Aqidah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam Adalah Aqidah Ash’ariyy?!

SIRI #015

—————

Disediakan Oleh : Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain Sheikh Ruwaq Jawi,Kaherah Mesir.

(Calon PhD University Al-Azhar)

Tulisan Asal: Fadhilat Al-Syeikh Prof. Dr. Ali Bin Jum’ah Yang Merupakan Mantan Mufti Kerajaan Mesir

 

Golongan Asha’irah adalah mereka yang menisbahkan diri mereka kepada al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy dari sudut mazhab aqidah. Sebelum kita mengetahui dengan lebih lanjut tentang mazhab Ash’ariyy, mari kita mengenali terlebih dahulu dengan Abu al-Hasan al-Ash’ariyy.

Abu Al-Hasan Al-Ash’ariyy Dan Pujian Para Ulama Terhadap Mazhab Aqidah Beliau.

Beliau adalah al-Imam Abu al-Hasan: Aliyy bin Ismail bin Abu Bisyr Ishaq bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Bilal bin Abu Burdah yang merupakan putera sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam yang dikenali dengan panggilan Abu Musa al-Ash’ariyy.

Al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy lahir pada tahun 260 Hijriah di Basrah. Ada pendapat yang mengatakan bahawa beliau sebenarnya lahir pada tahun 270 Hijriyah. Berlaku perbezaan pendapat terhadap tahun kewafatan beliau. Ada pandangan yang mengatakan bahawa beliau wafat pada tahun 333 Hijriah. Ada yang mengatakan: tahun 324 Hijriah dan ada juga yang berpandangan: tahun 330 Hijriah. Beliau telah meninggal dunia di Baghdad.

Al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy adalah seorang yang bermazhab Ahlus Sunnah semenjak awal lagi dan telah dibesarkan di dalam keluarga yang berpegang dengan mazhab Ahlus Sunnah. Namun beliau telah mempelajari mazhab Mu’tazilah daripada Abu Aliyy al-Jubba-iyy yang membawa kepada penukaran mazhab beliau daripada Ahlus Sunnah ke mazhab Mu’tazilah. Namun akhirnya beliau telah bertaubat daripada aqidah Mu’tazilah dan beliau telah mengiklankan taubat beliau kepada orang ramai pada hari Jumaat di Masjid Jami’ yang terletak di Basrah dengan ucapannya yang masyhur: “Sesiapa yang telah mengenali saya, maka dia telah mengenali saya. Sesiapa yang tidak mengenali saya, maka saya akan memperkenalkan diri saya. Saya adalah fulan bin fulan. Saya satu ketika dahulu telah berpendapat bahawa al-Quran adalah makhluk, Allah tidak akan dapat dilihat oleh deria penglihatan dan saya juga berpegang bahawa perbuatan-perbuatan jahat, saya yang melakukannya. [Namun sekarang] saya adalah orang yang bertaubat, orang yang meninggalkan [pandangan-pandangan tersebut], orang yang berkeyakinan untuk menolak Mu’tazilah dan orang yang menjelaskan kesilapan-kesilapan mereka serta keaiban-keaiban [pandangan] mereka”.

Al-Faqih Abu Bakr al-Soyrofiyy telah berkata: “Satu ketika dahulu Mu’tazilah telah mendongak kepala mereka sehinggalah al-As’ariyy muncul. Lalu beliau telah menahan mereka di penapis-penapis bijan”.

Al-Qodhi ‘Iyadh al-Malikiyy telah berkata tentang al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy: “Beliau telah menulis untuk Ahlus Sunnah pelbagai karya. Beliau telah membuktikan kebenaran mazhab Ahlus Sunnah dan beliau telah membuktikan kesalahan pelaku Bid’ah yang telah menafikan sifat-sifat Allah dan yang telah menafikan bahawa Allah akan dilihat [di akhirat]. Beliau telah membuktikan [kebenaran] Qidam kalam Allah, kekuasaan-Nya dan perkara-perkara bersifat Sam’iyyah yang telah disebut oleh Syarak”.

