loader image

Al-Imam Al-Syafi’iyy Menolak Hadith Sahih?!

Al-Imam Al-Syafi’iyy Menolak Hadith Sahih?!

Siri#029

————————–

Disediakan Oleh :

Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain Sheikh Ruwaq Jawi,Kaherah Mesir.

(Calon PhD Universitiy Al-Azhar)

 

Antara perkara yang sering menjadi igauan para pengikut mazhab al-Imam al-Syafi’iyy adalah dakwaan sebahagian pihak bahawa pandangan al-Imam al-Syafi’iyy dalam masalah begian-begian tidak boleh diikuti kerana pandangan beliau itu telah bercanggah dengan hadith-hadith yang sahih.

Lalu mereka cuba menjelaskan kepada kita bahawa seyogia bagi kita semua untuk berpegang dengan hadith-hadith sahih dan hendaklah menolak sebarang pandangan al-Imam al-Syafi’iyy apabila ia bertentangan dengan hadith kerana dalil kita adalah hadith Rasulullah SAW dan bukannya pandangan al-Imam al-Syafi’iyy.

Kumpulan ini juga menyatakan bahawa sikap untuk terus berpegang dengan pandangan al-Imam al-Syafi’iyy sekalipun sudah jelas percanggahannya dengan hadith yang sahih adalah bukti ketaasuban secara membabi buta kepada al-Imam al-Syafi’iyy tidak kira sama ada beliau berada dalam kebenaran atau sudah melencong daripada kebenaran.

Siapakah Orang Yang Layak Mencari Hukum Daripada Hadith Serta Dalil-Dalil Yang Muktabar?

Masyarakat perlu menyedari bahawa orang yang layak untuk terus meneliti hukum daripada dalil-dalil Syarak seperti al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma’ dan al-Qiyas hanyalah mereka yang pakar dalam bidang fikah seumpama al-Imam al-Syafi’iyy, al-Imam Malik, al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal. Adapun kita selaku orang yang tidak memiliki kepakaran tersebut, maka kita wajib memberikan kepercayaan kepada golongan pakar dalam ilmu fikah seterusnya berpegang teguh kepada pandangan mereka yang sebenarnya adalah hasil akhir kajian terperinci mereka terhadap dalil-dalil Syarak. Maka dengan berpegang teguh kepada pandangan al-Imam al-Syafi’iyy contohnya, kita sebenarnya telah berpegang dengan kehendak Syarak menerusi kefahaman al-Imam al-Syafi’iyy.

Sebenarnya sikap yang sama telah kita praktikkan di dalam bidang-bidang keduniaan. Sebagai contoh, kita tetap akan berpegang dengan pandangan para doktor perubatan sekalipun kita mendapati golongan yang bukan ahli dalam bidang perubatan telah mencanangkan kononnya pandangan para doktor tersebut adalah salah. Sikap untuk terus berpegang dengan kenyataan para doktor walau apapun kenyataan pihak lain adalah berpaksikan kepada keyakinan terhadap para doktor yang ahli dalam bidang perubatan kerana mereka semestinya hanya akan mengeluarkan sesuatu kenyataan dalam bidang perubatan setelah mereka melakukan kajian dengan begitu teliti.

Apakah Maksud: Mazhab Al-Imam Al-Syafi’iyy

Apabila kita menyatakan: “Ini adalah mazhab al-Imam al-Syafi’iyy”, kenyataan ini bermaksud: “Ini adalah kefahaman akhir al-Imam al-Syafi’iyy terhadap hukum-hakam fikah setelah beliau mengkaji dan meneliti dalil-dalil Syarak yang berkaitan dengan fikah”. Ini bermakna apabila al-Imam al-Syafi’iyy contohnya telah menyatakan bahawa menyentuh tubuh isteri tanpa sebarang lapik adalah membatalkan wuduk si suami yang menyentuh dan juga si isteri yang disentuh, pandangan ini adalah hasil akhir kajian beliau terhadap seluruh dalil fikah yang berkait dengan isu persentuhan lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Maka secara tidak langsung, apabila kita menemui hadith-hadith sahih yang menunjukkan seolah-olah persentuhan suami isteri tidak membatalkan wuduk, kita akan segera menyedari bahawa hadith-hadith tersebut sebenarnya sudah dikaji secara serius oleh al-Imam al-Syafi’iyy. Namun setelah beliau meneliti dalil-dalil yang lain, beliau berpandangan bahawa hadith-hadith itu sebenarnya selari dengan kenyataan beliau.

Antara Contoh Kononnya Pandangan Al-Imam Al-Syafi’iyy Bercanggah Dengan Dalil

Para fuqaha dalam mazhab al-Imam al-Syafi’iyy telah banyak menulis mengenai dalil-dalil yang menjadi sandaran al-Imam al-Syafi’iyy di dalam mazhab fikah beliau. Saya akan mendatangkan satu contoh sahaja yang secara kasar menunjukkan bahawa pandangan al-Imam al-Syafi’iyy telah bercanggah dengan hadith. Namun setelah diteliti sebenarnya ia tidak bercanggah sama sekali.

