loader image

Al-Bayan : Hukum Memberi Dan Menjawab Salam Non-Muslim

Al-Bayan : Hukum Memberi Dan Menjawab Salam Non-Muslim

SIRI #006

(Terjemahan serta olahan fatwa Darul Ifta’ Jordan)

 

 

Oleh : Ustaz Muhammad Zulkifli Bin Salleh

 

 

Soalan : Bolehkah kita mengucapkan salam kepada non-Muslim dengan lafaz “Assalamualaikum”, atau kita perlu gantikan dengan ucapan lain seperti “Salam sejahtera” ? Dan bolehkah kita menjawab salam dari non-Muslim ?

 

Jawapannya :-

Segala pujian hanya layak bagi Allah, selawat dan salam buat Saidina Rasulullah ﷺ.

Syariat Islam yang bersifat murah hati ini sangat menggalakkan interaksi yang baik sesama manusia disamping menghormati kebebasan peribadi mereka. Non-Muslim yang tinggal bersama-sama kita, mereka itu tidak memusuhi apatah lagi memerangi kita. Oleh yang demikian, syariat menjelaskan kepada kita agar berlaku adil serta bersikap belas kasihan terhadap mereka, jangan sesekali menyakiti mereka. Allah Taala berfirman:-

 

{{ لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ }}

 

Maksudnya: {{ Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.}} [Al-Mumtahanah, ayat 8]

Baginda Nabi ﷺ pula bersabda:

 

(( مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَة ِ)) رواه أبو داود.

 

Maksudnya : (( Sesiapa yang menzalimi seorang kafir mu‘ahad, atau mengurangi haknya, atau membebaninya dengan sesuatu yang tidak tertanggung olehnya, ataupun mengambil daripadanya sesuatu tanpa senang hati, maka aku akan menjadi pembelanya kelak pada hari kiamat. )) [Hadis riwayat Imam Abu Daud]

 

Catatan :
Kini non-Muslim yang mendiami negara Islam tidak lagi dipanggil ‘Kafir Mu’ahad’ malah mereka dipanggil sebagai warganegara ‘المواطنة’.

 

Daripada bentuk pergaulan yang dibenarkan adalah menziarahi dan menyertai aktiviti bersama non-Muslim sama ada aktiviti yang berbentuk sambutan kemeriahan seperti kenduri kahwin mahupun mengunjungi mereka disaat sukar seperti sedang sakit atau berlaku kematian. Ini telah dibuktikan di dalam hadis sahih ketika mana Baginda Nabi ﷺ menziarahi seorang kanak-kanak Yahudi yang sedang sakit.

 

Agama kita yang benar ini mengajak supaya bersikap ramah, berkasih sayang, menjalinkan hubungan tanpa melihat warna kulit, keturunan mahupun agama.

 

Hukum hakam dalam agama datang bersesuaian dengan perkembangan semasa disamping meraikan adat setempat. Saudara non-Muslim seperti bangsa Cina dan India telah lama hidup bersama-sama dengan kita di negara ini dalam keadaan aman sentosa.

 

Oleh kerana itu, tiada masalah bagi kita sebagai Muslim menyambut mereka dengan menggunakan apa-apa jenis lafaz penghormatan sekalipun, salah satunya dengan ucapan salam: “Assalamualaikum”.

Dalilnya:-

 

(( عنِ ابنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنه، قالَ: “مَنْ سَلَّمَ عَلَيْكُمْ مِنْ خَلْقِ اللَّهِ فَرُدُّوا عَلَيْهِمْ، وَإِنْ كَانَ يَهُودِيًّا أَوْ نَصْرَانِيًّا أَوْ مَجُوسِيًّا”))

 

Saidina Abdullah bin Abbas berkata:

“Sesiapa sahaja dikalangan makhluk Allah yang ucap salam buatmu, hendaklah kamu ucapkan pula salam buatnya, walaupun ucapan itu dari seorang Yahudi, Kristian mahupun Majusi.
[Rujukan: Al-Musonnaf Imam Ibnu Abi Shaybah]

Saidina Abdullah bin Mas’ud juga menghukum sedemikian.[Rujuk: Fathul Bãri Imam Ibnu Hajar jilid 11, halaman 45]

 

Oleh itu, melalui kata-kata sahabat Nabi ﷺ yang *faqih ini, kita dibolehkan untuk memberi salam dan menjawab salam kepada NON-MUSLIM (Orang yang belum Islam).

 

Catatan:-
*Faqih : Orang yang ahli dalam ilmu feqah atau bidang-bidang lain yg diiktiraf dalam pengajian Islam: seorang ulama. [Kamus Dewan]

Manakala hadis yang melarang umat Islam dari memberi dan mengucap salam iaitu hadis yang menyebutkan tentang peristiwa Baginda Nabi ﷺ mengetuai sepasukan *platun tentera menuju ke penempatan bani Qurayza kerana ingin membalas pengkhianatan mereka terhadap orang-orang Islam.

 

Catatan:-
*Platun : sekumpulan tentera (antara 30-40 orang). [Kamus Dewan]

Daripada Abu al-Khair katanya: Aku telah mendengar Abu Basroh radha Allahu anhu berkata: Rasulullah ﷺ bersabda (mengingatkan para tentera Islam): ((“Sesungguhnya kita bergerak awal menuju ke kawasan Yahudi, maka janganlah kalian memberi ucapan salam kepada mereka, jika mereka mengucapkan salam kepada kalian, maka katakan kepada mereka: “Bahkan keatas kalian”)). Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam kitab ‘Musnad’nya.

 

Hadis tersebut hanya khusus buat kaum tertentu iaitu Bani Qurayza sahaja (salah satu puak Yahudi).

 

Dalam masa yang sama, hadis tersebut hanya ditujukan kepada SAHABAT-SAHABAT Nabi ﷺ yang sedang berada bersama-sama dengan Baginda ketika itu.

 

Kesimpulannya, tiada halangan bagi non-Muslim memberi salam kepada Muslim dan tiada pula halangan bagi seorang Muslim mengucapkan salam kepada non-Muslim dengan ucapan “Assalamualaikum”.

Maha Suci Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui

 

SUMBER :

https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=3467…

 

 

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn

Artikel Ruwaq Jawi​​