Al-Qodhi ‘Iyadh al-Malikiyy menyambung lagi: “Golongan Ahlus Sunnah telah menyukai kitab-kitab karangan beliau. Mereka telah belajar daripada beliau dan telah mendalami cara pembawakan beliau. Maka semakin ramailah pelajar dan pengikut beliau. Maka nama beliau telah menjulang naik sehingga para pengikut dan pelajar beliau [akhirnya] dikenali dengan panggilan Asha’irah (iaitu mereka yang mengikuti al-Ash’ariyy) yang sebelum ini mereka dikenali dengan panggilan al-Muthbitah (iaitu orang yang mensabitkan) kerana mereka telah mensabitkan apa yang telah dinafikan oleh Mu’tazilah sedangkan Sunnah dan Syariat menyatakan kewujudan perkara yang ditolak oleh golongan Mu’tazilah tersebut”.

Al-Qodhi ‘Iyadh al-Malikiyy berkata lagi: “Maka Ahlus Sunnah daripada penduduk timur dan barat telah berhujah dengan hujah-hujah beliau dan mereka telah berpegang dengan manhaj beliau. Tidak sedikit orang yang memuji beliau. Mereka memuji mazhab beliau dan jalan beliau”. (Lihat Tadrib al-Madarik).

[Al-Imam] al-Isnawiyy telah berkata mengenai al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy: “Beliau adalah orang yang berdiri [teguh] dalam memenangkan Ahlus Sunnah dan beliau adalah orang yang telah menyekat Mu’tazilah dan selain mereka yang merupakan golongan yang berpegang dengan Bid’ah menerusi lidah beliau dan pena beliau. Beliau adalah tuan punya kitab-kitab yang banyak. Kemasyhuran beliau menyebabkan kita sudah tidak perlu lagi berbicara panjang tentang beliau”.  (Lihat al-Idrok Fi al-Funun).

Al-Qodhi Ibnu Farhun al-Malikiyy telah berkata tentang al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy: “Beliau adalah bermazhab Malikiyy. Beliau telah menulis untuk Ahlus Sunnah kitab-kitab yang banyak. Beliau telah mendirikan hujah-hujah yang mensabitkan sunnah-sunnah dan [beliau juga telah mensabitkan kewujudan] apa yang telah dinafikan oleh mereka yang mengamalkan Bid’ah”.

Kemudian Al-Qodhi Ibnu Farhun al-Malikiyy telah berkata lagi: “Beliau telah mendirikan bukti-bukti yang jelas [yang bersumberkan] daripada al-Kitab, al-Sunnah dan dalil-dalil akal yang jelas. Beliau telah menolak pandangan-pandangan al-Mu’tazilah dan mereka yang datang selepas Mu’tazilah [yang terdiri daripada golongan Mulhid”. (Lihat  al-Dibaj al-Mudzhab)

Isu Aqidah al-Asha’irah Yang Sering Menjadi Perdebatan:

Mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah iaitu Asha’irah dan Maturidiyyah adalah mazhab yang jelas dalam semua bab ilmu Tauhid. Namun yang paling banyak sekali dipertikaikan oleh mereka yang tidak memahami mazhab ini adalah satu topik yang berada di dalam tajuk: Beriman Kepada Allah. Topik ini adalah berkait dengan apa yang disebut sebagai al-Sifat al-Khobariyyah iaitu ayat-ayat al-Quran dan Hadith yang secara literalnya menunjukkan bahawa Allah seperti makhluk.

Sebab berlaku perbalahan ini adalah wujudnya sebahagian lafaz yang ada di dalam al-Quran yang dinisbahkan sendiri oleh Allah kepada Diri-Nya sendiri. Lalu ada sebahagian pihak mahu mengisbatkan lafaz-lafaz ini kepada Allah berdasarkan makna secara bahasa yang akan membawa kepada menyamakan Allah Taala dengan makhluk-makhluk-Nya.

