loader image

Al-Imam Al-Syafi’iyy Pendiri Mazhab Fikah Yang Genius

Al-Imam Al-Syafi’iyy Pendiri Mazhab Fikah Yang Genius

Siri#23

————————–

Disediakan Oleh : Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain Sheikh Ruwaq Jawi , Kaherah Mesir.

(Calon PhD University Al-Azhar)

 

Al-Imam Al-Syafi’iyy Pendiri Mazhab Fikah Yang Genius

Nama al-Syafi’iyy adalah nama yang tidak asing lagi di kalangan kaum muslimin apatah lagi di Malaysia yang rata-rata masyarakat Muslim di Malaysia secara pengamalan fikahnya bermazhab dengan mazhab al-Imam al-Syafi’iyy. Namun ramai di kalangan kita yang tidak mengetahui kisah hidup ulama besar ini dan peranan beliau di dalam memahami ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW khususnya yang berkait dengan hukum-hakam.

Titihan Yang Mulia

Al-Syafi’iyy sebenarnya bermaksud orang yang dinisbahkan kepada seorang lelaki bernama Syafi’. Adapun nama sebenar imam agung ini, beliau adalah Muhammad bin Idris bin al-‘Abbas bin ‘Uthman bin al-Syafi’ bin al-Sa-ib bin ‘Ubayd bin ‘Abdu Yazid bin Hasyim bin al-Muttolib bin ‘Abdu Manaf bin Qusoyy bin Kilab bin Murroh bin Ka’b bin Lu-ayy bin Gholib bin Fihr bin Malik bin al-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaymah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhor bin Nizar bin Ma’add bin ‘Adnan.

Menerusi salasilah nasab ini kita dapat mengetahui punca asal sang imam dipanggil dengan panggilan al-Syafi’iyy kerana moyang beliau yang kedua adalah al-Syafi’ bin al-Sa-ib.

Salasilah ini juga menunjukkan bahawa nasab al-Imam al-Syafi’iyy bertemu dengan nasab mulia Rasulullah SAW pada moyang baginda yang kedua iaitu Sayyidina ‘Abdu Manaf bin Qusoyy. Maka jelaslah bahawa al-Imam al-Syafi’iyy adalah daripada suku Quraisy yang ternama yang merupakan zuriat Nabi Allah Ismail bin Nabi Allah Ibrahim Alayhima al-Salam.

Kelahiran Sang Imam Yang Agung

Para sejarawan menyatakan bahawa al-Imam al-Syafi’iyy lahir pada tahun 150 Hijriah di Gaza, Palestin. Pada tahun 150 Hijriah jugalah al-Imam Abu Hanifah pendiri mazhab Hanafiyy telah wafat. Tahun 150 Hijriah adalah tahun yang istimewa kerana pada tahun itu, seorang ulama besar telah wafat dalam masa yang sama seorang bayi yang bakal menjadi ulama terbilang telah lahir di dunia.

Selepas tinggal di Gaza selama dua tahun, al-Imam al-Syafi’iyy telah dibawa ke kota Mekah lalu beliau telah tinggal dan membesar di sana. Ada juga sejarawan yang berpendapat bahawa al-Imam al-Syafi’iyy dilahirkan di Yaman.

Kefakiran Tidak Mematahkan Semangat Al-Imam Al-Syafi’iyy

Pada usia kecilnya, al-Imam al-Syafi’iyy yang sudah kematian ayahnya hidup dalam satu keluarga yang fakir. Beliau pernah dihantar oleh keluarganya untuk belajar al-Quran di kota Mekah namun keluarga beliau tidak mampu membayar yuran yang dikenakan oleh sang guru. Sewaktu meningkat usia setelah beliau selesai menghafal al-Quran al-Karim, al-Imam al-Syafi’iyy yang begitu memberikan penumpuan kepada majlis-majlis ilmu di kota Mekah tidak mampu membeli kertas kosong untuk mencatat mutiara-mutiara ilmu yang disampaikan oleh para guru. Namun ini tidak mematahkan sama sekali semangat beliau untuk terus mendalami ilmu pengetahuan lalu beliau telah mencari tulang-tulang binatang dan kertas-kertas terpakai yang sudah ditulis oleh orang untuk digunakan oleh beliau bagi mencatat dan menulis fakta-fakta ilmu yang disampaikan oleh para ulama kota Mekah ketika itu sehingga rumah beliau penuh dengan tulang-belulang.

Kecerdikan Yang Sangat Luar Biasa

Kota Mekah telah menyaksikan sang imam saat mudanya telah bersimpuh menuntut ilmu daripada para ulama besar ketika itu seperti al-Imam Sufyan bin ‘Uyainah dan al-Imam Muslim bin Kholid al-Zinjiyy.

