loader image

Al-QUDS DAN AL-MASJID Al-AQSO

Disediakan oleh :

Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain

Sheikh Ruwaq Jawi,Kaherah Mesir

(Calon PhD Universitiy Al-Azhar)

Bermula 15 Mei 1948, umat Islam telah dirundung kesedihan yang berpanjangan apabila dunia Barat menubuhkan negara haram Israel di tanah Palestin. Penubuhan negara haram Israel yang menjadi petaka yang berpanjangan bagi umat Islam adalah ekoran daripada Resolusi 181 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 29 November 1947 yang membenarkan pembahagian tanah Palestin kepada dua negara; negara orang Arab Palestin dan negara orang Yahudi. Semenjak tarikh dukacita 15 Mei 1948 sehingga sekarang, dunia menyaksikan penumpahan darah, pencerobohan tanah dan penafian hak warga Palestin ke atas tanah air mereka sendiri. Bahkan mereka juga terus diganggu ketika ingin beribadah di al-Masjid al-Aqso yang merupakan kiblat pertama bagi kaum muslimin dan masjid yang ketiga yang paling mulia di dalam agama Islam.

Bandar Al-Quds

Al-Quds atau juga dipanggil sebagai Jerusalem di dalam bahasa Hebrew adalah kawasan yang merupakan tempat suci bagi agama Islam, Kristian dan Yahudi. Al-Quds memiliki al-Masjid al-Aqso yang pernah menjadi lokasi perhimpunan seluruh para Nabi dan Rasul untuk melaksanakan solat berjemaah yang diimamkan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW pada malam Israk dan Mikraj. Al-Masjid al-Aqso adalah kiblat solat sebahagian para Nabi sebelum kedatangan Rasulullah SAW bahkan al-Masjid al-Aqso juga adalah qiblat pertama bagi solat yang dilaksanakan oleh generasi awal para sahabat Rasulullah SAW. Mereka telah mendirikan solat dengan menghadapkan wajah mereka ke al-Masjid al-Aqso sehinggalah Allah mengubah kiblat solat kaum muslimin pada pertengahan bulan Rejab tahun kedua hijriah daripada al-Masjid al-Aqso kepada Kaabah.

Al-Quds juga memiliki gereja al-Qiyamah atau dikenali juga dengan nama Chuch of the Holy Sepulchre. Gereja ini sangat penting di sisi penganut Kristian kerana ia dibina di atas tapak yang dipercayai oleh mereka sebagai lokasi penyaliban Nabi Isa Alaihissalam. Sayyidina Umar bin al-Khottob sewaktu pembebasan kota al-Quds telah dipelawa oleh pihak gereja ini untuk masuk dan melihat suasana di dalamnya. Sewaktu Sayyidina Umar sedang berada di dalam gereja ini, waktu solat telah masuk lalu Sayyidina Umar telah dipersilakan oleh paderi besar gereja ini yang bernama Sophronius untuk melakukan solat di dalam gereja tersebut. Walau bagaimanapun Sayyidina Umar enggan kerana beliau bimbang orang Islam pada satu hari nanti akan mengambil hak golongan Kristian dengan membina pula masjid di dalam gereja ini dengan alasan Sayyidina Umar pernah mendirikan solat di dalam gereja tersebut. Lalu beliau akhirnya telah melaksanakan solat di lokasi yang berhampiran dengan gereja ini yang dikenali pada hari ini dengan nama Masjid Umar.

Golongan Yahudi pula mendakwa bahawa Masjid Qubbah al-Sokhroh sebenarnya dibina di atas tapak Kuil Nabi Sulaiman Alaihissalam yang kononnya telah dibina oleh Baginda. Maka dengan alasan rapuh ini mereka terus menggali kawasan al-Masjid al-Aqso untuk mencari sebarang bukti yang mendokong kewujudan kuil Nabi Sulaiman. Mereka juga telah menjadikan khayalan kewujudan kuil Nabi Sulaiman ini sebagai alasan bahawa mereka adalah orang yang berhak ke atas bandar al-Quds dan Palestin.  

Lokasi Sebenar Al-Masjid Al-Aqso

Al-Masjid Al-Aqso adalah kawasan seluas 144,000 meter persegi yang terletak di dalam bandar Baitul Maqdis atau juga dikenali dengan nama bandar al-Quds. Maka al-Masjid al-Aqso dengan keluasan ini adalah merupakan seperenam keluasan seluruh bandar al-Quds. Al-Masjid al-Aqso pada hakikatnya adalah kompleks yang merangkumi beberapa bangunan yang antaranya adalah tujuh buah masjid.  Tujuh buah masjid tersebut adalah al-Masjid al-Qibliyy iaitu masjid yang mempunyai kubah berwarna hijau tua, Masjid Qubbah al-Sokhroh iaitu masjid yang mempunyai kubah berwarna kuning keemasan, Musolla al-Aqso al-Qodim yang terletak di bawah al-Masjid al-Qibliyy, al-Musolla al-Marwaniyy yang terletak di tenggara al-Masjid al-Aqso, Masjid al-Buroq yang berada di barat daya al-Masjid al-Aqso yang dipercayai adalah lokasi Rasulullah SAW menambat al-Buroq pada malam Israk, Masjid al-Maghoribah yang terletak di barat daya al-Masjid al-Aqso dan Jami’ al-Nisa yang juga terletak di barat daya al-Masjid al-Aqso.