Adapun orang yang bersama dengan kebenaran, mereka berpandangan bahawa lafaz-lafaz tersebut tidak boleh difahami dengan makna secara bahasa kerana lafaz-lafaz ini adalah termasuk dalam katagori Mutasyabih. Mereka berpandangan bahawa sifat-sifat ini yang juga dinamakan al-Sifat al-Khobariyyah sebenarnya tidak boleh dinisbahkan kepada Allah dari sudut akal sekalipun ia telah dinisbahkan kepada Allah dari sudut teks al-Quran dan al-Sunnah.

Maka cara mereka untuk memurnikan dua sudut ini adalah dengan menyatakan bahawa lafaz-lafaz yang telah disandarkan kepada Allah tersebut adalah diterima dan dibaca sebagaimana yang telah diwahyukan oleh Allah. Namun lafaz-lafaz tersebut tidak boleh difahami maknanya berdasarkan makna secara bahasa kerana makna secara bahasa akan bercanggah dengan prinsip mensucikan Allah Taala daripada menyerupai sebarang makhluk-Nya.

Inilah cara yang telah dipegang oleh golongan awal Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang akhirnya mereka setelah itu dikenali dengan gelaran: Asha’irah.

Adapun golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang terkemudian, mereka telah berpegang dengan cara Takwil iaitu mencari makna di sebalik lafaz-lafaz tersebut. Cara ini dipelopori oleh mereka setelah mereka mendapati ada individu yang akhirnya terpengaruh dengan pemikiran bahawa Allah sebenarnya berjasad setelah dia mengisbatkan lafaz-lafaz tersebut kepada Allah.

Maka jelaslah bahawa golongan awal dan golongan yang terkemudian dalam kumpulan Ahlus Sunnah Wal Jamaah bersependapat untuk membaca ayat-ayat tersebut dan mengakuinya bahawa ia adalah firman Allah. Mereka juga telah bersepakat untuk tidak memahami ayat-ayat tersebut berdasarkan makna secara bahasa yang akan membawa kepada menyamakan Allah dengan sifat makhluk-makhluk-Nya.

Namun golongan terkemudian telah menambah pembawakan mereka dengan mengatakan: “Lafaz-lafaz tersebut tidak boleh difahami melainkan dengan makna yang layak bagi Allah”. Seolah-olah mereka ingin menyatakan kepada orang yang berdebat dengan mereka: “Apabila kamu tetap berkeras untuk berbicara tentang makna bagi lafaz-lafaz tersebut, maka ucapkanlah apa sahaja makna melainkan makna yang mengurangkan keagungan Allah dan membawa kepada menyamakan Allah dengan makhluk-makhluk-Nya”.

Maka sebagai contoh mereka telah berkata kepada orang yang berdebat dengan mereka: “Mata Allah bermaksud penjagaan-Nya dan keprihatinan-Nya sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah Taala di dalam Surah Toha ayat ke-39: Supaya anda [wahai Nabi Musa] dibuat atas Mata-Ku. Namun jangan sama sekali kamu berkata: Sesungguhnya ‘Mata’ itu adalah anggota tubuh badan”.

Justeru kita boleh mengatakan bahawa pendekatan golongan Salaf (golongan awal Ahlus Sunnah) adalah pendekatan untuk dipegang untuk dijadikan sebagai pegangan akidah manakala pendekatan golongan Kholaf (golongan Ahlus Sunnah yang terkemudian) adalah pendekatan untuk tujuan perdebatan. Inilah pembawakan Ahlus Sunnah dalam menghadapi lafaz-lafaz yang sekiranya difahami berdasarkan makna bahasa akan membawa kepada menyamakan Allah dengan makhluk-Nya secara pasti.

