loader image

Amalan Yang Dituntut Untuk Dilakukan Pada Hari Raya

Amalan Yang Dituntut Untuk Dilakukan Pada Hari Raya

Disediakan oleh :

Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain

Sheikh Ruwaq Jawi,Kaherah Mesir.

(Calon PhD Universitiy Al-Azhar)

Syawal adalah hari kebesaran yang diraikan oleh umat Islam sebagai tanda kesyukuran mereka kepada Allah lantaran hidayah dan taufiq-Nya kepada mereka dalam melaksanakan kewajipan puasa dan menghidupkan malam dengan ibadah sepanjang bulan Ramadan. Kegembiraan pada 1 Syawal telah disyariatkan oleh Allah sehingga seseorang muslim tidak dibenarkan untuk berpuasa pada 1 Syawal sama sekali agar dia dapat bergembira dalam menikmati juadah sepanjang hari raya Idul Fitri.

Malam Hari Raya Yang Dituntut Untuk Dihidupkan Dengan Amal Ibadah

Apabila anak bulan Syawal kelihatan, maka bermulalah malam hari raya Idul Fitri yang sangat bermakna bagi mereka yang telah berjaya melaksanakan perintah Allah sepanjang bulan Ramadan.

Sebagaimana yang dimaklumi, setiap malam pada bulan Ramadan adalah dituntut untuk dihidupkan dengan ibadah seperti melaksanakan solat sunat Tarawih dan solat sunat Witir, memperbanyakkan bacaan al-Quran khususnya di dalam solat, menyebut nama Allah, berselawat ke atas Rasulullah SAW dan memanjatkan doa.

Maka apabila berakhir sahaja siang terakhir bulan Ramadan, kita disunatkan untuk menghidupkan malam hari raya Idul Fitri dengan melaksanakan ibadah sebagaimana yang pernah kita lakukan sepanjang bulan Ramadan. Ini berdasarkan hadith dhaif yang telah diriwayatkan oleh al-Imam al-Syafi’iyy dan al-Imam Ibnu Majah bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Barang siapa yang telah berdiri (melaksanakan ibadah) pada dua malam bagi dua hari raya (Idul Fitri dan Idul Adha) dalam keadaan dia menghitung untuk Allah (menganugerahkan ganjaran pahalanya di akhirat nanti tanpa dia mengharapkan ganjaran daripada manusia), nescaya tidak akan mati jantung hatinya pada hari jantung-jantung hati (orang lain) akan mati”.

Al-Imam al-Syafi’iyy turut menyatakan: “(Satu perkhabaran) telah sampai kepada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa akan diterima (oleh Allah) pada lima malam (berikut): pada malam Jumaat, malam (Idul) Adha, malam (Idul) Fitri, malam yang pertama daripada (bulan) Rejab dan malam pertengahan daripada (bulan) Syaaban”.

Maka sangat beruntunglah mereka yang tidak leka pada malam hari raya Idul Fitri dengan beribadah sekalipun orang lain pada malam tersebut lalai dan alpa. Menurut al-Imam al-Nawawi, para ulama telah berbeza pendapat dalam menentukan kadar minima bagi maksud ‘menghidupkan malam’. Pandangan yang kuat mengatakan ‘menghidupkan malam’ bermaksud mengisi kebanyakan waktu malam dengan beribadah. Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa seseorang yang mendirikan ibadah pada malam tersebut walaupun hanya sebentar tetap dianggap telah menghidupkan malam.

Maka berdasarkan pandangan yang kuat sebagaimana yang telah dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi di atas, sekiranya solat maghrib bermula pada jam 7.30 malam manakala solat subuh bermula pada jam 6 pagi, maka seseorang hanya akan dianggap telah menghidupkan malam apabila dia telah beribadat pada malam tersebut melebihi 5 jam 15 minit.

Membesarkan Allah Taala Pada Malam Hari Raya

Antara yang turut dituntut pada malam hari raya Idul Fitri juga adalah memperbanyakkan takbir yang menunjukkan bahawa Allah Taala adalah yang paling utama bagi seseorang mukmin. Tuntutan ini bersumberkan kepada ayat ke-185 daripada Surah al-Baqoroh yang bermaksud: “Hendaklah kamu semua menyempurnakan bilangan (puasa pada bulan Ramadan) dan hendaklah kamu semua membesarkan Allah atas sebab apa yang telah dihidayahkan kepada kamu semua”.