Ada beberapa pihak yang mendakwa bahawa Masjid Qubbah al-Sokhroh bukanlah al-Masjid al-Aqso sebaliknya al-Masjid al-Aqso adalah al-Masjid al-Qibliyy. Pandangan ini adalah tidak tepat kerana hakikat al-Masjid al-Aqso adalah kawasan luas bersaiz 144,000 meter persegi yang bukan sahaja merangkumi Masjid Qubbah al-Sokhroh dan al-Masjid al-Qibliyy sahaja bahkan turut merangkumi lima buah masjid yang berbaki serta beberapa monument-monumen lain.

Siapakah Yang Membina Al-Masjid Al-Aqso

Umum mengetahui bahawa Nabi Sulaiman Alaihissalam adalah orang yang membina al-Masjid al-Aqso manakala Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pula adalah orang yang membina Kaabah. Walau bagaimanapun al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim telah meriwayatkan satu hadith yang menunjukkan bahawa selang waktu antara pembinaan Kaabah dan al-Masjid al-Aqso adalah empat puluh tahun seperti berikut:

Daripada Sayyidina Abu Dzarr, beliau telah berkata: Saya telah berkata: “Wahai Rasulullah. Masjid manakah yang mula-mula sekali telah diletakkan di bumi”? Baginda telah bersabda: Al-Masjid al-Haram”. Saya telah berkata [lagi]: “Kemudian [masjid] yang mana [pula selepas al-Masjid al-Haram]”? Baginda telah bersabda: “Al-Masjid al-Aqso”. Saya telah berkata [lagi]: “Berapakah [tempoh masa] antara kedua-duanya”? Baginda telah bersabda: “Empat puluh tahun. Di mana sahaja solat telah menemui anda, maka bersolatlah [di situ] kerana ia adalah tempat solat”.

Sabdaan Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa al-Masjid al-Aqso dibina setelah berlalu empat puluh tahun pembinaan Kaabah ini telah menimbulkan persoalan kerana Nabi Ibrahim selaku orang yang membina Kaabah dan Nabi Sulaiman selaku orang yang membina al-Masjid al-Aqso bukanlah hidup pada zaman yang sama bahkan jarak masa antara kedua-dua orang Nabi ini adalah melebihi 1,000 tahun!

Al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqolani telah mendatangkan beberapa andaian para ulama bagi memecahkan persoalan di atas. Jawapan yang pertama: Nabi Adam adalah orang yang mula-mula sekali membina Kaabah. Kemudian berkemungkinan ada daripada kalangan anak-anak Nabi Adam yang membina pula al-Masjid al-Aqso selepas itu. Jawapan yang kedua: orang yang mula-mula sekali membina Kaabah dan al-Masjid al-Aqso adalah Nabi Adam Alaihissalam sendiri. Maka berdasarkan dua jawapan ini, Nabi Ibrahim hanyalah memperbaharui pembinaan Kaabah manakala Nabi Sulaiman pula hanyalah memperbaharui pembinaan al-Masjid al-Aqso. Jawapan yang ketiga pula adalah orang yang mula-mula sekali membina Kaabah adalah Nabi Ibrahim Alaihissalam manakala orang yang mula-mula membina al-Masjid al-Aqso pula adalah Nabi Ya’qub Alaihissalam. Maka berdasarkan jawapan ini, Nabi Sulaiman Alaihissalam hanya memperbaharui pembinaan al-Masjid al-Aqso. Antara tiga andaian di atas, al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqolani berpandangan bahawa pandangan yang kuat adalah pandangan yang kedua yang mengatakan bahawa kedua-dua masjid ini telah dibina sendiri oleh Nabi Adam Alaihissalam.

Walau apapun sebenarnya yang berlaku, al-Masjid al-Aqso adalah masjid yang sangat bernilai kerana antara pembina awalnya adalah Nabi Sulaiman Alaihissalam sendiri. Maka tidak peliklah apabila pahala mendirikan solat di al-Masjid al-Aqso adalah menyamai 500 solat di masjid-masjid selain al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Nabawi.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Ruwaq Jawi​​