Beliau telah menunjukkan kecerdikan luar biasanya apabila beliau telah berjaya menghafaz seluruh isi kandung al-Quran al-Karim ketika baru berusia tujuh tahun dan beliau telah berjaya menghafaz seluruh hadith-hadith Rasulullah SAW yang ditulis di dalam kitab al-Muwattok sewaktu baru berusia 10 tahun. Jumlah hadith-hadith yang ada di dalam al-Muwattok karangan al-Imam Malik bin Anas adalah 1,859 hadith.

Ketika al-Imam al-Syafi’iyy berusia 15 tahun pula, beliau telah dizinkan oleh al-Imam Muslim bin Khalid al-Zinjiyy untuk memberikan fatwa kepada persoalan orang ramai sedangkan beliau baru sahaja berusia 15 tahun. Ini adalah satu pengiktirafan yang besar daripada al-Imam Muslim bin Khalid al-Zinjiyy akan kelayakan al-Imam al-Syafi’iyy semenjak kecil lagi dalam bidang ilmu fikah.

Berita Gembira Daripada Rasulullah SAW Mengenai Al-Imam Al-Syafi’iyy

Al-Imam Abu Daud al-Toyalisiyy di dalam kitab Musnad beliau telah meriwayatkan bahawa Sayyidina Abdullah bin Mas’ud Radhiyallahu ‘Anhu telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Janganlah kamu semua mencaci (keturunan) Quraisy kerana sesungguhnya seorang alim daripada mereka akan memenuhi bumi dengan ilmu”. Menurut para ulama, setelah dilihat sejarah tokoh-tokoh ilmu berketurunan Quraisy, tokoh paling berilmu dan yang paling berpengaruh daripada keturunan Quraisy adalah al-Imam al-Syafi’iyy.

Sebelum kewafatan al-Imam al-Syafi’iyy dalam beberapa hari, murid beliau yang bernama al-Imam Robi’ al-Murodiyy telah bermimipi dengan satu mimpi yang aneh. Beliau bermimpi melihat Nabi Allah Adam Alayh al-Salam telah wafat. Setelah terjaga dari lenanya, al-Imam Robi’ al-Murodiyy telah merujuk sebahagian para ulama yang memiliki kelebihan dapat menakbir mimpi. Lalu ulama yang telah dirujuk oleh al-Imam al-Robi’ al-Murodiyy telah menyatakan bahawa mimpi itu adalah petanda bahawa seorang yang paling alim sekali ketika itu akan meninggal dunia kerana Nabi Adam Alayh al-Salam adalah simbol kepada keluasan ilmu berdasarkan firman Allah Taala di dalam surah al-Baqoroh ayat ke-31 yang bermaksud: “Dia (iaitu Allah Taala) telah mengajar (Nabi) Adam akan nama-nama seluruhnya”. Tidak lama selepas mimpi itu, al-Imam al-Syafi’iyy telah wafat lantas telah menunjukkan satu isyarat bahawa al-Imam al-Syafi’iyy adalah ulama yang paling alim pada ketika itu.

Murid Yang Hebat Adalah Petanda Bahawa Sang Guru Adalah Guru Yang Hebat

Para sejarawan telah merekodkan sejumlah nama-nama besar yang telah menjadi murid kepada al-Imam al-Syafi’iyy. Antara mereka adalah al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Hasan bin Muhammad bin al-Sobbah al-Za’faroniyy, al-Husayn al-Karobisiyy, Ibrahim bin Kholid al-Kalbiyy yang turut juga dikenali dengan panggilan Abu Thawr, Ismail bin Yahya al-Muzaniyy, al-Robi’ bin Sulayman al-Murodiyy, al-Robi’ bin Sulayman al-Jiziyy, Yusuf bin Yahya al-Buwaytiyy, Harmalah bin Yahya al-Tujibiyy dan Yunuf bin ‘Abd al-A’la.

Kewafatan al-Imam  Al-Syafi’iyy

Setelah al-Imam al-Syafi’iyy berkelana panjang dari Mekah ke Madinah, seterusnya bergerak ke Baghdad, seterusnya pulang semula ke Mekah, seterusnya kembali semula ke Baghdad lalu akhirnya bergerak ke Mesir hanya untuk mempelajari dan menyebarkan ilmu pengetahuan, Allah Taala telah menjemput al-Imam al-Syafi’iyy pulang ke hadhrat-Nya pada malam Jumaat selepas beliau selesai menunaikan solat Isyak dalam usia 54 tahun. Malam tersebut adalah malam yang terakhir bagi bulan Rejab tahun 204 Hijriah. Al-Imam al-Robi’ al-Murodiyy berkata: “Kami telah pulang dari pengebumian al-Syafi’iyy -Allah telah merahmati beliau- lalu kami telah melihat anak bulan Syaaban”.

Sekalipun beliau telah meninggalkan kita semenjak lebih 1,200 tahun yang lampau, namun ilmu dan haruman nama beliau terus mekar dan akan terus hidup di hati umat Islam seluruhnya. Al-Fatihah buat beliau.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​