Al-Hafiz al-‘Iroqiyy telah berkata sewaktu beliau menghuraikan maksud Wajah Allah: “Sudah berulang kali sebutan tentang Wajah Allah Taala di dalam al-Kitab dan al-Sunnah. Orang ramai (iaitu mereka yang bersama dengan kebenaran) dalam memahami ayat ini mempunyai dua pendekatan yang masyhur.

Pertama: Membaca ayat ini semata-mata sebagaimana ia telah diwahyukan tanpa membincangkan bagaimanakah [maksud Wajah Allah]. Maka kita beriman dengan ayat ini dan kita menyerahkan pengetahuan terhadap maknanya kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui akann maknanya dan dalam masa yang sama kita berkeyakinan penuh bahawa tidak ada sesuatu pun yang seperti Allah dan [kita berkeyakinan penuh bahawa] sesungguhnya sifat-sifat Allah tidak menyamai sifat-sifat makhluk.

Kedua: Mentakwilkan Wajah Allah dengan makna yang layak bagi Zat-Nya Yang Mulia. Maka maksud Wajah [Allah] adalah kewujudan [Allah]”.

Mengapa Pengikut Abu Al-Hasan Al-Ash’ariyy Menggelarkan Diri Mereka Sebagai Asya’irah?

Mungkin akan ada orang yang bertanya: “Kalau betul golongan Asya’irah adalah mereka yang berpegang dengan mazhab Ahlus Sunnah, maka mengapa mereka tidak menamakan diri mereka dengan nama Ahlus Sunnah sebaliknya dengan nama Asha’irah? Mengapa mereka menyandarkan aqidah mereka kepada aqidah Abu al-Hasan al-Ash’ariyy dan mereka tidak pula meyandarkan aqidah mereka kepada aqidah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat Baginda”?

Sebenarnya persoalan-persoalan ini tidak akan muncul di fikiran orang yang berilmu sebaliknya hanya akan dilontarkan oleh orang awam dan mereka yang lemah dari sudut pengetahuan. Ini kerana konsep yang dipegang oleh ahli ilmu adalah: ‘Tiada Pergaduhan Pada Istilah” kerana yang menghukum bahawa sesuatu mazhab adalah benar atau salah adalah dalil dan bukannya sesuatu mazhab yang telah dinamakan dengan nama tertentu.

Golongan Asha’irah menisbahkan diri mereka kepada Abu al-Hasan al-Ash’ariyy kerana ketika orang ramai satu ketika dahulu telah berselisih pandangan dan muncul golongan yang berpegang dengan pandangan-pandangan bid’ah yang tidak beradab dengan Allah dan Rasul-Nya dalam keadaan semua mereka mendakwa bahawa aqidah mereka adalah aqidah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta para sahabat Baginda, maka menjadi tanggungjawab ke atas golongan yang berpegang dengan aqidah yang benar untuk menjelaskan kepada orang ramai apakah sebenarnya aqidah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  dan para sahabat Baginda sebagaimana yang telah dilakukan oleh Abu al-Hasan al-Ash’ariyy.

Beliau bukanlah pencipta mazhab yang baru dalam aqidah sebaliknya beliau hanyalah menjelaskan semula apakah sebenarnya aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ini telah dijelaskan oleh al-Imam al-Subkiyy menerusi tulisan beliau yang berbunyi:

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya Abu al-Hasan al-Ash’ari bukanlah seorang yang mereka-reka pandangan dan bukan juga seorang yang mengasaskan mazhab. Beliau tidak lain dan tidak bukan hanyalah seorang yang mengiakan pegangan-pegangan golongan Salaf dan mempertahankan apa yang telah dianuti oleh para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Maka penisbahan kepada beliau tidak lain dan tidak bukan hanyalah semata-mata dari sudut beliau telah menyimpulkan pengikat pinggang berdasarkan jalan golongan salaf lalu beliau telah berpegang teguh dengannya dan [dari sudut] beliau telah mendirikan hujah-hujah dan bukti-bukti kebenaran aqidah golongan Salaf. Maka orang yang mengikut beliau pada perkara tersebut yang berjalan dengan jalan beliau dalam menyatakan hujah-hujah adalah dikenali sebagai Asy’ariyy [iaitu pengikut Abu al-Hasan al-‘Ash’ariyy]”. (Lihat al-Tobaqot al-Shafi’yyah)

