SIRI #009

———————————–

(Terjemahan dan olahan dari kenyataan rasmi Hai’ah Kibar Ulama’ Al-Azhar As-Syarif)

 

Oleh : Ustaz Mohd Shafiq Bin Mohd Naser

 

 

Memandangkan penularan wabak jangkitan virus corona COVID-19 yang masih berterusan dan berdasarkan maklumat perubatan yang sentiasa dikemaskini, ia menjelaskan bahawa diantara sebab bahayanya virus ini adalah kerana mudah dan cepat proses penularannya. Perhimpunan atau perkumpulan sekelompok manusia merupakan sebab bagi jangkitan langsung wabak yang bahaya ini. Oleh itu, syariat Islam datang bagi menjamin kesejahteraan (maslahah) hamba di dunia dan akhirat serta menolak keburukan (mafsadah) terhadap mereka.

 

Diantara maqasid syariah yang utama adalah menjaga nyawa (hifz an-nafs), memelihara dan mencegahnya daripada sebarang bahaya dan mudharat. Ketika manusia diuji dengan wabak umum yang mendatangkan mudharat, ia menatijahkan rukhsah (kelonggaran) pada sebahagian kewajipan syariah dan menghindari bahaya penularannya.

 

Sesungguhnya dengan penerapan hukum-hukum kemudharatan ke atas pelaksanaan solat sunat hari raya, penutupan sementara masjid-masjid, larangan perhimpunan berkelompok serta kawalan dan pengamalan langkah-langkah pencegahan di setiap masjid dan permukaan-permukaan yang dikira sebagai ruang terbuka, bahaya penularan virus ini tetap ada dan tersisa.

 

Oleh itu, Hai’ah Kibar Ulama’ Al-Azhar As-Syarif (Lembaga Ulama’ Senior Al-Azhar As-Syarif) telah meneliti dan menilai dari tanggungjawab syariahnya meliputi segenap sudut, memutuskan bahawa harus bagi menunaikan solat raya aidilfitri di rumah dengan kaifiat (cara) solat sunat hari raya yang tersedia maklum. Ini adalah bertujuan bagi mendirikan keuzuran syarak yang terhalang daripada mendirikannya di masjid atau di ruang terbuka. Demikian itu, diharuskan bagi seorang lelaki menunaikan solat sunat hari raya aidilfitri berjemaah bersama keluarganya sepertimana diharuskan bagi seorang muslim menunaikannya secara bersendirian (munfarid), ini seperti yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi :-

 

عن عبيد الله بن ابي بكر بن انس بن مالك خادم رسول الله صلى الله عليه وسلم – انه قال :(( كان انس اذا فاتته صلاةُ العيد مع الامام جمع اهلَهُ فصلى بهم مثلَ صلاة الامام في العيد ))

Daripada Ubaidillah Bin Abi Bakr Bin Anas Bin Malik, khadam Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bahawasanya telah berkata :(( Sayyidina Anas apabila terluput baginya solat sunat hari raya bersama imam (berjemaah), beliau menghimpunkan ahli keluarganya dan solat bersama mereka seperti solat beliau bersama imam pada hari raya )).

 

Panduan solat seperti berikut :-

  • Waktu solat sunat hari raya adalah seperti waktu solat sunat dhuha, bermula satu per tiga jam (20minit) selepas terbit matahari dan dipanjangkan sehingga satu per tiga jam (20minit) sebelum masuk azan zohor. Jika telah masuk waktu zohor, maka tidak boleh ditunaikan lagi solat sunat hari raya kerana waktunya telah berlalu.

 

“قال النووي : ” فإن فاتته صلاة العيد مع الإمام صلاها وحده وكانت اداء ما لم تزل الشمس يوم العيد, واما من لم يصل حتى زالت الشمس فقد فاتته 

Telah berkata Al-Imam An-Nawawi :” Jika seseorang telah luput baginya solat hari raya bersama imam, maka hendaklah dia menunaikan solat itu secara bersendirian dan ia ditunaikan selagi mana tidak gelincir matahari pada hari raya tersebut. Dan adapun bagi sesiapa yang tidak menunaikan solat hari raya sehingga tergelincirnya matahari, maka dia sudah terluput daripada menunaikannya”.

 

  • Apabila seorang muslim menunaikan solat sunat hari raya secara bersendirian atau berjemaah bersama ahli keluarganya di rumah, hendaklah dia menunaikan dengan dua rakaat beserta takbir-takbir tambahan (selepas takbiratul ihram). Dan jumlah takbir tambahan ini ialah tujuh takbir pada rakaat pertama selepas takbiratul ihram dan lima takbir pada rakaat kedua selepas takbir qiyam (berdiri untuk rakaat kedua).

 

 لما رواه أبو داوود من حديث عائشة رضي الله عنها ان رسول الله صلى الله عليه وسلم –” كان يكبر في الفطر والأضحى في الاولى سبع تكبيرات وفي الثانية  خمسا 

Telah diriwayatkan oleh Abu Daud daripada hadith (Sayyidatina) ‘Aisyah Radhiyallahu ‘Anha    “ bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bertakbir pada hari raya aidilfitri dan aidiladha dengan tujuh takbir pada rakaat pertama dan lima takbir pada rakaat kedua ”.

 

  • Tidak disyaratkan khutbah (sunat) bagi solat hari raya, jika ditunaikan bersama keluarga memadai solat tanpa perlu berkhutbah.

 

―――――――――――――――――――

PENERANGAN :-

1)- Khutbah raya merupakan sunat dalam mazhab Al-Imam As-Shafie.

2)- Disunatkan berkhutbah seperti khutbah jumaat bagi yang menunaikan solat raya secara berjemaah, namun jika solat secara bersendirian tidak perlu berkhutbah.

3)- Sah solat raya bersama keluarga di rumah jika tidak dilaksanakan khutbah,namun jika ingin dilaksanakan juga ia adalah lebih afdhal.

 

 

SUMBER :

"كبار العلماء" تصدر بيانها بشأن أحكام صلاة العيد في ظل استمرار تفشي فيروس "#كورونا" وتؤكد…جواز صلاة العيد في البيوت…

Geplaatst door ‎الأزهر الشريف‎ op Zondag 17 mei 2020