Umum mengetahui bahawa menurut mazhab al-Imam al-Syafi’iyy, menyentuh isteri tanpa lapik akan membatalkan wuduk tidak kira sama ada persentuhan itu secara bersyahwat atau tidak. Sekiranya kita meneliti hadith-hadith Rasulullah SAW, kita akan menjumpai kisah Rasulullah SAW menunaikan solat malam dalam keadaan isteri baginda iaitu Sayyidatina Aisyah sedang tidur di hadapan baginda. Akhirnya sewaktu Rasulullah SAW ingin sujud, baginda terpaksa menguis kaki Sayyidatina Aisyah yang sedang tidur agar beliau mengangkat sedikit kaki beliau supaya baginda mempunyai ruang untuk bersujud. Suasana ini berlaku disebabkan rumah Rasulullah SAW adalah kecil sehingga apabila Sayyidatina Aisyah sudah melunjurkan kaki ketika tidur malam, sudah tidak ada lagi ruang untuk Rasulullah SAW meletakkan dahi baginda yang mulia ketika baginda mendirikan solat.

Secara sekali imbas, kita akan kehairanan kerana telah berlaku persentuhan antara Rasulullah SAW dengan kaki Sayyidatina Aisyah dalam keadaan baginda meneruskan solat malam baginda sedangkan al-Imam al-Syafi’iyy pula berpandangan bahawa persentuhan kulit antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram akan membatalkan wuduk. Bagi mereka yang tergesa-gesa, mereka akan beranggapan bahawa pandangan al-Imam al-Syafi’iyy ini jelas-jelas bercanggah dengan tindakan Rasulullah SAW yang tidak pula memberhentikan solat baginda setelah baginda menguis kaki Sayyidatina Aisyah. Namun bagi yang mengetahui konsep mazhab fikah, mereka terus akan berpandangan bahawa semestinya al-Imam al-Syafi’iyy telah meneliti hadith ini dalam keadaan beliau juga telah meneliti dalil yang lain yang seakan-akan bersalahan dengan hadith ini.

Apabila kita merujuk kitab-kitab mazhab al-Imam al-Syafi’iyy, kita akan menemui bahawa dalil al-Imam al-Syafi’iyy dalam isu di atas adalah ayat ke-6 daripada Surah al-Ma-idah. Ayat ini menyatakan perkara-perkara yang membatalkan wuduk yang antaranya adalah persentuhan antara lelaki dan wanita. Maka ayat ini bagi al-Imam al-Syafi’iyy adalah dalil yang menunjukkan bahawa wuduk akan terbatal apabila berlaku persentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Namun ayat ini juga seakan-akan bercanggah dengan tindakan Rasulullah SAW yang telah menguis kaki Sayyidatina Aisyah sedangkan baginda selepas itu meneruskan solat malam baginda yang menunjukkan bahawa tidak berlaku pembatalan wuduk. Maka apabila para fuqaha mendapati berlaku seakan-akan pertembungan dalil, mereka akan cuba mencari jalan penyelesaian untuk memesrakan dua dalil yang seakan-akan bertembung antara satu sama lain kerana pada hakikatnya tidak akan berlaku sama sekali pertembungan di antara dua ayat al-Quran, dua hadith Rasulullah SAW dan ayat al-Quran dengan hadith baginda.

Akhirnya setelah al-Imam al-Syafi’iyy meneliti dua dalil ini, beliau membuat kesimpulan bahawa ayat ke-6 daripada Surah al-Ma-idah ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa persentuhan tanpa lapik antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram akan membatalkan wuduk. Adapun apa yang berlaku antara Rasulullah SAW dengan Sayyidatina Aisyah, maka al-Imam al-Syafi’iyy berpandangan bahawa Rasulullah SAW telah menguis kaki Sayyidatina Aisyah secara berlapik kerana kebiasaannya orang yang tidur akan menyelimuti kaki dan jasadnya daripada kesejukan. Maka bagi al-Imam al-Syafi’iyy, Rasulullah SAW meneruskan solat malam baginda kerana persentuhan yang berlaku adalah persentuhan secara berlapik.

Melalui contoh ini, jelaslah bahawa para fuqaha seperti al-Imam al-Syafi’iyy sebenarnya bukan menolak hadith-hadith sahih sebaliknya mereka kadang-kadang mempunyai kefahaman yang lain terhadap hadith-hadith tersebut yang mungkin kefahaman mereka ini tidak pernah difikirkan sama sekali oleh kita selaku golongan yang bukan pakar dalam ilmu fikah. Maka berpegang dengan kefahaman para fuqaha seperti al-Imam al-Syafi’iyy adalah berpegang dengan dalil-dalil Syarak.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​