Al-Taj al-Subkiyy juga berkata: “Mereka yang bermazhab Hanafiyy, Shafi’iyy, Malikiyy dan orang-orang yang bagus daripada mazhab Hanbaliyy dalam aspek aqidah adalah merupakan tangan yang satu. Mereka semua berpandangan dengan pandangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah berdasarkan pembawakan Syeikh bagi Ahlus Sunnah iaitu Abu al-Hasan al-Ash’ariyy. Semoga Allah telah meredhai beliau”.

Al-Taj al-Subkiyy menyambung ucapan beliau: “Kesimpulannya adalah aqidah al-Ash’ariyy merupakan apa yang terkandung di dalam aqidah Abu Ja’far al-Tohawiyy yang telah diterima oleh para ulama dari pelbagai mazhab fiqh dan yang telah diredhai oleh mereka sebagai aqidah pegangan mereka”. (Lihat Mu’id al-Ni’am)

Al-‘Allamah Ibnu ‘Abidin pula telah berkata: “Maksud ‘aqidah kami’ adalah apa sahaja yang kami telah beriktikad dengannya yang ia bukan masalah-masalah fiqh. Aqidah tersebut wajib diyakini oleh setiap mukallaf tanpa bertaqlid dengan sesiapa pun. Aqidah tersebut adalah apa yang telah diyakini oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan Ash’irah dan Maturidiyyah. Dua golongan ini telah bersepakat dalam semua perbahasan aqidah melainkan hanya beberapa masalah sahaja. Sebahagian para ulama berpendapat bahawa percanggahan kecil antara dua golongan ini hanyalah percanggahan dari sudut istilah sahaja”. (Lihat Hashiyah Ibni ‘Abidin)

Oleh itu sekiranya kita mengatakan: “Aqidah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat baginda adalah aqidah al-Asha’irah”, maka ucapan ini sebenarnya adalah mengiakan realiti yang sebenar. Ia sama seperti kenyataan yang berbunyi: “Kebanyakan cara bacaan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sewaktu Baginda membaca al-Quran adalah cara bacaan al-Imam Nafi’” sekalipun al-Imam Nafi’ tidak pernah melihat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sebenarnya al-Imam Nafi’ membaca al-Quran seperti bacaan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan bukannya Baginda membaca al-Quran berdasarkan cara bacaan al-Imam Nafi’. Namun apabila al-Imam Nafi’ menjadi orang yang menguasai dengan penuh teliti cara bacaan tersebut, maka cara bacaan itu telah disandarkan kepada beliau sehingga akhirnya ada pihak yang berkata: “Sesungguhnya kebanyakan cara bacaan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam adalah cara bacaan al-Imam Nafi’”.

Maka berdasarkan kefahaman ini, tidak ada salahnya kalau kita mengatakan: “Sesungguhnya aqidah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan aqidah para sahabat Baginda adalah aqidah golongan Asha’irah.

Maka jelaslah berdasarkan penerangan di atas bahawa pegangan golongan Salaf terhadap ayat-ayat Mutashabih adalah memperakui bahawa ia adalah Firman Allah di samping menolak untuk memahaminya berdasarkan makna secara bahasa yang hanya akan membawa kepada menyamakan Allah Taala dengan makhluk-Nya sebagaimana yang telah disebutkan dengan jelas oleh al-Imam al-Shafi’iyy, al-Imam Ahmad dan selain mereka berdua. Inilah dia aqidah Asha’irah.