buat muslim yang melakukannya. Sayugialah bagi seorang muslim untuk terus memelihara sunnah yang mulia ini.

 

Allah Subhanahu wa Taala lebih mengetahui.

Ramadhan Kareem.

 

Terjemahan oleh :

Ustaz Zulkifli

Graduan Darul Ifta’ Misriyyah