Tuntutan memperbanyakkan takbir ini bermula pada maghrib malam hari raya sehinggalah imam mengangkat Takbiratul Ihram semasa solat hari raya pada keesokan harinya. Maka para muslim digalakkan bertakbir selepas selesai solat bahkan di mana sahaja mereka berada dan dalam apa keadaan sekalipun sama ada mereka berada di masjid atau selain masjid, sedang berkenderaan, sedang berjalan kaki, sedang berdiri, sedang duduk atau sedang berbaring.

Mandi Sunat Hari Raya Yang Berbeza Dengan Mandi Hari Jumaat

Umat Islam disunatkan untuk mandi sunat hari Raya Idul Fitri tidak kira sama ada lelaki atau wanita, tua atau muda, dibenarkan melaksanakan solat atau wanita yang didatangi haid atau nifas. Maka disebabkan hari raya adalah hari perhiasan, maka semua muslim dituntut untuk mandi sunat hari raya. Hal ini berbeza dengan mandi sunat Jumaat yang hanya disunatkan kepada mereka yang akan menghadiri solat fardu Jumaat sahaja.

Waktu mandi sunat hari raya Idul Fitri bermula pada pertengahan malam dan berakhir apabila masuk waktu solat Maghrib bagi malam kedua hari raya. Maka sekiranya solat maghrib bermula pada jam 7.30 malam manakala solat subuh bermula pada jam 6 pagi, seseorang telah boleh untuk mandi sunat hari raya pada jam 12.45 malam.

Makan Sebelum Keluar Menunaikan Solat Sunat Hari Raya Idul Fitri

Antara ibadah pada pagi hari raya Idul Fitri adalah menjamah juadah sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya. Ini untuk membezakan hari tersebut dengan hari-hari sebelumnya sepanjang bulan Ramadan.

Sebaiknya makanan yang dijamah tersebut adalah buah kurma kering yang dimakan dalam bilangan ganjil. Ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari: daripada Sayyidina Anas, beliau telah berkata: “Rasulullah SAW satu ketika dahulu tidak akan berpagi-pagi pada hari (raya) Fitri sehinggalah baginda makan buah-buah kurma kering”. Sayyidina Anas turut berkata: “Baginda telah makan buah-buah kurma kering itu dalam (bilangan) ganjil”. 

Puasa Pada Enam Hari Di Dalam Bulan Syawal

Antara yang dituntut untuk dilakukan pada bulan Syawal adalah berpuasa selama enam hari di bulan Syawal selain hari pertama bulan Syawal. Ini berdalilkan hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim: daripada Sayyidina Abu Ayyub al-Ansoriyy -semoga Allah telah meredhai beliau- bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Barang siapa yang telah berpuasa Ramadan kemudian dia telah menyertakannya dengan (berpuasa pada) enam (hari) daripada (bulan) Syawal, puasa tersebut adalah seolah-olah puasa-puasa (yang dilakukan) sepanjang masa (iaitu setahun)”. 

Islam Mahu Agar Ibadah Dilakukan Secara Konsisten

Sekiranya kita meneliti secara halus ibadah-ibadah di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa Ramadan adalah bulan yang ingin mendidik kita menjadi hamba Allah yang mentaati-Nya sepanjang hidup kita. Maka sebagaimana kita telah mampu menghidupkan malam-malam Ramadan dengan beribadah, Allah mahu kita dapat meneruskan ibadah-ibadah ini sekalipun bulan Ramadan telah berlalu lalu disyariatkan beribadah pada kebanyakan malam hari raya Idul Fitri. Begitu juga dengan kesungguhan berpuasa sepanjang Ramadan diteruskan dengan berpuasa sebanyak enam hari pada bulan Syawal.

Semoga Ramadan yang baru sahaja berlalu akan menjadi inspirasi kita untuk terus menjadi hamba Allah yang mentaati-Nya sepanjang 11 bulan yang akan ditempuhi sebelum kita direzekikan lagi dengan kenikmatan beribadah pada Ramadan akan datang. Amin.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Ruwaq Jawi​​